Sunday, June 1, 2008

Untuk Suamiku

Woman Lying in a Hospital Bed Image: © Helen King/CORBIS Collection: CometStandard RM Photographer: Helen King




Untuk Suamiku
Oleh : Hafizah Iszahanid

Effa mengenggam tangan suaminya kejap. Tangan itu semakin sejuk kebelakangan ini. Kesejukan itu kadang kala membuatkan tubuh kurus Effa menggigil. Effa tahu, kesejukan selalu dikaitkan dengan kematian. Suhu badan akan jatuh bermula saat kematian, menjadi sejuk dan makin sejuk.
Effa renung suaminya yang sedang lena. Matanya terkatup rapat dan dadanya berombak-ombak. Lelaki yang dikahwininya sejak dua tahun lalu sedang derita. Effa tahu dia menderita. Tetapi Effa tidak tahu berapa berat penderitaannya. Kerana Effa tidak berupaya merasainya lewat riak wajah atau kuntum senyum lelaki itu.
Kata doktor, suaminya derita kerana Lymphangioleiomyomatosis (LAM). Kata doktor, ia masalah paru-paru yang jarang berlaku. LAM memperlihatkan sel otot `menawan' paru-paru, laluan pernafasan, salur darah dan salur limfa.
Kerana LAM, lelaki itu sudah terlantar di katil hospital sejak empat bulan lalu. Effa tidak tahu apa itu LAM. Tapi kata doktor LAM menyebabkan paru-paru lelaki itu ibarat span bocor yang langsung tidak boleh memerangkap oksigen.


"Ia sangat sakit. Ia sangat sukar tetapi suami awak masih mampu tersenyum. Balaslah senyumannya penuh ikhlas dan kasih sayang kerana mungkin awak tidak akan melihat senyum itu lagi,"

Doktor yang merawat suaminya memberitahu hal itu malam tadi. Malam sewaktu suaminya tiba-tiba menjadi sangat lemah dan mengelupur kesakitan.

"Masa kian suntuk. LAM sangat kronik. Tiada ubat Effa, hanya pemindahan organ jalan penyelesaian. Dia perlu organ baru Fa. Tapi, awak tahukan senarai menunggu lebih panjang dari senarai penderma?,"

Effa mengangguk-angguk dengan linangan air mata. Dia terbayang jika tiba saatnya dia harus melepaskan lelaki itu pergi, adakah dia mampu?
Lelaki itu dikenalinya kerana kebaikannya. Effa menghuni rumah anak yatim sejak usianya lapan tahun. Bapanya entah ke mana. Manakala ibu meninggal dunia ketika melahirkannya. Kerana terbeban dengan kehadiran Effa atau mungkin tertekan dengan kematian isteri, bapa menyerahkannya kepada ibu saudaranya sebelum bapa menjadi kelasi dan belayar merentasi laut tanpa pulang-pulang lagi.
Effa kemudiannya ditempatkan di rumah anak yatim apabila ibu saudaranya mahu berkahwin dan tidak mampu menjaga Effa. Kisah sedih itu tidak mahu Effa ingat dan kenang selepas bertemu suaminya. Suaminya lelaki budiman yang kerap berkunjung ke rumah anak-anak yatim yang dihuni Effa.


~ Majalah Jelita, Jun 2008

Saturday, April 5, 2008

Gadis Kecil

Flower Fairy on Indian Paintbrush Wildflowers Image:© Buddy Mays/Corbis Collection: DocumentaryStandard RM
Photographer: Buddy Mays
Gadis Kecil
Oleh: Hafizah Iszahanid
~ Dewan Sastera, April 2008


Saya terlupa di mana disimpan salinan cerpen yang ini. Puas selongkar thumb drive tapi tak jumpa juga. Nasib baik ada simpan copy Dewan Sastera April 2008.





Monday, February 4, 2008

Doktor Cinta

Woman working from home Image: © Fancy/Veer/CorbisCollection: PancyStandard RF


DOKTOR CINTA
Oleh: HAFIZAH ISZAHANID

Your Doctor Love – Hey, tahu bagaimana hendak menawan hati lelaki? Senyum dengan lebih mesra, telatah lebih manja (tapi jangan sampai mengada-ngada pula ya!) dan yang penting nampak intelek juga!
Dimana mahu mencari bakal si jantung hati? Emm… perpustakaan, kelab (kalau di sekolah bukankah banyak kelab dan persatuan?) atau guna khidmat orang tengah.
Semoga bahagia dan selamat membaca, bulan ini saya hidangkan khabar cinta penuh romantis sempena bulan cinta dan kasih sayang, menjelang 14 Februari.

***


Kisah cinta kami berakhir di sini. Berakhir selepas rumahtangga yang dibina hasil pertemuan dalam laman sembang di internet pada 1995 itu menghadiahkan kami seorang puteri. Pearl namanya.
Kami sengaja namakan anak dara yang lahir pada Mei 1996 itu Pearl sebab aku sukakan segala-galanya tentang mutiara. Rantai mutiara, subang mutiara malah kahwin pun dengan lelaki Pulau Mutiara. Hendak namakan anak dara kami itu Mutiara, terlalu kampung! Justeru Pearl dipilih sebab payah diduga apa agamanya, apa bangsanya.
Sengaja kami mahu orang berteka teki kerana bagi kami yang sudah didedahkan ilmu dan falsafah barat, apa yang penting bukan pengetahuan orang tentang agama yang kita anuti tetapi bagaimana amalan kita dengan Rabul Izzati. Lagipun di akhirat kelak, Allah melihat amal ibadat bukan harta atau rupa.
Kami mahu Pearl lahir, menguntum dan mengharum sebagai simbol generasi baru Malaysia. Kami mahu Pearl dikenali sebagai bangsa Malaysia. Tapi kami tidak ditakdirkan bersama untuk membaja pembesaran Pearl. Sebab, si lelaki yang menyambut salam tok kadi 10 tahun lalu, yang belajarnya di Universiti Brown, sudah berpaling cinta pada perempuan berusia 21 tahun, si pengacara rancangan hiburan di stesyen televisyen berbayar.
Bagaimana lelakiku mengenalinya? Mudah saja, kerana lelaki ku itu bekerja sebagai Ketua Pengarang di akhbar harian berbahasa Inggeris terkemuka. Mereka yang baru naik dalam bidang pengacaraan, lakonan atau nyanyian seperti Cik X memang mudah menghimpit-himpit manusia seperti lelakiku itu.
Aku sudah menghidu sebenarnya tentang godaan dan jeling- jeling manja antara mereka berdua. Tapi aku tidak peduli. Lagipun aku isteri, dalam Islam berdosa isteri meminta cerai. Aku hanya boleh menasihat dan berdoa supaya rumah tangga kami tidak berantakan. Walaupun aku ini bekerja di majalah fesyen, aku ini dikategorikan sebagai wanita Melayu up to date, bertudung fesyen ranggi tapi aku masih tahu hukum hakam. Justeru, siapalah aku waktu doaku tidak dimakbulkan dan nasihatku tidak dilayan.


~ Majalah Nur, Februari 2008
Antologi Cerpen Kacak Jelita 2008

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...