Sunday, May 19, 2013

Membaca Sigaraning







Sigaraning, novel tulisan Imaen ini punya tarikan yang tersendiri.

Membaca naskhah ini  hingga ke halaman akhir, kesimpulan mudah yang boleh dibuat, ia cukup mantap sebagai karya bijak dengan kemelut peniaga pasar mini diolah seimbang dengan kisah cinta dewasa.

 Namun, permulaan cerita  kisah mengambil duit RM2 juta milik penjenayah bertindak sebagai pelengkap karya yang kemudiannya seakan tenggelam timbul.
 
Novelis ini adalah graduan ekonomi Universiti Malaya, lalu Sigaraning sarat ilmu ekonomi. Namun sambil menyelitkan unsur falsafah, Imaen  tetap handal mengawal aliran cerita.

Ringkasnya, novel ini  bukan untuk pembaca yang mahukan kisah cinta ringan `malu tapi mahu', kahwin paksa atau kahwin kontrak, sebaliknya novel cinta bercampur baur dengan teori dan ilmu ekonomi dalam membawa pembaca menyelami dasar jiwa lelaki lulusan universiti yang gagal makan gaji dan akhirnya menjalankan perniagaan runcit.
   
Selain bercerita mengenai hambatan yang dihadapi oleh pekedai tempatan akibat kewujudan pasar raya jenama luar negara, Sigaraning juga memaparkan kisah aksi dengan memulakan bab dengan kisah tembak menembak antara kumpulan penjenayah.

Ali Imran yang kebetulan berada di kawasan kejadian kerana membawa diri selepas putus kasih dengan Salina, kemudiannya melarikan wang berjumlah RM2 juta dan dadah milik penjenayah. Tindakan itu didorong juga oleh rasa tanggungjawab pada tanah tapak rumah keluarganya yang tergadai.           
  
Bagaimanapun faktor penyebab itu kemudiannya tertinggal di bab satu sebelum pembaca mengetahui Pak Riffin yang pada awalnya bersungguh mahu mendapatkan tanah milik keluarga Ali Imran, akhirnya menarik kembali keputusan.               
   
Mungkin pengarang  sengaja tidak mahu membina Singaraning sebagai novel aksi, lalu melarikan RM2 juta hanya disimpulkan pada akhir cerita setelah jenuh membawa pembaca ke sisi lain hidup Ali, manakala kemarahan kumpulan mafia dan siasatan polis diceritakan sepintas lalu. Jika kisah siasatan atau pencarian kumpulan mafia ini terhadap wang dan dadah milik mereka yang dicuri Ali Imran dikembangkan, tentunya novel ini tentu lebih menarik.   

Bagaimanapun seperti mana kata Imaen, Sigaraning dilahirkan sebagai novel yang bercerita mengenai masalah ekonomi orang Melayu, lalu kisah aksi lasak tembak-menembak mafia dan polis tidak diperincikan.      

Apa yang menunjangi Singaraning adalah kemelut peruncit Melayu dan kisah cinta tidak terucap antara Ali Imran dengan Vivian - seorang perempuan Islam yang memilih untuk berperang dengan tuhan, selain kisah jiwa lara Ali Imran kerana ditinggalkan Salina kerana pekerjaan Ali Imran sebagai pekedai melengkapkan lagi Sigaraning.      
  
Watak Salina walau tidak dicerita dengan jelas, namun pengisahan tentangnya sebenarnya antara penggerak cerita. Ali yang patah ditinggalkan Salina akhirnya menyedari ada kala, tuhan menemukan manusia dengan manusia jahil supaya menjadi lebih baik.

                
·         *  Novel ini terbitan tahun 2009. Saya mengulang bacanya kerana novel ini berada di tempat paling atas dalam susunan buku di atas meja kerja saya. Warna merah bata pada sampul buku ini membuat hati terpesona.

    

Monday, May 13, 2013

Merentas Gerhana



Tajuk: Merentas Gerhana
Penulis: Norhisham Mustaffa
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Tahun Terbit: 2012
Nombor Resit: ITBM02000041

Merentas Gerhana tulisan Norhisham Mustaffa mengajar saya banyak perkara. Antaranya tentang ketelusan dalam memilih pemimpin dan keduanya kesetiaan juga kepercayaan  tidak seharusnya dikhianati.

 Selebihnya, Merentas Gerhana mengasyikkan dalam kelas tersendiri.  Sastera adalah medium propaganda politik yang hebat.  Namun, Norhisham Mustaffa memilih jalan tengah dalam memperjuangkan apa yang dia percaya.

  Antara dialog dalam naskhah ini yang mengesankan adalah lontaran kata watak utamanya, Junaidi apabila dia cuba meyakinkan Ustaz Zubir tentang perjuangan yang dipertahankannya; “, .. adalah silap menjadikan agama, apatah lagi mengeksploitasi agama, hanya untuk memenuhi cita-cita politik seseorang. Agama itu nilai, cita-cita lebih banyak dirangsang oleh kehendak individu yang lupakan nilai”.

   Bukan semua pengarang berupaya mengangkat tema politik dengan baik kerana sifat politik itu sendiri berkait dengan situasi yang merumitkan dan kadang kala menjerat.  Namun, Merentas Gerhana adalah antara karya yang berjaya.

   Saya fikir, ketika Norhisham Mustaffa menghasilkan Merentas Gerhana sekitar 1990-an, apa yang ingin disampaikan adalah warna politik persekitarannya semata-mata. Norhisham berasal dari Kelantan dan menetap di Kelantan.

   Namun, hampir 20 tahun sesudah itu, Merentas Gerhana menjadi semakin relevan dan lebih menarik ia bukan lagi warna politik Pasak Tembaga tetapi refleksi sebuah negara bernama Malaysia.

  Novel ini berkisar tentang Kampung Pasak Tembaga yang menjadi kalut berikutan kematian wakil rakyatnya, Haji Lajiman  dari PARKITA.

   Kerusi kosong itu menjadi tumpuan dan rebutan. Semua mata parti politik terarah ke situ. Junaidi, bagaimanapun bukan calon pilihan. Dia rapat dengan Haji Lajiman, tetapi tidaklah sampai terfikir untuk bertanding.

  Antara PARKITA  dan Parti Ikhwan jugalah peperangan akan meletus. PARKITA mahu meletakkan anak tempatan sebagai calon manakala Parti Ikhwan pula cuba merampas Pasak Tembaga.

  Pada peringkat PARKITA, mereka mahukan anak tempatan sebagai calon. Mereka mahukan  Haji Ahmadon Naib Ketua PARKITA, Pasak Tembaga dan bukan Kadar Mahbub yang kaya raya dan diketahui pula sangat murah menghulur bantuan kewangan. Namun bagai diperibahasakan, ada udang di sebalik batu, apatah lagi Kadar Mahbub bukan anak tempatan.

  Haji Ahmadon menolak untuk menjadi calon yang kemudiannya membuka peluang kepada Nik Kamarudin dan Wan Zuhaila. 

  Nik Kamarudin mewakili suara Pemuda, manakala Wan Zulaiha menawarkan diri untuk menyambung aspirasi perjuangan PARKITA dengan meletakkan dirinya sebagai calon wanita berkarisma.

  Bagaimapaun, Datuk Syawal yang mengemudi PARKITA di Kota Bharu, lebih cenderung memilih Kadar Mahbub.
  Dalam kekalutan PARKITA mencari siapa calon terbaik, Parti Ikhwan meletakkan Ustaz Zubir sebagai taruhan. Lelaki lulusan Timur Tengah yang baik akhlaknya itu dilihat taruhan terbaik Parti Ikhwan untuk menawan kerusi Pasak Tembaga.

   Peluang itu terbuka luas apabila  PARKITA mempertaruhkan  Murad – sang opurtunis yang sebelum ini bersungguh-sungguh menolak untuk dicalonkan. Murad dilihat menggunakan jalan belakang untuk naik dengan menidakkan suara majoriti.

   Dari situ bermula perjalanan kisah Junaidi yang bertanding sebagai calon bebas. Dia diangkat sebagai calon bebas oleh orang kuat PARKITA di Pasak Tembaga yang tidak mahu melihat calon yang tidak berwibawa menjadi wakil mereka.  Pasak Tembaga yang dulu didominasi dua fahaman politik pecah menjadi tiga.  

   Pembacaan saya pada tahap ini kemudiannya bertimpa dengan berita calon bebas yang mewarnai landskap Pilihan Raya Umum ke -13 yang baru lalu. Bukankah pada PRU lalu, ramai calon bebas muncul kerana hilang kepercayaan kepada calon atau parti ? Hingga di sesetengah lokasi terjadi pertembungan tujuh penjuru ?

   Barisan Nasional (BN) juga turut menerima kejutan apabila Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim turut bertanding atas tiket bebas di Parlimen Kuala Kangsar.

   Lihat bagaimana relevannya naskhah ini meskipun pertama kali hadir dalam nuansa  kesusasteraan Malaysia pada 1990-an.

  Bukan itu sahaja, lebih  menarik, taktik kempen dan perang psikologi di dalam naskhah ini hampir tepat dengan dunia realiti.

  Realitinya, PRU13 dicemari dengan pelbagai insiden kempen yang jauh dari biasa. Keluarbiasaan itu juga yang terakam dalam Merentas Gerhana. Dari isu membakar pusat berkempen hingga mencabut bendera lawan dan cubaan membeli dan memujuk calon semuanya tercatat. 
  Bezanya, tiada adegan video porno yang tersebar  tetapi persoalan kemampuan Junaidi sebagai seorang lelaki yang menjadi taruhan.

  Norhisyam Mustaffa menggarap naskhah ini dalam bahasa yang ringkas tetapi tepat  dan baik. Ketepatan pemilihan perkataan itu sangat penting kerana naskhah ini dibangunkan dengan dialog.

   Politik sebenarnya sangat intim dengan orang Melayu namun tema sebegini sangat jarang diangkat oleh pengarang Melayu. Norhisham Mustaffa berjaya membuat saya berdebar-debar selagi naskhah ini belum sempurna dihadam.

  Tidak susah juga untuk meneka, siapa sebenarnya yang dirujuk sebagai PARKITA dan siapa pula Parti Ikhwan. Pembaca yang tidak peka akan perkembangan politik negara pun mampu menemukan jawabnya.

   Menangkah Junaidi sebagai calon bebas? Atau Ustaz Zubir yang lebih islamik itu yang berjaya menawan hati pengundi Pasak Tembaga? Atau penggundi Pasak Tembaga sebenarnya sangat setia dengan PARKITA dengan tidak ambil peduli siapa calon yang dipertaruhkan?

   Tidak adil untuk saya seorang sahaja berdebar, anda juga harus merasakannya justeru jemputlah membaca.   

Monday, April 29, 2013

Kabul In Winter

Kabul In Winter 

Permulaan kisah ini sangat menarik hati saya. Kisah ini dimulakan dengan catatan perjalanan seorang wartawan ke Kabul.

Ia bukan novel, tapi sebuah catatan seorang wartawan Amerika, Ann Jones ke Kabul selepas tragedi 9/11.

Kisah bagaimana dia tercari-cari pesawat untuk ke Kabul, bagaimana layanan orang lelaki terhadap perempuan. Betul, di sesetengah negara Islam kita tidak boleh nafikan hak seorang perempuan masih tidak dihormati meskipun Islam tidak pernah mendiskriminasi seorang perempuan.

Kabul In Winter jujurnya banyak mempengaruhi penulisan novel ke empat dan ke lima saya, Sehiris Bulan & Deru Angin.

Seperti juga The BookSeller of Kabul, buku ini merakam suka duka kehidupan harian orang Afghanistan. Saya jumpa buku ini di gerai buku terpakai.

Tapi sayang, saya hilang buku ini gara-gara meminjamkannya kepada rakan. Saya berdoa, kawan saya itu diberikan petunjuk dan hidayah untuk memulangkan buku ini semula. Sesungguhnya saya berharap, sebab saya tidak berjumpa lagi buku ini di mana-mana kedai buku setakat ini.

Dan ikrar saya, tidak mahu beri pinjam buku-buku pada orang lain... (halalkah ikrar begitu?)

Selamat membaca!

* Ya, ini bukan review ini rayuan untuk pulangkan buku, tolong!

Thursday, April 18, 2013

The White Mughals







The White Mughals adalah buku pertama tulisan William Dalrymple (susahnya nak eja.. ) yang saya baca. Ia bukan buku fiksyen tetapi buku sejarah awal hubungan antara British dan India.


Saya ingat pertama kali bertemu dengan buku ini di Jakarta, dan buku ini dalam versi bahasa Indonesia. Kalau tidak silap harganya RM8. Saya tertarik dengan blurp buku dan atas nasihat seorang kawan saya beli. Katanya, kalau bagus, nanti carilah dalam versi asalnya.

Tapi sungguh saya tak beli pun sebab tak jumpa.

Usai menelaah The White Mughals saya jatuh cinta dengan tulisan Dalrymple. Saya membeli pula The Last Mughal kali ini dalam bahasa Inggeris. Buku ini masih cantik dalam plastik dan belum dibaca.

Saya tidak pasti dengan pembaca lain, tetapi saya secara peribadi sangat teruja dengan buku-buku sejarah terutama isu-isu yang menyentuh hubungan antarabangsa. Pengalaman membaca buku-buku begini seingat saya akan membuatkan saya resah sepanjang hari kalau tidak dihabiskan.

Namun jujurnya, saya tidak mampu hendak menghabiskan dalam masa seminggu. Biasanya lebih dari sebulan! Jadi, pengalaman membaca buku-buku begini sangat menyeksakan tetapi pada akhir pembacaan ia melahirkan nikmat yang amat.

Ok, terlebih intro .. :)

The White Mughal kisah antara pegawai British di India Kapten James Kirkpatrick (saya baca buku ini pada tahun 2011 dan mengambil masa dua tahun untuk review ) dengan gadis bangsawan beragama Islam bernama Khairun-Nisa.

Selain isu hubungan antarabangsa ada banyak persoalan agama di sini. Saya pasti penulisnya merakamkan hubungan  Kirkpatrick dengan Khairun-Nisa mengikut pandangannya dan hasil kajiannya. Jadi, mungkin dia tidak jumpa data-data tentang agama keturunan pasangan ini.

Hubungan itu terhalang kerana faktor kepentingan British di India juga kedudukan keluarga Khairun-Nisa tetapi akhirnya berjaya kahwin dan bla bla bla.. tapi pasangan ini meninggal dunia pada masa yang muda dan anak-anak mereka dibawa ke England dan di'Inggeriskan'.
 
Kisah hubungan cinta ini adalah nadi The White Mughals. Namun, kisah persekitaran kehidupan mereka ketika itu sangat menarik. Biarpun ia merakam kisah cinta tragik Kirkpatrick dan Khairun-Nisa, strategi penjajahan British dan perlaksanaannya oleh Kirkpatrik sangat berbeza.  Kirkpatrik menunjukkan simpati yang berlebihan kepada Nizam of Hyderabad, sesuatu yang tidak begitu digemari oleh East India Company.

Liciknya strategi perang, pertahanan British terserlah dalam naskhah ini. Saya menyarankan buku ini wajib dibaca oleh anda  yang gemarkan isu-isu hubungan antarabangsa/strategik analisa dan sejarah.





Namaku Bukan Maria





Tragedi Natrah Che Maarof atau Maria Bertha Hertogh pernah mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan rusuhan kaum di Singapura, yang menyaksikan 18 orang maut pada 1950.

Bukan sedikit kisah ini diangkat sebagai fiksyen namun di tangan Ibnu Azman Al Kurauwi, sejarah Natrah dirakam dalam sorotan yang lain menerusi Namaku Bukan Maria. Novel ini adalah kisah keluhuran cinta seorang ibu kepada anak angkatnya dan kisah ketelusan kasih sayang anak remaja kepada agamanya.
 
Dari satu sudut, ia membawa pembaca jauh dari realiti bahawasanya Maria dalam kehidupan sebenar sangat menderita, penuh kesedihan dan  kontroversi seperti yang tercatat dalam sejarah Tanah Melayu. 
 
Bagaimanapun, fiksyen ini tidak memperincikan hingga ke titik itu. Sebaliknya, sejarah  Natrah di tangan Ibnu Azman meninggalkan kesan yang indah dan tanpa air mata. Kisah Natrah terjadi pada zaman penjajahan Jepun di Indonesia.
 
Natrah lahir pada 24 Mac 1937 di  Tjimahi, Jawa, Indonesia. Ketika Indonesia dijajah Jepun, keluarga Natrah yang berketurunan Belanda dihimpit ketakutan dan kemiskinan disebabkan dasar penjajah yang anti Belanda.
 
Kehidupan keluarga itu lebih payah apabila bapa kandung Natrah dipenjarakan. Natrah kemudiannya diserahkan kepada Che Aminah oleh ibunya, Adeline Hertogh kerana hubungan akrab Che Aminah dengan nenek Natrah, Noor Louise yang beragama Islam. Che Aminah ketika itu menemani suaminya yang menjalankan perniagaan di Bandung, Indonesia.
 
Namaku Bukan Maria merakamkan seluruh kemanisan kehidupan Natrah sepanjang bersama Che Aminah di Kemaman Terengganu. Naskhah ini juga seperti ditulis di kulit belakangnya, menyuntik intuisi terhadap nilai iman kemudian disenyawakan dalam diri Natrah.
 
Justeru ia sebuah fiksyen, naskhah merakam sejarah menurut konteks pengarangnya seperti teori New Historicism  yang mencadangkan karya sastera itu dikaji dan diterjemah dalam konteks sejarah pengarangnya dan sejarah yang dikritiknya.
 
Ibnu Azman antara pengarang yang cemerlang dalam permainan bahasa. Kekuatan novel ini adalah dari segi bahasanya yang sangat puitis. Penceritaan dari satu bab ke bab yang lain walaupun ada kala agak meleweh dan sedikit merimaskan tetapi ia ditutup oleh keindahan bahasa yang dipilih pengarangnya.
 

Namaku Bukan Maria adalah novel keempat tulisan Ibnu Azman selepas Tinta Elipsis, Insyirah dan Punya Cinta Ramadan.
 

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...