Wednesday, November 19, 2008

Menjawab tag Nazmi Yaakub

Saya lewat nak menjawab tag Nazmi Yaakub sebabnya:

1) Saya tidak tersusun dari segi penyediaan meja kreatif.
Saya tidak ada meja pun! Selalunya menulis atas katil, atau laptop di atas katil, saya bersila di bawah.

2) Laptop tidak perlu meja letak atas riba
Nama pun lap top kan, jadi letak atas riba ajelah.. hahaha

3) Almari buku dirumah tidak ada bilik khas
Rumah saya dari dapur sampai ke ruang tamu dipenuhi rak buku dan buku-buku dan juga surat khabar lama yang tunggu masa dijual. Jadi, saya tidak mahu lagi letak rak-rak buku di dalam bilik. Sebab bilik pun kecil saja. Bilik tetamu sudah penuh baju kami anak beranak. Bilik kami anak beranak pun sudah penuh baju kami anak beranak. Selain buku, rumah saya penuh baju hehehhehehe

Jadi, bila hendak menulis, ambil saja laptop dari tempatnya, dan taip saja. Kadang-kadang di bilik, kadang-kadang depan tv, kadang-kadang di dapur.... di mana-mana yang anak-anak senang cari.

Gambar? aiseh... sebab tidak ada meja kreatif, tidak ada gambar lah kut?

Tuesday, November 18, 2008

Apabila Cantik Hanya di Luar



I

Bagaimana anda menilai kecantikan? Pada kulit putih mulus dan licin bagai telur dikupas
atau hitam manis bagai tampuk manggis? Atau cantik paras digabung dengan cantik akal
atau cantik paras dan cantik budi bahasa.

Mungkin saya ini kolot. Cantik pada saya adalah cantik dalaman, cantik peribadi walau
rupanya mungkin tak cukup kuat membuat kita tertoleh dua kali. Tapi tutur katanya, dan budinya cantik sekali.

Saya kenal gadis cantik, cantik rupa dan cantik akalnya. Tapi sayang dia merokok. Tidak cantik jadinya. Tapi dia memang baik budi pekerti, lembut suara dan selalu berkata, susahlah awak nak berhenti merokok, saya dah lama merokok. Saya nak cuba tahun 2009, saya akan berhenti merokok.

Saya doakan dia berjaya. Sebab dia sangat cantik paras dan mengenali dia, dia memang cantik
budi pekerti cuma kecantikan itu akan bertambah lengkap apabila dia berhenti merokok.

Sebab? Sebabnya, rokok membahayakan kesihatan. Perempuan merokok lebih risiko barah servik dan sebab kedua dia wanita Melayu, Islam dan bertudung!




II


Saya menjadi semakin 'Melayu' sekarang. Kelakar bunyinya walaupun saya ini tidaklah berparas Melayu jati. Tetapi saya tahu saya ini Melayu dalam dan luar.Dulu, saya berjalan-jalan dengan kawan, Ting Mei Yun namanya.

Waktu kami melimpasi sekelompok anakmuda, seorang daripada mereka menegur, 'heh.. mu Melayu buat apa kawan dengan perempuan Cina?,"

Menyirap darah saya. Agaknya darah kawan saya lebih menyirap sebab selepas itu dia menjawab, apa perempuan Cina bukan manusiakah sampai tidak boleh dibuat kawan?

Saya terkedu.

Hari ini, Melayu semakin Melayu, Cina semakin Cina, India semakin India. Sebabnya? Ada kecenderungan yang sangat besar politikus kita bertekad untuk memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing sehabis mungkin.

Saya tertanya-tanya tidak bolehkah kita hidup damai macam dulu. Adakah kerana kapal sudah seakan hendak karam, masing-masing hendak curi sampan dan belayar sendirian ke pulau harapan. Agaknya, kalau saya berjumpa Ting Mei Yun lagi apakah nanti jawapan yang keluar dari mulutnya.

Wednesday, November 12, 2008

Lawan Kak Ijat Lawan


Sukar mengungkap di sebalik permainan tarik tali antara mahu dan tidak mahu Kak Ijat melawan bosnya.
Namun, untuk survival politik tentu saja Kak Ijat tidak boleh terus duduk di kerusi sedia ada. Kak Ijat perlu naik tingkatan, memberi laluan kepada Senator Kamilia yang sudah 20 tahun dalam Wanita Umno untuk melebarkan keupayaannya.



Sabah sudah lama beri lampu hijau, Negeri Sembilan juga. Kak Ijat sudah perlu bersilat untuk tujuan itu. Betul, Kak Ijat memang santun dan baik, menghormati dan mentaati bos. Namun, apabila Senator Kamilia sudah sedia turun ke gelanggang, Kak Ijat perlu juga pasang kuda-kuda dan turut berpencak silat.



Thursday, November 6, 2008

Tunas Cipta November 08


Waktu Salina Ibrahim 'memperkenalkan' saya dengan Bonda Ani, apa yang terlintas di hati saya adalah saya sudah terlalu lama tidak menulis dan hanya kembali menulis dengan aktif awal tahun ini.
Namun kerana menulis itu bukan hanya minat tetapi juga punca rezeki, saya tidak sukar untuk menyiapkan profil untuk ruangan Buah Pena MPR. Hanya sekitar 10 minit dan saya baca berulang kali antara percaya dengan tidak, perlukah saya forward tulisan itu pada Bonda Ani.
Respon Bonda Ani membuatkan saya e-mailkan tulisan itu walaupun banyak kali juga tersangkut gara-gara server di DBP yang tidak lancar (atau mungkin server di pejabat saya yang tidak lancar) .
Apapun, Tunas Cipta November sudah pun menemui khalayaknya. Paling saya suka apabila Namanya Willem de Kooning yang mengiringi
Buah Pena MPR.

Wednesday, November 5, 2008

Wednesday, October 29, 2008

Bacalah!



Satu daripada kesukaan waktu lapang, saya akan menghabiskan dengan membaca. Selalunya, anak-anak akan saya longgokkan dengan pelbagai buku, warna, pensil, pemadam dan mereka akan leka dengan dunia mereka sementara saya membaca.



Biasalah, sebagai ibu tiada waktu tenang-lapang-senang yang membolehkan saya menekuni bahan bacaan. Setiap kali membaca dan menulis anak-anak akan turut serta dan sesi itu akan jadi riuh sekejap, tenang (selepas kena marah sebab 'mama nak baca buku ni, diam sekejap') dan riuh semula sebab kata Adib 'tadi mama kata, diam sekejap saja kan'?).



Dalam keriuhan-tenang dan riuh itu saya sempat menelaah tiga novel. Tapi kesemuanya belum habis dibaca. Playing For Pizza tulisan pengarang kegemaran saya, John Grisham dan novel Bukan Yang Pertama dan Saasatul Ibaad tulisan dua rakan MPR, Salina Ibrahim dan Faisal Tehrani.
Playing For Pizza, novel lama tapi baru beli di MPH warehouse sale minggu lalu begitu juga Saasatul Ibaad. Manakala BYP dah berminggu beli tapi belum habis - aduh tebal tuh.. nak habis sehari tak larat.
Belum boleh ulas, sebab semua belum habis baca.
Tapi saya lihat anak-anak mula tertarik untuk sama-sama membuka buku (walau dalam riuh rendah) dan membaca. Adib akan sibuk dengan buku Bob The Builder dan matematiknya.
Manakala si kecil belum boleh baca pun, sekadar tunjuk dan bercerita sendirian, ini mama dia.. ini ayah dia.. ini bibik dia.. kata pepatah Melayu, melentur buluh biar dari rebungnya.

Wednesday, October 22, 2008

Cup cake


42-19108499 Standard RM © da Costa/photocuisine/CorbisChocolate cup cakes filled with chocolate mousse Image:© da Costa/photocuisine/CorbisCollection: PhotoCuisineStandard RM
Photographer:
da Costa


Cup cake cantik dan rasanya enak. Ada orang tak suka cup cake sebab ia kecil dan tak juga cukup lembab.
Tapi cup cake terus popular dan ramai orang suka. Sama macam makan dan memilih makanan, setiap orang ada citarasa bila memilih bahan pembacaan.

Waktu ramai melihat cerpen Chamil Wariya sebagai penghinaan ada juga orang melihat ia kebebasan dalam berkarya.

Saya menyamakan ia dengan cup cake, saya suka sebab ia satu cara kreatif mempelbagaikan kek. Sama juga seperti Shit tulisan Shahnon Ahmad dulu.

Seperti cup cake, anda boleh mengatakan ya dan tidak bergantung pada citarasa dan daya fikir individu.


Tuesday, October 21, 2008

Oktober yang mengujakan

Happy Birthday Cake Image: © Envision/Corbis Collection: EnvisionStandard RM Date Photographed: March 26, 1997



Oktober hampir ke penghujung. Oktober yang mengujakan. Oktober yang mengingatkan. Usia semakin bertambah. Perjalanan belum jauh tetapi sudah dekat. Oktober yang akan ditinggalkan, tahun yang akan bertukar. Orangnya masih sama cuma usia yang meningkat jua.


Setiap tahun suami selalu mengingatkan, kek hari lahir ini adalah penanda usia semakin bertambah dan harapnya bekalan yang akan dibawa ke sana nanti juga bertambah.

Setiap tahun saya teruja menanti pemberian suami menjelang hari lahir tetapi ada sesuatu yang saya kerap terlupa, pemberian-Nya yang paling besar adalah suami yang penuh sifat kasih itu sendiri. Terima kasih.




Friday, October 17, 2008

Tuesday, October 7, 2008

Ribut Salji di Tashkent

Ribut Salji Di Tashkent
Oleh Hafizah Iszahanid



"RAYA ni saya balik. Ya... saya balik... mak tunggu. Lagi empat hari... ya… mak... mak… isshhh!” Sayup-sayup Ann mendengar suara emak menjawab ya. Tapi, Ann hanya mendengar emak menyebut ya berkali-kali dan selebihnya, Ann tidak mendengar apa-apa lagi. Talian jadi sangat bising tiba-tiba dan akhirnya terputus. Ann mendongak ke langit. Ada helikopter palang merah antarabangsa merentasi awan, mengganggu transmisi. Telefon satelit Ann genggam kuat, hati marah benar. Sukarnya untuk berhubung pada waktu-waktu begini.





Ann mengatur langkah masuk ke bangunan tiga tingkat di tengah Tashkent. Bangunan ini menjadi ibu pejabat Pertubuhan Islam Antarabangsa. Tingkat satu menjadi lokasi memberi bantuan perubatan dan makanan, tingkat dua menjadi gudang menyimpan stok makanan dan ubat-ubatan dan tingkat tiga menampung lebih 20 sukarelawan. Bilik Ann di tingkat tiga paling kanan. Di tepinya ada pokok tua yang agam. Pokoknya sudah kehilangan daun dan dibalut putih salji yang tebal.....

Berita Minggu, 4 Oktober 2008

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...