Tuesday, March 14, 2017
Naskhah Yiyun Li di mata saya
![]() |
| Add caption |
Terlalu kerap pengarang China yang tinggal di
Amerika menulis tentang nostalgia kehidupan mereka di Tanah Besar, sambil
mencuit-cuit tentang politik negara itu yang dilihat sebagai serba tidak kena.
Ha Jin, Ma Jian malah Yan Lianke antara pengarang yang gemar merakamkan kisah
sedemikian.
Yiyun
Li menerusi
Kinder Than Solitude membawa latar yang hampir sama apabila merakamkan kisah
1990-an, setahun selepas terjadinya tragedi Tiananmen dan Revolusi Budaya yang
kemudian perlahan-lahan mengubah landskap politik China.
Bagaimanapun, Yiyun Li juga sangat bijak untuk tidak
mencipta klise apabila memilih untuk mengangkat soal kesepian, persahabatan dan
bagaimana sengsaranya jiwa dikejar sejarah silam meskipun memilih latar tahun
`panas.' Semua unsur itu berjaya dirangkulnya dalam sebuah
naskhah yang sederhana hebat. Bermula dengan kematian Shaoai
sesudah koma selama 20 tahun, Ruyu, Moran dan Boyang bagai menoktahkan
kesengsaraan peribadi kerana Shaoai diracun oleh seorang daripada mereka secara
tidak sengaja. Ia bermula ketika mereka masih remaja tetapi
Boyang mengambil keputusan menjaga Shaoai di Beijing sementara Ruyu dan Moran
yang mahu lari dari rasa bersalah itu menetap di Amerika Syarikat.
Gagal dalam percintaan Boyang,
meskipun menjaga Shaoai, ia tidak mengurangkan rasa bersalah terhadap apa yang
terjadi tambahan pula dia tidak bertuah dalam hubungan cinta meskipun kaya raya. Kehidupan
Ruyu dan Moran juga tidak bertuah berikutan kegagalan menjalinkan hubungan yang
sihat misalnya perkahwinan untuk mendapatkan taraf penduduk tetap akhirnya
berakhir dengan perceraian dan pekerjaan yang membosankan. Novel
ini dibuka dengan kematian Shaoai, yang kemudian membuka satu persatu sejarah
yang mengikat tiga watak utamanya dengan latar yang melompat-lompat antara
China dan Amerika.
Bagaimanapun, Yiyun Li berjaya untuk menimbulkan
persoalan dan debar sepanjang pembacaan siapakah sebenarnya yang meracun Shaoai
hingga gadis itu mengalami kegagalan otak. Untuk pembaca yang
sudah biasa membaca karya pengarang berasal dari China, Yiyun Li menawarkan
sesuatu yang berbeza berbanding kebanyakan pengarang China yang gemar
bernostalgia. Bagaimanapun, jika anda membaca untuk mendapatkan pengalaman
sejarah dan budaya China sebelum revolusi 1989, naskhah ini bukan pilihan yang
baik.
#Reviubukuyangsayabaca
Thursday, September 8, 2016
Tips Menulis Karya Kreatif
Bagaimana hendak memulakan karya?
Begini;
Bukan semua orang ditakdirkan punya magis dalam menulis karya kreatif. Magis maksudnya tanpa bimbingan formal, hanya mungkin dengan membaca dan minat karyanya tersiar dan menang pula hadiah sastera. ( dalam konteks sastera)
Atau, dia mampu tembus rumah penerbitan dengan karya pertama dan memikat hati pembaca.
Saya fikir yang punya magis ini sangat bertuah. Tapi yang tidak ada magis pun boleh juga berkarya.
Bagaimana?
1) Banyakkan membaca karya orang lain. Pilihlah karya yang baik. Baik ini sangat subjektif tetapi bergantunglah pada apa niat kita hendak menulis. Yang ini tepuk dada tanyalah selera.
2) Pelbagaikan genre bacaan. Kalau kita selama ini hanya membaca novel popular sahaja, alihkan pula baca buku yang sedikit berat - bukan dari isi padu bukunya tapi kandungannya selain jangan terikat pada karya kreatif saja. Bacalah juga buku non fiksyen.
3) Janganlah baru baca satu buku terus nak menulis, bacalah dua tiga buku. Saya pasti, kalau kita rajin membaca minat hendak menulis itu akan muncul tiba-tiba.
Ok, sudah banyak membaca, bila hendak menulis?
1) Tulis saja. Gabungan pembacaan dan pengalaman akan membantu anda menyiapkan semua karya. Kalau bimbang menyiapkan novel yang panjang dan tebal itu susah, mulakan dengan cerpen.
2) Tulis hal yang dekat dengan kita. Kalau cinta itu dekat dengan kita, tulis saja. Untuk permulaan dan motivasi tidak ada salahnya. Nanti bila dah pandai dan dah jemu automatik akan beralih tema. Sebab setiap penulis akan ada peningkatan dalam penulisannya.
3)Terinspirasi dengan karya orang lain pula akan menyebabkan kita hendak mengarang. Tidak salah kalau kita menulis karya yang 'inspired by" . Biasanya begitulah permulaan kebanyakan orang. Cuma kalau sudah masuk tiga buku masih lagi begitu, anda perlu cek semula misi dan visi.
Ok bagaimana ?
1) Mulakan dengan sinopsis cerita. Tuliskan dalam sehelai atau dua helai - ikut suka hati apa ringkasan cerita anda.
2) Mulakan dengan menulis rangka/plot. Kalau ada 30 bab, tuliskan rangka untuk 30 bab.
3) Bila mula menulis, masukkan saja apa yang mahu dalam setiap rangka yang disusun itu.
4) Ilmu bantu? Ok ini anda mulakan sebelum menulis. Misalnya kalau hendak tulis pasal Perang Teluk, bacalah tentangnya. Penyelidikan ini akan dimasukkan semasa anda menyiapkan karya.
5) Atau, boleh saja buat research sambil menulis. Maksudnya, waktu sedang menulis terfikir, oh perlu ada fakta ini, google dan gabungkan.
Berapa lama nak siap?
1) Ikut disiplin dan kemampuan anda. Ada yang boleh siap dalam 3 bulan, 6 bulan 9 bulan atau empat tahun.
Ehem.. saya siapkan Deru Angin dalam tempoh ENAM tahun termasuk reseach. Tetapi saya menyiapkan Bukan OrangOrang dalam masa SETAHUN sahaja.
Kalau Cerpen?
Hohoho.. ini lebih mudah. Sehari, seminggu pun boleh bergantung pada diri sendiri.
Ada yang boleh siapkan dalam tempoh 2 jam pun.
Tapi.. berapa lama hendak memeram idea ? Mungkin seminggu atau dua minggu, bergantung pada anda.
1) Tuliskan idea supaya tidak lupa.
2) Apabila idea sudah matang, mula menulis. Jika saya mungkin sesudah sebulan dua idea diperam dan nyaris tak basi, barulah saya boleh menuliskan. Tapi ada juga kadang kala idea spontan yang sekali duduk boleh disiapkan antaranya cerpen Istimewa yang saya tulis pada 2006.
Kursus penulisan?
Ya, kadang kala anda perlu ikuti untuk menambah pengetahuan dan cabang pembelajaran. Tapi bukanlah semua jurulatih penulisan itu penulis yang baik. Kadang kala mereka adalah jurulatih yang baik tapi bukan penulis yang baik. Sementara ada penulis yang baik tapi dia bukanlah jurulatih yang baik.
Tapi tidak salah untuk belajar kerana setiap orang ada ilmu, keunikan dan pengalaman yang pasti akan membantu yang lain.
Silalah menulis.
Di lain kali jika kaedah ini berjaya saya akan kongsikan pula tips menangani writers block ye.. :)
Tuesday, December 8, 2015
Secangkir Kopi
* Puisi ini tersiar dalam Dewan Budaya 2015
(bulannya saya tak pasti sebab saya cuai kali ini untuk failing)
(bulannya saya tak pasti sebab saya cuai kali ini untuk failing)
* Puisi kedua yang tersiar untuk tahun 2015
* Saya fikir 2016 adalah tahun untuk saya meneroka puisi selepas 'penat' dengan prosa
* Mungkin tidak, mungkin ya..
Secawan Kopi Hitam Likat
Secawan kopi yang hitam likat menunggu di meja dengan tanya
Apakah nikmat yang dicari dalam hitam legam warnaku ?
Bukankah secawan teh dengan warna terang dan harum aroma lebih sempurna menemani hari mu?
Secawan kopi yang pekat likat mengharum ruang dengan panas dan gelora
seperti seorang anak muda yang padat ghairahnya
tapi sisi gelapnya hanya akan terasa waktu jarum jam melontar ke akhir usia
Secawan kopi hitam mampu menyelak kemanusiaan
mempamer keburukan
seperti kaffein yang menyusutkan sel montok tubuh badan
Dewan Budaya, 2015.
Terima kasih editornya Tuan Armin !
Wednesday, April 22, 2015
Bukan OrangOrang.
Saya tidak tahu apa yang hendak ditulis sesudah beberapa bulan Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH diumumkan. Saya tidak tahu apa isu, apa tema dan entah bagaimana rupa manuskrip yang harus saya tuliskan.
Apatah lagi ketika itu saya dihambat kecewa apabila Nan Yang, novel yang memenangi HSKU 2013 gagal untuk terbit pada waktunya. (Sepatutnya ia terbit pada September 2014).
Tidak lama selepas itu saya ditugaskan ke Taiwan. Bersama-sama dalam rombongan itu adalah pengarang mapan yang saya panggil Apai Ricky. Apai banyak bercerita dengan hampir semua ahli rombongan kami tentang novelnya yang sudah siap separuh tetapi belum mampu disudahkan. Saya jadi teruja dengan karya belum siap Apai apatah lagi Apai menuliskan kisah tentang kehidupannya, tentang bapanya dan susur galur keluarganya.
Meskipun begitu, adakah saya mahu menulis kisah yang sama dengan Apai? Saya langsung berfikir, dengan masa yang singkat (hanya tinggal beberapa bulan untuk tiba ke garisan penamat), saya tidak boleh berlama-lama untuk membuat penyelidikan.
Jadi apa yang akan saya tulis jika mahu ikut serta dalam sayembara kali ini? Saya tidak tahu dan sepanjang masa ‘tidak tahu’ itu saya banyak membaca karya orang lain. Saya membaca karya fiksyen, non-fiksyen dan akhirnya saya tergugah dengan karya Semenanjung Menangis oleh Ariff Mohamad.
Untuk saya, novel itu membawa cerita besar tetapi ia hanya berada di permukaan. Ia tidak masuk ke dalam dan saya bertanya kepada Ariff, mengapa tidak masuk jauh menelusuri erti reformasi itu? Ariff memberikan jawapan yang kemudiannya mencetuskan inspirasi kepada saya.
Jadi mengapa tidak, saya saja yang menuliskan ?
Kisah Apai, kisah Semenanjung Menangis kemudiannya bersatu dengan kekecewaan saya berikutan Nan Yang yang gagal terbit (ketika itu). Semua penyelidikan yang bersisa daripada Nan Yang saya kumpulkan dan saya memulakan Bukan OrangOrang.
Jika Nan Yang mengangkat latar tahun 1937, Bukan OrangOrang adalah kisah Mo, Midah, Qi dan Zara pada masa kini. Saya tidak menolak jika ada pembaca yang mengatakan Bukan OrangOrang adalah sekuel kepada Nan Yang. Ia mempunyai nuansa yang hampir sama tetapi berbicara tentang isu yang berbeza.
Saya fikir, kombinasi itu sudah mampu membawa saya ke garis penamat, tetapi tidak. Sebulan sebelum tarikh tutup, saya masih belum mampu menghasilkan manuskrip penuh. Karya saya tersangkut pada 150 halaman sedangkan syarat penyertaan ialah paling kurang 200 halaman. Saya hampir saja menyerah kalah, sebelum memutuskan untuk berbincang dengan rakan penulis tentang manuskrip yang sedang saya tulis.
Memang ada pengarang yang gemar berkongsi apa yang sedang mereka kerjakan kepada rakan penulis lain tetapi saya tidak suka berbuat demikian. Saya lebih selesa mengharungi kegetiran mengarang itu sendirian, tetapi, Bukan OrangOrang mengubah kebiasaan itu. Saya perlu bercakap dengan kawan-kawan yang saya percaya bagi membuka kebuntuan fikiran.
Nasihat mereka mudah, bacalah buku lain. Tinggalkan buku yang sedang dibaca sekarang dan terokailah perkara baru. Jika sebelum ini saya gemar mengulit karya pengarang dari Tanah Besar, saya kemudiannya beralih kepada pengarang Jepun.
Saya memilih untuk membaca karya Yoko Ogawa dan beberapa buku bukan fiksyen yang menyentuh tentang sejarah dan budaya. Namun, masih juga saya gagal untuk mencari inspirasi untuk menyelesaikan Bukan OrangOrang.
Saya kembali mengulit Waiting, karya Ha Jin yang beberapa ketika saya tinggalkan dengan alasan untuk membuang kebiasaan. Tapi aneh, Waiting memberi saya jawapan yang dicari. Jika anda membaca Bukan OrangOrang dan melihat pecahan ceritanya, jujurnya saya mendapat inspirasi daripada Waiting.
Seminggu sebelum tarikh tamat, Bukan OrangOrang saya emelkan kepada sekretariat dan semuanya berakhir dengan baik, alhamdulillah. Berada dalam kedudukan 10 terbaik untuk dua genre, cerpen dan novel, bersaing pula dengan nama-nama besar dalam dunia sastera Malaysia, saya sangat bersyukur dan berterima kasih.
end.
Tuesday, March 10, 2015
Mac 2015
Kepercayaan Editor Dewan Sastera sangat saya hargai. Terima kasih daun keladi.
Semoga perkongsian di Dewan Sastera Mac 2015 bermanafaat.
Tersisip di dalam naskhah DS bulan ini sebuah cerpen dan puisi. Saya ini masih lagi belajar menulis puisi. Bukan Asmaradanta adalah puisi yang saya tulis dengan bantuan suntingan dan penambahbaikan oleh kawan-kawan penulis.
Terima kasih untuk kawan-kawan yang sentiasa ada masa untuk saya, sudi mengkritik dan menegur hingga terhasilnya Bukan Asmaradanta,
Terlalu asyik dengan cerpen dan novel, menulis puisi adalah satu seksaan yang panjang walaupun baris-barisnya kontot saja. Hati Kami, cerpen pertama untuk tahun ini juga sebahagian muatan DS bulan ini.
Selamat Menikmati Dewan Sastera, Mac 2015.
Bukan Asmaradanta.
(catatan memahami Simone de Beauvoir)
Simone, rona asmaradanta yang kau lukiskan
pada naskhah mencetak penindasan dan pengkhianatan
tidak mampu menghapus saksi
meskipun atas nama peribumi
untuk sebuah kefahaman,
mari aku khabarkan lelaki itu masih lelaki\
walau merentas evolusi
dan perempuan masih perempuan
yang kekal meletak akal di pangkal hati,
mengemudi seluruh nurani,
meracuni urat nadi.
Simone, hanya aku mungkin
yang pesimis dengan lelaki
sedang kau
sudah lama belajar berdamai dengan diri.
Wednesday, December 10, 2014
Hadiah Sastera Darul Ridzuan dan Deru Angin.
Penutup tahun yang manis, HSDR 2014.
Saya mengambil masa yang lama untuk menyudahkan Deru Angin, cubaan pertama menulis novel serius selepas beberapa novel yang saya hasilkan sebelum ini walaupun tidaklah terlalu serius tetapi juga bukan terlalu popular sifatnya.
Saya tidak pernah memikirkan ke mana Deru Angin membawa saya. Ketika menghasilkannya, saya hanya mahu berkongsi apa yang saya percaya dan kalau ia ibarat kanvas yang kosong, sekadar mahu mencorakkan mengikut warna yang saya suka.
Diterbitkan pada 2012 oleh UPND, Deru Angin membawa saya melihat dunia penulisan dengan pandangan yang tidak pernah saya tahu.

Enam tahun mungkin masa yang lama tetapi untuk sebuah naskhah bertajuk Deru Angin, saya berterima kasih kerana Allah tidak memberi saya kekuatan hati untuk menghantarnya ke mana-mana penerbitan sebelum tempoh itu. Allah yang maha mengetahui hikmah di setiap satu kejadian.
Dalam tempoh enam tahun itu, saya berjaya menghasilkan tiga novel lain. Kala Hujan Menitis, Andainya ku Kembali dan Sehiris Bulan.
Saya percaya penghasilan dan penerbitan tiga novel sebelum itu memberi kekuatan dan keyakinan diri yang luar biasa kepada saya. Langsung memberi kekuatan untuk saya menyemak semula Deru Angin dan menghantarnya untuk dinilai panel HSKU.
Dua tahun selepas penerbitan Deru Angin, naskhah ini membawa saya ke pentas hadiah utama HSKU 2011, Anugerah PNM-RTM 2012 dan terkini ia membawa saya ke pentas HSDR, Hadiah Sastera Darul Ridzuan 2014.
Allah yang maha mengetahui, Allah yang memiliki hari esok dan tiada daya kita mengetahui apa-apa pun untuk esok yang misteri tanpa izin-Nya.
Tuesday, September 23, 2014
Monday, June 16, 2014
Books dedicated to Daddy | theSundaily
HAFIZAH Iszahanid’s first short story Anis was published when she was 16 and it won her Bank Rakyat’s Hadiah Sastera Siswa.
Her short story focuses on a politician who is embarrassed about his handicap child and ties to hide her from the world. To date, Hafizah, 38, has written more than 20 short stories and six novels. The senior journalist who is attached to a literary desk at a Malay daily has grabbed several prestigious awards such as Hadiah Sastera Berunsur Islam in 2005 and in 2011, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan in 2009 and in 2011 and Sayembara Fiksyen Sains UTM–Utusan in 2011.
Currently, Hafizah is working on her seventh novel that explores the world of journalism. To commemorate Father’s Day which falls on June 15, she was asked to pick five Malay novels that portray fatherhood at its best. Here are her choices:
► Senjakala (Baharuddin Kahar)
Kinto was a famous hunter. When he grew older, he gave up hunting for a quiet life as a farmer. However, when his daughter contracts a deadly disease and craves for deer meat during the last few days of her life, Kinto who loves his daughter dearly, goes back to hunting. After several trials and tribulations, he manages to get his deer but unfortunately, his daughter dies before she could taste it.
“I cried when I read this novel for the first time,” says Hafizah, who added that it was a touching story of the strength of a father’s love.
► Perang Sangkil (Akiya)
This story is loosely based on little known historical fact as well as word of mouth account on slavery, rape and murder of the orang asli community during the late 19th century. The story centres on Dirik, a father figure for his community of orang asli in Perak, who were constantly attacked by a group called Rawa. The women were raped by these thugs while the men were kidnapped and sold as slaves. In this story, Dirik goes against all odds to protect his people and daughters from rape and slavery.
► Hari- Hari Terakhir Seorang Seniman (Anwar Ridhwan)
Pak Hassan is a well known Panglipur Lara (story teller), whose fame fades and career comes to a standstill with the introduction of the cinema and television. He struggles to revive his career and tries to persuade his children to continue his trade but no one shows an interest.
“The national laureate tells the story in a way that will break your heart,” she says.
► Seorang Tua Di kaki Gunung (Azizi Abdullah)
Tun Ya dreams of building a traditional Malay house and his plans are opposed by his city-dwelling children who find it a waste of time and effort. They refused to help him but the stubborn old man is determined to make this dream come true on his own.
“It is about the conflicts between a father and his children as well as tradition versus modernity,” she says.
► Tunggul-Tunggul Gerigis (SN Shahnon Ahmad)
Su Usul is distraught that his two sons can’t get along because they have different political ideologies. One son supports a political party that runs the government and his other son supports the opposition. The ruling party abused their powers and is corrupted. The opposition is no better. They misuse the religion to gain supports.
“The national laureate has creatively weaved a political story from a father’s perspective in this novel.
“Reading it, you can feel the pain and sadness of Su Usul as he witnesses how politics and discord are slowly but surely ripping his family apart.”
http://www.thesundaily.my/news/1075408
Tuesday, February 18, 2014
Fiksyen sains
Menulis fiksyen sains untuk saya sangat susah. Saya pernah mencubanya pada 2011 dan memang sangat payah untuk menyudahkannya. Mujurnya, manuskrip itu memaut hati juri dan menerima saguhati Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Kumpulan Utusan-UTM.
Susahnya, kerana saya tidak bernafas dan berfikir sebagai saintis. Mujurnya juga saya punya pengalaman menulis berita dan rencana sekitar sains dan teknologi selama sebelas tahun.
Kali ini, apabila Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Kumpulan Utusan-UTM membuka pintu seluas-luasnya, hati teringin sangat ingin menyertainya tetapi akal mengingatkan kepenatannya.
Untuk penulis yang berani mengharung sayembara ini, tahniah didahulukan.
Tuesday, February 4, 2014
Manuskrip Belum Bertajuk.
Bagaimana untuk memulakan kata-kata, kalau kita sebenarnya tidak tahu di mana cerita bermula? Dalam hati, terasa seluruh jiwa sebenarnya sudah terjerut dengan rasa, tapi aneh hingga saat ini tidak tahu apa sebenarnya rasa itu.
Kepala terasa berpinar-pinar dan hati bagai sudah hancur berkeping-keping. Kesedihan dan seorang aku, bagai sudah menjadi satu. Aneh, waktu melihat kipas berputar-putar di siling, terasa tubir mata sudah hangat.
Manusia mudah saja tersentuh hati apabila usia sudah melewati 30-an. Dan aku, seorang lelaki perkasa sudah bisa menangis kerana hati yang tersentuh.
Semuanya kerana kamu, ya kamu!
*
Subscribe to:
Posts (Atom)
Bukan Wanita Biasa
KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera. Mei 11, 2020 09:00 +08 | Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...
-
Isu yang dibawa dalam novel Perang Sangkil tulisan Akiya ini adalah isu yang sangat besar. Ia adalah kisah yang tercicir dalam put...
-
Kepercayaan Editor Dewan Sastera sangat saya hargai. Terima kasih daun keladi. Semoga perkongsian di Dewan Sastera Mac 2015 bermanafa...








