Wednesday, April 22, 2015

Bukan OrangOrang.







Saya tidak tahu apa yang hendak ditulis sesudah beberapa bulan  Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH diumumkan. Saya tidak tahu apa isu, apa tema dan entah bagaimana rupa manuskrip yang harus saya tuliskan.

Apatah lagi ketika itu saya dihambat kecewa apabila Nan Yang, novel yang memenangi HSKU 2013 gagal untuk terbit pada waktunya. (Sepatutnya ia terbit pada September 2014).

Tidak lama selepas itu saya ditugaskan ke Taiwan. Bersama-sama dalam rombongan itu adalah pengarang mapan yang saya panggil Apai Ricky. Apai banyak bercerita dengan hampir semua ahli rombongan kami tentang novelnya yang sudah siap separuh tetapi belum mampu disudahkan. Saya jadi teruja dengan karya belum siap Apai apatah lagi Apai menuliskan kisah tentang kehidupannya, tentang bapanya dan susur galur keluarganya. 

Meskipun begitu, adakah saya mahu menulis kisah yang sama dengan Apai? Saya langsung berfikir, dengan masa yang singkat (hanya tinggal beberapa bulan untuk tiba ke garisan penamat), saya tidak boleh berlama-lama untuk membuat penyelidikan.

Jadi apa yang akan saya tulis jika mahu ikut serta dalam sayembara kali ini? Saya tidak tahu dan sepanjang masa ‘tidak tahu’ itu saya banyak membaca karya orang lain. Saya membaca karya fiksyen, non-fiksyen dan akhirnya saya tergugah dengan karya Semenanjung Menangis oleh Ariff Mohamad.

Untuk saya, novel itu membawa cerita besar tetapi ia hanya berada di permukaan. Ia tidak masuk ke dalam dan saya bertanya kepada Ariff, mengapa tidak masuk jauh menelusuri erti reformasi itu? Ariff memberikan jawapan yang kemudiannya mencetuskan inspirasi kepada saya. 

Jadi mengapa tidak, saya saja yang menuliskan ?

Kisah Apai, kisah Semenanjung Menangis kemudiannya bersatu dengan kekecewaan saya berikutan Nan Yang yang gagal terbit (ketika itu). Semua penyelidikan yang bersisa daripada Nan Yang saya kumpulkan dan saya memulakan Bukan OrangOrang.

Jika Nan Yang mengangkat latar tahun 1937, Bukan OrangOrang adalah kisah Mo, Midah, Qi dan Zara pada masa kini. Saya tidak menolak jika ada pembaca yang mengatakan Bukan OrangOrang adalah sekuel kepada Nan Yang. Ia mempunyai nuansa yang hampir sama tetapi berbicara tentang isu yang berbeza.

Saya fikir, kombinasi itu sudah mampu membawa saya ke garis penamat, tetapi tidak. Sebulan sebelum tarikh tutup, saya masih belum mampu menghasilkan manuskrip penuh. Karya saya tersangkut pada 150 halaman sedangkan syarat penyertaan ialah paling kurang 200 halaman. Saya hampir saja menyerah kalah, sebelum memutuskan untuk berbincang dengan rakan penulis tentang manuskrip yang sedang saya tulis.

Memang ada pengarang yang gemar berkongsi apa yang sedang mereka kerjakan kepada rakan penulis lain tetapi saya tidak suka berbuat demikian. Saya lebih selesa mengharungi kegetiran mengarang itu sendirian, tetapi, Bukan OrangOrang mengubah kebiasaan itu. Saya perlu bercakap dengan kawan-kawan yang saya percaya bagi membuka kebuntuan fikiran.

Nasihat mereka mudah, bacalah buku lain. Tinggalkan buku yang sedang dibaca sekarang dan terokailah perkara baru. Jika sebelum ini saya gemar mengulit karya pengarang dari Tanah Besar, saya kemudiannya beralih kepada pengarang Jepun.

Saya memilih untuk membaca karya Yoko Ogawa dan beberapa buku bukan fiksyen yang menyentuh tentang sejarah dan budaya. Namun, masih juga saya gagal untuk mencari inspirasi untuk menyelesaikan Bukan OrangOrang. 

Saya kembali mengulit Waiting, karya Ha Jin yang beberapa ketika saya tinggalkan dengan alasan untuk membuang kebiasaan. Tapi aneh, Waiting memberi saya jawapan yang dicari. Jika anda membaca Bukan OrangOrang dan melihat pecahan ceritanya, jujurnya saya mendapat inspirasi daripada Waiting.

Seminggu sebelum tarikh tamat, Bukan OrangOrang saya emelkan kepada sekretariat dan semuanya berakhir dengan baik, alhamdulillah. Berada dalam kedudukan 10 terbaik untuk dua genre, cerpen dan novel, bersaing pula dengan nama-nama besar dalam dunia sastera Malaysia, saya sangat bersyukur dan berterima kasih. 


end. 

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...