Sunday, September 9, 2012

Membaca Anak Apak





Tahun-tahun 1950-an dan kebelakang, memang tempoh masa yang mempersonakan dari segi semangat nasionalisme.

Tempoh itu juga, politik sifatnya jujur dan telus. Setiap seorang dari anak muda zaman itu jujur dalam perjuangan untuk meraih kemerdekaan. Apa saja jalan yang membawa kepada kemerdekaan akan mereka pilih.

Justeru, apabila kita membaca lebih banyak buku memoir politik era itu, dapat difahami bagaimana unsur mediasi selalu mengalahkan kepentingan seluruh warga.  Tidak pula hendak menyalahkan atau membetulkan, sebaliknya sejarah dan kekal tinggal sejarah dan menjadi pedoman untuk tindakan di masa hadapan (bagi mereka yang mahu mengambil iktibar).

Satu daripada naskhah memoir politik zaman itu yang tidak boleh ditinggalkan adalah Anak Apak, tulisan Subky Abdul Latiff. Meskipun bukan bersifat signifikan dalam era politik perdana, tetapi naskhah ini memiliki impak tersendiri dalam sejarah pembentukan sebuah negara.

Diklasifikasikan sebagai memoir politik kewartawanan, usai membaca Anak Apak satu fakta yang tidak boleh disangkal - bagaimana pada akhirnya persekitaran 1950-an dan 1960-an yang diharunginya membentuknya menjadi ahli politik.

Bagaimanapun, Subky mengakui meskipun terdedah dengan politik sejak kecil dan sudah memahami politik pada usia remaja, beliau sedikit pun tidak pernah bercita-cita menjadi ahli politik. Ini kerana beliau lebih senang hidup sebagai pengamat yang memahami politik tetapi tidak terbabit dalam sebarang aktiviti politik supaya disenangi dan diterima oleh orang lain.

Namun, kekalahan teruk PAS di Kelantan penghujung 1970-an sesudah berkuasa sejak 1959 menyebabkan Subky terasa seolah-olah demokrasi seperti akan berakhir di negara ini.

Subky yang menjadi nama besar dalam sejarah politik PAS, sebenarnya bermula sebagai wartawan. Meskipun begitu, lahir pada 1940-an ketika negara masih bergelut dengan kemerdekaan ditambah dengan latar belakang keluarga yang berpendidikan agama, Subky secara automatik cenderung ke arah politik.

Subky juga lahir dan membesar dalam persekitaran yang dikelilingi anak Melayu berpendidikan yang kemudian ditakdirkan menjadi pembuat dasar negara seperti mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia (1974 -1978), Tan Sri Abdullah Ayub.

Bagaimanapun, memoir politik kewartawanan Subky ini bukanlah dokumentasi besar dalam erti kata sejarah pembentukan negara, tetapi tetap memiliki keistimewaan tersendiri terutama jika melihat era Subky dilahirkan.

Pada zaman itu, hampir kesemua anak muda bersemangat menuntut kemerdekaan dan mereka bersatu hati serta sentiasa punya masa untuk menyumbang kepada kemerdekaan negara.

Arwah bapanya atau dipanggil apak mahu melihat Subky menjadi ulama selari dengan kedudukannya sebagai tok guru sehingga menolak tawaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar meskipun ada anaknya yang lain menuntut di sekolah aliran Inggeris.

Namun, Perang Korea yang tercetus antara 25 Jun 1950 hingga 27 Julai 1953 merencatkan impian itu kerana perang berkenaan menjejaskan pasaran getah yang sebenarnya menjadi sumber ekonomi dan pergantungan keluarga Subky.

Akhirnya, Subky bersekolah Inggeris sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kewartawanan di Kuala Lumpur dan Jerman.

Menariknya, buku ini diolah dengan bahasa yang mudah tetapi teknik imbas kembali yang berulang dalam naskhah ini sedikit mengganggu kerana ia bukanlah novel, sebaliknya memoir.

Subky dalam Anak Apak mengakui beliau tidak pernah menyimpan hasrat menjadi wartawan dan menjadikan kewartawanan sebagai kerjaya di sebalik minat dalam bidang bahasa dan budaya.

Namun, pada usia yang sudah menginjak 23 tahun ketika itu dan masih tidak punya pekerjaan tetap, Subky akhirnya pasrah.

Buku ini satu daripada tiga siri karya Subky dengan dua lagi naskhah, iaitu Propagandis Zaman dan Manis-manis Politik bakal menyusul.

Tuesday, September 4, 2012

Dream of Ding Village - Novel yang saya suka !




Saya mula meminati karya novelis China apabila pertama kali membaca The Crazed tulisan Ha Jin. Kemudian, satu demi satu novel Ha Jin saya miliki (walaupun ada antaranya belum lagi khatam dan ada juga yang belum dibuka pun sarung plastiknya !)

Kemudian, saya mengenali Yan Lianke. Susunan novelnya yang bersebelahan dengan novel Ha Jin waktu itu menarik perhatian. Saya mula mencari maklumat tentang Yan Lianke dan buku-buku tulisannya.

Serve The Nation dikatakan antara yang terbaik. Novelnya bersifat satira gelap, banyak mengundang masalah kepadanya dan ada yang berhadapan dengan pengharaman. Pengharaman karya sastera di China perkara biasa. Malah ada penulis China yang menetap di luar negara masih berhadapan dengan cabaran yang sama dalam memasarkan karya mereka ke negara asal.

Berbalik kepada Yan Lianke, selain Serve The Nation, Dream of Ding Village antara karyanya yang saya suka. Naskhah ini bukan hanya berdiri sebagai fiksyen sastera, sebaliknya ia merakam kisah benar skandal perdagangan darah di Wilayah Henan, China sekitar akhir 1990-an.

Skandal perdagangan darah itu sebenarnya bermula sebagai usaha yang baik, iaitu projek kemasyarakatan untuk meningkatkan kadar tabungan darah negara. Malah, China membayar imbuhan kepada setiap warganya yang sudi mendermakan darah mereka.

Bagaimanapun, atas faktor penyelenggaraan yang tidak betul, pendermaan darah itu menjadi punca berlakunya epidemik HIV/AIDS yang menyaksikan sebuah perkampungan miskin di Wilayah Henan hampir pupus sehingga sekitar 300,000 ribu kematian direkodkan namun wujud juga dakwaan sebenarnya lebih 1 juta kematian berlaku tetapi dirahsiakan.

Skandal perdagangan darah yang didedahkan oleh New York Times pada awal 2000 itu sebenarnya memberi pengajaran yagn amat berharga kepada China dalam menangani isu pendermaan darah - yang kerap kali disifatkan sebagai perdagangan darah kerana wujudnya pembabitan wang.

Meskipun New York Times ‘halal’ dalam melaporkan skandal itu, Lianke berhadapan dengan tindakan pengharaman novel terbabit apabila mengangkat skandal berkenaan dalam karyanyam, sekali gus mengikut jejak karya pengarang terbabit yang sebelum ini yang turut diharamkan oleh Kerajaan China.

Dream of Ding Village yang disifatkan sebagai karya satira gelap itu, diharamkan selepas dua minggu diterbitkan pada 2006 atas alasan Lianke menulis skandal HIV/AIDS itu secara berlebih-lebihan dan membangkitkan pandangan yang serong terhadap penyakit AIDS.

Meskipun tidak menulis secara langsung mengenai kerajaan China dalam skandal perdagangan darah itu, namun Ding of Dream Village meletakkan watak Ding Hui - lelaki tamak haloba yang memperdagangkan pendermaan darah - sebagai satira kepada kerajaan China.

Ding Hui dalam novel ini digambarkan Lianke sebagai pihak berkuasa yang rendah moralnya dalam menangani isu kebajikan dan kemanusiaan.

Dream of Ding Village adalah kisah tentang keinginan penduduk Kampung Ding untuk keluar daripada kemiskinan yang menyaksikan penjualan darah sebagai satu-satunya cara untuk hidup mewah.

Keperitan hidup mereka menyaksikan apabila mula diselubungi kemewahan, mereka tidak lagi menyembah dewa kekayaan, Guan Yu, seperti yang diucapkan oleh anak Ding Hui, Ding Qiang yang mati dibunuh, “They didn’t believe in Guang Yu anymore, they believed in selling blood.”

Novel ini memfokus kepada satu keluarga yang anak lelakinya mempunyai cita-cita besar dalam politik manakala seorang lagi mati kerana jangkitan.

Ding Hui, adalah antara fokus dalam novel ini. Dia menjalankan perdagangan darah dan mampu hidup mewah. Bagaimanapun, 10 tahun selepas perdagangan itu, kebanyakan penduduk mula diserang penyakit yang disebut sebagai demam tanpa mengetahui ia sebenarnya tanda-tanda awal HIV/AIDS.

Ding Hui bagaimanapun tidak langsung dihambat rasa bersalah meskipun anak lelakinya mati dibunuh kerana skandal berkenaan, sebaliknya dia melihat tragedi itu sebagai peluang perniagaan yang lain pula apabila mengaturkan urusan perkahwinan antara pesakit AIDS.

Dalam menyiapkan novel ini, Lianke bekerja dengan ahli antropologi China yang membuat kajian tentang perkampungan kecil yang berhadapan dengan HIV/AIDS hasil jualan darah.

Penceritaannya mengenai skandal perdagangan darah itu bukan saja hasil kajian yang lama tetapi juga mungkin atas dasar kasih sayangnya pada wilayah kelahiran pengarang.

Lianke mengolah semua fakta yang diketahuinya dengan cara kreatif sehingga tidak semua fakta dicatatkan dalam novel ini tetapi premis penceritaannya tetap sama. Satu daripada sebabnya, Lianke berharap ia tidak diharamkan di China.

Meskipun Dream of Ding Village merakam kisah suka duka dan keperitan hidup penduduk di pedalaman, kerajaan China tidak melihatnya sedemikian. Walaupun mungkin ada yang melihatnya sebagai ketidakadilan untuk karya sastera namun bagi yang lain pula, novel itu adalah gambaran kerakusan China ke arah kemodenan hingga mengenepikan kemanusiaan.

Dream of Ding Village yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Cindy Carter, dipilih sebagai 10 buku terbaik oleh majalah mingguan Hong Kong, Yazhou Zhoukan, selain turut dianggap setaraf dengan The Plague oleh Albert Camus.

Sunday, September 2, 2012

Destar





BUDAYA menunjukkan bangsa, manakala berpakaian menunjukkan jiwa. Dalam budaya Melayu, bukan hanya pantun atau khazanah sasteranya yang mengandung maksud, sebaliknya etika berpakaian juga punya falsafah tersendiri.

Misalnya, tengkolok atau disebut juga sebagai destar, setanjak dan setangan kepala bukan hanya sekadar hiasan kepala, sebaliknya ia adalah ciri keunikan dan keindahan dalam tradisi busana lelaki Melayu dan ada ketikanya pelengkap ketampanan kaum Adam.

Hampir semua peradaban dunia memiliki atau memakai hiasan kepala seperti lilitan dengan tali, kulit, rumput dan daun kumpulan etnik di Afrika dan Amerika Latin sehingga peradaban Yunani, golongan pelaut Polinesia dan masyarakat Mesir Purba.

Bezanya, budaya Melayu memiliki takrif tersendiri dalam hiasan kepala yang dipakai pada acara istimewa misalnya majlis membabitkan urusan raja atau perkahwinan.

Bukan sekadar pelengkap busana, reka bentuk destar yang terbahagi kepada bentuk asas dan bentuk hiasan membawa konotosi membabitkan maruah, martabat dan budaya seperti yang dirungkai dalam buku Destar Warisan Malaysia: Koleksi Terpilih tulisan Wan Yahaya Abdullah.

Cara membentuk dan mengikat destar yang bermacam jenis menggambarkan tingginya daya kreatif pereka bentuk Melayu tradisi kerana meskipun dicipta sejak zaman-berzaman, keaslian bentuknya kekal dan tidak berubah-ubah terutama daripada segi lipatan dan garis.

Nilai setiap solekan destar itu melebihi fungsinya, manakala falsafah pula terpancar melalui susun garis, warna, corak dan imbangan yang meletakkan setiap solekannya berbeza.

Pengadunan dan solekan adalah bayangan penyataan jiwa pencipta seperti pantun Melayu yang akrab dengan alam sehingga tidak hairanlah solekan destar turut mengambil motif bentuk daripada alam sekitar.

Nama setiap solekan memperjelaskan kenyataan itu misalnya Mumbang Belah Dua, Sekelongsong Bunga dan Pucuk Rebung Cogan Daun Kopi, selain nama haiwan seperti Ayam Patah Kepak, Balung Ayam, Pari Mudek, Helang Menyongsong Angin atau nama yang menampilkan penyataan seperti Dendam Tak Sudah, Dagang Sakit di Rantau juga Bugis Tak Balik.

Sementara,  setiap sultan di negara ini mempunyai destar dengan solekan tersendiri mewakili negeri yang diperintahnya.

Setiap solekan destar diperkemaskan dengan hiasan destar atau disebut jata destar sehingga belum pernah terjadi, sultan memakai jata destar negeri yang tidak diperintahnya.

Yang Dipertuan Agong menggunakan destar solekan Dendam Tak Sudah, manakala solekan Lang Menyongsong Angin dikenakan oleh Sultan Pahang; Ayam Patah Kepak (Sultan Perak) dan Ketam Budu (Sultan Kelantan) serta destar Pembesar Melayu Sarawak dikenali dengan solekan Bugis Tak Balik.

Uniknya dalam budaya Melayu, setiap pilihan kain yang digunakan bagi membentuk destar membawa maksud tersendiri seperti destar berwarna tanah gelap bermaksud si pemakai adalah lelaki tua, manakala orang muda selalunya memilih destar berwarna tanah muda.

Warna putih dan kuning hanya untuk sultan; ungu (putera sultan atau undang luak); hijau (datuk); biru (laksamana); hitam (datuk adat atau datuk bergelar) sementara hitam polos untuk pendekar.

Corak dan ragam hias kain destar juga ada maksud dan pengkhususannya misalnya corak bunga jong sarat hanya untuk raja yang turut mengenakan corak bunga penuh atau corak teluk berantai; pola bunga tabur (datuk bergelar) serta corak berjalur (datuk dan undang luak).

Kini, penggunaan destar masih popular dalam acara rasmi istana selain dikomersialkan oleh golongan mak andam sebagai pelengkap busana pengantin lelaki tetapi sayangnya tahap pengetahuan mengenai falsafah dan semangat setiap solekan destar itu masih tidak diketahui di kalangan masyarakat.

Apatah lagi dengan timbulnya banyak solekan destar gaya moden yang mungkin hanya dihasilkan atas kreativiti pereka tanpa memiliki falsafah di sebaliknya.

Justeru bagi anda yang ingin meneroka keunikan budaya Melayu yang diungkap melalui solekan destarnya, buku ini patut dijadikan rujukan kerana berbusana lengkap gaya Melayu ditambah pengetahuan tentang setiap falsafah di sebaliknya membuatkan anda lebih tampan dan terampil!

Tuesday, August 28, 2012

Menanggap Identiti


Persoalan apakah yang membentuk identiti dalam sejarah seni halus Malaysia sama ada budaya, bangsa, pengalaman pengkarya atau dasar politik terjawab apabila kita menelaah Menanggap Identiti: Naratif Seni Rupa Malaysia selenggaraan Nur Hanim Khairuddin, Beverly Yong dan TK Sabapathy.




    * Imej ini dari laman web penerbitnya, Rogue Art.


Usia sejarah seni tanah air hampir sebaya dengan kemerdekaan negara tetapi tidak banyak buku yang menyorot sejarah dan evolusinya dan proses pengkaryaan serta pengaruh persekitaran dalam penghasilan karya.

Justeru apabila RogueArt melalui dana dan sokongan Inisiatif Warisan dan Seni Khazanah serta Balai Seni Visual Negara (BSVN) muncul dengan empat jilid buku mengenainya, ia menjadi usaha yang dialu-alukan.

Jilid pertama ini menghimpunkan esei yang ditulis 1970-an hingga 1990-an, sekali gus menjadi dokumentasi untuk mendidik masyarakat tentang transisi seni di negara ini, seawal dekad selepas perang sehingga kini.

Bahagian pertamanya mendedahkan penggiat seni halus bersatu secara rasmi pada 1956 apabila Pengawas Pendidikan Seni Lukis, Kementerian Pelajaran, Peter Harris menubuhkan Wednesday Art Group (WAG) yang disertai Cheong Laitong dan Dzulkifli Buyong sebelum Hossein Enas mengasaskan Angkatan Pelukis Semenanjung (1958).

Pada mulanya, seni halus Malaysia memperlihatkan pengaruh gaya kaligrafi Cina seperti yang dikupas Emelia Ong menerusi artikel mengenai pelukis Nanyang yang berhijrah dari China ke negara ini, sekali gus terperangkap dalam era perubahan dan tersepit antara prinsip tradisi dengan idea modenisme.

Mereka terpaksa mempertimbangkan dua kerangka persepsi dan representasi seni yang saling bertentangan - antara lukisan dakwat dari tradisi China dengan gaya kesenian dari tradisi Barat.

Selain pengaruh China, seni halus tanah air turut menyaksikan sentuhan seni Indonesia seperti catan Hossein Enas, manakala catan Latiff Mohidin pula mendapat pengaruh Eropah.

Kepelbagaian teknik dan aliran dalam seni halus mula ketara menjelang dekad 1960-an yang dianggap tempoh terpenting dalam perkembangan seni lukis moden Malaysia kerana pelukis mula memperluaskan pandangan dan sedar tentang perkembangan dunia seni antarabangsa.

Namun, bahagian kedua buku ini lebih menarik apabila persoalan jati diri kebangsaan dihujahkan dalam konteks seni rupa apabila kewujudan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) pada 1971 memberi ruang besar kepada pelukis Melayu melihat kembali warisan kebudayaan mereka.

Bagaimanapun, pelukis bukan Melayu tidak begitu menyenanginya kerana menganggap ia meminggir budaya dan identiti kaum sehingga timbul kritikan yang mempersoalkan rangka sosio-budaya yang dibentuk kerajaan ini.

Isu itu amat menarik untuk diteroka kerana ia semakin genting menjelang 1980-an, manakala sekitar 1990-an dan alaf baru pula, pelukis Malaysia bercampur baur dalam persoalan identiti dalam karya, impak kemunculan budaya global.

Dalam konteks budaya, Siti Zainon Ismail dan Rahimidin Zahari mengupas dengan baik menerusi esei mereka, iaitu Menulis dan Melukis dalam Kesenian Tradisional Melayu: Impaknya dalam Seni Rupa Kontemporari dan Kajian Nilai Budaya dan Cerita Rakyat Melayu dalam Seni Lukis Malaysia.

Kesan DKK juga memperlihatkan kemunculan seni halus bernuansa Islam seperti yang diketengahkan oleh Sulaiman Esa dan dibincangkan oleh Syed Ahmad Jamal menerusi esei Seni Rupa Islam.

Seni Arca pula dikupas dalam dua esei oleh TK Sabapathy dan Tengku Sabri yang menyorot seni yang sedikit tenggelam berbanding catan tetapi pengkarya seperti Bayu Utomo Radjikin dan Raja Shariman memaut perasaan dalam cara tersendiri: ‘Gagah dan tampil maskulin.’ 


* Menanggap Identiti adalah versi Bahasa Melayu untuk buku yang sama berjudul Narratives in Malaysian Art.

Thursday, August 9, 2012

Iklan Raya Petronas yang Menyentuh



Mesti semua sudah menonton iklan ini di TV kan ? Terharu tak ?  Aidilfitri itu sebenarnya lebih bermakna apabila kita dapat membahagiakan orang lain.

Lewat tahun 2008, saya pernah menulis sebuah cerpen berkenaan Aidilfitri dengan konsep yang hampir sama. Cerpen ini sudah tersiar pada 4 Oktober 2008 ( kalau tidak silap.. hehe.. dah lama.. tapi boleh semak di senarai karya di media 2008 di sebelah kiri itu). Selamat membaca :)

Ribut Salji di Tashkent ~ Hafizah Iszahanid


"RAYA ni saya balik. Ya... saya balik... mak  tunggu. Lagi empat hari... ya… mak... mak… isshhh!”

Sayup-sayup Ann mendengar suara emak menjawab ya. Tapi, Ann hanya mendengar emak menyebut ya berkali-kali dan selebihnya, Ann tidak mendengar apa-apa lagi. Talian jadi sangat bising tiba-tiba dan akhirnya terputus.

Ann mendongak ke langit. Ada helikopter palang merah antarabangsa merentasi awan, mengganggu transmisi. Telefon satelit Ann genggam kuat, hati marah benar. Sukarnya untuk berhubung pada waktu-waktu begini.

Ann mengatur langkah masuk ke bangunan tiga tingkat di tengah Tashkent. Bangunan ini menjadi ibu pejabat Pertubuhan Islam Antarabangsa. Tingkat satu menjadi lokasi memberi bantuan perubatan dan makanan, tingkat dua menjadi gudang menyimpan stok makanan dan ubat-ubatan dan tingkat tiga menampung lebih 20 sukarelawan.

Bilik Ann di tingkat tiga paling kanan. Di tepinya ada pokok tua yang agam. Pokoknya sudah kehilangan daun dan dibalut putih salji yang tebal.

Ya, salji tebal sejak semalam. Musim dingin ini baru bermula. Namun, sudah dua kali Ann tidak dapat lena kerana ribut salji. Kalau dibanding taufan Ike atau Katrina, ribut salji yang ini bukanlah apa-apa. Sekurang-kurangnya, pihak kaji cuaca belum mengisytiharkan darurat.

Namun, Ann terganggu benar dengan bunyi angin yang kuat. Ann terasa seluruh Tashkent ini seakan runtuh, seperti mana ia sudah pun runtuh selama dalam cengkaman Kesatuan Soviet.

Hari sudah cerah, sudah jam 7 pagi dan Ann masih belum bersahur. Sejak ribut salji melanda jam tiga pagi tadi, sejak Ann tersentak daripada mimpi jam tiga pagi tadi, Ann tidak boleh menyambung tidur hingga kini.

Anehnya Ann juga tidak berselera makan. Sisa sup berbuka tadi sudah dipanaskan dan roti sudah dipotong-potong kecil. Tapi Ann hanya memandang, selera tidak bangkit. Sebaliknya, ingatan menjurus-jurus pada sambal ikan bilis bercampur tempe dan acar buah yang kerap emak hidangkan waktu bersahur.

Ingatan itu rupanya membunuh selera Ann!

Kelmarin juga Ann tidak bersahur. Hanya minum segelas susu. Perut seakan masih sendat dengan makanan tradisional Uzbekistan pilav, nasi dengan daging goreng, lobak merah dan bawang merah bercampur kismis dan kacang pea yang Ann nikmati waktu berbuka puasa.

“Teruja hendak balik kampung, sampai tak nak makan,” Dr Landau, sukarelawan dari Perancis selalu mengusik. Ann sengih. Bukan dia sengaja, tetapi sungguh dia tidak berselera untuk makan.

Setiap kali mengingatkan 1 Syawal yang bakal dirai di kampung halaman, dadanya bergetar kuat menahan keterujaan. Setiap kali memandang beg pakaian yang sudah siap dikemaskan, dadanya berdebar hebat dan setiap kali mencium-cium tiket penerbangan yang akan membawanya pulang, jantungnya seakan berhenti berdegup. Gembira, dia terlalu gembira.

Malah sejak seminggu lalu, Ann bukan saja sudah mengemas pakaian yang akan dibawa pulang, tapi sudah juga mengemas gambar-gambar yang akan ditunjukkan pada saudara mara. Untuk emak, Ann sudah bungkuskan selendang panjang tenunan Uzbekistan yang cantik.

Pada perbualan minggu lalu dengan emak Ann sudah berpesan, lemang dan rendang kita bakar sama-sama malam sebelum raya. Ann mahu sama-sama menebang buluh, membersihkannya, mengukur kelapa, memerah santan, memasukkan pulut dalam buluh dan membakarnya. Ann juga ingin mengait daun kelapa, mahu menjalinkannya menjadi sarung ketupat yang cantik beranyam.

Ann tersengih sendiri. Waktu ini terasa hanya jasad saja berada di bumi Uzbekistan yang muram Ramadannya dan gersang Aidilfitrinya. Seluruh jiwa seakan sudah lama terbang menyeberang laut, kembali dalam dakapan emak.

Di luar, ada perbualan dalam bahasa Turki dan Inggeris, yang diselang seli gelak ketawa singgah di telinga. Ada bunyi ngauman enjin juga kuat memecah pagi Ann bangun meninjau.

Dari jendela Ann lihat ada sukarelawan yang memandu jentera penyodok salji, membuka jalan yang tersekat. Ada sukarelawan yang mengalihkan ranting dan dahan pokok yang bersepah kawasan persekitaran. Ann menyentap baju panas dalam almari dan turun menyertai mereka.

Tashkent selepas bebas daripada Kesatuan Soviet bukanlah seindah dijangka. Walaupun sudah merdeka, kerana terlalu lama dicengkam komunisme, menjadikan bukan saja Tashkent, tetapi seluruh Uzbekistan ini jauh daripada penghayatan dan kefahaman tentang Islam.

“Kamu ini aneh, orang mahu kerja pejabat hawa dingin dan gaji ribuan ringgit, kamu hendak jadi sukarelawan,”

Ya, waktu kawan-kawan sekursus memilih menjadi ahli ekonomi atau berkhidmat di bank-bank perdagangan sebaik tamat pengajian, Ann memilih ke Tashkent. Seluruh keluarga menjerit membantah, malah kekasih hati yang berjanji sehidup semati juga meninggalkan Ann kerana Ann mahu ke Tashkent.

Namun, waktu orang lain tidak pun memberi sokongan, emak mewajarkan pilihan Ann menyumbang bakti di Uzbekistan.

“Siapa lagi yang mahu memulihkan jati diri saudara seagama kalau bukan kita sendiri? Mahu terus Uzbekistan hanyut? Sudah lama dicengkam Soviet, sekarang sudah merdeka, apa salah kita tolong? Tak banyak, sikit pun, sekadar ajar anak-anak mereka mengenal huruf alif, ba dan ta, dan mengakui Tuhan itu satu pun, sudah bermakna,”

“Tapi emak, Ann itu perempuan. Ha, kau hendak pergi berapa tahun? Sanggup kautinggalkan emak sendiri? Nanti sanggup kau hendak berhari raya dengan orang Uzbekistan. Menangislah seorang diri. Elok-elok duduk di Malaysia, hendak pergi negara lepas perang,” abang tidak penat melemahkan semangat.

Ann masih ingat renungan mata emak tepat dalam mata bundar abang. Merenung mata itu, Ann dapat menyingkap seluruh amarah yang emak simpan.

“Emak boleh membesarkan kamu semua sendirian selepas ayah kamu meninggal waktu Ann dalam pantang. Emak masih boleh hidup tenang dan kuat. Adakah kamu fikir Ann tidak mewarisi kekuatan emak? Lagi pun, Aidilfitri itu akan lebih bermakna, jika kita bijak memaknakannya, tidak kira kita di mana,”

Abang dan kakak terdiam. Abang ipar dan kakak ipar tergamam. Walau mereka mengomel di belakang, Ann berangkat juga ke Tashkent, dua bulan selepas itu atas restu emak.

Dan, jangkaan emak benar-benar menyambut Ann di Tashkent. Jangkaan tentang Islam yang suram di Uzbekistan. Jangkaan tentang Islam yang kurang penghayatannya di negara Asia Tengah itu.

Sejak kecil, emak sangat terpesona dengan kisah Laluan Sutera yang merentas Uzbekistan di Tashkent, Bukhara dan Samarkand. Kata emak, kegemilangan Islam di Uzbekistan dulu, dalam kelas tersendiri. Di situ, lahirnya dua tokoh Islam masyhur, al-Khawarizmi dan Abu Rayan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni.

Namun, semua kegemilangan Uzbekistan itu terpadam sebaik dicengkam kuat Kesatuan Soviet. Masyarakat mengenal al- Khawarizmi dan al-Biruni tanpa mengenal Uzbekistan. Ann seakan-akan terdengar emak bercerita. Emak, seorang guru sejarah tingkatan enam di sekolah berhampiran rumah.

Lalu, ketika Ann melahirkan hasrat menyertai Pertubuhan Islam Antarabangsa sebagai sukarelawan di Tashkent, Uzbekistan, emak mewajarkan walau hampir seluruh keluarga membangkang. Kata emak, walau tubuhnya tidak sampai ke Tashkent, jiwa emak sudah ada di sana melalui kamu, kamu Ann.

Lalu Ann tahu, pemergian ke Tashkent sebenarnya bukan saja membawa dirinya sendiri dan amanat seluruh umat Islam yang mahu melihat Uzbekistan bangun dan menghidupkan kembali kegemilangan lalunya, tetapi jua membawa hasrat dan jiwa emak yang terlalu lama berahi pada sejarah kehebatan Uzbekistan.

Sejarah Asia Tengah di bawah Kesatuan Soviet adalah sejarah penuh eksploitasi, kerap emak mengulang-ulang ayat itu. Malah seingat Ann, emak pernah bercerita, Stalin yang takut dengan kuasa minoriti di Kesatuan Soviet menghimpunkan pelbagai etnik di Uzbekistan untuk melemahkan dan menekan populasi asal. Stalin juga mahu Uzbekistan bergantung secara ekonominya dengan Russia.

Ann menghirup udara Tashkent sebaik saja Uzbekistan bebas daripada Kesatuan Soviet. Awalnya, Ann tidak tahu apa-apa tentang Uzbekistan. Ann hanya tahu tentang Uzbekistan daripada kisah-kisah yang emak khabarkan dan serba sedikit pembacaan. Justeru, Ann kurang bijak meneka percaturan politik di Uzbekistan. Seingat Ann, dia ada menulis surat kepada emak tiga bulan selepas sampai di Tashkent.

Mak,

Saya tidak faham percaturan politik di sini. Waktu kita berlumba-lumba datang menabur bakti di negaranya, mereka berlumba-lumba pula menjadi hero.

Selepas bebas daripada Kesatuan Soviet, Uzbekistan menggubal perundangan baru, tetapi mengharamkan parti pembangkang utamanya, Birlik. Bebas daripada kesatuan Soviet juga tidak bermakna mereka bersatu hati, sebaliknya semakin banyak pula siri keganasan pada kumpulan yang dituduh pelampau Islam.

Mungkin 70 tahun dicengkam komunisme, mereka gagal membezakan antara agama dan budaya. Jadi, semua penganut Islam yang mahu kembali pada amalan agama, bertudung, menyimpan jambang dan berjubah itu dianggap pelampau agama.

Tapi surat itu tidak emak balas, entah mengapa.

Salji tebal di hadapan bangunan sudah habis disodok. Beberapa sukarelawan bersiap dengan pikap, bersedia untuk masuk ke kampung-kampung kecil di utara Tashkent. Malam ini mereka mahu berkampung di sana, berbuka puasa dengan penduduknya dan bersolat tarawih. Ann juga akan mengikut.

Tiga tahun di Tashkent, sudah tiga Aidilfitri Ann raikan di sini. Aidilfitri yang gersang dan suram. Cukuplah, tahun ini, Ann akan pulang. Ann tidak rela meraikan Aidilfitri tanpa perasaan. Perasaan kasih dan sayang sesama insan. Ann akan pulang empat hari lagi sebenarnya. Aidilfitri bakal menjelang 1 Oktober nanti, Ann akan pulang 29 September nanti.

Tidak sabar rasanya mahu menikmati lemang dan rendang. Tidak sabar rasanya mencium tangan emak. Terbayang-bayang Kuala Lumpur, terasa-rasa hentakan punggung di kerusi pesawat waktu kapal terbang mendarat. Ann tersengih pada setiap ingatan-ingatan itu. Oh... Tashkent... aku tidak rindu padamu Aidilfitri nanti, Ann tersengih sendiri.

Di sini, Aidilfitri dan Ramadan seakan tiada maknanya. Pada mereka, ia hanya sahur, berbuka puasa dan solat sunat Aidilfitri. Tiada kunjung mengunjung tiada maaf bermaafan. Semuanya kering dan kontang. Tiada rasa dan waktu-waktu begitu, tiba-tiba Ann jadi terlalu nostalgia dan melankolik pula, teringat beratur panjang, menanti giliran mencium tangan emak di pagi Aidilfitri.

Ann masih ingat Aidilfitri pertama di sini, solat sunat raya berlangsung sebaik selesai solat Subuh kerana kebanyakan mereka pengikut mazhab Hanafi. Ann terkejut dan tentunya nyaris terlepas kenikmatan solat sunat raya!

“Kami meraikan Navrus pada 1 Januari, musim bunga pertama bukan Aidilfitri,” kata-kata itu datang daripada seorang warga tempatan, Ana Karimov.

Ann meminjamkan telinga untuk Ana Karimov bercerita tentang keistimewaan Navrus. Ann tidak berminat untuk berdebat mengenai keistimewaan Aidilfitri dengannya. Biarlah, dia masih terlalu hijau dalam mengenal keistimewaan Ramadan dan Syawal. Ann maafkan dia, atas alasan terkurung selama 70 tahun dalam Soviet.

Kenderaan pikap yang akan membawa Ann dan enam sukarelawan yang lain ke utara Tashkent sudah penuh dengan muatan. Tapi waktu hendak bertolak, angin bertiup dengan kencang.

“Ribut salji!,” Ann panik.

1 Oktober

Mak,

Selepas tiga tahun tidak pulang raya bersama dan kali ini saya gagal lagi untuk menunaikan janji. Ketahuilah mak hati saya tidak pernah tenang. Doa saya untuk mengucup tangan emak pada pagi Aidilfitri tidak tertunai jua.

Seperti emak kata, Tuhan berikan apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu. Saya terima semuanya mak, walau dalam linang air mata.

Penerbangan keluar masuk di Lapangan Terbang Tashkent dibatalkan sejak dua hari lalu. Kata mereka mungkin dalam tiga atau empat hari nanti ia akan pulih. Apabila sudah terlalu lama berada dalam dakap Soviet, waktu-waktu nanar begini, mencari-cari jalan keluar sendiri, memang memakan masa. Saya maafkan mereka kerana ribut salji ini kehendak Tuhan jua adanya. Walaupun saya masih terkial-kial memaafkan diri sendiri kerana gagal mengotakan janji bersama emak pada Aidilfitri.

Sejak, dua hari lalu ribut salji belum berhenti. Malah anginnya makin kencang, melebihi dua kali ganda taufan.

Mak, saya tidak tahu bilakah surat ini akan tiba ke pangkuan emak. Saya hanya menulis dan menulis meluahkan seluruh gundah dan segala resah. Buat masa ini, sistem pengangkutan dan komunikasi di Tashkent lumpuh sama sekali. Bekalan elektrik sudah dua hari terputus. Salji tebal di Tashkent sudah menjadi ais setebal dua meter.

Kelmarin perintah berkurung dan darurat diisytiharkan. Tetapi saya dan beberapa sukarelawan lain mengikut pasukan tentera memberi pertolongan kepada penduduk di kawasan pedalaman .

Waktu-waktu sukar begini, saya menyaksikan sudah ramai yang tahu untung nasib perlu diadukan kepada Allah yang berkuasa. Saya melihat darurat dan perintah berkurung tidak menghalang mereka membanjiri masjid dan muazin melaungkan azan.

Waktu takbir bergema di langit Tashkent yang diserkup salji, saya terasa satu kenikmatan yang sukar diceritakan dengan kata-kata menusuk dalam hati. Ia sangat indah, melebihi keindahan percikan warna warni bunga api yang menghias gelap langit. Ia kemudiannya bagai api, memanaskan hati setiap warga Tashkent, mencairkan perasaan yang beku lewat makna Aidilfitri.

Untuk pertama kalinya emak, saya terasa sangat teruja solat sunat Aidilfitri sebaik tamat solat Subuh. Sejuk yang menikam, salji yang tebal, angin yang kencang tidak sedikitpun mematahkan semangat Muslim di sini berhari raya.

Terkurung dalam masjid sementara menanti kenderaan tentera membawa kami pulang ke kediaman masing-masing. Kami sempat bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Kami sempat berdakapan sesama Muslimah, menangisi pemergian Ramadan. Kami sempat menjamah roti, sup dan pilav.

Entah mengapa kali ini saya merasakan Aidilfitri di Tashkent sungguh menyentuh hati. Ia membakar seluruh kerinduan saya pada kampung halaman. Walau langit Tashkent mendung dan buminya tebal bersalji, ada magis dalam setiap hati kami. Seperti emak percaya, saya juga kini percaya, Aidilfitri itu akan lebih bermakna jika kita bijak memaknakannya.

Emak, terima kasih kerana mewajarkan saya ke sini, empat tahun lalu.


Biodata Penulis..

 
HAFIZAH Iszahanid, lulusan Sarjana Muda Seni Gunaan dari Universiti Malaysia Sarawak pada 2000. Mula menulis karya kreatif pada usia 16 tahun dan pernah menyertai Minggu Penulis Remaja kelolaan DBP. Kembali aktif dalam penulisan kreatif kebelakangan ini dengan beberapa cerpen mendapat tempat dalam pelbagai majalah seperti Nur, Jelita, Wanita dan Dewan Sastera. Sudah menghasilkan dua novel, Noktah di Hujung Rindu (2005) terbitan Marshall Cavendish dan yang baru menjengah pasaran, Kala Hujan Menitis, terbitan Buku Prima. Terbaharu, novelnya Sehiris Bulan (Disember 2011) diterbitkan oleh Jemari Seni Sdn Bhd.

* Cerpen ini insya allah akan diantologikan sedikit masa lagi :)


Di balik baju Melayu


Setiap sesuatu bermula dengan langkah pertama. Berbaju Melayu misalnya dimulakan sekitar  700 tahun dulu dan dipercayai diperkenalkan pada zaman empayar Melaka oleh Sultan Muhammad Syah (1424-1444) serta kaya dengan falsafah dalam berbusana.

Sultan Muhammad Syah ketika itu mahukan orang Melayu berbaju khusus bagi menampilkan mereka sebagai bangsa yang mempunyai jati diri sekalipun alam berpakaian, bukannya berbaju ‘atas angin’ seperti pakaian pedagang Arab atau India zaman itu.

Timbalan Dekan Pengajian Siswazah, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin ketika dihubungi menjelaskan, baju Melayu pada zaman Melaka awalnya dipakai singkat dan sendat seperti baju pesilat.

“Bagaimanapun, rekaan baju Melayu ini mengalami evolusi dan diubahsuai atas persetujuan sultan. Dari berbaju sendat dan seluar singkat, bajunya menjadi sedikit longgar dan labuh. Seperti kehendak Sultan Muhammad, pemakaian baju Melayu oleh orang lelaki bukan sekadar menutup aurat, tetapi lambang identiti bangsa.

“Cara penggayaan baju Melayu juga sebenarnya mengandung falsafah tersendiri. Orang Melayu sangat berhemah apabila bertutur kata dan perlakuan mereka, malahan pemakaian membawa makna tersendiri. Secara tidak langsung orang Melayu mendidik generasi muda melalui pemakaian.

“Baju Melayu ada dua rekaan iaitu cekak musang dan baju teluk belanga. Baju Melayu cekak musang butangnya lima, teluk belanga pula butangnya satu dan membawa falsafahnya sendiri. Berbutang lima merujuk kepada lima rukun Islam dengan dua butang diatas bermaksud, mengucap dua kalimah syahadah dan sembahyang lima waktu.

“Selebihnya diwakili tiga butang di bawah. Jika kita buang dua butang dan hanya pakai tiga, falsafah di sebalik menegakkan rukun Islam itu tidak tercapai. Malah, ada teromba mengenai pentingnya pemakaian lima butang baju ini;

cekak musang berbutang lima
lima rukun di dalamnya
lima petua dibawanya
lima tiang ditegakkan.

Pemakaian satu butang untuk baju teluk belanga bermaksud Tuhan Yang Esa seperti dinyatakan dalam teromba yang berbunyi,

teluk belanga berbutang tunggal
tunggal satu tuhan yang disembah
tunggal tidak dapat dianjak alih
tunggal tidak dapat dibelah.

Sungguh pun demikian, ada juga pandangan lain mengatakan, butang baju Melayu sebenarnya tujuh dan jenis ini dipakai oleh golongan aristokrat, manakala pemakaian kurang daripada tujuh hanya dikhususkan kepada orang kebanyakan.

Jika memakai baju Melayu ia mesti dilengkapi samping dan tanpanya pemakaian menjadi janggal kerana sebenarnya ia juga membawa maksud tersirat sama ada si pemakai sudah berkahwin atau sebaliknya.

“Orang dulu kalau hendak mencari pasangan atau menantu, tidak perlu buka mulut bertanya, awak dah kahwin atau belum? Melihat cara pemakaian pun sudah boleh diagak sama ada si pemakai bujang atau sudah berkeluarga,”

“Apabila mengenakan samping, lelaki yang sudah berkahwin mesti di bawah lutut, namun kalau orang bujang, sampingnya mesti di atas lutut. Kalau orang sudah kahwin, memakai samping singkat itu tandanya dia hendak menambah isteri,” ujarnya.

Dr Rosli memberi contoh teromba klasik berhubung pemakaian samping;

Adat memakai samping
kok sudah beranak bini
atau orang yang patut-patut
kain samping bawah lutut
sama setentang paras betis
ikat bergulung lurus lurus
jika ikat atas lutut
itu tanda nak cari lagi
harus tahu keadaan ini.

Kok anak muda muda
kain labuh di atas lutut
bagai dubalang masuk gelanggang
bagai ayam mencari lawan.

Dr Rosli mencadangkan ilmu dan falsafah di sebalik pemakaian baju Melayu perlu dihebahkan supaya lebih ramai yang tahu dan mempraktikkannya apalagi dengan kepantasan dan kecanggihan teknologi komunikasi hari ini.

“Orang muda tidak buat sebab dia tidak tahu. Kalau tahu tentu dia buat. Sebab ini adalah adat kita orang Melayu. Kalau kita tidak sebarkan ilmu ini sampai bila-bila pun ia tidak dapat dikongsi dengan masyarakat.

“Seperkara orang lelaki yang lengkap bersamping mesti tahu jaga adat dan adab bersamping seperti dipantunkan;

bila berkain tidak cermat
lambat laun tentulah kalah
bila bersamping tidak beradat
lambat laun malu terdedah
 
  * Artikel ini sudah disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 9 Ogos 2012.

Wednesday, August 8, 2012

Melukislah Sayang....




Pernah tak anda marah anak sebab mereka menconteng dinding? Sebenarnya, saya pun selalu juga marah.. heheh.. ialah kalau dinding rumah sudah jadi macam kanvas, tentu kita naik angin kan ?
Namun, cuba fikirkan semula tindakan itu kerana lukisan atau contengan si kecil itu mungkin sebenarnya lebih daripada sekadar kreativiti, sebaliknya itulah luahan isi hati mereka.
 
Menurut pakar psikologi, lukisan bukan hanya sekadar menjadi saluran kanak-kanak meluahkan perasaan tetapi pintu masuk kehidupan mereka. Malah, sejak sekian lamanya, lukisan dijadikan alat oleh pakar psikologi untuk mendekati kanak-kanak bermasalah seperti mangsa dera, mangsa rogol atau kanak-kanak yang berdepan masalah autisme dan Sindrom Asperger.
  
Menerusi lukisanlah, pakar psikologi mengenal pasti masalah dan isu yang melingkari kehidupan kanak-kanak. Setiap hasil seni kanak-kanak itu bercerita, menjadikan seni lukis dan kanak-kanak sangat intim.

Lukisan juga menjadi medium si kecil membina personaliti, memerhati persekitaran, penanda aras pembangunan intelektualnya, kemahiran komunikasi, selain boleh membantu diagnosis ketidakupayaan dirinya dalam pembelajaran. Seni lukis juga cara mereka menterjemah apa yang dirasa dan dilihat.

Justeru, seni lukis sebagai terapi adalah cara efektif untuk kanak-kanak membentuk dan menjelaskan emosi. Ia juga alat paling berkuasa memberi kanak-kanak kebolehan untuk meluahkan pendapat, emosi, ketakutan dalam persekitaran yang selamat. Setiap hasil seni kanak-kanak itu bercerita.

Semua kanak-kanak lahir dengan kecenderungan menconteng. Justeru, kanak- kanak adakalanya melukis apa yang mereka lihat di sekeliling persekitaran. Ada kanak-kanak yang memerhati persekitaran dengan lebih kritikal.

Apabila mendalami hasil lukisan kanak-kanak, perhatikan warna yang dipilihnya. Pakar psikologi percaya, pemilihan warna dalam lukisan juga menjadi pengukur emosinya.

Pada 1975, seorang profesor pendidikan seni di Universiti Pennsylvania State, Viktor Lowenfeld, memperkenalkan teori pembangunan artistik berdasarkan tahap kreativiti dan kognitif yang sistematik.

Umumnya, setiap kanak-kanak yang sihat dan normal akan melalui setiap satu daripada fasa perkembangan ini.

Fasa melukis kanak-kanak

* Menconteng pada usia dua tahun dan kekal hingga usia empat tahun. Ia bermula apabila kanak-kanak mula bijak memegang pensil warna atau krayon dan menconteng buku. Ada kala ia bermula pada usia 18 bulan. Kanak-kanak lebih berminat pada warna yang diconteng di kertas atau dinding. Ada juga kanak-kanak yang kagum pada hasil kerjanya sendiri.

* Pada peringkat ini mereka sudah punya imaginasi sendiri. Bulatan senget, bagi mereka adalah kucing. pada masa lain pula, bulatan senget mungkin mewakili `ayah' atau `ibu.'

Fasa prasimbol

* Bermula pada usia empat tahun atau lebih awal atau lewat bergantung pengalaman artistik dan budaya kanak-kanak itu. Lukisan `anak berudu' sudah berubah menjadi sedikit sempurna. Lukisan ayah atau ibu bertambah baik dengan wajah, tangan ada kala jari kaki tetapi tiada badan.
 
  Kadangkala wajah ayah tersenyum lebar. Kepala pula lebih besar daripada tangan atau kaki. Kanak-kanak pada usia ini biasanya belum mampu melukis badan kerana pada kanak-kanak, kepala itu penting kerana mereka makan, bercakap, mendengar menggunakan anggota di bahagian kepala. Mereka juga pada peringkat ini melukis apa yang mereka tahu.


Fasa berjadual

* Bermula usia tujuh tahun dan berterusan hingga usia sembilan tahun. Kanak-kanak membentuk skema spesifik atau simbol untuk orang dan objek dalam persekitarannya dan akan melukis secara konsisten berulang kali. Bentuk manusia dilukis dengan bahagian badan yang sempurna dan bukan lagi orang lidi. Pada usia lapan atau sembilan mereka sudah boleh melukis watak kartun kegemaran mereka atau adiwira kesukaan mereka. Pada fasa ini mereka melukis apa yang mereka lihat.


Fasa realistik

* Bermula pada usia sembilan tahun dan lukisan yang terhasil juga lebih teliti. Jika melukis orang, ia lebih terperinci dan mampu melukis dalam perspektif jauh dan dekat. Mereka lebih sensitif jika ada yang mengkritik lukisan itu.

Maksud warna dilukis kanak-kanak

* Warna hitam dan merah mungkin menjelaskan isyarat dia berdepan masalah. Rona hitam selalunya menggambarkan tekanan, rasa tiada harapan atau tersekat.

* Merah merujuk kemarahan.

* Biru dan hijau adalah warna tenang.

* Warna kuning dan oren menandakan keceriaan.

* Apabila kanak-kanak melukis unsur menakutkan dan warna hitam, kanak- kanak itu sebenarnya berdepan masalah yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.

Pengalaman saya, pernah dulu seorang pakar psikologi di PPUM, berkongsi cerita ada pesakitnya asyik melukis gambar sebuah meja dan sebuah kerusi. Akhirnya, dia tahu kanak-kanak itu diasingkan oleh gurunya kerana dia sangat aktif.
 
Kanak-kanak itu kalau tidak silap pesakit Sindrom Asperger. Kasihan kan kanak-kanak sekecil itu diasingkan sendirian dalam bilik besar sementara rakan sebaya duduk dalam kelas ramai-rami. Huhuhu... kasihan dia..
 
 
Copyright note: SETIAP NOTA DALAM ENTRY INI BOLEH DIKONGSI TETAPI KREDITKAN KEPADA BLOG SAYA YA... hafizahiszahanid.blogspot.com

Friday, July 13, 2012

Pertarungan




Amron Omar, misteri dan tersendiri. Sejak 1970-an hingga kini, Amron kekal dengan Siri Pertarungan, tema yang dibawa sejak diawal kemunculannya sekitar 1974.


Sesudah 38 tahun, pertarungan masih kekal mengangkat subjek seni silat tetapi dengan kekuatan teknik, gaya, dan tenaga yang lebih terperinci dan mengkagumkan sesuai dengan peredaran masa.

Sejak diawal kemunculannya, Amron sudah mendapat perhatian pengkritik seni seperti Redza Piyadasa dan Syed Ahmad Jamal. Malah dia berupaya membuatkan fokus seni figuratif ketika itu yang tertumpu kepada Hossien Enas beralih kepadanya.

Untuk pertama kali  sesudah 38 tahun menelusuri dunia seni halus, Amron muncul buat kali pertama dengan pameran solo terbesar. Pameran yang menghimpunkan 150 buah catan itu adalah rekod kronologi perjalanannya sebagai artis sejak 1974, selain bukti Amron masih prolifik dalam berkarya.

Mungkin, dari sisi lain, Pertarungan juga sesuatu yang boleh dilihat sebagai 'zon selesa' untuk Amron. Hingga Amron hampir tidak pernah berkarya selain Siri Pertarungan.
Namun jika diteliti, seni silat yang diangkat Amron dalam setiap catan Siri Pertarungan bukan hanya lambang kemelayuan dan jati diri bangsa tetapi adalah juga lambang kekuatan lelaki dan jati diri. Silat sendiri sebagai seni tradisional adalah lambang maskulin bagi Amron.

Dari dulu dan kini karya-karyanya memperjelaskan sisi pertaruangannya dengan dunia di sekeliling. Pertarungan itu mungkin dari sudut politik, ekonomi atau sosial, dan ia diterjemah dengan baik di atas kanvas.

Pertarungan untuk Amron lebih ikhlas disampaikan melalui sesuatu yang dekat dalam jiwa. Justeru, Pertarungan dimanifestasikan dengan gaya figuratif, silat - sesuatu yang tidak lari jauh daripada jiwanya kerana bapa Amron adalah seorang guru seni mempertahankan diri. Justeru, dalam Pertarungan, ada tenaga, rentak dan kekuatan.

Amron seorang yang sangat teliti. ketelitian itu menyaksikan hasil kerjanya terhasil sangat terperinci. Malah daripada melukis berpandukan rakaman imej pesilat, hari ini Amron mungkin satu-satunya artis yang boleh menghasilkan catan gerak tangkas seperti itu tanpa merujuk pada mana-mana gambar.

Ketelitian dan kesungguhan mengkaji gerakan silat menjadikan ia sebati dalam dirinya. Lalu memungkinkan Amron memindahkan imej dari akal ke atas kanvas. Ketajaman daya visualnya dan ketelitian perlaksanaannya boleh disifatkan sebagai tahap lanjutan (advance).

Secara ringkas keadaan tersebut berlaku akibat dari tahap kepekaan, daya pemerhatian dan pencernaan beliau yang amat tajam dan berdisiplin dalam membina gubahan visualnya. Hal tersebut juga berlaku hasil dari kemahiran kawalan, kematangan dan kepekaan tinggi beliau dalam penggunaan bahantara dan medium seni yang digunakan.

Meneliti hasil kerjanya sejak di awal pembabitan dalam seni halus, sukar untuk menolak kenyataan, Amron adalah antara seniman terbaik dan paling tekal pernah dimiliki oleh dunia seni moden Malaysia. Selain menjadi penanda aras anjakan kualiti catan pelukis Malaysia.

Justeru, selain mempamerkan 150 buah karya terpilih dari Siri Pertarungan yang diatur mengikut kronologi masa, terdapat 608 keping lakaran gerakan silat yang dibuat atas tisu. Lakaran itu adalah sebahagian proses memahirkan diri dengan setiap anatomi tubuh manusia apabila bersilat. Ia dihasilkan bermula tahun 1998 hingga 2011 secara santai sementara menghabiskan secangkir minuman di kedai kopi.

Pameran yang bermula 17 Februari lalu dan dijangka berakhir Jun 2012 ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu catan (Galeri 3B) dan karya atas kertas (Galeri 3A). Hampir keseluruhan karya yang berada di dalam pameran ini dipinjamkan daripada kolektor yang setia mengikuti perjalanan seni Amron. Turut juga menjadi sebahagian pameran adalah puisi tulisan Amron yang pernah terbit di Berita Harian sekitar 1970-an.


Friday, May 18, 2012

Motivasi sendiri !

Hendak tulis novel. Tapi tiada masa :(

Idea sudah cukup lama diperam. Sudah boleh dikeluarkan, tapi terkejar-kejar.

Banyaknya sayembara novel/skrip, aduhai.. kesian kat aku tak sempat nak masuk ...

Jadi, motivasi?

Ulang balik baca novel lama.. * eh, aku tulis semua tu? Boleh pun. Jadi pengurusan masa kena betul.

Dalam keempat novel yang sudah terbit, Kala Hujan Menitis mengajar banyak perkara.

Mengajar aku tentang tanggungjawab seorang penulis tidak terhenti pada sebuah naskhah. Tanggungjawab itu akan ditanggung sampai mati.

Kalau orang tanya, aku memang tak galakkan diorang beli/baca Kala Hujan Menitis. Ia bagai turning point untuk lebih menginsafi diri... cewahhhh....

Novel seterusnya? Puan Penerbit sudah bertanya waktu bertemu di PBAKL 2012 dulu. Insya allah tahun hadapan, semoga Allah mempermudahkan.




* Tmpek kulit novel lama hanya untuk memotivasikan diri sendiri :D . Novel pertama tidak jumpa pulak! Jadi tak boleh nak tempek.

* Mudah-mudahan  akan ada yang kelima menyusul tidak lama lagi. Emmm... doakan.

Friday, April 20, 2012

Seorang Kawan

Engkau tidak pernah salah kawan, apabila memilih untuk tidak pulang
Selepas menyalam tangan ayah bonda puluhan tahun dulu dalam gerimis senja

menyisip janji menjadi siswa dan pulang menjadi insan merdeka

Engkau tidak salah kawan untuk membiarkan aku sendiri
Menepis dan menangkis semua onak yang datang dan melintang dalam bengkang bengkuknya jalan kehidupan

Engkau juga tidak salah kawan apabila hujan emas menjadikan hatimu kaku
Dan roh manusiawi menjadi nihil dalam jasadmu
Hujan emas melemaskan
Hujan batu itu merimaskan
"Jangan cari nostalgia kawan, cari realiti " – aku menghadap pesan itu yang kau tulis untuk aku.

Bila pergi, pulanglah sesekali.
Ada roh masih tersimpul mati jauh dalam urat nadi.
Roh Melayu yang sejuta tahun pun kau tak biasa padam.
Seperti dulu, aku masih kawan, lalu kawan wajib saling menghormati.



Bangsar, Kuala Lumpur.

Wednesday, April 18, 2012

Jumpa di Pesta Buku !





Hujan petang.


Tempias hujan terpercik ke muka. Alahai sejuk pula. Anginnya buat nak cepat-cepat naik ke ofis, menyarung jaket tebal.


Ada banyak rencana perlu buat tapi satu pun belum terbuat. Menunggu mood yang entah bila akan datang.


Terus terkenang boss lama yang selalu pesan, kerja menulis tiada ada istilah tunggu mood. Ketuk, ketuk, ketuk. Kalau tunggu mood, sampai pencen mood belum tentu datang. Ha-ha.. :)


Nak Tulis Novel Baharu.


He - he... idea banyak tapi kudrat tiada.


Merapu-rapu antara masa kini dan masa silam, kadang-kadang sambil bawa kereta, ada banyak idea - adegan menyelinap.


Namun tiada kudrat hendak memindahkan apa yang ada dalam benak ke dalam manuskrip.


Mahu tulis yang dekat dengan diri tapi jauh sedikit (sahaja) dari Sehiris Bulan. Tapi apabila bulan sudah tinggal sehiris, susah juga sebuah matahari hendak bersinar. He - he...


Oh, minggu hadapan pesta buku! Kalau berkesempatan jemputlah ke booth Jemari Seni pada sebelah pagi 5 Mei 2012.


Saya ada di situ dengan kawan-kawan penulis lain. Jangan cari Engku Effendi ... dia hanya ada dalam Sehiris Bulan.


Jumpa nanti !




Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...