Thursday, August 9, 2012

Di balik baju Melayu


Setiap sesuatu bermula dengan langkah pertama. Berbaju Melayu misalnya dimulakan sekitar  700 tahun dulu dan dipercayai diperkenalkan pada zaman empayar Melaka oleh Sultan Muhammad Syah (1424-1444) serta kaya dengan falsafah dalam berbusana.

Sultan Muhammad Syah ketika itu mahukan orang Melayu berbaju khusus bagi menampilkan mereka sebagai bangsa yang mempunyai jati diri sekalipun alam berpakaian, bukannya berbaju ‘atas angin’ seperti pakaian pedagang Arab atau India zaman itu.

Timbalan Dekan Pengajian Siswazah, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin ketika dihubungi menjelaskan, baju Melayu pada zaman Melaka awalnya dipakai singkat dan sendat seperti baju pesilat.

“Bagaimanapun, rekaan baju Melayu ini mengalami evolusi dan diubahsuai atas persetujuan sultan. Dari berbaju sendat dan seluar singkat, bajunya menjadi sedikit longgar dan labuh. Seperti kehendak Sultan Muhammad, pemakaian baju Melayu oleh orang lelaki bukan sekadar menutup aurat, tetapi lambang identiti bangsa.

“Cara penggayaan baju Melayu juga sebenarnya mengandung falsafah tersendiri. Orang Melayu sangat berhemah apabila bertutur kata dan perlakuan mereka, malahan pemakaian membawa makna tersendiri. Secara tidak langsung orang Melayu mendidik generasi muda melalui pemakaian.

“Baju Melayu ada dua rekaan iaitu cekak musang dan baju teluk belanga. Baju Melayu cekak musang butangnya lima, teluk belanga pula butangnya satu dan membawa falsafahnya sendiri. Berbutang lima merujuk kepada lima rukun Islam dengan dua butang diatas bermaksud, mengucap dua kalimah syahadah dan sembahyang lima waktu.

“Selebihnya diwakili tiga butang di bawah. Jika kita buang dua butang dan hanya pakai tiga, falsafah di sebalik menegakkan rukun Islam itu tidak tercapai. Malah, ada teromba mengenai pentingnya pemakaian lima butang baju ini;

cekak musang berbutang lima
lima rukun di dalamnya
lima petua dibawanya
lima tiang ditegakkan.

Pemakaian satu butang untuk baju teluk belanga bermaksud Tuhan Yang Esa seperti dinyatakan dalam teromba yang berbunyi,

teluk belanga berbutang tunggal
tunggal satu tuhan yang disembah
tunggal tidak dapat dianjak alih
tunggal tidak dapat dibelah.

Sungguh pun demikian, ada juga pandangan lain mengatakan, butang baju Melayu sebenarnya tujuh dan jenis ini dipakai oleh golongan aristokrat, manakala pemakaian kurang daripada tujuh hanya dikhususkan kepada orang kebanyakan.

Jika memakai baju Melayu ia mesti dilengkapi samping dan tanpanya pemakaian menjadi janggal kerana sebenarnya ia juga membawa maksud tersirat sama ada si pemakai sudah berkahwin atau sebaliknya.

“Orang dulu kalau hendak mencari pasangan atau menantu, tidak perlu buka mulut bertanya, awak dah kahwin atau belum? Melihat cara pemakaian pun sudah boleh diagak sama ada si pemakai bujang atau sudah berkeluarga,”

“Apabila mengenakan samping, lelaki yang sudah berkahwin mesti di bawah lutut, namun kalau orang bujang, sampingnya mesti di atas lutut. Kalau orang sudah kahwin, memakai samping singkat itu tandanya dia hendak menambah isteri,” ujarnya.

Dr Rosli memberi contoh teromba klasik berhubung pemakaian samping;

Adat memakai samping
kok sudah beranak bini
atau orang yang patut-patut
kain samping bawah lutut
sama setentang paras betis
ikat bergulung lurus lurus
jika ikat atas lutut
itu tanda nak cari lagi
harus tahu keadaan ini.

Kok anak muda muda
kain labuh di atas lutut
bagai dubalang masuk gelanggang
bagai ayam mencari lawan.

Dr Rosli mencadangkan ilmu dan falsafah di sebalik pemakaian baju Melayu perlu dihebahkan supaya lebih ramai yang tahu dan mempraktikkannya apalagi dengan kepantasan dan kecanggihan teknologi komunikasi hari ini.

“Orang muda tidak buat sebab dia tidak tahu. Kalau tahu tentu dia buat. Sebab ini adalah adat kita orang Melayu. Kalau kita tidak sebarkan ilmu ini sampai bila-bila pun ia tidak dapat dikongsi dengan masyarakat.

“Seperkara orang lelaki yang lengkap bersamping mesti tahu jaga adat dan adab bersamping seperti dipantunkan;

bila berkain tidak cermat
lambat laun tentulah kalah
bila bersamping tidak beradat
lambat laun malu terdedah
 
  * Artikel ini sudah disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 9 Ogos 2012.

No comments:

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...