Monday, April 3, 2017

Coklat Buatan Mawar Safei



Menelusuri kumpulan cerpen Dan Coklat Mengalir Dari Ruang Buncah membawa kita kepada satu dunia yang setiap satu daripada kisahnya dibangunkan oleh kata-kata yang puitis.

Sudah tentu kekuatan pengarangnya, iaitu Mawar Safei, tidak lain adalah bahasanya yang cukup indah seperti yang kita kenali melalui kepengarangannya dalam dunia cerpen. Justeru, perjalanan membaca kumpulan cerpen ini berakhir dengan keindahan juga. Mawar antara pengarang wanita yang berpengaruh di negara ini.

Sebelum muncul dengan kumpulan cerpen Dan Coklat Mengalir Dari Ruang Buncah, Mawar terlebih dulu membawa kita untuk mengenali kekuatan watak Masitah lewat kumpulan cerpen Masitah yang terbit pada tahun 2007.

Justeru, kehadiran naskhah terbaharu ini pada ranah kesusasteraan adalah sebuah lagi testimoni kekuatan Mawar dalam mengolah karyanya.

Menghimpunkan 20 cerpen yang sebelum ini sudah diterbitkan di pelbagai media, Mawar selalu menyorot naratifnya dari kaca mata wanita.

Indahnya, watak wanita di tangan Mawar ditampilkan mem liki perwatakan yang sangat kua dan tabah serta sekiranya mela wan, tetap dalam kesabaran.

Merangkumi pelbagai tema dari isu kasih sayang, persahabatan, bahasa, sastera dan agama kepada hal berkaitan kehidupan, Mawar menerusi Antara Rindu Xiang Si Dou menuliskan persahabatan yang dibajai tetapi kemudiannya terputus kerana keluarga yang perlu berhijrah ke negara lain.

Karya ini menyentuh hati dengan cara tersendiri kerana jika mengambil latar peribadi Mawar, mungkin kisah ini rakaman perpisahan Malaysia dan Singapura.Cerita Dari Tiga Jendela pula adalah kisah biasa ditemui dalam kehidupan tetapi disorot dengan segar oleh Mawar sehingga menjadikannya istimewa.

Kumpulan cerpen ini juga dikuatkan dengan beberapa karya yang sudah menerima pelbagai pengiktirafan sastera termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) seperti Narasi Cinta Di Pulau Seribu Kubah yang membawa pembaca ke perspektif lain menilai keperibadian lelaki dari Lombok, Indonesia.

Begitu juga dengan cerpen Dia Dari Penjuru Tahun Lalu yang turut meraih hadiah sastera pada tahun 2008, selain Antara Tikungan Yang Aneh yang mencuri hati panel juri pada tahun 2012.

Selebihnya meskipun tidak memenangi pengiktirafan sastera, tetapi masih karya yang baik untuk dibaca. Menikmati Dan Coklat Mengalir Dari Ruang Buncah adalah pengalaman membaca yang menyenangkan.
   

No comments:

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...