Monday, May 13, 2013

Merentas Gerhana



Tajuk: Merentas Gerhana
Penulis: Norhisham Mustaffa
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Tahun Terbit: 2012
Nombor Resit: ITBM02000041

Merentas Gerhana tulisan Norhisham Mustaffa mengajar saya banyak perkara. Antaranya tentang ketelusan dalam memilih pemimpin dan keduanya kesetiaan juga kepercayaan  tidak seharusnya dikhianati.

 Selebihnya, Merentas Gerhana mengasyikkan dalam kelas tersendiri.  Sastera adalah medium propaganda politik yang hebat.  Namun, Norhisham Mustaffa memilih jalan tengah dalam memperjuangkan apa yang dia percaya.

  Antara dialog dalam naskhah ini yang mengesankan adalah lontaran kata watak utamanya, Junaidi apabila dia cuba meyakinkan Ustaz Zubir tentang perjuangan yang dipertahankannya; “, .. adalah silap menjadikan agama, apatah lagi mengeksploitasi agama, hanya untuk memenuhi cita-cita politik seseorang. Agama itu nilai, cita-cita lebih banyak dirangsang oleh kehendak individu yang lupakan nilai”.

   Bukan semua pengarang berupaya mengangkat tema politik dengan baik kerana sifat politik itu sendiri berkait dengan situasi yang merumitkan dan kadang kala menjerat.  Namun, Merentas Gerhana adalah antara karya yang berjaya.

   Saya fikir, ketika Norhisham Mustaffa menghasilkan Merentas Gerhana sekitar 1990-an, apa yang ingin disampaikan adalah warna politik persekitarannya semata-mata. Norhisham berasal dari Kelantan dan menetap di Kelantan.

   Namun, hampir 20 tahun sesudah itu, Merentas Gerhana menjadi semakin relevan dan lebih menarik ia bukan lagi warna politik Pasak Tembaga tetapi refleksi sebuah negara bernama Malaysia.

  Novel ini berkisar tentang Kampung Pasak Tembaga yang menjadi kalut berikutan kematian wakil rakyatnya, Haji Lajiman  dari PARKITA.

   Kerusi kosong itu menjadi tumpuan dan rebutan. Semua mata parti politik terarah ke situ. Junaidi, bagaimanapun bukan calon pilihan. Dia rapat dengan Haji Lajiman, tetapi tidaklah sampai terfikir untuk bertanding.

  Antara PARKITA  dan Parti Ikhwan jugalah peperangan akan meletus. PARKITA mahu meletakkan anak tempatan sebagai calon manakala Parti Ikhwan pula cuba merampas Pasak Tembaga.

  Pada peringkat PARKITA, mereka mahukan anak tempatan sebagai calon. Mereka mahukan  Haji Ahmadon Naib Ketua PARKITA, Pasak Tembaga dan bukan Kadar Mahbub yang kaya raya dan diketahui pula sangat murah menghulur bantuan kewangan. Namun bagai diperibahasakan, ada udang di sebalik batu, apatah lagi Kadar Mahbub bukan anak tempatan.

  Haji Ahmadon menolak untuk menjadi calon yang kemudiannya membuka peluang kepada Nik Kamarudin dan Wan Zuhaila. 

  Nik Kamarudin mewakili suara Pemuda, manakala Wan Zulaiha menawarkan diri untuk menyambung aspirasi perjuangan PARKITA dengan meletakkan dirinya sebagai calon wanita berkarisma.

  Bagaimapaun, Datuk Syawal yang mengemudi PARKITA di Kota Bharu, lebih cenderung memilih Kadar Mahbub.
  Dalam kekalutan PARKITA mencari siapa calon terbaik, Parti Ikhwan meletakkan Ustaz Zubir sebagai taruhan. Lelaki lulusan Timur Tengah yang baik akhlaknya itu dilihat taruhan terbaik Parti Ikhwan untuk menawan kerusi Pasak Tembaga.

   Peluang itu terbuka luas apabila  PARKITA mempertaruhkan  Murad – sang opurtunis yang sebelum ini bersungguh-sungguh menolak untuk dicalonkan. Murad dilihat menggunakan jalan belakang untuk naik dengan menidakkan suara majoriti.

   Dari situ bermula perjalanan kisah Junaidi yang bertanding sebagai calon bebas. Dia diangkat sebagai calon bebas oleh orang kuat PARKITA di Pasak Tembaga yang tidak mahu melihat calon yang tidak berwibawa menjadi wakil mereka.  Pasak Tembaga yang dulu didominasi dua fahaman politik pecah menjadi tiga.  

   Pembacaan saya pada tahap ini kemudiannya bertimpa dengan berita calon bebas yang mewarnai landskap Pilihan Raya Umum ke -13 yang baru lalu. Bukankah pada PRU lalu, ramai calon bebas muncul kerana hilang kepercayaan kepada calon atau parti ? Hingga di sesetengah lokasi terjadi pertembungan tujuh penjuru ?

   Barisan Nasional (BN) juga turut menerima kejutan apabila Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim turut bertanding atas tiket bebas di Parlimen Kuala Kangsar.

   Lihat bagaimana relevannya naskhah ini meskipun pertama kali hadir dalam nuansa  kesusasteraan Malaysia pada 1990-an.

  Bukan itu sahaja, lebih  menarik, taktik kempen dan perang psikologi di dalam naskhah ini hampir tepat dengan dunia realiti.

  Realitinya, PRU13 dicemari dengan pelbagai insiden kempen yang jauh dari biasa. Keluarbiasaan itu juga yang terakam dalam Merentas Gerhana. Dari isu membakar pusat berkempen hingga mencabut bendera lawan dan cubaan membeli dan memujuk calon semuanya tercatat. 
  Bezanya, tiada adegan video porno yang tersebar  tetapi persoalan kemampuan Junaidi sebagai seorang lelaki yang menjadi taruhan.

  Norhisyam Mustaffa menggarap naskhah ini dalam bahasa yang ringkas tetapi tepat  dan baik. Ketepatan pemilihan perkataan itu sangat penting kerana naskhah ini dibangunkan dengan dialog.

   Politik sebenarnya sangat intim dengan orang Melayu namun tema sebegini sangat jarang diangkat oleh pengarang Melayu. Norhisham Mustaffa berjaya membuat saya berdebar-debar selagi naskhah ini belum sempurna dihadam.

  Tidak susah juga untuk meneka, siapa sebenarnya yang dirujuk sebagai PARKITA dan siapa pula Parti Ikhwan. Pembaca yang tidak peka akan perkembangan politik negara pun mampu menemukan jawabnya.

   Menangkah Junaidi sebagai calon bebas? Atau Ustaz Zubir yang lebih islamik itu yang berjaya menawan hati pengundi Pasak Tembaga? Atau penggundi Pasak Tembaga sebenarnya sangat setia dengan PARKITA dengan tidak ambil peduli siapa calon yang dipertaruhkan?

   Tidak adil untuk saya seorang sahaja berdebar, anda juga harus merasakannya justeru jemputlah membaca.   

No comments:

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...