Thursday, October 3, 2013

Bab 3 - Lelaki Januari





Bab 3



Seingatku, genap dua minggu selepas pertemuan di rumah Mak Som dulu, Mak Ngah datang lagi. Kali ini Mak Ngah datang terus ke rumah. Mak Ngah datang dengan Mak Som dan Pak Abbas. Suami Mak Ngah yang mesra membahasakan dirinya Pak Ngah kelihatan berseri-seri wajahnya.

  Kedatangan rombongan Mak Ngah itu mengundang gelisah bukan kepalang di hati aku.

 Sungguh, aku  tidak upaya lupa waktu Pak Ngah membuka bicara. Membuka kata dengan pantun yang indah sekali.

  

Kapal belayar dari Juddah

Hendak menuju ke negeri china

Siang malam berhati gundah

Hendak memetik setangkai bunga (zainal Abidin  Bakar 1984:257)



  Dan itulah pantun yang memulakan segala-galanya.   Dengan latar belakang keluarga Ali Syukri dan Mak Som yang sudah lama dikenali, emak dan abah senang hati melepaskan aku kepada Ali Syukri .

   Cuma Kak Jun, sedikit terkilan. Kata Kak Jun, Laila masih muda mengapa perlu terkejar-kejar hendak berkahwin.

  Nazir, adik bongsu yang masih di bangku sekolah itu pun pandai menyindir, katanya walaupun Kak Laila yang dikenalnya lasak dan kelihatan berdikari tetapi cepat sangat hendak menyerah hati pada lelaki.

  Namun, bila mabuk bercinta mana hendak mendengar pendapat orang? Cita-cita hendak menjadi wartawan lasak seperti Cal McAffery,  cepat terhakis dari hati. 

   “Cal McAffrey ?,” aku ingat kedut pada dahi Kak Jun waktu mereka duduk berdua bercerita tentang cita-cita.

  Dulu, aku pernah bercita-cita hendak menjadi seperti Cal McAffery seperti watak dalam filem State of Play.  Teruja benar aku dengan filem  political thriller itu.

   Konspirasi ahli kongres dan taat setia kawan lama selain etika kewartawanan dalam State of Play seakan mendominasi seluruh jiwa usai menonton filem itu.

   Lalu, aku becita-cita apabila tamat pengajian nanti, aku mahu terus memohon jawatan sebagai wartawan. Kononnya mahu jadi sehebat Rusell Crowe dalam State of Play!

   Ialah, watak Cal McAffery itu adalah watak wartawan ideal yang mengorek kebenaran tanpa gentar. Dalam diam, aku sungguh mengidamkan menjadi wartawan yang sebegitu!

     “Emmm… baru nak masuk 19 tahun dah nak kahwin…Cal McAffery-lah sangat!,” aku ingat juga pada sengih Kak Jun saat itu.

    Emak sebenarnya tidak begitu setuju dengan peminangan itu apatah lagi dengan Kak Jun yang tidak habis-habis menyindir membuatkan aku termalu-malu juga sesekali.

    Namun mungkin mengenangkan aku akan kembara ke Nottingham tidak lama lagi dan tidak jauh pula dari Ali Syukri nanti, emak merelakan. Lebih dari itu, emak bagai tahu apa yang ada jauh dalam hati ku.

   “Emak tahu Laila sukakan Ali Syukri bukan?,” emak lembut sahaja suaranya waktu kami sama-sama mengemas dapur. Membersihkan sinki dan menyusun pinggan mangkuk.

   Setiap satu pinggan itu emak lap bagi kering dan emak susun di lantai. Aku yang akan menyusunnya rapi dalam almari. Pinggan porselin bunga kangkung warna merah hijau itu sudah puluhan tahun usianya. Pinggan yang diwarisi dari opah.

  Lalu, emak teliti sungguh dengan setiap satu koleksi pinggan bunga kangkung itu. Dari koleksi pinggan, mangkuk nasi, mangkuk gulai, sudu, teko malah hingga acuan kuih lompang milik emak semuanya dari koleksi corak bunga kangkung.

    Aku masih terdiam dengan soalan emak. Pinggan yang disusun emak di lantai disusun teliti dalam almari. Setiap satunya disusun penuh berhati-hati.

   “Delaila…,” suara emak membuatkan ada letupan letupan kecil meletus dalam dada ku. Aduhai, aku jadi malu sungguh!

  Usia ku baharu hendak mencecah 19 tahun dan sesungguhnya aku boleh memahami jika emak belum sedia melepaskan anak daranya yang seorang ini kepada Ali Syukri yang berusia 20 tahun.

   Kak Jun pun belum apa-apa lagi! Belum ada calon boyfriend pun ketika itu.

  “Ralat sebenarnya hendak serahkan anak dara kita yang bijak dan cantik pada orang awal-awal sangat,” emak melafazkan kata-kata itu sebelum lama terjeda. Sungguh, waktu emak diam begitu, aku menjadi sangat resah.

  “Tapi mak tahu, Laila sukakan dia bukan?,”

   Emak sambung ayat. Resah yang bergumpal dalam dada hilang seketika, namun aku masih diam.  Diamnya aku bagai alam sunyi sepi. Macam dilanggar garuda, seperti kata Kak Dayana dulu.

  Aku malu sungguh bila tiba bab-bab cerita soal hati ini. Tapi ialah, kalau dengan emak sendiri pun malu dengan siapa lagi hendak cerita ? Silap hari bulan, emak ingat aku tidak setuju pula dengan pinangan Ali Syukri.

  Amboi Laila, gedik ya ! hati bagai mentertawa.

  “Laila cakaplah jangan malu dengan emak. Kalau tidak mahu, boleh diberitahu tidak mahu pada Mak Ngah,”

   Alamak, mahu cakap apa ya? Mahu ke tidak? Mahu ke tidak ? Hati ku bergetar. Aku tersengih-sengih sendiri. Apa nak cakap ni?

   Tidak lama dulu selepas kenduri di rumah Mak Som, ada juga Ali Syukri bertandang. Datang sendiri naik bas, naik keretapi dan memandu sendiri.

  Kerap sangat bertandang ke rumah Mak Som, emak upaya meneka bukan sebenarnya Mak Som yang ingin dilawat!

  Mak Som pun setiap kali Ali Syukri berkunjung, suka benar dia memasak itu ini. Dan suka juga menyuruh Ali Syukri yang menghantar. Kalau menjelang tengahari menghantar lauk pauk, menjelang petang disuruhnya Ali Syukri menghantar kuih muih. Kuih ketayap lah, seri muka lah, tepung talam lah.

  Emak dan abah boleh meneka taktik anak beranak itu. Masakan tidak, berbelas tahun berjiran, Mak Som hanya rajin menghantar juadah menjelang Ramadan. Sedangkan kini, Rejab pun belum tapi rajinnya Mak Som memasak bagai memasang jerat.

 Aku pun terlebih rajin juga. Ada sahaja hendak dimasak, hendak dihantar ke rumah Mak Som ! Sampaikan bubur gandum masak hangit pun hendak juga disedekah. Ishh.. kalau diingat-ingatkan malu sungguh. Tapi waktu itu memang perasaan menenggelamkan akal.

    “Mahu ya?,” emak mencuit pinggangku. Ketawa kecil membubarkan resah dan debar dalam dada.  Menerbangkan kenangan.

   Ya, perkenalan di rumah Mak Som meskipun tidak lama namun ia bukan sebab untuk  menidakkan keinginan dalam hati kami. Kenal sekejap tidak maksudnya tidak serius tidak maksudnya tidak ikhlas. 

“Laila sungguh-sungguh mahu bernikah dengan Ali Syukri?,” usai tawa, emak bertanya lagi. Kali ini mata emak besar memandang. Aku pula tidak berani mengangkat muka, bertentang mata dengan emak.  Rasa malu, gusar dan sedikit-sedikit gentar masuk ke hati, ke urat nadi.

  “Gatal sangat nak kahwin, kecik lagi awak tu..,” Kak Jun yang lalu lalang sempat ‘melepaskan’ bom  katanya.  Tapi aku masih diam. Masih tidak tahu apa jawapan sebenarnya.

  Kalau ditanya sukakah aku pada Ali Syukri, aku perlu jujur pada diri sendiri. Ya, aku sukakan dia.

  Jika Ali Syukri itu bertandang ke rumah Mak Som, dia gemar sekali berjogging di hadapan tasik yang menghadap belakang rumah ku. Dan aku pula menjadi ‘pengendap’ paling setia.

  Di belakang rumahku dan rumah Mak Som juga, ada tasik dengan hijaunya air dek biasan pokok-pokok yang menyeluruhi bukit bukau di Tambun.  Dan bayang-bayang pokok itu terbias pada permukaan tasik. Memang tasik itu tempat kebanyakan warga taman ini berjogging.

  Bukan hanya pagi, tapi petang dan ada kala malam juga.

  Dan pagi itu, waktu aku membuka jendela, di bawah sinar matahari jam 9 aku terlihat Ali Syukri di laman belakang. Dia berlari anak sebelum berhenti seketika membuat regangan. Aku tidak pasti sudah berada lama dia di laman belakang, menghadap tasik.

  Tapi aku melihat baju T putihnya kuyup dengan peluh dan wajahnya juga basah dengan peluh mengalir. Ali Syukri di wajah pagi sungguh mempersonakan. Dan saat itu, dadaku bergetar hebat. 

   Aku termanggu di jendela asyik melihatnya. Dia, lelaki dengan mata sedikit sepet tetapi berhidung mancung, berkulit sawo matang dengan rambut pendek lurus terjaga. Dia manis dipandang dan dia membuat dadaku berdegup kencang walau sesekali terkenang.

  “Laila, bagaimana?,” emak menegur, menarik  aku keluar dari kenangan. Aku senyum, malu. Kalaulah emak tahu apa yang ada dalam ingatan ku saat itu!

    “Fikir baik-baik, Laila  masih muda. Emak atau abah jauh sekali hendak memaksa. Fikir yang terbaik untuk diri sebab Laila ni budak lagi. Kalau Laila boleh janji dengan mak pengajian Laila tidak terganggu dengan perkahwinan itu nanti, emak sudah rasa lega Laila,”

  Aku masih diam.

  “Jangan diam Laila, emak hendak tahu apa yang ada dalam hati Laila” emak bersuara tegas, mencuit paha ku.

  Jeda.  Memikir yang patut dilafaz. Jeda lagi.

  “Delaila..,”

   Aku tarik nafas panjang. Wajah Ali Syukri terbayang.

  “Kalau emak dan abah izinkan, tentu saja peminangan itu perlu diterima,” aku lafaz perlahan. Aku malu dengan kata-kata sendiri, tapi aku perlu luahkan apa yang ada dalam hati.

   “Laila benar-benar suka Ali Syukri?,”

   Angguk.

  “Sungguh benar suka?,”

   Angguk lagi.

   Ya, aku sukakan Ali Syukri. Dan aku juga sayangkan agama dan cintakan tuhan yang satu. Sebab antara kami saling menyukai dan menyintai, Ali Syukri mencadangkan kami bernikah saja.

  Kebetulan kami satu universiti nanti. Kami duduk berdua duduk jauh dari keluarga.  Kami mahu yang terbaik untuk semua.

   “Semoga Ali Syukri yang mampu memberi bahagia,” emak mengucapkan perlahan. Hatiku tersentuh. Dalam.

   Terima kasih emak.

  Begitulah kalau sudah tertulis jodoh. Keluarga aku tidak menolak. Aku sebenarnya yang tidak menolak. Aku akui sukakan Ali Syukri  itu. Aku jatuh hati pada tenang di wajahnya dan sinar matanya yang memancar terang.

   Aku ingat ketika itu, aku mengharapkan bintang-bintang di langit akan selalu bersinar terang untuk kami dan bulan akan jatuh ke riba untuk kami.

  Namun ya, harapan itu hanya harapan. Realitinya, hidup berdua bermaksud mencantumkan dua pemikiran menjadi sealiran, mengabungkan dua manusia menjadi satu jiwa.

   Dan untuk ku, ia bukan sangat mudah!


 

Monday, September 23, 2013

Bab 2 - Lelaki Januari




Bab 2

Namanya Ali Syukri bin Said Nursi. Pandangan matanya tenang tetapi jauh menusuk. Dia tidak kacak tetapi manis. Rambutnya lurus sahaja dengan mata separuh bundar. Wajah tipikal lelaki Melayu dengan kulit sawo matang.
   Tidak juga kacak atau sasa bagai bintang filem Hollywood. Ali Syukri manisnya tersendiri. Manis lelaki Melayu. Bapanya Ali Syukri itu keturunan Siam jadi sedikit sebanyak dia tentu menyalin genetik si bapa. Siam ini pula bukan semuanya putih gebu. Ada juga yang kelabu asap dan hitam manis kulitnya. Amboi, jauh sungguh menganalisis, aku tersengih sendiri.
  Aduhai Delaila Azilah Ahmad Lokman, hati sudah tersentuhkah dengan senyum Ali Syukri? Atau hati tersentuh dengan gelak nakal Ali Syukri petang tadi ? Hinggakan warna kulit dan iras wajahnya pun kau perhati? Hati mengusik. Aku tersengih lagi. Aih, kalaulah orang tahu!
  Kelmarin dulu bukan main malu bila dia mentertawakan aku. Hari ini aneh sungguh, aku terbayang-bayang wajah yang tiba-tiba membuat hati terasa  bergoncang! Aku berbisik sendiri.
  Tapi ya, lelaki itu punya senyum yang tenang. Matanya tatkala memandang bersinar terang.
  Kala pandangan bertembung, dia tersenyum malu menunduk kemudian memalingkan wajah ke arah lain.
   Aku  pula waktu itu darah rasa berderau, dan hati menjadi sangat aneh,  bergetar-getar. Dada pun ikut berdebar. Ia satu pengalaman yang aneh dan luar biasa.
  Adakah itu rasanya jatuh cinta?
 Amboi amboi Delaila… gedik ya! Kata hati membuat aku  senyum sendiri dalam gelap malam. Sejak jam 9.30 malam tadi, aku sudah masuk ke bilik. Sudah memadamkan lampu dan berbaring dalam gelap. Ada cahaya berjalur menerobos masuk ke bilik. Cahaya dari langsir yang tidak rapi dijatuhkan.
    Getar dalam hati sejak petang tadi tidak surut. Getar yang luar biasa.  Getar yang menimbul gelisah tetapi dalam masa yang sama membangkit  debur ria dalam sukma.
   Aku jadi malu sendiri. Bagaimana jika getaran itu hanya ada dalam hati ku seorang? Perasankah ini ?
   Aku cuba memejamkan mata. Wajah anak saudara Mak Som itu cuba dihalau pergi tapi gagal.
  Makin kejap menutup mata, makin besar pula bayang wajah Ali Syukri . Aduhai hati, inikah cinta ? Ha, jangan nak menggedik ya! Hati bagai menjawab.
  “Kalau lulus ni sambung di Nottingham ya ? Eh, sama pulak dengan si Ali Syukri ni,” kata-kata Mak Ngah petang tadi terngiang-ngiang.
 Usai membasuh pinggan kelmarin, emak memanggil aku ke ruang tamu. Mak Som dan keluarga kakaknya  masih di situ. Aduhai, aku lambat-lambat saja mematuhi arahan emak.
  Hanya selepas emak menjengilkan biji matanya, memberi isyarat ‘Jangan degillah anak oi”  barulah aku  menurut.
    Sepatutnya waktu ini  aku pulang terus saja ke rumah. Adegan termalu-malu ketika membasuh pinggan tadi belum habis.
  Namun emak yang tidak tahu cerita bertegas memanggil juga. Kata emak, ruang tamu itu perlu dikemas. Pinggan kotor perlu dikutip dan nasi tumpah perlu dibersihkan.
  “Cepat tolong berkemas, cepatlah balik..,” emak berbisik bila melihat wajah aku yang kelat.
  Hendak menolak terasa akan mengecilkan hati emak. Kak Jun, kakak sulung sibuk menyusun pinggan mangkuk yang usai dibasuh petang  tadi. Hendak tak hendak, aku tiada pilihan, turutkan juga kehendak emak.
   Waktu aku terbongkok-bongkok mengutip sisa nasi tumpah, mengutip pinggan gulai dibawa ke dapur, ketika itulah Mak Som membuka cerita.   Dan aku mencuri-curi dengar perbualan itu walau tangan sibuk mengemas.
  Dari perbualan itu, kakak  Mak Som yang membahasakan dirinya Mak Ngah dengan aku  memberitahu Ali Syukri sedang menuntut di tahun pertama fakulti perubatan di Universiti Nottingham.
   Dan Mak Som itu pun sibuk memberitahu anak jirannya, si Laila  inilah yang sedang sibuk mengutip sisa nasi di lantai, insya allah, jika tiada aral pertengahan tahun ini akan terbang ke universiti yang sama, menuntut dalam di Jabatan Budaya, Filem dan Media, Fakulti Seni.
  “Laila, cita-citanya besar. Cita-citanya mahu meneroka dunia,”
  Begitulah Mak Som mempromosi aku petang ini. Emak yang duduk sama bertempoh berbual dengan Mak Ngah anggukkan kepala sahaja. Emak dan Mak Ngah pun sudah kenal lama, jadi emak bagai tidak hairan sangat Mak Som memuji-muji.
  Aku pula yang tiba-tiba rasa malu. Rasa mahu keluar saja dari ruang tamu itu. Geli geleman pula rasanya dipromosi bagai barang di kaunter kosmetik!
  “Sama belajar nanti di Nottingham, carilah Ali Syukri ya Laila. Buat kawan. Duduk jauh dari mak bapa, kena pandai berkawan,” Mak Ngah tiba-tiba menyebut namaku, membuat langkahku untuk ke dapur terhenti.
  “Laila, marilah sini. Berkenalan dengan Ali Syukri . Nanti senang bila di sana. Bila hendak perginya ?,”
   “Emmm.. emm…,” aku tergagap-gagap hendak menjawab. Rasa malu pada Ali Syukri masih belum luntur.
   “Eh, budak ini malu-malu pulak.. ha… ,” Mak Som pula yang becok bercerita begitu begini. Dan sudahnya aku ikut tenggelam dalam perbualan mereka sebelum berpeluang meminta diri.
   “Kalau ke Nottingham nanti, cari saya.. ,” sebelum pulang Ali Syukri menyerahkan kertas tisu merah dengan tulisan di atasnya. Dakwatnya sudah kembang tetapi masih  mampu dibaca.
  Di atas kertas tisu merah itu, ada nama tertulis, Ali Syukri . Ada e-mel dan alamat dan nombor telefon Notthingham. Ali Syukri siap menuliskan dia pelajar tahun satu fakulti perubatan.
  Adegan menyerahkan kertas tisu merah keras dengan dakwat kembang itu terlihat oleh Kak Jun. Dan, sejak itu tiada modal lain. Kak Jun asyik hendak mengenakan aku dengan Ali Syukri .
   Mulanya aku cuak juga. Tapi orang sudah bagi, ambil sajalah. Kalau tak hendak buang saja di belakang dia nanti. Itu yang terlintas dalam fikiran saat itu.
   Namun, lain pula jadinya. Kertas tisu merah dengan dakwat kembang itulah yang membuatkan aku  tidak mampu tidur lena malam ini. Malam yang terasa berbahang.
   Ali Syukri kelihatan sungguh sopan. Menyalami dan mendakap Mak Som dan Pak Abbas sebelum pulang. Menyalami emak dan abah juga. Sempat pula dia menyerahkan kertas tisu merah sebelum masuk ke dalam kereta.
  Dan imej itu yang terlekat dalam mindaku hingga kini. Aduhai!
  Kata Mak Som, Ali Syukri anak lelaki tunggal Mak Ngah. Kakak Ali Syukri , Nuri Said Nursi seorang guru di sekolah antarabangsa di Putrajaya. Nuri sudah berkahwin tetapi belum beranak.
  “Mungkin dapat tempias Mak Somnya ini, dah lama kahwin tapi tak beranak-anak juga,” amboi tajamnya sindiran Mak Ngah. Namun Mak Som menyambut dengan ketawa sahaja.
  Mereka adik beradik, tentu sangat memahami antara satu sama lain justeru Mak Som tentunya tidak ambil hati dan tidak ambil peduli dengan sindiran begitu lagi.
   “Jumpa di Notthingham Laila!,” Ali Syukri melambai dari kereta. aku senyum. Dalam hati ada getar menggila. Getar yang terbawa-bawa hingga ke malam dan membuatkan tidur tidak lena.







Thursday, September 19, 2013

Bab 1 ~ Lelaki Januari





Bab 1

Seingatku,  kami benar-benar bahagia untuk 60 hari. Selepas itu, hari-hari yang berlalu adalah medan peperangan kata. Peperangan rasa.

  Sepatutnya kami boleh saja berbahagia. Kahwin dalam usia muda, kemudian hidup  berdua jauh di tanah Eropah kami hanya ada antara satu sama lain.

  Tapi sungguhlah tuhan itu yang menentukan perancangan manusia. Walau sehebat mana perancangan kita, pada akhirnya segala keputusan terletak pada-Nya jua.

  Jadual kuliah di sebelah siang kalau pun ia tidak upaya menemukan kami, di sebelah malam boleh saja kami duduk-duduk berdua.

  Tapi tidak, kami sibuk entah apa yang dikejar. Hingga ada kala berpapasan di pintu perpustakaan utama kami hanya berbalas senyum atau menjelir lidah manja sesama kami. Tanda mesra kononnya!

  Atau hanya melambai dari jauh, hanya menyapa hai dan hoi lalu pergi. Ada kala hanya bagai rakan senegara bukan suami isteri.

  Perkenalan kami sebenarnya bermula dalam satu pertemuan di rumah Mak Som, jiran sebelah rumah. Jiran yang sangat akrab dan ada kala lebih dianggap sebagai emak saudara bukan sebagai jiran.

   Dan perkenalan aku dan Ali Syukri sebenarnya sangat manis dan mengamit aura romantis. Perkenalan pada bulan Januari.

  Seingatku, ia terjadi waktu usia masih remaja, ketika baharu berusia belasan tahun. Aku masih dalam kelas persediaan ke seberang laut dan sedang menghitung-hitung hari keberangkatan.

   Aku memejamkan mata. Dalam gelap pandang, kenangan itu datang. Sungguh, kenangan itu tidak upaya dilupa walau sekelumit pun. Malah waktu ini, kenangan itu terlalu jelas terbayang, terpampang, terkenang. Kerap. Terlalu kerap. Rindukah aku pada Ali Syukri ?

  “Dah sampai pun anak dara orang sebelah ni,”

  Aku masih ingat senyum Mak Som yang lebar. Terlihat-lihat susunan giginya yang tidak lurus, bergigi taring tetapi menyerlah manis pada wajah itu.

  Aku terkenang hangatnya dakapan Mak Som waktu itu. Terasa-rasa kasih sayang  dan seluruh keikhlasan Mak Som mengalir ke urat saraf lewat pelukan itu, walau ia sudah bertahun-tahun berlalu.

   Aduhai, Mak Som  itu jiran yang baik dan sejak dulu pun  selalu saja dianggap bagai darah daging sendiri.

  “Jadi, apa khabar?,” mata Mak Som besar bersinar waktu memandang. Senyumnya tak surut. Manis dan menenangkan. Kedua-dua tangannya masih memegang bahuku, mesra.

  “Alhamdulillah..,”

  “KL Ipoh tak jauh, tak  penat pun naik keretapi kan?,” senyum Mak Som masih belum surut, makin merekah malah. Penat perjalanan dari Kuala Lumpur untuk dibawa balik semuanya ke Ipoh terasa hilang begitu sahaja dengan kemesraan Mak Som.

  Tadi, sebaik tiba di rumah abah menyambut dengan senyum. Kata abah, emak ada di rumah sebelah, rumah Mak Som. Mak Som membuat kenduri kesyukuran kerana suaminya Pak Abbas sudah mendapat kerakyatan Malaysia minggu lalu.

   Seingat ku, Pak Abbas adalah lelaki Mesir yang jatuh hati dengan Mak Som ketika mereka sama-sama menuntut di Kaherah. Santun gadis Melayu memikat hati Pak Abbas sejak 30 tahun lalu. Cinta dan kasih gadis Melayu membuat Pak Abbas akur untuk meninggalkan tanah tumpah darahnya untuk bersama Mak Som.

   Untuk aku, Pak Abbas dan Mak Som adalah kisah cinta klasik yang sangat romantis. Meskipun keduanya tidak dikurniakan anak tetapi cinta antara mereka segar dan mewangi bagai dulu-dulu.

  “Mak Laila di sana,”

   Mak Som menunding jari pada emak yang sibuk membentang seprah di tengah ruang tamu. Ada piring kecil gulai dalam talam yang menanti untuk disusun atas seprah itu. Aku angguk dan berlalu.

  “Mak,”

  “Laila, bila sampai?,”

   “Baru sekejap tadi,” aku cepat mendakap emak, menyalami dan mencium tangan emak. Kemudian, piring kecil gulai dan mangkuk nasi diatur atas seprah yang sudah dibentang emak.

 “Siapa nak makan ni mak?,”

  “Kitalah..,”

  “Kalau kita, buat nasi kandar dah la.. apa nak teruk beno nak bentang seprah?,”

    Emak menyengih.
    Kemudian, aku terdengar suara derai tawa Mak Som di hadapan pintu. Sambil duduk bersila menghadap hidangan yang tersedia, aku memandang ke arah Mak Som.

  Mak Som sedang memegang kedua-dua tangan seorang perempuan yang jauh lebih bergaya daripadanya. Perempuan bertudung krim dengan baju sedondon dan berantai labuh dengan gaya ala-ala datin itu pun kelihatan mesra dan sibuk ketawa bersulam-sulam bicara.

  Agaknya kawan lama Mak Som. Agaknya saudara Mak Som. Atau kakak Mak Som. Eh, lantaklah bukan ada kena mengena dengan aku pun. Aku  pantas terus menceduk nasi.

   Bau masak lemak daging salai membuka selera. Ulam pegaga, ulam kacang botol dengan sambung nyawa yang tersusun kemas dalam piring sudah memanggil-manggil. Bau sambal belacan dan ikan masin menusuk-nusuk hidung. Hai, mana boleh tahan!

   Waktu nasi panas sudah masuk ke pinggan, emak mencuit dari belakang.
   “Hoi anak dara, cer sabo sikit… tunggu le orang lain. Tadi bukan main cakap nak buat nasi kando… ni orang dah hidang pandai pulak bukak sila ya,”

 Aku  tersengih-sengih. Bau nasi panas menggoda-goda selera.

  “Kejap, ajak kakak  Mak Som tu makan sekali,” mak tunding jari pada perempuan ala-ala mak datin di hadapan pintu. Betullah tu, kakak Mak Som! Hati separuh bersorak.

  Lama menunggu, borak Mak Som dan kakaknya itu tidak pun bernoktah. Emak pun tumpang bercerita sama, bagai sudah lama saling mengenal.

   Aku jadi malas menunggu.  Perut pun sudah berbunyi-bunyi. Bau nasi panas dan gulai lemak daging salai aduh.. menusuk masuk ke hidung. Tidak boleh jadi ni! 

  Aku tidak peduli tentang Mak Som dan kakaknya itu lagi.Dengan bismillah aku khusyuk menikmati nasi panas dengan ikan masin berulam kacang botol. Walau pedas  sambal belacan tidak terkira, aku bedal juga.

   Nikmatnya tuhan saja yang tahu!

  “Amboi, sedap pulun nasi sampai tak sempat nak ngajak orang,” Mak Som menyapa. Aku spontan angkat kepala.

   Mulut masih mengunyah nasi, pipi kembung macam ikan buntal. Namun waktu itu, mataku bertembung pandang dengan seorang remaja lelaki yang hampir sebaya di belakang Mak Som, yang sedang tersengih-sengih memandang ke arah aku.

  “Anak dara buruk kelaku,” mak sempat mencubit peha, hanya untuk membuat aku tersedak. Bersembur nasi dari dalam mulut. Ya Allah, mata sudah berair.  aku cepat-cepat capai gelas air di di hadapan.

  Dalam kalut tersedak dan menahan malu, aku terdengar suara orang ketawa. Suara orang itulah bercampur-campur dengan tawa kecil kakak Mak Som.

  Emak berwajah masam. Tentu saja menahan marah, anak perempuannya ini tidak beradab. Mak Som hanya senyum.

  Selera makan mati. Rasa malu menerpa tiba-tiba. Si  budak lelaki itu tidak habis-habis ketawanya.

  Malunya aku ! Terasa pipi sudah luruh.

   Emak pun, kalau hendak marah, kalau hendak cubit janganlah waktu mulut penuh. Lebih parah, budak lelaki itu dan emaknya – kakak Mak Som duduk bersila pula berdekatan aku pula.  Menarik pinggan, selamba menceduk nasi.

  Aduhai, aku pula yang terasa malu sungguh-sungguh!  Perlahan-lahan aku bangun dari sila. Pinggan porselin putih bunga kangkung yang masih berbaki dengan nasi diangkatnya di bawa ke dapur. Sumpah, aku masih lapar. Lapar sungguh. Tetapi kerana malu, aku perlu pergi dari situ.

  Ketika kaki melangkah ke dapur, aku masih terdengar sisa tawa si lelaki itu sambil ada suara melarangnya ketawa lagi.

  ‘Malu dia… dia tu anak dara tak baik ketawakan begitu,”

  Malunya tuhan saja yang tahu!

  Eiii… kalau boleh aku tidak ingin lagi bertembung dengan kakak Mak Som dan anak lelakinya itu.

  Aku sudah berjanji dengan diri sendiri, aku tidak mahu lagi ke rumah Mak Som selagi majlis belum langsai.

  Tapi apakan daya, emak langsung tidak mahu faham! Emak minta pula aku tolong Mak Som basuh pinggan di bahagian dapur kering di rumah Mak Som.

  Alahai mak, nanti-nantilah orang tolong!

  Sekarang Laila!

  Emak guna kuasa veto. Aku tiada hujah hendak melawan. Walau wajah kelat, arahan emak bagai arahan jeneral angkatan perang. Mesti buat!

   Alahai, Mak Som ni pun satu bukan hendak buat catering! Kan senang, lepas kenduri semua siap,” sempat aku  membebel. Emak menjeling tajam membuat aku terdiam.

   “Kalau buat catering tiada semangat ukhwah dan persaudaraannya, tak ada sesi gelak dan usik mengusiknya,” emak membalas sesudah jeling tajamnya mendiamkan aku.

   Dan sudahnya, aku  terperuk di dapur menghadap timbunan pinggan mangkuk kotor.

   Nasib baik ada Kak Dayana, jiran di hadapan rumah. Kak Dayana orangnya cekap membuat kerja dapur. Pantas dan cepat. Selalu saja emak memuji Kak Dayana.

  Sambil bersembang-sembang dan usik mengusik dengan Kak Dayana, tidak sedar pinggan kotor yang bertimbun langsai dibasuh.

  “Pinggan ni nak letak mana?,” tawa ku terhenti tiba-tiba. Remaja lelaki yang sakan mentertawakannya  tadi berdiri tegak menghadapnya. Tangan kanannya kotor dengan sisa makanan, tangan kirinya menghulurkan pinggan kotor.

  Ya Allah.. sungguh.. aku  terasa seluruh dirinya cair waktu lelaki itu tersenyum, waktu mata bertentang. Malu sungguh-sungguh!

   Ketawanya tadi terngiang-ngiang lagi. Kerja-kerja membasuh pinggan terhenti tiba-tiba. Aku bakai terpukau,  asyik memandang buih-buih sabun dalam besen.

  “Bagi pada akak,” suara Kak Dayana menusuk ke telinga. Dan kemudian aku melihat dari bayang air yang sedikit kelam, pinggan kotor dihulur dan dia melangkah pergi.

  “Amboi macam dilanggar garuda kan? Senyap sunyi..,” Kak Dayana tergelak-gelak. aku masih terdiam. Rasa malu masih belum mahu pergi.






















Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...