Wednesday, February 13, 2013

Lelaki Januari - 2




Tadi, sebaik tiba di rumah abah menyambut dengan senyum. Kata abah, emak ada di rumah sebelah, rumah Mak Som. Mak Som membuat kenduri kesyukuran kerana suaminya Pak Abbas sudah mendapat kerakyatan Malaysia minggu lalu.

Seingat ku, Pak Abbas adalah lelaki Mesir yang jatuh hati dengan Mak Som ketika mereka sama-sama menuntut di Kaherah. Santun gadis Melayu memikat hati Pak Abbas sejak 30 tahun lalu. Cinta dan kasih gadis Melayu membuat Pak Abbas akur untuk meninggalkan tanah tumpah darahnya untuk bersama Mak Som.

Untuk aku, Pak Abbas dan Mak Som adalah kisah cinta klasik yang sangat romantis. Meskipun keduanya tidak dikurniakan anak tetapi cinta antara mereka segar dan mewangi bagai dulu-dulu.

“Mak Laila di sana,”

Mak Som menunding jari pada emak yang sibuk membentang seprah di tengah ruang tamu. Ada piring kecil gulai dalam talam yang menanti untuk disusun atas seprah itu. Aku angguk dan berlalu.

“Mak,”

“Laila, bila sampai?,”

“Baru sekejap tadi,” aku cepat mendakap emak, menyalami dan mencium tangan emak. Kemudian, piring kecil gulai dan mangkuk nasi diatur atas seprah yang sudah dibentang emak.

“Siapa nak makan ni mak?,”

“Kitalah..,”

“Kalau kita, buat nasi kandar dah la.. apa nak teruk beno nak bentang seprah?,”

Emak menyengih.

Kemudian, aku terdengar suara derai tawa Mak Som di hadapan pintu. Sambil duduk bersila menghadap hidangan yang tersedia, aku memandang ke arah Mak Som.

Mak Som sedang memegang kedua-dua tangan seorang perempuan yang jauh lebih bergaya daripadanya. Perempuan bertudung krim dengan baju sedondon dan berantai labuh dengan gaya ala-ala datin itu pun kelihatan mesra dan sibuk ketawa bersulam-sulam bicara.

Agaknya kawan lama Mak Som. Agaknya saudara Mak Som. Atau kakak Mak Som. Eh, lantaklah bukan ada kena mengena dengan aku pun. Aku pantas terus menceduk nasi.

Bau masak lemak daging salai membuka selera. Ulam pegaga, ulam kacang botol dengan sambung nyawa yang tersusun kemas dalam piring sudah memanggil-manggil. Bau sambal belacan dan ikan masin menusuk-nusuk hidung. Hai, mana boleh tahan!

Waktu nasi panas sudah masuk ke pinggan, emak mencuit dari belakang.

“Hoi anak dara, cer sabo sikit… tunggu le orang lain. Tadi bukan main cakap nak buat nasi kando… ni orang dah hidang pandai pulak bukak sila ya,”

Aku tersengih-sengih. Bau nasi panas menggoda-goda selera.

“Kejap, ajak kakak Mak Som tu makan sekali,” mak tunding jari pada perempuan ala-ala mak datin di hadapan pintu. Betullah tu, kakak Mak Som! Hati separuh bersorak.

Lama menunggu, borak Mak Som dan kakaknya itu tidak pun bernoktah. Emak pun tumpang bercerita sama, bagai sudah lama saling mengenal.

Aku jadi malas menunggu. Perut pun sudah berbunyi-bunyi. Bau nasi panas dan gulai lemak daging salai aduh.. menusuk masuk ke hidung. Tidak boleh jadi ni!

Aku tidak peduli tentang Mak Som dan kakaknya itu lagi.Dengan bismillah aku khusyuk menikmati nasi panas dengan ikan masin berulam kacang botol. Walau pedas sambal belacan tidak terkira, aku bedal juga.

Nikmatnya tuhan saja yang tahu!

“Amboi, sedap pulun nasi sampai tak sempat nak ngajak orang,” Mak Som menyapa. Aku spontan angkat kepala.

Mulut masih mengunyah nasi, pipi kembung macam ikan buntal. Namun waktu itu, mataku bertembung pandang dengan seorang remaja lelaki yang hampir sebaya di belakang Mak Som, yang sedang tersengih-sengih memandang ke arah aku.

“Anak dara buruk kelaku,” mak sempat mencubit peha, hanya untuk membuat aku tersedak. Bersembur nasi dari dalam mulut. Ya Allah, mata sudah berair. aku cepat-cepat capai gelas air di di hadapan.

Dalam kalut tersedak dan menahan malu, aku terdengar suara orang ketawa. Suara orang itulah bercampur-campur dengan tawa kecil kakak Mak Som.

Emak berwajah masam. Tentu saja menahan marah, anak perempuannya ini tidak beradab. Mak Som hanya senyum.

Selera makan mati. Rasa malu menerpa tiba-tiba. Si budak lelaki itu tidak habis-habis ketawanya.

Malunya aku ! Terasa pipi sudah luruh.

Emak pun, kalau hendak marah, kalau hendak cubit janganlah waktu mulut penuh. Lebih parah, budak lelaki itu dan emaknya – kakak Mak Som duduk bersila pula berdekatan aku pula. Menarik pinggan, selamba menceduk nasi.

Aduhai, aku pula yang terasa malu sungguh-sungguh! Perlahan-lahan aku bangun dari sila. Pinggan porselin putih bunga kangkung yang masih berbaki dengan nasi diangkatnya di bawa ke dapur. Sumpah, aku masih lapar. Lapar sungguh. Tetapi kerana malu, aku perlu pergi dari situ.

Ketika kaki melangkah ke dapur, aku masih terdengar sisa tawa si lelaki itu sambil ada suara melarangnya ketawa lagi.

‘Malu dia… dia tu anak dara tak baik ketawakan begitu,”

Malunya tuhan saja yang tahu!

Eiii… kalau boleh aku tidak ingin lagi bertembung dengan kakak Mak Som dan anak lelakinya itu.

Aku sudah berjanji dengan diri sendiri, aku tidak mahu lagi ke rumah Mak Som selagi majlis belum langsai.

Tapi apakan daya, emak langsung tidak mahu faham! Emak minta pula aku tolong Mak Som basuh pinggan di bahagian dapur kering di rumah Mak Som.

Alahai mak, nanti-nantilah orang tolong!

Sekarang Laila!

Emak guna kuasa veto. Aku tiada hujah hendak melawan. Walau wajah kelat, arahan emak bagai arahan jeneral angkatan perang. Mesti buat!

Alahai, Mak Som ni pun satu bukan hendak buat catering! Kan senang, lepas kenduri semua siap,” sempat aku membebel. Emak menjeling tajam membuat aku terdiam.

“Kalau buat catering tiada semangat ukhwah dan persaudaraannya, tak ada sesi gelak dan usik mengusiknya,” emak membalas sesudah jeling tajamnya mendiamkan aku.

Dan sudahnya, aku terperuk di dapur menghadap timbunan pinggan mangkuk kotor.

Nasib baik ada Kak Dayana, jiran di hadapan rumah. Kak Dayana orangnya cekap membuat kerja dapur. Pantas dan cepat. Selalu saja emak memuji Kak Dayana.

Sambil bersembang-sembang dan usik mengusik dengan Kak Dayana, tidak sedar pinggan kotor yang bertimbun langsai dibasuh.

“Pinggan ni nak letak mana?,” tawa ku terhenti tiba-tiba. Remaja lelaki yang sakan mentertawakannya tadi berdiri tegak menghadapnya. Tangan kanannya kotor dengan sisa makanan, tangan kirinya menghulurkan pinggan kotor.

Ya Allah.. sungguh.. aku terasa seluruh dirinya cair waktu lelaki itu tersenyum, waktu mata bertentang. Malu sungguh-sungguh!

Ketawanya tadi terngiang-ngiang lagi. Kerja-kerja membasuh pinggan terhenti tiba-tiba. Aku bakai terpukau, asyik memandang buih-buih sabun dalam besen.

“Bagi pada akak,” suara Kak Dayana menusuk ke telinga. Dan kemudian aku melihat dari bayang air yang sedikit kelam, pinggan kotor dihulur dan dia melangkah pergi.

“Amboi macam dilanggar garuda kan? Senyap sunyi..,” Kak Dayana tergelak-gelak. aku masih terdiam. Rasa malu masih belum mahu pergi.







* Lelaki Januari oleh Hafizah Iszahanid - Hak cipta terpelihara. Dilarang menyalin semula, menerbitkan dan apa saja aktiviti yang melanggar akta hak cipta.

Lelaki Januari ~ 1


Lelaki Januari ~ novel baru yang akan terbit tahun ini, insya allah.



Seingatku, kami benar-benar bahagia untuk 60 hari. Selepas itu, hari-hari yang berlalu adalah medan peperangan kata. Peperangan rasa.


Sepatutnya kami boleh saja berbahagia. Kahwin dalam usia muda, kemudian hidup berdua jauh di tanah Eropah kami hanya ada antara satu sama lain.

Tapi sungguhlah tuhan itu yang menentukan perancangan manusia. Walau sehebat mana perancangan kita, pada akhirnya segala keputusan terletak pada-Nya jua.

Jadual kuliah di sebelah siang kalau pun ia tidak upaya menemukan kami, di sebelah malam boleh saja kami duduk-duduk berdua.

Tapi tidak, kami sibuk entah apa yang dikejar. Hingga ada kala berpapasan di pintu perpustakaan utama kami hanya berbalas senyum atau menjelir lidah manja sesama kami. Tanda mesra kononnya!

Atau hanya melambai dari jauh, hanya menyapa hai dan hoi lalu pergi. Ada kala hanya bagai rakan senegara bukan suami isteri.

Perkenalan kami sebenarnya bermula dalam satu pertemuan di rumah Mak Som, jiran sebelah rumah. Jiran yang sangat akrab dan ada kala lebih dianggap sebagai emak saudara bukan sebagai jiran.

Dan perkenalan aku dan Ali Syukri sebenarnya sangat manis dan mengamit aura romantis. Perkenalan pada bulan Januari.

Seingatku, ia terjadi waktu usia masih remaja. Baharu berusia belasan tahun. Masih dalam kelas persediaan ke seberang laut dan menghitung-hitung hari keberangkatan.

Aku memejamkan mata. Dalam gelap pandang, kenangan itu datang. Sungguh, kenangan itu tidak upaya dilupa walau sekelumit pun. Malah waktu ini, kenangan itu terlalu jelas terbayang, terpampang, terkenang. Kerap. Terlalu kerap. Rindukah aku pada Ali Syukri ?

“Dah sampai pun anak dara orang sebelah ni,”

Aku masih ingat senyum Mak Som yang lebar. Terlihat-lihat susunan giginya yang tidak lurus, bergigi taring tetapi menyerlah manis pada wajah itu.

Aku terkenang hangatnya dakapan Mak Som waktu itu. Terasa-rasa kasih sayang dan seluruh keikhlasan Mak Som mengalir ke urat saraf lewat pelukan itu, walau ia sudah bertahun-tahun berlalu.

Aduhai, Mak Som itu jiran yang baik dan sejak dulu pun selalu saja dianggap bagai darah daging sendiri.

“Jadi, apa khabar?,” mata Mak Som besar bersinar waktu memandang. Senyumnya tak surut. Manis dan menenangkan. Kedua-dua tangannya masih memegang bahuku, mesra.

“Alhamdulillah..,”

“KL Ipoh tak jauh, tak penat pun naik keretapi kan?,” senyum Mak Som masih belum surut, makin merekah malah. Penat perjalanan dari Kuala Lumpur untuk dibawa balik semuanya ke Ipoh terasa hilang begitu sahaja dengan kemesraan Mak Som.




Tuesday, February 12, 2013

Deru Angin - Menangkis Islamofobia Barat



Terima kasih untuk Rozais Al Anamy untuk ulasan Deru Angin di Mingguan Malaysia keluaran Ahad 10 Februari 2013.

Ulasannya sangat tepat dan sangat menyeluruh untuk naskhah ini.

Terima kasih daun keladi.

Thursday, November 8, 2012

Gold Boy and Emerald Girl







Lupakan novel The Vagrants atau himpunan cerpen A Thousand Years of Good Prayers tulisan terdahulu Yiyun Li, kali ini Gold Boy and Emerald Girl membawa kita menyelami pengalaman peribadi pengarangnya yang boleh dikesan di sana sini dalam naskhah ini.

Seperti juga kebanyakan penulis kelahiran China, Ha Jin atau Ma Jian yang membesar di bawah teraju komunisme, karya Yiyun Li juga tidak jauh lari dari pengalaman itu.  Garis pemisah mereka ialah sudut pandang Li bercampur antara tradisional dan modenisasi, sesuai dengan dirinya sebagai pengarang yang lahir pada 1970-an.
Gold Boy and Emerald Girl sebenarnya adalah himpunan sembilan cerpen. Halaman pertama naskhah ini mencuit perhatian apabila pembaca dihidangkan dengan ‘Kindness”. Tidak sesuai diistilahkan sebagai cerpen kerana ia ditulis mencecah 80 halaman - hampir separuh daripada naskhah memiliki 221 halaman - ia adalah sebuah novella mengenai kehidupan seorang anak dara tua bernama Moyan.

Kindness adalah kisah yang dinaratif dengan baik, kisah pencarian diri watak utamanya Moyan, 40 tahun yang mengimbas persahabatannya dengan seorang pegawai tentera, Leftenan Wei ketika sama-sama berada di dalam kem latihan. Berita kematian Wei yang diterimanya membuka karya ini dengan imbasan perlahan-lahan Moyan pada sejarah persahabatan mereka.

Moyan memilih untuk hidup membujang dan tidak mencintai orang lain, mungkin terkesan dengan pengalaman ibunya yang gila - dipaksa berkahwin dengan lelaki yang 30 tahun lebih tua atau kerana dirinya yang merupakan anak angkat, Moyan diakhir cerita berasa dia tidak berlaku adil pada dirinya sendiri.

Moyan juga mungkin memilih tidak mahu berkahwin kerana terkesan dengan pesanan Professor Shan yang menasihatinya menjauhi cinta. Antara lain Professor Shan selalu memberitahu Moyan tanpa cinta, seseorang itu akan sentiasa bebas. Namun pesanan dan kematian Wei menimbulkan rasa tidak adil pada dirinya sendiri dan langsung membuat pembaca jatuh simpati.

Kesedihan dan simpati jatuh pada watak Moyan hilang begitu saja waktu membaca cerpen ketiga dalam antologi ini, Prison. Ia lebih beremosi dan tampil sebagai cerpen yang mewakili generasi baru China yang berhijrah ke Amerika.

Pasangan suami isteri Yilan dan Luo kembali ke China untuk mencari ibu tumpang selepas anak mereka mati dalam kemalangan jalan raya. Mereka bertemu Fusang yang bersetuju untuk mengambil upah sebagai ibu tumpang. Latar belakang Fusang yang hitam juga menyebabkan dia memahami hati Yilan. Untuk rekod, satu ketika dulu program ibu tumpang memang popular dan dibenarkan di China sebelum ia diharamkan bermula pada 2001.

Bagaimanapun dalam proses itu,jauh dari sangkaan, watak wanita dalam Prison akhirnya menjalin hubungan emosi yang cukup mendalam dengan perempuan yang diupahnya sebagai ibu tumpang.

Li dalam satu temuramah akhbar dua tahun lalu menjelaskan, Prison ditulis selepas dia diberitahu mengenai kisah seorang ibu yang memiliki sepasang anak kembar yang dilahirkan oleh ibu tumpang di China.

Sesuatu yang menarik tentang pengarang ini, tidak seperti penulis keturunan China lain yang memerlukan penterjemah, Li memiliki penguasaan bahasa Inggeris yang baik. Sebagai generasi muda yang berhijrah ke Amerika pada usia pertengahan 20-an, Li dilihat masih kental dengan budaya dan latar budaya negara asalnya. Karyanya tebal dengan watak-wataka dari Tanah Besar di zaman komunisme atau selepas Revolusi Budaya.

Mungkin, bagi mereka yang tidak berminat dengan sejarah atau budaya China, karya Li atau mana-mana penulis Tanah Besar China tidak begitu menarik perhatian. Namun dengan kedudukan mereka sebagai pengarang yang semakin diiktiraf dunia, membaca karya-karya penulis China sebenarnya membawa kepada dimensi baru pengetahuan.


* Ada sembilan cerpen, tapi dua ini yang menarik perhatian saya. Mungkin untuk anda, cerpen lain seperti Gold Boy and Emerald Girl yang menjadi tajuk antologi ini lebih menarik.


Sunday, October 28, 2012

13 Mei Dari Kaca Mata Bekas Pegawai British





Tragedi 13 Mei 1969 jarang dibicarakan secara terbuka. Selepas 43 tahun, tragedi yang meragut ratusan nyawa itu masih dilihat isu yang sangat sensitif untuk dibincangkan.

Namun, sejarah itu fakta dan bagaimana kita melihat sejarah itu pula terpulang kepada ilmu dan kerasionalan minda. Justeru, untuk lebih mengenal kisah pembentukan Malaysia dan sejarah hubungan Melayu - Cina, buku Peristiwa 13 Mei : Sejarah perhubungan Melayu-Cina tulisan Leon Comber ini wajib dibaca.

Asalnya buku ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris berjudul 13th May 1969 : A Historical Survey of Sino-Malaya Relations. Ia adalah tesis sarjana Comber sebelum diterbitkan dan kemudiannya diterjemahkan oleh Omardin Haji Ashaari ke dalam bahasa Melayu.

Meskipun terdapat pelbagai pandangan mengenai tragedi itu, Comber dalam buku ini secara jelas menceritakan ia adalah bertitik tolak dari kedegilan untuk bekerjasama antara kedua kaum itu dalam sesetengah isu. Keadaan itu diburukkan lagi dengan polisi pecah perintah dan dasar pilih kasih yang diamalkan oleh penjajah baik Inggeris mahu pun Jepun.

Sepintas lalu, sejarah imigran dari China menjadi topik permulaan naskhah ini. Ini diikuti dengan sejarah orang Melayu dan bagaimana mereka melihat kemasukan ramainya imigran dari luar negara.

Meskipun awalnya kemasukan itu kerana hambatan ekonomi dan sebahagian besar imigran juga tidak berminat untuk kekal menetap di Tanah Melayu, senario ia mula berubah apabila politik dan ekonomi di China semakin kusut. Dasar pemerintah Tanah Melayu juga semakin terbuka malah Inggeris ketika zaman penjajahannya mewujudkan jabatan khas bagi melindungi kebajikan imigran.

Kedatangan yang ramai, berkeluarga dan akhirnya beridentiti sebagai Cina Malaysia, ia dilihat sebagai ancaman oleh sebahagian orang Melayu yang mula celik politik. Cerdik pandai Melayu mula bimbang dengan tuntutan politik orang Cina yang dilihat dalam banyak hal enggan berkompromi terutama dalam isu bahasa.

Prinsip Jus Sanguinis yang digunapakai oleh pemerintah China terhadap orang-orang Cina di Tanah Melayu ketika itu juga menyebabkan orang Melayu berasa mula terancam.

Tolak ansur dan kesepakatan pada satu ketika digunakan bagi mencapai kemerdekaan. Rundingan antara politikus Melayu dan Cina memperakui prinsip Jus Soli dalam usaha meraih kemerdekaan. Ia diiringi dengan pengiktirafan hak istimewa orang Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu.

Meskipun begitu, usaha-usaha politik perkauman yang diperjuangkan oleh sesetengah pihak menyebabkan api prasangka dan curiga antara Melayu dan Cina tidak mampu dipadamkan sepenuhnya.

Pada satu pihak, mereka berasakan sebagai warganegara yang lahir, berkeluarga dan membesar di Tanah Melayu mereka juga punya hak untuk menentukan hala tuju pemerintahan negara tanpa mahu berkompromi dalam isu bahasa dan budaya. Sementara pada satu pihak lagi, mereka melihatnya sebagai satu cubaan untuk merampas apa yang dinamakan ‘ketuanan’. Kecurigaan, prasangka dan saling tidak mahu memahami ditambah oleh isu-isu perkauman yang dipolitikkan, akhirnya diterjemahkan dalam tragedi berdarah 13 Mei 1969.

Meskipun ia kemudiannya menjadi titik tolak hubungan kaum yang lebih harmoni, isu hubungan Melayu Cina ini sebenarnya adalah isu yang tidak pernah berkesudahan. Selepas 43 tahun, 13 Mei sepatutnya tidak lagi dianggap sensitif untuk dibincangkan. Apa yang terjadi, ia tidak dijelaskan dan hari ini, semakin ramai generasi muda yang lupa pada peristiwa berdarah itu dan mula mempersoalkan apa yang termeterai dalam perlembagaan.

Isu ini sepatutnya sudah selesai 43 tahun lalu. Apabila 13 Mei tercetus disebabkan kecurigaan, prasangka dan saling tidak memahami sepatutnya ia ditangani dengan menyemai perpaduan antara penduduk berbilang etnik. Perpaduan itu seharusnya bermula dengan penggunaan satu sistem persekolahan dan satu bahasa sahaja, sebagai jalan utama.

Bagaimanapun, hingga kini Malaysia mungkin satu-satunya negara yang masih mempunyai sistem persekolahan berbilang bahasa dan secara tidak langsung memecahkan perpaduan rakyat menerusi pengasingan sistem persekolahan malah hingga ke peringkat universiti.

Comber menutup buku ini dengan catatan yang sungguh menarik dan perlu kita amati dengan fikiran terbuka. Tegas Comber, “ sunggupun pada peringkat permulaannya, dasar tersebut telah ditentang oleh orang Cina dengan tegas, tetapi jikalau semua ini diterima, ini akan menghasilkan orang-orang Cina yang mempunyai pendidikan melalui bahasa pengantar Bahasa Melayu dengan cara yang beransur-ansur. Mereka akan mempunyai pandangan hidup secara rakyat Malaysia. Mungkin ini akan mengambil masa yang lama tetapi masa hadapan mungkin cerah,”.
 
* Dr Leon F Comber adalah antara bekas pegawai British yang pernah bertugas dalam pasukan polis cawangan khas ketika tahun-tahun darurat di Tanah Melayu. Bertugas sebagai Fellow Penyelidik Kehormat di Institut Asia - Monash, Universiti Monash Australia.

Thursday, October 11, 2012

Hadiah Nobel Kesusasteraan 2012 - Mo Yan


                                             Mo Yan @ Time. Ulf Andersen / Getty Images




Berlaku jujur, saya tidak kenal Mo Yan. Saya tidak pernah membaca karya-karyanya meskipun saya sangat suka dengan karya pengarang China.

Saya suka Ha Jin, Yan Lianke, Ye Zhaoyan dan tahu (maksudnya tidak baca karya mereka tapi tahu mereka wujud) beberapa nama penulis lagi. Tapi tidak Mo Yan.

Lalu, bila semalam Mo Yan diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2012 saya pun tertanya-tanya apa agaknya yang memikat juri. Memang sebelum ini nama Mo Yan disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk menang.

Namun saya lebih melihat ia mungkin memihak pada Murakami. Selain undian perjudian di Britain (ya, perjudian untuk hadiah nobel itu 'halal' di Britain), saya sudah lama mengenal karya-karyanya. Tahun lalu pun, Jepun secara terang terangan bertanya kepada Peter Englund apakah peluang pengarang Jepun dalam Hadiah Nobel Kesusasteraan.

Jadi, Mo Yan.. emmm..

Sempat mencari fakta tentangnya. Saya tertarik dengan pandangannya.

"A writer should express criticism and indignation at the dark side of society and the ugliness of human nature, but we should not use one uniform expression. Some may want to shout on the street, but we should tolerate those who hide in their rooms and use literature to voice their opinions.”

Saya fikir perlu untuk membaca karya-karya pengarang ini. Untuk melihat sejauh mana dia berpegang pada kepercayaan itu.



Monday, October 8, 2012

Lima Hari Selepas HSKU 2011



Ketika saya menunaikan umrah sekitar April lepas, saya berpeluang untuk solat sunat di bawah pancuran emas.

 Jemaah sangat ramai dan lazimnya saya memang tidak sukakan kesesakan. Dan lazimnya, saya akan menghindari diri dari kesesakan itu.

  Namun suami saya, mendesak juga. Katanya, di mana-mana pun orang ramai. Peluang untuk solat sunat di bawah pancuran emas, berhadapan dengan kaabah bukan peluang yang semua orang dapat. Dia tarik tangan saya, jadi saya tiada pilihan.

  Dan di situ, Allah melapangkan tempat. Dalam ramainya dan sesaknya jemaah, Allah memberi rezeki. Dilapangkan kawasan itu muat untuk kami berdua. Kami solat di situ dan saya akui  menangis dengan derai air mata ketika usai solat dan berdoa.

  Dalam doa itu, antara lainnya saya mohon kepada Tuhan andai dunia penulisan itu adalah yang terbaik buat saya, andai penulisan saya memberi manafaat kepada pembaca maka permudahkanlah semuanya. Maka, lapangkanlah perjalanan itu.

   Allah maha mengetahui, maha mendengar dan maha mengasihani. Allah juga yang memberi setiap bakat dan mampu menariknya pada bila-bila masa.

   Alhamdulillah, sejak menulis karya kreatif seawal 16 tahun dan menyertai MPR pada usia 18 tahun, HSKU 2011 adalah pencapaian terbaik untuk saya.




                                * Gambar ini diambil dari FB sahabat saya, Saiful Azly .. :)


   Namun, jujurnya, saya lebih menaruh harap pada cerpen Istimewa. Saya sungguh berharap cerpen itu akan memaut hati juri dan berada dalam senarai sekurang-kurangnya hadiah penghargaan.

  Sebabnya cerpen itu terlalu istimewa buat saya. Ada banyak kisah di balik Istimewa, bagaimana ia pernah ditolak penerbitannya sebelum ini oleh sebuah majalah. Bagaimana, saya rasa rendah diri berikutan penolakan itu. Dan bagaimana editor di Mingguan Malaysia  menyiarkannya tidak kurang lima hari selepas saya e-melkan!

  Mujurnya, ada ramai kawan penulis yang saling menyokong. Mereka memberi semangat apabila saya mengambil masa mereka dan meluahkan rasa 'frust menonggeng" . Ada antara kawan-kawan penulis itu yang menghantar e-mel memberitahu, "Awak, just forgive and forget".  Penilaian setiap penerbitan itu berlainan - pada akhirnya itu yang saya fahami.     

  Namun, mengalah jangan berlama-lama. Putus asa jangan mengambil masa. Cukuplah sesaat dua untuk melayan perasaan selepas itu kembalilah ke alam realiti.

  Penulisan kerja yang sunyi kata seorang sarjana. Ia adalah luahan perasaan, pemikiran, pengalaman dan pembacaan. Jarang penulis mampu untuk tidak menumpah dirinya ke dalam karya, tidak banyak sedikit pasti ada.  

Dan, apabila karya itu dirai ia adalah bonus untuk penulis.

  Selamat berjuang kawan-kawan. Menulis teruslah menulis. Sebelum tahun 2012 ini berakhir, ada tiga sayembara menanti kita, HSKU 2012, Sayembara Novel, Cerpen, Puisi Pena-ITBM- BH dan Sayembara Novel Citra Malaysia - DBP.

  Jangan tunggu lama-lama, masa semakin suntuk. Jum menulis !

Perang Sangkil dan Suara Subaltern




 
Isu yang dibawa dalam novel Perang Sangkil tulisan Akiya ini adalah isu yang sangat besar. Ia adalah kisah yang tercicir dalam putaran arus sejarah perdana.

Isu perhambaan yang pernah melingkari puak Orang Asli sekitar 1870-an memang tidak ramai yang tahu. Namun, cubaan menghapuskan perhambaan yang dijadikan amalan oleh segelintir bangsawan Melayu adalah antara sebab mengapa Residen British ke Perak, JWW Birch dibunuh.

Perang Sangkil cuba menyorot sistem perhambaan ini dari kaca mata Orang Asli. Bagaimana seksanya terpaksa melarikan diri dari satu tempat ke satu tempat bagi mengelakkan diri dijadikan hamba, gundik atau dibunuh tanpa belas kasihan.

Namun sayang kisah tragis ini tidak dihasilkan dengan kesempurnaan yang diharapkan. Sebaliknya, Perang Sangkil lebih tertumpu kepada persoalan mengisi perut sambil bersulam-sulam dengan pergolakan jiwa dan ketakutan kaum Orang Asli yang diwakili oleh watak Dirik, Balun, Aarah, Sidang jika berlaku serangan daripada Sangkil (orang Rao/Rawa) untuk menjual mereka sebagai hamba.

Nyatanya, tiada pun kisah serangan Sangkil ke atas Orang Asli dipaparkan. Sebaliknya hanya imbasan oleh watak Balun dan Dirik yang membayangkan ketakutan mereka jika perkara itu berlaku di penempatan baru mereka.

Sejarah Orang Asli diburu oleh Sangkil untuk dijual sebagai hamba atau gundik kepada pembesar Melayu tidak direkod dalam sejarah negara. Namun, tidak bermaksud ia tidak terjadi. Sebaliknya, Akiya atau nama sebenarnya Mahat anak China sebagai penulis yang lahir dalam keluarga Orang Asli mengakui ia benar-benar terjadi di kalangan Orang Asli yang menetap di Perak.

Bagaimanapun, kerana sejarah ini tidak direkodkan sebaliknya disampaikan secara lisan dari satu generasi kepada satu generasi, kisah sedih ini tenggelam begitu sahaja.

Akiya dalam Perang Sangkil lebih banyak memaparkan kisah hubungan antara Dirik selaku Tok Batin dengan anak buahnya dan bagaimana dia cuba menguruskan anak buahnya terutama Balun yang panas baran dan cepat berburuk sangka. Balun sebelum ini digambarkan sebagai saksi pembunuhan kejam bapanya oleh Sangkil dan menjadi saksi adik perempuannya dilarikan.

Pengalaman itu membentuk Balun sebagai watak yang pendendam. Dia berburuk sangka dengan Leman, satu-satunya orang Gop (Melayu) yang menjadi pedagang membawa hasil hutan ke bandar dan barang dari bandar seperti garam dan kain kepada Orang Asli. Dari bab awal hingga akhir, novel ini lebih banyak berkisah tentang kecurigaan mereka kepada Leman yang dipanggil Gop Empoj (Melayu garam).

Kecurigaan itu membawa kepada siasatan demi siasatan hingga mereka bertemu kampung Orang Asli lain yang ditinggalkan dipercayai diserang Sangkil.

Novel ini akan menjadi lebih mantap jika pengarangnya memasukkan lebih banyak latar belakang sistem penghambaan itu. Sebaliknya, dengan plot sedia ada, Perang Sangkil hanya berkisah dengan kecurigaan dan kerisauan yang berlarut-larut dari awal hingga akhir tanpa dapat difahami sepenuhnya apakah kecurigaan dan kerisauan itu.

Namun secara keseluruhan Perang Sangkil adalah karya yang baik. Isu yang dibawakan berat tetapi dipermudahkan dengan bahasa yang ringkas. Unsur pengulangan yang banyak terdapat dalam karya ini sedikit menganggu tetapi diselamatkan oleh ayat-ayat yang pendek. Akiya ternyata punya simpati kepada watak perempuan dalam karya ini apabila beberapa kali menegaskan orang perempuan sepatutnya diberikan hak bersuara kerana pada akhirnya jika Sangkil menyerang golongan itulah yang akan diperkosa dan diculik.

Sebagai karya bergenre sejarah, Perang Sangkil adalah naskhah yang cukup baik bagi menyelami isi hati dan minda Orang Asli di Malaysia.

Sunday, September 9, 2012

Membaca Anak Apak





Tahun-tahun 1950-an dan kebelakang, memang tempoh masa yang mempersonakan dari segi semangat nasionalisme.

Tempoh itu juga, politik sifatnya jujur dan telus. Setiap seorang dari anak muda zaman itu jujur dalam perjuangan untuk meraih kemerdekaan. Apa saja jalan yang membawa kepada kemerdekaan akan mereka pilih.

Justeru, apabila kita membaca lebih banyak buku memoir politik era itu, dapat difahami bagaimana unsur mediasi selalu mengalahkan kepentingan seluruh warga.  Tidak pula hendak menyalahkan atau membetulkan, sebaliknya sejarah dan kekal tinggal sejarah dan menjadi pedoman untuk tindakan di masa hadapan (bagi mereka yang mahu mengambil iktibar).

Satu daripada naskhah memoir politik zaman itu yang tidak boleh ditinggalkan adalah Anak Apak, tulisan Subky Abdul Latiff. Meskipun bukan bersifat signifikan dalam era politik perdana, tetapi naskhah ini memiliki impak tersendiri dalam sejarah pembentukan sebuah negara.

Diklasifikasikan sebagai memoir politik kewartawanan, usai membaca Anak Apak satu fakta yang tidak boleh disangkal - bagaimana pada akhirnya persekitaran 1950-an dan 1960-an yang diharunginya membentuknya menjadi ahli politik.

Bagaimanapun, Subky mengakui meskipun terdedah dengan politik sejak kecil dan sudah memahami politik pada usia remaja, beliau sedikit pun tidak pernah bercita-cita menjadi ahli politik. Ini kerana beliau lebih senang hidup sebagai pengamat yang memahami politik tetapi tidak terbabit dalam sebarang aktiviti politik supaya disenangi dan diterima oleh orang lain.

Namun, kekalahan teruk PAS di Kelantan penghujung 1970-an sesudah berkuasa sejak 1959 menyebabkan Subky terasa seolah-olah demokrasi seperti akan berakhir di negara ini.

Subky yang menjadi nama besar dalam sejarah politik PAS, sebenarnya bermula sebagai wartawan. Meskipun begitu, lahir pada 1940-an ketika negara masih bergelut dengan kemerdekaan ditambah dengan latar belakang keluarga yang berpendidikan agama, Subky secara automatik cenderung ke arah politik.

Subky juga lahir dan membesar dalam persekitaran yang dikelilingi anak Melayu berpendidikan yang kemudian ditakdirkan menjadi pembuat dasar negara seperti mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia (1974 -1978), Tan Sri Abdullah Ayub.

Bagaimanapun, memoir politik kewartawanan Subky ini bukanlah dokumentasi besar dalam erti kata sejarah pembentukan negara, tetapi tetap memiliki keistimewaan tersendiri terutama jika melihat era Subky dilahirkan.

Pada zaman itu, hampir kesemua anak muda bersemangat menuntut kemerdekaan dan mereka bersatu hati serta sentiasa punya masa untuk menyumbang kepada kemerdekaan negara.

Arwah bapanya atau dipanggil apak mahu melihat Subky menjadi ulama selari dengan kedudukannya sebagai tok guru sehingga menolak tawaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar meskipun ada anaknya yang lain menuntut di sekolah aliran Inggeris.

Namun, Perang Korea yang tercetus antara 25 Jun 1950 hingga 27 Julai 1953 merencatkan impian itu kerana perang berkenaan menjejaskan pasaran getah yang sebenarnya menjadi sumber ekonomi dan pergantungan keluarga Subky.

Akhirnya, Subky bersekolah Inggeris sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kewartawanan di Kuala Lumpur dan Jerman.

Menariknya, buku ini diolah dengan bahasa yang mudah tetapi teknik imbas kembali yang berulang dalam naskhah ini sedikit mengganggu kerana ia bukanlah novel, sebaliknya memoir.

Subky dalam Anak Apak mengakui beliau tidak pernah menyimpan hasrat menjadi wartawan dan menjadikan kewartawanan sebagai kerjaya di sebalik minat dalam bidang bahasa dan budaya.

Namun, pada usia yang sudah menginjak 23 tahun ketika itu dan masih tidak punya pekerjaan tetap, Subky akhirnya pasrah.

Buku ini satu daripada tiga siri karya Subky dengan dua lagi naskhah, iaitu Propagandis Zaman dan Manis-manis Politik bakal menyusul.

Tuesday, September 4, 2012

Dream of Ding Village - Novel yang saya suka !




Saya mula meminati karya novelis China apabila pertama kali membaca The Crazed tulisan Ha Jin. Kemudian, satu demi satu novel Ha Jin saya miliki (walaupun ada antaranya belum lagi khatam dan ada juga yang belum dibuka pun sarung plastiknya !)

Kemudian, saya mengenali Yan Lianke. Susunan novelnya yang bersebelahan dengan novel Ha Jin waktu itu menarik perhatian. Saya mula mencari maklumat tentang Yan Lianke dan buku-buku tulisannya.

Serve The Nation dikatakan antara yang terbaik. Novelnya bersifat satira gelap, banyak mengundang masalah kepadanya dan ada yang berhadapan dengan pengharaman. Pengharaman karya sastera di China perkara biasa. Malah ada penulis China yang menetap di luar negara masih berhadapan dengan cabaran yang sama dalam memasarkan karya mereka ke negara asal.

Berbalik kepada Yan Lianke, selain Serve The Nation, Dream of Ding Village antara karyanya yang saya suka. Naskhah ini bukan hanya berdiri sebagai fiksyen sastera, sebaliknya ia merakam kisah benar skandal perdagangan darah di Wilayah Henan, China sekitar akhir 1990-an.

Skandal perdagangan darah itu sebenarnya bermula sebagai usaha yang baik, iaitu projek kemasyarakatan untuk meningkatkan kadar tabungan darah negara. Malah, China membayar imbuhan kepada setiap warganya yang sudi mendermakan darah mereka.

Bagaimanapun, atas faktor penyelenggaraan yang tidak betul, pendermaan darah itu menjadi punca berlakunya epidemik HIV/AIDS yang menyaksikan sebuah perkampungan miskin di Wilayah Henan hampir pupus sehingga sekitar 300,000 ribu kematian direkodkan namun wujud juga dakwaan sebenarnya lebih 1 juta kematian berlaku tetapi dirahsiakan.

Skandal perdagangan darah yang didedahkan oleh New York Times pada awal 2000 itu sebenarnya memberi pengajaran yagn amat berharga kepada China dalam menangani isu pendermaan darah - yang kerap kali disifatkan sebagai perdagangan darah kerana wujudnya pembabitan wang.

Meskipun New York Times ‘halal’ dalam melaporkan skandal itu, Lianke berhadapan dengan tindakan pengharaman novel terbabit apabila mengangkat skandal berkenaan dalam karyanyam, sekali gus mengikut jejak karya pengarang terbabit yang sebelum ini yang turut diharamkan oleh Kerajaan China.

Dream of Ding Village yang disifatkan sebagai karya satira gelap itu, diharamkan selepas dua minggu diterbitkan pada 2006 atas alasan Lianke menulis skandal HIV/AIDS itu secara berlebih-lebihan dan membangkitkan pandangan yang serong terhadap penyakit AIDS.

Meskipun tidak menulis secara langsung mengenai kerajaan China dalam skandal perdagangan darah itu, namun Ding of Dream Village meletakkan watak Ding Hui - lelaki tamak haloba yang memperdagangkan pendermaan darah - sebagai satira kepada kerajaan China.

Ding Hui dalam novel ini digambarkan Lianke sebagai pihak berkuasa yang rendah moralnya dalam menangani isu kebajikan dan kemanusiaan.

Dream of Ding Village adalah kisah tentang keinginan penduduk Kampung Ding untuk keluar daripada kemiskinan yang menyaksikan penjualan darah sebagai satu-satunya cara untuk hidup mewah.

Keperitan hidup mereka menyaksikan apabila mula diselubungi kemewahan, mereka tidak lagi menyembah dewa kekayaan, Guan Yu, seperti yang diucapkan oleh anak Ding Hui, Ding Qiang yang mati dibunuh, “They didn’t believe in Guang Yu anymore, they believed in selling blood.”

Novel ini memfokus kepada satu keluarga yang anak lelakinya mempunyai cita-cita besar dalam politik manakala seorang lagi mati kerana jangkitan.

Ding Hui, adalah antara fokus dalam novel ini. Dia menjalankan perdagangan darah dan mampu hidup mewah. Bagaimanapun, 10 tahun selepas perdagangan itu, kebanyakan penduduk mula diserang penyakit yang disebut sebagai demam tanpa mengetahui ia sebenarnya tanda-tanda awal HIV/AIDS.

Ding Hui bagaimanapun tidak langsung dihambat rasa bersalah meskipun anak lelakinya mati dibunuh kerana skandal berkenaan, sebaliknya dia melihat tragedi itu sebagai peluang perniagaan yang lain pula apabila mengaturkan urusan perkahwinan antara pesakit AIDS.

Dalam menyiapkan novel ini, Lianke bekerja dengan ahli antropologi China yang membuat kajian tentang perkampungan kecil yang berhadapan dengan HIV/AIDS hasil jualan darah.

Penceritaannya mengenai skandal perdagangan darah itu bukan saja hasil kajian yang lama tetapi juga mungkin atas dasar kasih sayangnya pada wilayah kelahiran pengarang.

Lianke mengolah semua fakta yang diketahuinya dengan cara kreatif sehingga tidak semua fakta dicatatkan dalam novel ini tetapi premis penceritaannya tetap sama. Satu daripada sebabnya, Lianke berharap ia tidak diharamkan di China.

Meskipun Dream of Ding Village merakam kisah suka duka dan keperitan hidup penduduk di pedalaman, kerajaan China tidak melihatnya sedemikian. Walaupun mungkin ada yang melihatnya sebagai ketidakadilan untuk karya sastera namun bagi yang lain pula, novel itu adalah gambaran kerakusan China ke arah kemodenan hingga mengenepikan kemanusiaan.

Dream of Ding Village yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Cindy Carter, dipilih sebagai 10 buku terbaik oleh majalah mingguan Hong Kong, Yazhou Zhoukan, selain turut dianggap setaraf dengan The Plague oleh Albert Camus.

Sunday, September 2, 2012

Destar





BUDAYA menunjukkan bangsa, manakala berpakaian menunjukkan jiwa. Dalam budaya Melayu, bukan hanya pantun atau khazanah sasteranya yang mengandung maksud, sebaliknya etika berpakaian juga punya falsafah tersendiri.

Misalnya, tengkolok atau disebut juga sebagai destar, setanjak dan setangan kepala bukan hanya sekadar hiasan kepala, sebaliknya ia adalah ciri keunikan dan keindahan dalam tradisi busana lelaki Melayu dan ada ketikanya pelengkap ketampanan kaum Adam.

Hampir semua peradaban dunia memiliki atau memakai hiasan kepala seperti lilitan dengan tali, kulit, rumput dan daun kumpulan etnik di Afrika dan Amerika Latin sehingga peradaban Yunani, golongan pelaut Polinesia dan masyarakat Mesir Purba.

Bezanya, budaya Melayu memiliki takrif tersendiri dalam hiasan kepala yang dipakai pada acara istimewa misalnya majlis membabitkan urusan raja atau perkahwinan.

Bukan sekadar pelengkap busana, reka bentuk destar yang terbahagi kepada bentuk asas dan bentuk hiasan membawa konotosi membabitkan maruah, martabat dan budaya seperti yang dirungkai dalam buku Destar Warisan Malaysia: Koleksi Terpilih tulisan Wan Yahaya Abdullah.

Cara membentuk dan mengikat destar yang bermacam jenis menggambarkan tingginya daya kreatif pereka bentuk Melayu tradisi kerana meskipun dicipta sejak zaman-berzaman, keaslian bentuknya kekal dan tidak berubah-ubah terutama daripada segi lipatan dan garis.

Nilai setiap solekan destar itu melebihi fungsinya, manakala falsafah pula terpancar melalui susun garis, warna, corak dan imbangan yang meletakkan setiap solekannya berbeza.

Pengadunan dan solekan adalah bayangan penyataan jiwa pencipta seperti pantun Melayu yang akrab dengan alam sehingga tidak hairanlah solekan destar turut mengambil motif bentuk daripada alam sekitar.

Nama setiap solekan memperjelaskan kenyataan itu misalnya Mumbang Belah Dua, Sekelongsong Bunga dan Pucuk Rebung Cogan Daun Kopi, selain nama haiwan seperti Ayam Patah Kepak, Balung Ayam, Pari Mudek, Helang Menyongsong Angin atau nama yang menampilkan penyataan seperti Dendam Tak Sudah, Dagang Sakit di Rantau juga Bugis Tak Balik.

Sementara,  setiap sultan di negara ini mempunyai destar dengan solekan tersendiri mewakili negeri yang diperintahnya.

Setiap solekan destar diperkemaskan dengan hiasan destar atau disebut jata destar sehingga belum pernah terjadi, sultan memakai jata destar negeri yang tidak diperintahnya.

Yang Dipertuan Agong menggunakan destar solekan Dendam Tak Sudah, manakala solekan Lang Menyongsong Angin dikenakan oleh Sultan Pahang; Ayam Patah Kepak (Sultan Perak) dan Ketam Budu (Sultan Kelantan) serta destar Pembesar Melayu Sarawak dikenali dengan solekan Bugis Tak Balik.

Uniknya dalam budaya Melayu, setiap pilihan kain yang digunakan bagi membentuk destar membawa maksud tersendiri seperti destar berwarna tanah gelap bermaksud si pemakai adalah lelaki tua, manakala orang muda selalunya memilih destar berwarna tanah muda.

Warna putih dan kuning hanya untuk sultan; ungu (putera sultan atau undang luak); hijau (datuk); biru (laksamana); hitam (datuk adat atau datuk bergelar) sementara hitam polos untuk pendekar.

Corak dan ragam hias kain destar juga ada maksud dan pengkhususannya misalnya corak bunga jong sarat hanya untuk raja yang turut mengenakan corak bunga penuh atau corak teluk berantai; pola bunga tabur (datuk bergelar) serta corak berjalur (datuk dan undang luak).

Kini, penggunaan destar masih popular dalam acara rasmi istana selain dikomersialkan oleh golongan mak andam sebagai pelengkap busana pengantin lelaki tetapi sayangnya tahap pengetahuan mengenai falsafah dan semangat setiap solekan destar itu masih tidak diketahui di kalangan masyarakat.

Apatah lagi dengan timbulnya banyak solekan destar gaya moden yang mungkin hanya dihasilkan atas kreativiti pereka tanpa memiliki falsafah di sebaliknya.

Justeru bagi anda yang ingin meneroka keunikan budaya Melayu yang diungkap melalui solekan destarnya, buku ini patut dijadikan rujukan kerana berbusana lengkap gaya Melayu ditambah pengetahuan tentang setiap falsafah di sebaliknya membuatkan anda lebih tampan dan terampil!

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...