Sunday, October 17, 2010

Anda Apa Yang Anda Baca

Bagaimana anda tahu karya itu baik atau bagus teramat? Sebab anda suka atau sebab rakan-rakan mengatakan demikian, memberi ulasan yang baik-baik saja, lalu anda turut bersetuju sekadar mahu mengikut?


Setiap orang punya citarasa dalam memilih karya yang mahu dibaca. Membaca untuk saya seperti makanan. Anda apa yang anda makan, anda apa yang anda baca. Lalu, apabila ada rakan meminta mencadangkan karya atau buku yang baik untuk dibacanya, saya selalu ingin menjawab begini, tepuk dada tanya selera atau tepuk dahi tanyalah minda.


Saya pernah bertemu rakan yang tidak suka membaca karya-karya seorang penulis wanita yang saya terlalu suka. Katanya, bahasa dalam novel-novel atau cerpen penulis itu terlalu berbunga-bunga, berselirat dan membuat dia pening. Dia lebih suka karya dengan bahasa mudah, seperti membaca berita dalam akhbar. Bahasa yang 'straight forward'.


Untuk saya pula, membaca karya kreatif yang 'straight forward' bukanlah membaca karya kreatif sebaliknya membaca berita. Kalaupun bahasanya ringkas dan mudah namun, masih ada kesan masih ada aura yang boleh dirasa lewat pemilihan bahasanya.
Kemudian, isinya.

Seorang kawan sukakan karya yang banyak konflik. Konflik bercabang lima enam pun tak mengapa. Saya tidak suka karya terlalu banyak konflik, menyesakkan minda. Cukup satu dua, sebagai penggerak cerita tetapi selebihnya idea yang mahu disampaikan lewat karya itu.


Lalu, citarasa manusia itu berbeza sebenarnya. Terpulang pada diri sendiri memilih, menyaring dan menghadam apa yang anda mahu. Kerana akhirnya, u are what u read.

Saturday, October 9, 2010

I'm Malay Too !!

Malay comprise eight sub ethnic which is; Kelantan Malay, Kedah Malay, Jawa, Bugis, Minang, Campa and Banjar - Researcher's, The National Malay Whole Genome SNP Database.
I wonder, what will happen when they complete their research in 2016. What about a word 'Malay is Islam' as mention in our constitution? Do we need to amend our constitution as well ?

Well, I consider myself as a Malay, but they dont :( ....

Thursday, October 7, 2010

Mengantuk




Mengantuk.

Batuk dan makan ubat. Rasa mengantuk kuat melekat. Apa nak buat? Telan atau biarkan dan terbatuk-batuk terus macam General Grievous dalam Star Wars, Revenge of The Sith (secara peribadi saya lebih suka episod itu dinamakan Fall of The Jedi :)



Ubat batuk - dosnya saya lebihkan sedikit. Sebab sudah tidak tahan ‘menderita’ batuk. Tidak mengapa. Setahu saya jangan lebih hingga 240ml sehari. Kalau lebih boleh jadi ‘laloq’. Seperti kalau ambil paracetamol dalam sehari jangan lebih lapan biji. Namun kalau hendak bunuh diri jangan telan 20 biji, anda tidak akan mati kerana paracetamol sebanyak itu (ini bukan panduan bunuh diri ya, ini sekadar berkongsi fakta, yang baik jadi teladan yang buruk buat sempadan)



Lambat ke pejabat sebab terlena di sofa. Memandu jalan membelah Lebuhraya Persekutuan. Pejabat masih lengang. Fuhhhh.. lega.







Saat keletihan belum usai, teringat temujanji dengan doktor peribadi. Bergegas ke Pantai dengan harapan cepatlah giliran bertemu doktor manis dan ramah tamah itu tiba. Ramainya manusia, buat muka manis jadi bak asam kecut. Lalu, bercakap pun antara mahu dan tidak mahu. Hanya yes dan no, ooohh.. dan emmm... Akal memikir, banyaknya kerja di pejabat belum langsai. Perlu segera pergi dari situ.



Mengantuk.

Lagi. Sisa batuk masih ada. Akal belum terjana dengan sempurna untuk merangkaikan kata menjadi berita walau semua bahan sudah dihadapan mata. Ada sms masuk, rakan dari HUSM memberitahu akan segera dihantar bahan yang dimahu. Oh, sidang genetik sabtu ini, saya masih tercari-cari duduk letak Fakulti Perubatan UPM.

Mengantuk.

Lagi. Saya fikir perlu cari bantal untuk selesaikan masalah ini. Jam baru 4 petang, waktu kerja masih terlalu panjang. Hari mengejar deadline bukan ternoktah pada 6.30 petang atau 7 malam. Emmm... saya teringat kata-kata anak dara di rumah yang bijak mulutnya, kenapa mama orang lain kerja cikgu tapi bukan mama kita?



Aduh. Anak. Mama mu ini memang punya kehendak luar biasa. Mahu mengubah dunia. Namun kalau saya katakan begitu, mengertikah dia?


Mengantuk. Lagi.



Thursday, September 23, 2010

Kejar Masa

Masa memang terlalu cepat berlalu. Sejak pembantu rumah tamat kontrak Februari lalu, saya memang tidak terkejar dengan masa.

Bukan mengatakan saya terlalu bergantung kepada pembantu rumah, tetapi dengan kehadirannya, ada banyak ruang untuk saya menyemak kerja sekolah anak, melayan diri sendiri dan tentunya meluangkan masa dengan suami.
Tanpa pembantu, saya masih boleh buat semua itu - ia fakta yang benar. Namun, kualiti masa untuk diri sendiri berkurangan.


Mungkin ada 'supermom' yang merasak
an masa berkualiti untuk diri sendiri tidak perlu tetapi untuk saya, ia sangat perlu. Masa bersendirian itu sekurang-kurangnya tiga ke empat jam boleh dihabiskan dengan membaca, membaca, membaca, menulis, menulis dan menulis (tanpa suara-suara seperti .. mummy, nak makan atau mummy boleh bacakan buku ini? atau you, tolong gosok baju I )


Sekarang masa berkualiti itu hanya dicapai selepas semua anak tidur. Jadi sekitar jam 11 malam ke 12 malam barulah saya boleh menikmati masa sendiri. Namun, hanya sejam dua saja, selepas itu ZZZZZ.. sebab akan memulakan hari sekitar jam 6 pagi esoknya.
Justeru, banyak betul kerja-kerja penulisan saya tertangguh. Banyak betul projek 'tak jalan' dan ada jugalah tuan-tuan editor mula bertanya, bila lagi hendak menyerahkan manuskrip sebab sudah lepas deadline.


Saya tidak berdaya memberi janji, ada beberapa buah manuskrip terbiar begitu saja di pertengahan cerita kerana idea sudah terbang melayang entah di mana.
Saya memohon, Allah memberi saya kekuatan untuk kembali menulis.

Sesekali bila saya menulis cerpen sebagai 'escapism'.


Menariknya, cerpen boleh disudahkan dalam masa empat jam. Namun hendak mengumpul bahan cerpen itu dan memikirkan sudut pandangan itu yang agak memakan masa. Jadi, akhirnya, saya akan minum kopi sambil menghadap TV menonton Quantum of Solace dan CSI Miami berulang-ulang kali !

Monday, July 5, 2010

HSKU 2009 & Ayam Patah Kepak


Pic : terima kasih kepada Adib MN Damanhuri...


Alhamdulilah, rezeki dari-Nya. Amin.






Sunday, May 23, 2010

Nikmat Yang Seksa



Pic from here








"Saya fikir kehidupan silamnya yang dihantui kenangan dan pengalaman orang lain yang membangkitkan keliru. Dia tidak pernah ingin mengenal kehidupan mengikut matanya. Dia mengenal kehidupan mengikut mata orang lain. Alangkah itu tidak adil.


Saya ingin sekali memberitahunya, saya ingin berjalan dengannya dalam kehidupan ini sebagai seorang kawan. Kawan yang boleh mempengaruhinya untuk mengenal hidup dengan matanya.


Dia tidak berlaku adil pada hidupnya, rohnya dan jiwanya. Bolehkah saya berbuat demikian? ...."





Sebahagian 'isi' manuskrip yang sedang diusahakan, yang membuat saya makan menulis, minum menulis malam pun mimpi menulis... hahahaha.. sungguh kronik...

Menyiapkan manuskrip yang melebihi 500 halaman, mempersetujui untuk menyiapkannya pada sekian-sekian tarikh sungguh menyeksakan. Bak kata seorang rakan penulis yang saya kagumi, 'ia adalah seksa yang nikmat'.

Saya perlu siapkan dan perlu terbitkan sebelum tahun ini menutupkan tirainya. Sebab, saya perlu motivasi begini untu terus 'hidup' dalam dunia penulisan ini.






Thursday, May 20, 2010

Tudung Sanggul Arab & Wanita Akhir Zaman

Gambar ini hiasan saja untuk menunjukkan tudung gaya arab. Tiada kaitan dengan modelnya.



Dalam masyarakat Arab dulu kala, ada satu trend pemakaian tudung dengan sanggul tinggi. Kata seorang kawan lepasan Universiti Al- Azhar, trend pemakaian tudung bersanggul tinggi itu ukuran darjat. Makin tinggi darjatnya, makin tinggi sanggul tudungnya.


Namun, dalam Islam tiada langsung timbul tentang isu darjat. Manusia semuanya sama di sisi Tuhan. Hanya iman yang memisahkan kedudukan kita di sisi tuhan.


Saya bukanlah pandai sangat bab-bab agama. Ada juga yang saya 'terkantoi'. Namun, agama itu asasnya nasihat menasihati. Kalau tidak salah saya banyak hadis yang menceritakan tentang bertudung tapi bersanggul tinggi ini. Antaranya yang ini;


“ Ada dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka didunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini” – hadis riwayat Muslim.


Jadi, daripada tidak tahu kita sudah tahu. Sama-samalah kita fikirkan. Jangan kerana mengikut trend, kita mengadai pula kepercayaan dalam beragama. Mungkin ada yang akan berkata, lebih baik daripada tidak bertudung. Betul, tapi kalau sudah memilih untuk bertudung mengapa tidak lakukan sesempurna mungkin, bukan?


Nilai Kasih Seorang Anak

Seminggu lalu, saya bertemu dengan seorang warga tua. Usianya hampir 70 tahun dan dia adalah antara insan yang terbuang daripada keluarga. Ada anak, tetapi anak tidak mahu padanya lagi.


Dia tidak bisu tetapi dia tidak bercakap. Setiap kali saya bercakap dengannya, dia hanya renung saja. Apabila dia membuka mulut, dia hanya akan cakap "aku hendak pulang" dan itulah ayatnya ulang dan berulang.

Saya temuinya di sebuah rumah persinggahan kelolaan NGO. Dia awalnya mendapat rawatan di hospital kerajaan. Apabila sudah sihat dan sudah dibenarkan keluar, tiada siapa yang menuntutnya.
Apabila pihak hospital menelefon si anak (yang tertera nama, no kad pengenalannya, alamat dan no telefon), no telefon sudah tidak ada dalam perkhidmatan. Cubaan menjejak alamat yang tertulis pun gagal. Rumah itu sudah diduduki oleh orang lain dan khabarnya, rumah itu memang rumah dia sejak dulu. Ini kes tipu alamatlah ni...

Jadi, pak cik itu terdamparlah di rumah jagaan itu sejak setahun lalu. Waktu saya melihat dia, saya teringat ibu bapa di kampung dan opah yang masih sihat walau usia menjangkau 80 tahun. Saya teringat juga pada kucing saya yang namanya Si Pontong.


Untuk mereka yang ada perikemanusiaan, kucing pun tidak sanggup dibuang ke longkang, inikan pula ibu bapa.


Saya terfikir di mana kasih dan sayang anak pak cik itu ? Tidakkah dia berasa sangat berdosa?

Saturday, May 15, 2010

Bertemu Kawan Lama


Sejak bergraduan, saya tidak pernah berjumpa seorang kawan baik ini - namanya Zarina atau saya panggil Kak Za. Orangnya sangat sporting dan ramah tamah. Mungkin sebab dia cikgu, jadi mulutnya banyak.

Dua minggu lalu, saya terbang ke Kota Bharu - pengakuan jujur, itulah pertama kali saya jejak kaki ke Kelantan. Bak kata kawan saya, sudah sampai ke Eropah, Kelantan pun tak pernah pergi, koman betul mike ! - Ya, koman tak komanlah... memang sungguh pertama kali. Dan yang pertama kali itu tidak akan kekal yang pertama, insya allah...

Kak Za dan suaminya, Abang Zani masih seperti yang saya kenal dulu-dulu, zaman-zaman anak dara usia 19 tahun menjejak kaki ke kampus dan merayau-rayau mencari arah. Begitu juga Suriatina, bekas rakan sekelas di zaman kampus.


Malam-malam di KB, kami habiskan menjelajah dari satu pusat membeli belah ke satu lagi. Dengan kereta wira hijau dan dua anak dara cilik milik Suriatina, apa dikisah wang yang banyak mengalir.
"Tak pe, sesekali .. bukan selalu," selalu saja Suriatina dengan bibir merah berkilat gincu mengusik waktu saya pening-pening mengira baki duit dalam dompet.


Dengan Kak Za pula, saya sempat makan tengahari dan makan malam sambil mengulang-ulang kisah zaman kampus yang penuh ceria dan ada juga yang penuh duka. Kisah kegilaan pada lagu-lagu Jon Bon Jovi, ponteng kuliah agama untuk tengok X Files, makan maggi tapi sorok mangkuk bawah katil dan entah seribu satu macam kisah yang pernah kami kongsi.


Sungguh, dalam hidup kita ada pelbagai jenis manusia yang akan kita kenal. Akan ada puluhan atau ratusan orang yang masuk ke dalam hidup kita menjadi kenalan, kawan, rakan dan sahabat. Malah ada yang terus menjadi saudara.


Bak kata orang, a friend in need is a friend indeed. Waktu ada kawan yang sudi bersama dengan kita waktu susah dan senang, adakah kita akan menjadi sepertinya juga teguh dan setia menempuh ranjau dan duri. Insya Allah...

Thursday, April 29, 2010

Cerpen Singkat - Kawan

Seingat saya, kami kawan yang baik. Akrab jua jika hendak dikatakan begitu. Begitupun, pandangan politik memisahkan kami. Dia menjadi fanatik kepada satu fahaman dan menolak kefahaman yang lain. Saya menghormati dia atas kefahamannya itu.


Negara ini demokrasi sifatnya, lagi bebas dan merdeka. Setiap dari warganegara punya satu undi menaikkan dan menumbangkan kuasa. Justeru, saya percaya pada hak untuk terjemahkan kepercayaan dan kefahaman itu melalui undi.


Fanatiknya dia pada perjuangan dan kefahaman politik bagai menusuk ke dada langit. Bagai juga menikam jauh ke dasar bumi, tidak mudah goyah. Tahniah, kerana setiap kita perlu pendirian dan kefahaman begitu.


Namun, sebagaimana saya menghormati haknya, dia tidak pula menghormati hak dan kefahaman saya. Ia seperti saya mahu pengat pisang tetapi dia menyorongkan pula ke mulut saya pengat labu. Saya mahu makan tomyam dia pujuk pula saya makan sup kosong.


Begini, manusia punya citarasa, kepercayaan dan pengetahuan. Kita punya pilihan. Jangan memujuk keterlaluan hingga kawan pun menjadi bosan dan akhirnya lari setiap kali berpapasan.


Ironinya, dia tidak pun mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya bagi menterjemahkan kepercayaannya melalui satu undian.


Kasihan!

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...