Tuesday, June 1, 2010

Ke Mana Hati Ku Bawa Enam Tahun Ini

Cerpen ini sudah lama tersiar. Saya tampalkan ia di sini untuk bacaan teman-teman. Cerpen ini banyak cacat celanya dan saya berterima kasih kepada seorang Sasterawan Negara kerana sudi membaca dan mengkritik cerpen ini dan sungguh saya mendapat banyak ilmu daripada tegurannya.

Namun, isi dan kebencian saya kepada Israel masih sama. Sedikit tidak berubah. Selamat membaca.


Sun, May 12, 2002 - Berita Minggu

Ke Mana Hati Ku Bawa Enam Tahun Ini ~ Byline : Hafizah Iszahanid


Text:

AKU masih terasa-rasa kepahitan, cuba-cuba meneguk secangkir espresso ketika dia mampir dengan senyum setulus mungkin sambil menghulur tangan. Aku mengetap bibir, menyambut salamnya dan menjemputnya duduk.

Ruang tiba-tiba menjadi begitu sempit sewaktu dia duduk menghadapku dan angin seakan berhenti berdesir.

Aneh, hampir lima minit kami duduk bersemuka, hanya mata yang lebih berbicara dan sesekali senyuman berseloka. Dan ketika itu sebenar-benarnya aku berharap telefon genggamku berbunyi-bunyi.

"Deng, kau semakin manis dengan tudung kepala," dia bersuara dan aku hanya mampu tersenyum tawar.


Dan begitulah kami terus-terusan jadi bisu sehinggalah aku menghantarnya ke KLIA. Mengucap selamat jalan, berjabat dengan kejap sebagai tanda akhir pertemuan sebelum dia terbang ke negara kelahirannya, England. Entah bila lagi kami bisa bertemu.


Dia merenung mataku, "Boleh aku kucup dahimu Deng, untuk terakhir kali?" suaranya melantun.


Aku memejam mata serentak itu air mataku mengalir. Aku mengeleng-geleng kepala dengan mata yang tertutup. Ketika aku membuka mata, dia sudah melangkah, menyeret bagasi dengan lemah, selemah semangatku dan semangatnya.


Aku membendung air mata, tidak mahu ia menjadi sia-sia kerana sesungguhnya hanya satu alasan yang tidak memungkinkan kami mencipta impian bahagia di langit biru adalah kerana kami semakin dewasa bersama masa.


Aku memandu pulang dengan hati yang tidak tenteram. Bayang wajahnya, susuk tubuhnya dan ketawanya seakan tidak mahu pergi. Hati, kauharus mengerti hidup ini tidak menjanjikan semua yang manis-manis itu akan menjadi milikmu.


Seminggu lalu.


"Beri aku lima minit untuk down load e-mail sebelum kita makan boleh?" Wajah Zuraida rakan sepejabat tiba-tiba berubah rona. Hey! kawan luangkanlah masa emaskau tu untuk aku kejap, aku kalah kes ni tahu tak, boleh dengar tak?"

"Nanti" sambil tangan pantas menekan punat keyboard aku terjerit kecil.

"Aishel!,"

Dan makan tengah hariku dengan Zuraida, bukan untuk mendengar ceritanya yang kalah kes di mahkamah tinggi pagi tadi tapi mendengar ketidaksabaranku bertemu Aishel Martes, si pencuri hati yang bakal berkunjung ke Malaysia minggu hadapan.

"Aishel, lelaki matang yang pasti menambat hati mana-mana perempuan," lewat tawa nyaringku Zuraida sudah menarik muka masam dan turut menarik tanganku pergi.

"Kauperempuan penuh angan-angan Dayang".

Sehinggalah Aishel tiba di Kuala Lumpur minggu berikutnya, aku masih tidak mengambil tahu keresahan hati Zuraida.

"Ini Aishel Martes. Aishel,ini Zuraida, rakan sepejabat," salam bertaut dan Zuraida sempat mencuit lenganku.

"Mengapa engkau tidak pernah salah jika berteman?"

"Kerana aku tidak pernah melihat kecantikan luaran tapi kecantikan dalaman. Biar hidungnya pesek atau kulitnya gelap tetapi hatinya baik, tuturnya santun,"

Zuraida menjuih bibir. Aishel, jejaka kacukan Afrika-British di sebelah bapanya dan berdarah Perancis mewarisi ibunya sebenarnya berpenampilan seperti bapanya.

Dengan ketinggian seperti pemain bola keranjang, berkepala botak kemas dengan misai kemas dan kulit gelap samar dia pada mataku seperti anggota sindiket black money! Tapi hati yang baik dan budi bahasanya cukup membuat dia istimewa.

Kami tinggalkan Zuraida di rumah sewanya sebelum aku membantu Aishel menginap di hotel tengah bandar raya dan kami menghabiskan satu malam bersama melepak di Bintang Walk di bawah sinar lampu dan gegak gempita manusia berpesta.

"Kuala Lumpur begini waktu malamnya,"

"Ya. Mengapa, England lenggang dari manusia?" Aishel terkekeh kecil. Ruang San Francisco Coffee malam itu riuh dengan anak muda berbicara soal dunia.

"Bukan, tapi aku tidak pernah tahu Kuala Lumpur begitu istimewa"

"Istimewa kerana aku yang meneman kau di sini, jika tidak ia tidak seistimewa mana," Aishel ketawa

"Kaumasih seperti enam tahun dulu Deng. Emm ... kaumanis dengan tudung kepala. Dulu kepalamu tidak bertutup dan rambut mengerbang kaumacam hantu,"

Enam tahun lalu? Aku mengimbau kenangan awal pertemuan. Pertemuan di ruang siber yang membawa kepada berbalas-balas e-mail dan panggilan telefon, bertukar foto sebelum akhirnya enam tahun kemudian kami mengatur pertemuan. Dari zaman pelajar dan kini masing-masing berjawatan hebat, Aishel Martes dan Dayang Nurlisa Awang Musa ini masih orang yang sama.

Majalah Time di tanganku kukibas-kibaskan. Majalah yang kuambil dari kereta yang dibeli beberapa bulan lepas tapi tidak pernah kubaca. Dan mataku terhenti pada artikel yang sekali imbas menarik pandang .

"Apa tu?" tanya Aishel sewaktu aku membentang Time di tengah meja.

"Artikel tentang keganasan, dunia antarabangsa kini terlalu mudah menafsir Islam itu ganas, hodoh dan buruk.,'

"Jika bukan orang Islam yang cari masalah tidaklah perkara itu menjadi masalah kini,"Aku merenung matanya dengan tanda soal.

"Ialah, jika tidak buat kerja bodoh melanggar WTC dahulu, tentu semua ini tidak terjadi,"

"Mungkin, tapi tidak semua orang Islam itu jahat. Baiklah jika tindakan itu dikatakan keganasan cukup sampai di situ. Ramai lagi orang Islam lain yang baik hatinya, baik budinya, ikhlas perjuangannya tertekan dengan pandangan tipikal antarabangsa." Aishel senyum sinis, keningnya terangkat.

"Dan kini Yahudi yang semakin menggila, jika aku punya kuasa sakti aku pasti sumpah mereka menjadi batu!,"

"Tapi bukan semua Yahudi itu salah. Seperti katamu Deng, masih ada Yahudi yang baik budi, tulus hati dan ikhlas perjuangannya,'

"Kau menyindir?,"

"Tidak. Aku berkata benar. Mereka hanya ingin membentuk negara. Setiap orang ada hak memiliki negara sendiri. Malah Melayu yang asalnya dari Kepulauan Nusantara juga berhak membentuk negara di Malaya ini bukan?," Dia ketawa. Aku kehilangan kata. Apa sebenarnya lelaki ini.

"Bukan begitu Aishel, Melayu dan Yahudi jauh berbeza. Kami punya jati diri dan tahu siapa kami. Melayu tidak pernah mempertahankan yang bukan haknya,"

"Dan mereka juga tidak mempertahankan yang bukan hak Deng. Kaubukan tidak mengenal Theodor Herzl dan doktrin Zionismenya. Jika tiada suara antarabangsa bersetuju mengizinkan mereka membentuk negara, sejak dahulu lagi ia tidak akan terjadi,"

"Yahudi bangsa pengecut yang menyorok di sebalik ketajaman minda,"

"Ha, kaumengiktiraf mereka tajam minda!,"

"Ya, itu betul terlalu tajam sehingga menindas tuan pemilik tanah. Dunia terus menutup mata," Aishel ketawa terbahak-bahak. Aku menjadi benci dengan ketawanya.

"Aku masih ingat kata-kata Golda Meir satu ketika dahulu "sama sekali tidak pernah ada apa yang dinamakan bangsa Palestin itu. Kami datang dan melemparkan mereka keluar dari negeri itu lalu kami merampas daerah itu dari tangan mereka sesungguhnya bangsa Palestin tidak pernah wujud,"

"Deng, hanya dengan ketajaman minda dan budaya ilmu satu-satu bangsa itu mampu maju. Aku tahu dalam Al-Quran sudah mencatatkan tentang bangsa itu dan kelaknatan mereka. Tapi kautidak boleh bertanya mengapa pakatan antarabangsa tidak membantu mereka kerana seperti yang tercatat dalam Al-Quran juga, tidak akan berubah nasib sesuatu kaum itu jika mereka tidak mengubah nasib mereka,"

"Bangsa yang pengecut yang berlagak berani!"

"Deng, di luar sana cakap-cakap kosong dan debat seperti ini sudah tidak laku lagi. Darah saudara Islammu yang tumpah akan terus tumpah jika minda bangsamu tidak tajam kerana dalam Al-Quran juga sudah tercatat hanya bangsa yang lebih kuat dan tajam mindanya daripada kaum Yahudi itu yang mampu menumpaskan mereka,"

Lama aku terdiam. Menarik nafas dan merenung anak mata coklat jernih milik Aishel. Siapakah lelaki 29 tahun yang duduk di hadapan aku ini? Kisah rindu enam tahun lalu berlalu begitu sahaja dibawa angin. Yang memanaskan bicara kami tiba-tibanya Yahudi dan keganasan.

Aku renung matanya. Dia memiliki sepasang mata Perancis yang menganggap perbicaraan umum tentang Yahudi bisa melanggar hak asasi manusia. Aku renung dahi jendulnya. Dia memiliki minda tajam dan mulut manis lelaki British yang menghalalkan doktrin Zionisime rekaan Herzl. Dengan latar pendidikan fiziknya, aku melihat si Yahudi Albert Einstein ada dalam hatinya. Dan tiba-tiba aku terasa amat panas berada di sini.

"Deng," Dia memetik-metik jarinya ke wajahku, menarik aku keluar dari alam khayal.

"Biarkan mereka begitu, yang penting aku dan engkau masih bersatu. Kasih kita masih yang dulu bukan," Aku mengangguk setuju. Wajah Aishel manis dengan senyuman.

"Kau mengkaji Al-Quran?'

"Bukankah itu permintaanmu sebagai hadiah hari lahir ke 24 dahulu? Bukan sekadar Al-Quran tapi Melayu. Bukankah kau meminta aku menjadi Melayu? Aku boleh jadi apa saja untukmu Deng!,"

"Ooo..." aku mengangguk lagi sungguh aku terlupa sebenarnya!

"Dan?" Aku bertanya lagi.

"Dan? Dan apa Deng?,"

"Kau memaham isinya?'

"Tentu... kau membaca Bible?,'

"Sudah." Tapi yang benar, aku tidak pernah membuka, mengkaji dan menelitinya seperti dia. Sekilas aku terasa lemas dalam putar air di laut luas.

"Dan?"

"Dan? Dan apa ya ..."

"Dan kita?," Aku ketawa kecil.

"Apanya?"

"Ya, dan kita dan enam tahun akan berlalu begitu sajakah

Deng ? O-o... aku tentunya tidak boleh menjadi Yusuf Islam. Kautidak mengharap aku menjadi seperti Cat Steven bukan? Aku meneliti Al-Quran hanya untuk mengenal kau Dayang Nurlisa. Jika Salman Rushdie boleh menajamkan minda dengan Satanic Versus apa istimewanya engkau di sebalik tudung kepala. Apa akan jadi lebih tajam mindamu untuk membantu Palestin?". Dia ketawa berdekah.

Aku terpempam dan menjadi kaku. Astaghfirullah hal azim... ke mana hatiku bawa selama enam tahun ini? Tanpa kata-kata aku bangkit tapi tanganku ditariknya pantas.

"Deng? Mengapakau?"

"Mengapa aku? Mengapa ya aku ini?"

Angin malam membuai tudung kepalaku yang sebenarnya baru kupakai bulan lalu. Itupun kerana emak menghadiahkan kepadaku sebagai cenderahati dari Tanah Suci Mekah. Sebelum ini kepalaku hanya ditutup rambut mengerbang yang kononnya cantik berkilat.

Aku memandu pulang dengan perasaan gelisah dan resah yang menghambat- hambat. Ketika Aishel kuhantar pulang ke hotel penginapannya, hatiku benar-benar berdebar dan bergetar takala menatap wajahnya.

"Kautidak mahu melihat kamarku?"

Aku mengeleng kepala. Bukankah aku pernah mengimpikan pertanyaannya itu dulu? "Aishel..." lemah nama itu kulafazkan.

"Deng, di luar sana cakap-cakap kosong dan debat seperti ini sudah tidak laku lagi. Darah saudara Islammu yang tumpah akan terus tumpah jika minda bangsamu tidak tajam kerana dalam Al-Quran juga sudah tercatat hanya bangsa yang lebih kuat dan tajam mindanya daripada kaum Yahudi itu yang mampu menumpaskan mereka," Suara Aishel bergema lagi.

Maha suci Tuhan, ketika malaikat Jibrail memeluk nabi kami dan melafazkan, `Iqra`...' dan baginda berselimut ketakutan bukankah ia permulaan untuk ilmu-Mu yang tak terbatas?

Maha suci Tuhan, maha suci Tuhan, maha suci Tuhan ... ke mana hatiku bawa enam tahun ini? Aku menangis dalam remang Subuh. Maha suci Tuhanatanya sesungguhnya aku manusia lalai dalam rindu yang makin longlai.

(END) Copyright.

4 comments:

Bintang D'hati said...

Lama tuu..tahun 2002...saye msh di bumi kenyalang,jauh daripada akhbar 'main stream' ... Deng=merah ..semangat :)

Fizahanid said...

iye? Saya tahn 2002, baru balik dari bumi kenyalang selepas bertahun menumpang kasih di sana...
Deng itu maksudnya sayang dalam bahasa melayu Sarawak.
Tapi dalam bahasa Siam (heheh.. org perlis mesti tau...) maksudnya bengkok.. :D

MARSLI N.O said...

Moga menyusul cerpennya yang baru.

MARSLI N.O

Fizahanid said...

Terima kasih Encik Marsli NO.. insya allah.

Apa ada dengan Aku Anjing ?

Aku Anjing mungkin tajuk yang mengejutkan untuk sebuah kumpulan cerpen. Namun bagi pengarang, Saifullizan Yahaya, Aku Anjing dipil...