Monday, September 23, 2013

Bab 2 - Lelaki Januari




Bab 2

Namanya Ali Syukri bin Said Nursi. Pandangan matanya tenang tetapi jauh menusuk. Dia tidak kacak tetapi manis. Rambutnya lurus sahaja dengan mata separuh bundar. Wajah tipikal lelaki Melayu dengan kulit sawo matang.
   Tidak juga kacak atau sasa bagai bintang filem Hollywood. Ali Syukri manisnya tersendiri. Manis lelaki Melayu. Bapanya Ali Syukri itu keturunan Siam jadi sedikit sebanyak dia tentu menyalin genetik si bapa. Siam ini pula bukan semuanya putih gebu. Ada juga yang kelabu asap dan hitam manis kulitnya. Amboi, jauh sungguh menganalisis, aku tersengih sendiri.
  Aduhai Delaila Azilah Ahmad Lokman, hati sudah tersentuhkah dengan senyum Ali Syukri? Atau hati tersentuh dengan gelak nakal Ali Syukri petang tadi ? Hinggakan warna kulit dan iras wajahnya pun kau perhati? Hati mengusik. Aku tersengih lagi. Aih, kalaulah orang tahu!
  Kelmarin dulu bukan main malu bila dia mentertawakan aku. Hari ini aneh sungguh, aku terbayang-bayang wajah yang tiba-tiba membuat hati terasa  bergoncang! Aku berbisik sendiri.
  Tapi ya, lelaki itu punya senyum yang tenang. Matanya tatkala memandang bersinar terang.
  Kala pandangan bertembung, dia tersenyum malu menunduk kemudian memalingkan wajah ke arah lain.
   Aku  pula waktu itu darah rasa berderau, dan hati menjadi sangat aneh,  bergetar-getar. Dada pun ikut berdebar. Ia satu pengalaman yang aneh dan luar biasa.
  Adakah itu rasanya jatuh cinta?
 Amboi amboi Delaila… gedik ya! Kata hati membuat aku  senyum sendiri dalam gelap malam. Sejak jam 9.30 malam tadi, aku sudah masuk ke bilik. Sudah memadamkan lampu dan berbaring dalam gelap. Ada cahaya berjalur menerobos masuk ke bilik. Cahaya dari langsir yang tidak rapi dijatuhkan.
    Getar dalam hati sejak petang tadi tidak surut. Getar yang luar biasa.  Getar yang menimbul gelisah tetapi dalam masa yang sama membangkit  debur ria dalam sukma.
   Aku jadi malu sendiri. Bagaimana jika getaran itu hanya ada dalam hati ku seorang? Perasankah ini ?
   Aku cuba memejamkan mata. Wajah anak saudara Mak Som itu cuba dihalau pergi tapi gagal.
  Makin kejap menutup mata, makin besar pula bayang wajah Ali Syukri . Aduhai hati, inikah cinta ? Ha, jangan nak menggedik ya! Hati bagai menjawab.
  “Kalau lulus ni sambung di Nottingham ya ? Eh, sama pulak dengan si Ali Syukri ni,” kata-kata Mak Ngah petang tadi terngiang-ngiang.
 Usai membasuh pinggan kelmarin, emak memanggil aku ke ruang tamu. Mak Som dan keluarga kakaknya  masih di situ. Aduhai, aku lambat-lambat saja mematuhi arahan emak.
  Hanya selepas emak menjengilkan biji matanya, memberi isyarat ‘Jangan degillah anak oi”  barulah aku  menurut.
    Sepatutnya waktu ini  aku pulang terus saja ke rumah. Adegan termalu-malu ketika membasuh pinggan tadi belum habis.
  Namun emak yang tidak tahu cerita bertegas memanggil juga. Kata emak, ruang tamu itu perlu dikemas. Pinggan kotor perlu dikutip dan nasi tumpah perlu dibersihkan.
  “Cepat tolong berkemas, cepatlah balik..,” emak berbisik bila melihat wajah aku yang kelat.
  Hendak menolak terasa akan mengecilkan hati emak. Kak Jun, kakak sulung sibuk menyusun pinggan mangkuk yang usai dibasuh petang  tadi. Hendak tak hendak, aku tiada pilihan, turutkan juga kehendak emak.
   Waktu aku terbongkok-bongkok mengutip sisa nasi tumpah, mengutip pinggan gulai dibawa ke dapur, ketika itulah Mak Som membuka cerita.   Dan aku mencuri-curi dengar perbualan itu walau tangan sibuk mengemas.
  Dari perbualan itu, kakak  Mak Som yang membahasakan dirinya Mak Ngah dengan aku  memberitahu Ali Syukri sedang menuntut di tahun pertama fakulti perubatan di Universiti Nottingham.
   Dan Mak Som itu pun sibuk memberitahu anak jirannya, si Laila  inilah yang sedang sibuk mengutip sisa nasi di lantai, insya allah, jika tiada aral pertengahan tahun ini akan terbang ke universiti yang sama, menuntut dalam di Jabatan Budaya, Filem dan Media, Fakulti Seni.
  “Laila, cita-citanya besar. Cita-citanya mahu meneroka dunia,”
  Begitulah Mak Som mempromosi aku petang ini. Emak yang duduk sama bertempoh berbual dengan Mak Ngah anggukkan kepala sahaja. Emak dan Mak Ngah pun sudah kenal lama, jadi emak bagai tidak hairan sangat Mak Som memuji-muji.
  Aku pula yang tiba-tiba rasa malu. Rasa mahu keluar saja dari ruang tamu itu. Geli geleman pula rasanya dipromosi bagai barang di kaunter kosmetik!
  “Sama belajar nanti di Nottingham, carilah Ali Syukri ya Laila. Buat kawan. Duduk jauh dari mak bapa, kena pandai berkawan,” Mak Ngah tiba-tiba menyebut namaku, membuat langkahku untuk ke dapur terhenti.
  “Laila, marilah sini. Berkenalan dengan Ali Syukri . Nanti senang bila di sana. Bila hendak perginya ?,”
   “Emmm.. emm…,” aku tergagap-gagap hendak menjawab. Rasa malu pada Ali Syukri masih belum luntur.
   “Eh, budak ini malu-malu pulak.. ha… ,” Mak Som pula yang becok bercerita begitu begini. Dan sudahnya aku ikut tenggelam dalam perbualan mereka sebelum berpeluang meminta diri.
   “Kalau ke Nottingham nanti, cari saya.. ,” sebelum pulang Ali Syukri menyerahkan kertas tisu merah dengan tulisan di atasnya. Dakwatnya sudah kembang tetapi masih  mampu dibaca.
  Di atas kertas tisu merah itu, ada nama tertulis, Ali Syukri . Ada e-mel dan alamat dan nombor telefon Notthingham. Ali Syukri siap menuliskan dia pelajar tahun satu fakulti perubatan.
  Adegan menyerahkan kertas tisu merah keras dengan dakwat kembang itu terlihat oleh Kak Jun. Dan, sejak itu tiada modal lain. Kak Jun asyik hendak mengenakan aku dengan Ali Syukri .
   Mulanya aku cuak juga. Tapi orang sudah bagi, ambil sajalah. Kalau tak hendak buang saja di belakang dia nanti. Itu yang terlintas dalam fikiran saat itu.
   Namun, lain pula jadinya. Kertas tisu merah dengan dakwat kembang itulah yang membuatkan aku  tidak mampu tidur lena malam ini. Malam yang terasa berbahang.
   Ali Syukri kelihatan sungguh sopan. Menyalami dan mendakap Mak Som dan Pak Abbas sebelum pulang. Menyalami emak dan abah juga. Sempat pula dia menyerahkan kertas tisu merah sebelum masuk ke dalam kereta.
  Dan imej itu yang terlekat dalam mindaku hingga kini. Aduhai!
  Kata Mak Som, Ali Syukri anak lelaki tunggal Mak Ngah. Kakak Ali Syukri , Nuri Said Nursi seorang guru di sekolah antarabangsa di Putrajaya. Nuri sudah berkahwin tetapi belum beranak.
  “Mungkin dapat tempias Mak Somnya ini, dah lama kahwin tapi tak beranak-anak juga,” amboi tajamnya sindiran Mak Ngah. Namun Mak Som menyambut dengan ketawa sahaja.
  Mereka adik beradik, tentu sangat memahami antara satu sama lain justeru Mak Som tentunya tidak ambil hati dan tidak ambil peduli dengan sindiran begitu lagi.
   “Jumpa di Notthingham Laila!,” Ali Syukri melambai dari kereta. aku senyum. Dalam hati ada getar menggila. Getar yang terbawa-bawa hingga ke malam dan membuatkan tidur tidak lena.







Thursday, September 19, 2013

Bab 1 ~ Lelaki Januari





Bab 1

Seingatku,  kami benar-benar bahagia untuk 60 hari. Selepas itu, hari-hari yang berlalu adalah medan peperangan kata. Peperangan rasa.

  Sepatutnya kami boleh saja berbahagia. Kahwin dalam usia muda, kemudian hidup  berdua jauh di tanah Eropah kami hanya ada antara satu sama lain.

  Tapi sungguhlah tuhan itu yang menentukan perancangan manusia. Walau sehebat mana perancangan kita, pada akhirnya segala keputusan terletak pada-Nya jua.

  Jadual kuliah di sebelah siang kalau pun ia tidak upaya menemukan kami, di sebelah malam boleh saja kami duduk-duduk berdua.

  Tapi tidak, kami sibuk entah apa yang dikejar. Hingga ada kala berpapasan di pintu perpustakaan utama kami hanya berbalas senyum atau menjelir lidah manja sesama kami. Tanda mesra kononnya!

  Atau hanya melambai dari jauh, hanya menyapa hai dan hoi lalu pergi. Ada kala hanya bagai rakan senegara bukan suami isteri.

  Perkenalan kami sebenarnya bermula dalam satu pertemuan di rumah Mak Som, jiran sebelah rumah. Jiran yang sangat akrab dan ada kala lebih dianggap sebagai emak saudara bukan sebagai jiran.

   Dan perkenalan aku dan Ali Syukri sebenarnya sangat manis dan mengamit aura romantis. Perkenalan pada bulan Januari.

  Seingatku, ia terjadi waktu usia masih remaja, ketika baharu berusia belasan tahun. Aku masih dalam kelas persediaan ke seberang laut dan sedang menghitung-hitung hari keberangkatan.

   Aku memejamkan mata. Dalam gelap pandang, kenangan itu datang. Sungguh, kenangan itu tidak upaya dilupa walau sekelumit pun. Malah waktu ini, kenangan itu terlalu jelas terbayang, terpampang, terkenang. Kerap. Terlalu kerap. Rindukah aku pada Ali Syukri ?

  “Dah sampai pun anak dara orang sebelah ni,”

  Aku masih ingat senyum Mak Som yang lebar. Terlihat-lihat susunan giginya yang tidak lurus, bergigi taring tetapi menyerlah manis pada wajah itu.

  Aku terkenang hangatnya dakapan Mak Som waktu itu. Terasa-rasa kasih sayang  dan seluruh keikhlasan Mak Som mengalir ke urat saraf lewat pelukan itu, walau ia sudah bertahun-tahun berlalu.

   Aduhai, Mak Som  itu jiran yang baik dan sejak dulu pun  selalu saja dianggap bagai darah daging sendiri.

  “Jadi, apa khabar?,” mata Mak Som besar bersinar waktu memandang. Senyumnya tak surut. Manis dan menenangkan. Kedua-dua tangannya masih memegang bahuku, mesra.

  “Alhamdulillah..,”

  “KL Ipoh tak jauh, tak  penat pun naik keretapi kan?,” senyum Mak Som masih belum surut, makin merekah malah. Penat perjalanan dari Kuala Lumpur untuk dibawa balik semuanya ke Ipoh terasa hilang begitu sahaja dengan kemesraan Mak Som.

  Tadi, sebaik tiba di rumah abah menyambut dengan senyum. Kata abah, emak ada di rumah sebelah, rumah Mak Som. Mak Som membuat kenduri kesyukuran kerana suaminya Pak Abbas sudah mendapat kerakyatan Malaysia minggu lalu.

   Seingat ku, Pak Abbas adalah lelaki Mesir yang jatuh hati dengan Mak Som ketika mereka sama-sama menuntut di Kaherah. Santun gadis Melayu memikat hati Pak Abbas sejak 30 tahun lalu. Cinta dan kasih gadis Melayu membuat Pak Abbas akur untuk meninggalkan tanah tumpah darahnya untuk bersama Mak Som.

   Untuk aku, Pak Abbas dan Mak Som adalah kisah cinta klasik yang sangat romantis. Meskipun keduanya tidak dikurniakan anak tetapi cinta antara mereka segar dan mewangi bagai dulu-dulu.

  “Mak Laila di sana,”

   Mak Som menunding jari pada emak yang sibuk membentang seprah di tengah ruang tamu. Ada piring kecil gulai dalam talam yang menanti untuk disusun atas seprah itu. Aku angguk dan berlalu.

  “Mak,”

  “Laila, bila sampai?,”

   “Baru sekejap tadi,” aku cepat mendakap emak, menyalami dan mencium tangan emak. Kemudian, piring kecil gulai dan mangkuk nasi diatur atas seprah yang sudah dibentang emak.

 “Siapa nak makan ni mak?,”

  “Kitalah..,”

  “Kalau kita, buat nasi kandar dah la.. apa nak teruk beno nak bentang seprah?,”

    Emak menyengih.
    Kemudian, aku terdengar suara derai tawa Mak Som di hadapan pintu. Sambil duduk bersila menghadap hidangan yang tersedia, aku memandang ke arah Mak Som.

  Mak Som sedang memegang kedua-dua tangan seorang perempuan yang jauh lebih bergaya daripadanya. Perempuan bertudung krim dengan baju sedondon dan berantai labuh dengan gaya ala-ala datin itu pun kelihatan mesra dan sibuk ketawa bersulam-sulam bicara.

  Agaknya kawan lama Mak Som. Agaknya saudara Mak Som. Atau kakak Mak Som. Eh, lantaklah bukan ada kena mengena dengan aku pun. Aku  pantas terus menceduk nasi.

   Bau masak lemak daging salai membuka selera. Ulam pegaga, ulam kacang botol dengan sambung nyawa yang tersusun kemas dalam piring sudah memanggil-manggil. Bau sambal belacan dan ikan masin menusuk-nusuk hidung. Hai, mana boleh tahan!

   Waktu nasi panas sudah masuk ke pinggan, emak mencuit dari belakang.
   “Hoi anak dara, cer sabo sikit… tunggu le orang lain. Tadi bukan main cakap nak buat nasi kando… ni orang dah hidang pandai pulak bukak sila ya,”

 Aku  tersengih-sengih. Bau nasi panas menggoda-goda selera.

  “Kejap, ajak kakak  Mak Som tu makan sekali,” mak tunding jari pada perempuan ala-ala mak datin di hadapan pintu. Betullah tu, kakak Mak Som! Hati separuh bersorak.

  Lama menunggu, borak Mak Som dan kakaknya itu tidak pun bernoktah. Emak pun tumpang bercerita sama, bagai sudah lama saling mengenal.

   Aku jadi malas menunggu.  Perut pun sudah berbunyi-bunyi. Bau nasi panas dan gulai lemak daging salai aduh.. menusuk masuk ke hidung. Tidak boleh jadi ni! 

  Aku tidak peduli tentang Mak Som dan kakaknya itu lagi.Dengan bismillah aku khusyuk menikmati nasi panas dengan ikan masin berulam kacang botol. Walau pedas  sambal belacan tidak terkira, aku bedal juga.

   Nikmatnya tuhan saja yang tahu!

  “Amboi, sedap pulun nasi sampai tak sempat nak ngajak orang,” Mak Som menyapa. Aku spontan angkat kepala.

   Mulut masih mengunyah nasi, pipi kembung macam ikan buntal. Namun waktu itu, mataku bertembung pandang dengan seorang remaja lelaki yang hampir sebaya di belakang Mak Som, yang sedang tersengih-sengih memandang ke arah aku.

  “Anak dara buruk kelaku,” mak sempat mencubit peha, hanya untuk membuat aku tersedak. Bersembur nasi dari dalam mulut. Ya Allah, mata sudah berair.  aku cepat-cepat capai gelas air di di hadapan.

  Dalam kalut tersedak dan menahan malu, aku terdengar suara orang ketawa. Suara orang itulah bercampur-campur dengan tawa kecil kakak Mak Som.

  Emak berwajah masam. Tentu saja menahan marah, anak perempuannya ini tidak beradab. Mak Som hanya senyum.

  Selera makan mati. Rasa malu menerpa tiba-tiba. Si  budak lelaki itu tidak habis-habis ketawanya.

  Malunya aku ! Terasa pipi sudah luruh.

   Emak pun, kalau hendak marah, kalau hendak cubit janganlah waktu mulut penuh. Lebih parah, budak lelaki itu dan emaknya – kakak Mak Som duduk bersila pula berdekatan aku pula.  Menarik pinggan, selamba menceduk nasi.

  Aduhai, aku pula yang terasa malu sungguh-sungguh!  Perlahan-lahan aku bangun dari sila. Pinggan porselin putih bunga kangkung yang masih berbaki dengan nasi diangkatnya di bawa ke dapur. Sumpah, aku masih lapar. Lapar sungguh. Tetapi kerana malu, aku perlu pergi dari situ.

  Ketika kaki melangkah ke dapur, aku masih terdengar sisa tawa si lelaki itu sambil ada suara melarangnya ketawa lagi.

  ‘Malu dia… dia tu anak dara tak baik ketawakan begitu,”

  Malunya tuhan saja yang tahu!

  Eiii… kalau boleh aku tidak ingin lagi bertembung dengan kakak Mak Som dan anak lelakinya itu.

  Aku sudah berjanji dengan diri sendiri, aku tidak mahu lagi ke rumah Mak Som selagi majlis belum langsai.

  Tapi apakan daya, emak langsung tidak mahu faham! Emak minta pula aku tolong Mak Som basuh pinggan di bahagian dapur kering di rumah Mak Som.

  Alahai mak, nanti-nantilah orang tolong!

  Sekarang Laila!

  Emak guna kuasa veto. Aku tiada hujah hendak melawan. Walau wajah kelat, arahan emak bagai arahan jeneral angkatan perang. Mesti buat!

   Alahai, Mak Som ni pun satu bukan hendak buat catering! Kan senang, lepas kenduri semua siap,” sempat aku  membebel. Emak menjeling tajam membuat aku terdiam.

   “Kalau buat catering tiada semangat ukhwah dan persaudaraannya, tak ada sesi gelak dan usik mengusiknya,” emak membalas sesudah jeling tajamnya mendiamkan aku.

   Dan sudahnya, aku  terperuk di dapur menghadap timbunan pinggan mangkuk kotor.

   Nasib baik ada Kak Dayana, jiran di hadapan rumah. Kak Dayana orangnya cekap membuat kerja dapur. Pantas dan cepat. Selalu saja emak memuji Kak Dayana.

  Sambil bersembang-sembang dan usik mengusik dengan Kak Dayana, tidak sedar pinggan kotor yang bertimbun langsai dibasuh.

  “Pinggan ni nak letak mana?,” tawa ku terhenti tiba-tiba. Remaja lelaki yang sakan mentertawakannya  tadi berdiri tegak menghadapnya. Tangan kanannya kotor dengan sisa makanan, tangan kirinya menghulurkan pinggan kotor.

  Ya Allah.. sungguh.. aku  terasa seluruh dirinya cair waktu lelaki itu tersenyum, waktu mata bertentang. Malu sungguh-sungguh!

   Ketawanya tadi terngiang-ngiang lagi. Kerja-kerja membasuh pinggan terhenti tiba-tiba. Aku bakai terpukau,  asyik memandang buih-buih sabun dalam besen.

  “Bagi pada akak,” suara Kak Dayana menusuk ke telinga. Dan kemudian aku melihat dari bayang air yang sedikit kelam, pinggan kotor dihulur dan dia melangkah pergi.

  “Amboi macam dilanggar garuda kan? Senyap sunyi..,” Kak Dayana tergelak-gelak. aku masih terdiam. Rasa malu masih belum mahu pergi.






















Wednesday, September 11, 2013

Novel Baru + Lelaki Januari



Saya selalu terkedu apabila ada yang bertanya begini, bila novel baru ?

Aduyai, jenuh juga hendak menjawab. Ada tu ada tapi macam tiada. Saya masih lagi dalam usaha menghasilkan novel baru. Masih banyak lagi perlu dibaiki. Insya allah, tahun hadapan mungkin ada. Mungkin sajalah :)

Jujurnya, saya dah setahun tersangkut pada manuskrip yang satu ini. Setahun buntu macam mana hendak panjangkan lagi sebab manuskrip asal pendek.

Mujur juga ada kawan novelis yang baik hati, ha.. yang  terkenal dengan e-novel Guys Next Door (GND) itu, sudi memberi petua. * Terima kasih untuk Che Rose * 

Insya allah, lepas ini mesti boleh siapkan manuskrip yang sudah setahun tersadai itu. Insya allah, insya allah.

Manuskrip itu tentu saja, sambungan yang dulu, Lelaki Januari.

Nanti ya, saya paste sedikit di sini, buat dibaca bersama : D

Jumpa lagi ! 
 


Aku kira kisah pertemuan itu habis di situ. Tapi, nyata dia adalah kemanisan masa lalu yang tidak upaya dilupa. Walau dia hadir sekejap tetapi dia bagai kekal dalam ingatan dan tidak pernah upaya pudar. Setiap kata dan gelak tawanya dirakam kemas dan tidak hilang dalam arus kehidupan.

Benar dia istimewa. Dan mungkin kerana itu pagi tadi, aku bermimpikan dia.

Waktu aku terjaga, hujan lebat menyambut, kabus melitup pandangan dan terasa sejuk teramat. Telefon bimbit yang diletakkan di hujung kepala diambil, sudah jam 7 pagi. Aduh, terlepas solat subuh gara-gara mengenang kemanisan masa lalu itu !

Aku bingkas bangun dari katil. Penghawa dingin ditutup. Sejuk menyerkup seluruh kamar dan menusuk hingga ke tulang hitam. Ada titik-titik hujan melekat di jendela kaca dan ada kesan wap juga di situ.

Aku buka daun jendela, tempias hujan mencuri masuk. Bunyi hujan yang lebat bagai mahu meruntuhkan langit. Pantas aku merapatkan kembali daun jendela. Tempias hujan sempat menampar pipi.

Lampu dipasang, bilik terang. Namun aku kembali berbaring di katil. Aku teringatkan mimpi sebentar tadi, mimpi selepas waktu subuh. Mimpi pada jam 7 pagi. Dia teringatkan kemanisan mimpi itu. Aku teringatkan lelaki di dalam mimpi itu.

Ali Syukri , apa khabar ?

Sejak pertemuan minggu lalu, aku jadi gila bayang. Aku terpandang Ali Syukri di mana-mana. Dan hari ini, dia menyusup masuk dalam mimpi.

Aku pejam mata. Pejam serapat mungkin seraya menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Mengapa perlu termimpi-mimpi akan lelaki ini?

Tapi sampai bila hidup harus ditentukan seorang lelaki? Sampai bila kisah hidup perempuan itu perlu bertunjangkan lelaki?

Apakah manusia bernama perempuan itu tidak boleh hidup dan tidak boleh berjaya tanpa lelaki?

Aku terlihat ada bayang-bayang kecil warna warni dalam pekat gelap pandangan. Ku buka mata pantas. Serentak itu, telefon tangannya berbunyi.

Lihat, hidup tidak pernah sunyi tanpa Ali Syukri di sisi, bukan?

Telefon yang menjerit-jerit tadi mati sendiri. Aku tahu siapa yang menelefon, dan sengaja biarkan saja ia berdering. Nanti, tentu sahaja telefon itu akan menjerit lagi seperti selalunya. Si pemanggil memang jarang cepat berputus asa.

Aku menuju ke jendela, tangan pantas menyingkap langsir. Waktu langsir tingkap disingkap, cahaya matahari berebut masuk. Hujan sudah teduh. Langit Brooklyn Heights tempat aku menumpang teduh, masih basah dengan sisa hujan.

Lalu hujan itu bagai halangan-halangan dalam hidup. Apabila hujan teduh, matahari pun bersinar. Selebat mana hujan pun, ia pasti ada noktah. Dan seperti itulah hidup. Seteruk mana ujian, tetap ada sinar harapan di hujung jalan.

Hidup perlu positif. Hidup ini untuk membahagiakan diri sendiri. Hidup ini adalah perjuangan. Dan Laila, hidup perlu diteruskan ! Hati mengingatkan.

Dan berdering lagi telefon. Memang pemanggilnya jarang berputus asa. Dan hidup juga harus begitu, jangan cepat mengalah jangan mudah berputus asa. Aku menyimpulkan sambil mencapai telefon.

“Ya Kak Jun..,”

“Laila sayang, lembutkanlah hatimu dik.. untuk emak. Kasihan dia rindukan kamu,”

Air mataku luruh.

Bukanlah aku membelakangkan emak, meminggirkan emak dalam hidup ini. Tapi, aku tidak pasti

“Laila sudah buat keputusan? Laila balik ya ?,”

Aku tarik nafas perlahan. Mataku pejam rapat. Kak Jun membuat aku lebur dalam pertanyaan lewat pertanyaan.

Jujurnya, aku tidak pun mahu mencari jawabnya. Aku sudah tidak pernah memikirkan persoalan pulang lagi sejak 12 tahun lalu.

12 tahun yang menghiris hati. 12 tahun yang penuh resah. Tapi adilkah ketidakpulangan ini kepada emak? Kepada abah? Aku pejam mata.

Matahari pagi dari langit yang basah bagai jatuh ke kepalaku. Anginnya yang dingin itu bagai mencucuk hingga masuk ke dermis. Lalu aku menjadi terkurung, sejuk dan beku.

Untuk kesekian kalinya, selepas 12 tahun aku terfikir, bila mahu pulang Delaila Ahmad Lokman ?

“Emak sudah lama memaafkan,”

Kata-kata emak minggu lalu menusuk jauh ke sukma.

Hati sebak.

Hati menangis, sebenarnya.

Aku tahu emak sudah memaafkan. Abah pun, walau tidak pernah melafazkan yang serupa, aku pasti abah lama sudah memaafkan.

Hidup bukan hidup namanya jika tiada sepak terajangnya. Tiada duri dan ranjau. Hidup ini misteri Laila, itu yang selalu Kak Jun katakan. Kak Jun yang baik hati dan murah dengan senyum.

“Hati kalau dibiarkan dipenuhi dendam akan jadi kotor,” Kak Jun, selalu sahaja ada kata-kata hikmat.

* Lelaki Januari oleh Hafizah Iszahanid - Hak cipta terpelihara. Dilarang menyalin semula, menerbitkan dan apa saja aktiviti yang melanggar akta hak cipta.





Sunday, August 18, 2013

Tetamu. 18 Ogos 2013


 


 


Tetamu.

Kalaulah kamu tahu apa yang tertinggal oleh masa, kamu akan menangis.

Menangis untuk sebuah kasih sayang yang sudah lama kamu matikan.



http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130818/sa_01/Tetamu


Monday, August 5, 2013

Budaya Panjut

Di Semenanjung Malaysia ia disebut sebagai panjut, di Sarawak ia dikenal sebagai bertuntung tetapi ia tetap merujuk benda yang sama, pelita kecil yang menghias malam 27 Ramadan atau malam tujuh likur.

Meskipun ada yang menganggapnya sebagai amalan bidaah, namun bagi Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim Perak, Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin panjut atau pelita kecil yang dipasang pada malam 27 Ramadan dari sudut budayanya, bukan sekadar untuk meraikan kedatangan Syawal tetapi mempunyai sejarah tersendiri dalam perkembangan sosial masyarakat Melayu.


 “Hari ini kita mengenal pelita panjut yang moden dan mudah dinyalakan tetapi asalnya dulu ia diperbuat daripada buluh. Sumbunya besar dan apinya marak menerang malam. Dulu, sumbunya itu daripada tali guni yang dimasukkan pada penutup tin susu yang sudah dipotong dan diletakkan pada buluh, dikemaskan dengan tanah liat untuk memastikan ia tidak longgar. Biasanya buluh minyak dipilih kerana ia lebih lembut,”katanya.


 Tambah Dr Mohd Rosli, sebelum penggunaan panjut, orang Melayu dahulu kala menggunakan suluh dunia atau suluh daun nyiur yang diperbuat daripada pelepah daun kelapa yang kering. 


 “Ia juga disebut andang atau jamung. Zaman dulu tiada minyak tanah tiada gas, jadi andang ini dinyalakan dengan damar yang diperoleh daripada kayu meranti, cengal atau keruing. Jamung luas diamalkan oleh orang Melayu,”
 

 Malah dalam teks Sejarah Melayu, Bendahara Melaka Tun Perak menggerakkan strategi menentang cubaan Siam menawan Melaka dengan mengarahkan tenteranya mengikat jamung pada batang pokok di sepanjang pantai Melaka. Tentera Siam yang datang pada malam hari terkejut melihat banyaknya jamung yang menyala menanti mereka di pantai menyebabkan mereka berpatah balik ke Siam kerana menyangkakan seramai itu juga tentera yang menunggu.

 “Selain panjut, orang Melayu dahulu juga menggunakan tempurung yang disusun bertingkat dan teratur dengan ditengahnya ditebuk lubang bagi mudah menyusunnya pada sebatang tiang besi. Pada malam hari, ia dibakar dan apinya marak cantik menghias malam. Sayang sekali hari ini  budaya memasang pelita panjut pada malam 27 Ramadan semakin terhakis kerana ia dicemari dengan fitnah dan pandangan peribadi yang tidak benar. Budaya ini ditokok tambah dan diberi justifikasi yang salah,”
 

 Tambah Dr Mohd Rosli, sesetengah orang menuduh adat memasang pelita pada malam tujuh likur adalah ikutan dari amalan agama Hindu.
 

 “Cetek sungguh pandangan begitu kerana beranggapan cahaya dan pelita adalah amalan agama tertentu sedangkan orang Melayu pun menggunakan pelita dengan meluas kerana zaman dahulu mana ada elektrik. 

Pelita panjut buluh
digumpal selebar kuku
jika dibentang selebar alam
walau sebesar biji labu
langit dan bumi ada di dalam. 

Kita janganlah melihat pada yang tersurat saja, tapi kita harus lihat juga apa yang tersirat,”katanya.
 

 Tambahnya pandangan sebegini menyebabkan budaya Melayu semakin terhakis. Asalnya budaya memasang pelita panjut ini dibuat oleh ketua kampung, penghulu atau orang kuat penghulu. Ia sebagai isyarat pada penduduk kampung menjelangnya Syawal juga Ramadan.

 “Pada waktu itu, memasang panjut adalah kaedah komunikasi paling berkesan. Orang dulu pun  tidak tengok kalendar, bukan ada siaran berita atau laman sosial macam sekarang. Ketua kampung dahulu kala, zaman sebelum penjajahan mempunyai peranan yang penting. Semua sumber dari istana diberitahu kepada penghulu dan mereka yang akan menyampaikannya kepada orang kampung, pelita panjut adalah pemberitahuan tarikh permulaan puasa dan hari raya,”katanya.


 Apabila tarikh bermulanya Ramadan diketahui, pelita panjut juga dipasang. Perbezaannya kalau pada malam tujuh likur, tiga baris panjut dipasang kalau malam raya tujuh baris.


 Tambahnya penggunaan pelita panjut adalah isyarat komunikasi yang paling mudah yang bukan saja dibuat pada Aidilfitri tetapi juga Aidiladha. Memasang pelita panjut ini juga adalah cara permuafakatan yang akan mengeratkan lagi hubungan ahli keluarga atau sesama orang kampung.


 Pelita panjut meskipun tidak begitu popular di seluruh Malaysia tetapi di Perak dan Sarawak, pelita panjut menjadi sebahagian daripada budaya setempat bukan sahaja di Aidilfitri. Di Perak misalnya, panjut juga dipasang bagi meraikan perkahwinan diraja atau majlis ulang tahun sultan sementara di Sarawak Festival Bertuntung dimasukkan dalam kalendar kebudayaan negeri.


 “Semuanya terpulang pada kita, apa niat kita. Adakah untuk memeriahkan suasana Syawal yang berkunjung atau sebaliknya. Tidaklah kerana kita memasang panjut sampai melupakan ibadat dan melanggar syariat. Memasang panjut ini budaya Melayu. Miskinlah budaya kita kalau semua budaya itu dibuang, sangat merugikan. 


Sebelum mengajar banyaklah belajar
sebelum memberi contoh bersifatlah senonoh
sebelum memberi teladan betulkanlah badan
sebelum menasihati orang nasihatlah diri sendiri
 

Thursday, August 1, 2013

Cinta Suci Zahrana



Selepas Bumi Cinta, rasanya inilah naskhah yang baik dari Habiburrahman El Shirazy. Temanya juga meskipun masih tidak jauh dari persoalan keagamaan tetapi kemampuannya meneroka sudut pandang sepasang suami isteri yang gentar dengan anak perempuan yang meningkat usia tetapi masih bujang amat baik.
 
 Cinta Suci Zahrana mengangkat kisah pensyarah seni bina, Dewi Zahrana yang berjaya dalam akademik tetapi belum berkahwin meskipun usianya mencecah 34 tahun. Keputusannya untuk mendahulukan kerjaya membuatkan ibu dan bapanya gelisah. Mereka tambah  tertekan dengan pertanyaan dan sindiran masyarakat keliling meskipun Zahrana sendiri tidak peduli dengan kata-kata orang lain.

 Seperti biasa, tulisan Habiburrahman tebal dengan roh keIslaman, justeru watak Zahrana digambarkan meskipun terpelajar dia tetap taat kepada ibu bapanya. Zahrana kemudiannya membuka hatinya untuk berkahwin tetapi mahu mencari lelaki beriman biarpun tidak kaya. Ketika itulah dia diuji apabila ketua jabatannya di Universiti Universitas Mangunkar, Semarang tempat dia mengajar, Sukarman masuk meminang. Lelaki itu bagaimanapun rendah akhlaknya dan Zahrana tidak berminat.

 Penolakan lamaran itu bukan saja membuat hati bapanya, Munajat patah tetapi juga Sukarman. Malah Sukarman kerap menghantar pesanan ringkas berbaur ugutan. Zahrana juga dinasihatkan berhenti kerja sebelum dipecat.

 Kesungguhan Zahrana untuk memenuhi hajat bapanya yang terlalu ingin bermenantu, Zahrana akhirnya reda untuk dikahwinkan dengan seorang penjual keropok, Rahmat. Lelaki itu miskin harta tetapi tinggi akhlaknya. Zahrana sedia menerima Rahmat, bagaimanapun dia diduga apabila Rahmat meninggal dunia pada malam sebelum pernikahan berlangsung. Zahrana teruji dengan pemergian Rahmat tetapi akhirnya bertemu jodoh dengan Hassan, bekas pelajarnya di kampus.

 Cinta Suci Zahrana sebuah naskhah yang baik bersulam pengajaran dan seperti biasa, Habiburrahman memang dikenal dengan kisah cinta bersegi-segi seperti yang boleh dibaca dalam Ayat-Ayat Cinta dan Bumi Cinta. Bagaimanapun, siapa akhirnya yang berjaya menawan watak utama selalunya diluar jangkaan pembaca. 

 Tema yang dipilih Habiburrahman amat menarik bagaimana dia gagal untuk meneroka lebih jauh pergolakan dalam diri Zahrana sebagai perempuan lanjut usia yang akhirnya tunduk kepada tekanan dan desakan keluarga. Mungkin kerana Habiburrahman adalah pengarang lelaki, justeru watak Zahrana sedikit tidak adil kepada wanita berkerjaya yang masih sendiri.

 Naskhah ini juga sangat nipis jika dibandingkan dengan Bumi Cinta dan pengakhirannya kelihatan tergesa-gesa. Cinta Suci Zahrana sudah diterbitkan di Indonesia sekitar dua tahun lalu. Bagaimanapun ia hanya memasuki pasaran Malaysia awal tahun ini dengan naskhah terjemahan bahasa Melayu. Namun, sedikit mengecewakan terjemahan Cinta Suci Zahrana dalam bahasa Melayu tidak sempurna kerana pada beberapa bahagian, kelihatan lenggok Indonesia yang jelas terutama dialongnya dan beberapa perkataan Jawa yang tidak diterjemahkan.

Tuesday, July 30, 2013

Pancawarna





Ada tiga perkara utama apabila membicarakan tentang karya Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir; abstrak, warna dan falsafah. Tiga ciri itu menyebabkan Sharifah Fatimah tidak boleh ditinggalkan apabila menyebut tentang perkembangan dunia seni visual negara.


Sharifah Fatimah anak kelahiran Kedah merupakan antara pelukis wanita yang tekal berkarya. Seangkatan dengan Abd Latif Mohidin, Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Ibrahim Hussien dan Dr Jolly Koh, Sharifah Fatimah intim dengan tema abstrak dalam karya yang bersumberkan alam semula jadi.

“Saya sukakan sesuatu yang sukar kerana itu saya selesa menghasilkan karya sebegitu yang lebih dalam mesej dan tujuannya. Saya lebih cenderung melukiskan rentak terbangnya burung dari melukis bulu-bulu burung,”katanya.

Untuknya, melukis abstrak juga menjadi pilihan kerana realiti tidak wujud pada benda-benda material. Tujuan seni iu sendiri menjadikan benda lebih seni.

Justeru, memahami karya Sharifah Fatimah seseorang itu juga perlu tahu falsafahnya. Dalam satu artikel pamerannya, Sharifah Fatimah pernah menyebut, ketika masih menuntut di Institut Teknologi Mara (ITM - sekarang UiTM), ada pensyarah berkelulusan dari barat cuba mempengaruhi pelajar dengan nilai kebaratan yang dibawa.

Namun untuknya itu salah kerana setiap artis perlu ada jati diri. Pengalaman menuntut di Amerika banyak membentuk dirinya. Ketika itu dihujani persoalan dari dalam diri, siapa dirinya, mengapa dia dilahirkan. Kemudian, Sharifah Fatimah mula mencari diri, asal usul dan mula menelusuri naskhah kesusasteraan, falsafah dan teologi lantas menzahirkannya dalam karya.

Sharifah Fatimah selain melukis sebenarnya seorang penulis yang baik. Banyak puisi-puisinya mengiringi pameran catannya sekitar 1980-an. Justeru tidak salah apabila ramai pengkritik seni menyebut, memahami karya Sharifah Fatimah bukan hanya pada luaran sahaja tetapi juga setiap falsafah yang dibawa.

Meskipun dikenali dengan imej abstrak dan organik, perubahan bahantara terlihat dalam siri Touch The Earth dan Garden of The Heart apabila Sharifah Fatimah mula meneroka media baru dengan teknik tampalan, fabrik selain ‘modeling paste’. Dia mengakui perubahan itu berlaku sebagai penghargaan pada tradisi tenunan Melayu lama seperti telepok dan tekat.

Ini dapat dilihat dalam karya seperti ‘What is Above is like What is Below’ selain catan dengan nuansa keIslaman seperti Garden of Heart II dan siri Mihrab.

Sesuatu yang nyata, Sharifah Fatimah gemar bermain dengan warna terang, antaranya merah. Ketika ditanya apakah sebabnya, mungkin kerana dia seorang perempuan, Sharifah Fatimah terdiam seketika dan berkata, tidak juga.. “ada karya saya yang warna gelap. Mungkin pada ketika karya-karya yang berwarna terang itu saya terasa lebih bebas dari segi semangatnya,”

Meskipun berkarya sejak zaman kampus, Sharifah Fatimah giat mempromosikan seni visual sejak meninggalkan jawatan kurator di Balai Seni Visual Negara (BSVN) pada 1990. Sejak itu, dia tidak lagi menoleh ke belakang. Sharifah Fatimah bukan saja tekal berkarya tetapi meneruskan minatnya menyelidik tentang adat dan budaya Asia.

Himpunan karya Sharifah Fatimah sejak 1992 dikumpulkan dalam satu pameran, Pancawarna; Karya Pilihan 1990-2012 berlangsung sejak 3 Julai lalu hingga 13 Oktober di BSVN.


Terdapat 100 catan pilihan yang dibahagikan kepada lima siri utama, Touch The Garden (1992-1996), Midscape (1991-1993), Joy is The Theme (1997-2003), Garden of Heart (2005-2011) dan Celebration (2010-2012) menerusi Pameran Pancawarna Karya Pilihan 1990 - 2012..

   

Monday, July 15, 2013

Katakan Padaku



Katakan padaku

sejak puisi mengalir

sejak langit meratap

mengapa airmataku

terasa baru

bagai embun

terasa baru .



Burung rembang membuka sayap

daun daun menjadi lebih redup

aku lewat lagi berdayung didepanmu

kau siap lagi berdiri ditebing .



Katakan padaku

sajak malam menjelma

sajak maut menyentuh

mengapa sepi jiwamu

terasa baru

bagai pedihku

terasa baru .



Semua pohon menjadi sepohon disampingmu

semua detik menjadi sedetik dimatamu

sungai inipun terasa betapa gemuruh

menyambut semarak api dibahumu.


Latiff Mohidin.

Sunday, June 23, 2013

Jiwa yang Berjiwa


  • Antara pelukis yang berani dalam berekspresi, kerjanya halus dan teliti.
  • Mengikuti dengan rapat kerjayanya sebagai pelukis
  • Pameran solo ketiga

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...