Wednesday, April 27, 2011

Novel baru ?



"Sebetulnya, takdir sudah tertulis begitu sejak di loh mahfuz. Kita ini manusia, bukan superhero, kita hanya diberi hak untuk merancang tapi kita bukanlah pemutus untuk melaksana semua rancangan,"


Suaranya perlahan separuh tenggelam dalam riuh rendah pangkalan feri. Iya, begitulah. Kalau benar itu yang tertulis.


Zaira renung camar yang bebas terbang di kelam langit. Sedaya upaya dia tidak mahu air mata menitis. Sedaya upaya dia tidak mahu hatinya terguris. Namun, sudah namanya permainan rasa, tentu ada yang tercuit.

Dan takdirnya, bukan semestinya tertulis yang indah-indah itu milik kita. Klise! klise! hatinya menjerit marah. Mengapa harus setiap pertemuan, setiap perasaan tidak boleh dinoktahkan pada titik bahagia? Mengapa perlu wujud perpisahan?


"Dan kita tidak mampu melawan kehendak Tuhan, Zaira. Allah juga yang menentukan. Apa mahu mengisytihar perang dengan tuhan?,'


Itu kata Julia. Kata-kata yang menusuk jauh dalam atma, mengharu birukan rasa. Kata-kata yang seakan berkubu dalam diri. Aneh, walau diusir ia tetap hadir.


Apa yang perempuan itu tahu tentang rasa dan perasaan? Kerana pada setiap kali Zaira memandang wajahnya, Zaira tidak melihat Julia, Zaira melihat ada Adlan di situ. Dan sungguh tuhan, kuatkanlah hati.


Zaira tunduk memandang bumi, air mata sudah luruh.


"Jangan menangis Zaira,"


Zaira dengar kata-kata itu, tapi biarlah dia mahu menangis.



**************************



Kawan-kawan, sudah dekat setahun novel ini tertangguh. Masa tidak pernah cukup untuk saya menghabiskan manuskrip ini. Insya Allah, jika ada kesempatan saya mensasarkan menjelang Jun, ia wajib sampai ke tangan penerbit. Ini azam, insya allah.. saya sungguh berharap ia mampu disiapkan.

Saya ingat dulu boleh siap menjelang pesta buku, tapi nampaknya tidak. Buat masa ini manuskrip yang masih belum bertajuk sudah sampai ke klimaks cerita, tapi belum boleh bernoktah.


Di atas adalah sebahagian sedutan untuk manuskrip, saya akan tampal lagi di blog ini nanti bila ada kesempatan.












Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...