Monday, April 3, 2017

Coklat Buatan Mawar Safei



Menelusuri kumpulan cerpen Dan Coklat Mengalir Dari Ruang Buncah membawa kita kepada satu dunia yang setiap satu daripada kisahnya dibangunkan oleh kata-kata yang puitis.

Sudah tentu kekuatan pengarangnya, iaitu Mawar Safei, tidak lain adalah bahasanya yang cukup indah seperti yang kita kenali melalui kepengarangannya dalam dunia cerpen. Justeru, perjalanan membaca kumpulan cerpen ini berakhir dengan keindahan juga. Mawar antara pengarang wanita yang berpengaruh di negara ini.

Sebelum muncul dengan kumpulan cerpen Dan Coklat Mengalir Dari Ruang Buncah, Mawar terlebih dulu membawa kita untuk mengenali kekuatan watak Masitah lewat kumpulan cerpen Masitah yang terbit pada tahun 2007.

Justeru, kehadiran naskhah terbaharu ini pada ranah kesusasteraan adalah sebuah lagi testimoni kekuatan Mawar dalam mengolah karyanya.

Menghimpunkan 20 cerpen yang sebelum ini sudah diterbitkan di pelbagai media, Mawar selalu menyorot naratifnya dari kaca mata wanita.

Indahnya, watak wanita di tangan Mawar ditampilkan mem liki perwatakan yang sangat kua dan tabah serta sekiranya mela wan, tetap dalam kesabaran.

Merangkumi pelbagai tema dari isu kasih sayang, persahabatan, bahasa, sastera dan agama kepada hal berkaitan kehidupan, Mawar menerusi Antara Rindu Xiang Si Dou menuliskan persahabatan yang dibajai tetapi kemudiannya terputus kerana keluarga yang perlu berhijrah ke negara lain.

Karya ini menyentuh hati dengan cara tersendiri kerana jika mengambil latar peribadi Mawar, mungkin kisah ini rakaman perpisahan Malaysia dan Singapura.Cerita Dari Tiga Jendela pula adalah kisah biasa ditemui dalam kehidupan tetapi disorot dengan segar oleh Mawar sehingga menjadikannya istimewa.

Kumpulan cerpen ini juga dikuatkan dengan beberapa karya yang sudah menerima pelbagai pengiktirafan sastera termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) seperti Narasi Cinta Di Pulau Seribu Kubah yang membawa pembaca ke perspektif lain menilai keperibadian lelaki dari Lombok, Indonesia.

Begitu juga dengan cerpen Dia Dari Penjuru Tahun Lalu yang turut meraih hadiah sastera pada tahun 2008, selain Antara Tikungan Yang Aneh yang mencuri hati panel juri pada tahun 2012.

Selebihnya meskipun tidak memenangi pengiktirafan sastera, tetapi masih karya yang baik untuk dibaca. Menikmati Dan Coklat Mengalir Dari Ruang Buncah adalah pengalaman membaca yang menyenangkan.
   

Thursday, March 30, 2017

Jong Chian Lai - Seorang Seekor Lelaki.



Saya selalu kagum dengan cara Jong Chian Lai bercerita. Tenang, perlahan, tetapi akhirnya disimpulkan dengan kejutan. Meskipun tidaklah semua karya Chian Lai sedemikian, sekurang-kurangnya begitulah yang saya temui setiap kali menikmati karya beliau.

Chian Lai, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2006, memang penulis yang berjenama besar dalam nuansa kesusasteraan tempatan meskipun beliau tidak kerap muncul. Namun setiap kali muncul, Chian Lai pasti memukau misalnya menerusi novel Ah Fook yang terbit pada 2015.

Seorang Seekor Lelaki pula adalah himpunan 16  cerpen yang terbit dalam tahun  sama, tetapi mengangkat latar yang berbeza. Dalam naskhah ini Chian Lai menggaulkan pengalaman dan pembacaannya menjadikan naskhah ini adalah dokumentasi interaksi kaum yang sangat unik apatah lagi diperkemaskan dengan kekuatan bahasa.

Cerpen yang menjadi tajuk naskhah ini sangat menarik, iaitu mengenai manusia yang hilang sifat kemanusiaan. Kejahatan itu sama taraf dengan binatang tanpa mungkin disedari binatang juga mempunyai sifat ‘kemanusiaan’ yang mungkin lebih baik daripada seorang manusia. Itu inti ceritanya, bagaimana seorang lelaki menjadi seekor lelaki dan seekor kera menjadi seorang kera, dunia  penuh kebebasan hingga kebebasan itu tidak diperlukan.

Chian Lai juga bijak bercerita dari sudut pandang seorang wanita. Chian Lai berjaya menerobos jauh dalam dunia pemikiran seorang wanita dan cemerlang melakukannya. 

Garis Hitam, mengangkat kisah Jenny dicurangi suaminya seorang pembalak. Duduk berjauhan dengan keluarga menyebabkan suaminya melanggan pelacur secara kontrak yang menyebabkan Jenny dan tiga anaknya menghidap HIV. Sangat menarik apabila kekuatan wanita digambarkan di hujung cerpen ini apabila si pelacur datang dengan keinsafan dan kekesalannya menemui  anak-anak Jenny yang kehilangan ibu dan bapa.

Sementara cerpen Hikayat Rentap 1 dan Hikayat Rentap 2 kental dengan nasionalisme, kedua-dua cerpen ini menyingkap kisah penjajahan Sarawak yang akhirnya membawa kemenangan kepada wajah tempatan.

Kebelakangan ini banyak penerbitan lebih selesa mengangkat kisah-kisah santai dan bersifat komersial menjadikan agak sukar menemui naskhah yang benar-benar enak untuk dinikmati tetapi tidak untuk Seorang Seekor Lelaki.


Wednesday, March 29, 2017

Fiksi Buat Marquez




Ruhaini Matdarin antara pengarang muda yang berpengaruh di Malaysia. Karya Ruhaini selalunya tampil tersendiri dan luar biasa `enaknya.'

Bahasanya `maskulin,' pemilihan ayatnya pendek-pendek dan kurang puitis, tetapi membawa keberanian dan sangat jelas dengan bentuk dan nada yang melanggar kebiasaan konvensional.

Fiksi Buat Marquez, naskhah terbaru tulisan beliau, himpunan 23 cerpen, yang terbit awal tahun ini memang testimoni terbaik menjelaskan bakat dan kehebatan pengarang berkenaan.

Seperti tajuknya Fiksi Buat Marquez, Ruhaini seolah-olah mendedikasikan keseluruhan karya ini kepada pengarang Mexico, Gabriel García Márquez. Realisme magis menguasai naskhah ini dan beliau kelihatan sangat selesa mengendalikannya.

Paling menonjol adalah tajuk setiap cerpen dalam naskhah ini yang mencuit akal dan tawa, misalnya Tukang Gunting Rambut dan Penjual Ubat Gigi Pemutih Ajaib. Meskipun tajuknya sedikit lucu yang dibawanya menduga akal membaca apabila bercerita tentang kesungguhan, keazaman dan pada akhirnya genetik yang diwarisi.

Sementara cerpen yang menjadi tajuk naskhah ini membawa kisah mengenai penulis bernama Izzad yang tenggelam dan timbul dalam dunia kepengarangannya. Cerpen lain seperti Sejarah Mati di Gerai Nasi Lemak, Cerita yang Merayap-Rayap Tentang Gaza mempunyai impak tersendiri.

Bagaimanapun, saya sangat merasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit perlu lebih peka, semua cerpen ini sudah tersiar. Apabila meletakkan naskhah ini sebagai kumpulan cerpen `remaja' ia adalah klasifikasi yang tidak sesuai. Terma remaja itu di tangan DBP juga berbeza-beza.

Kalau novel remaja DBP masih bermain isu remeh-temeh kehidupan remaja misalnya, tiba-tiba kumpulan cerpen remajanya membawakan kisah realisme magis yang mencuit isu semasa. 


Wednesday, March 22, 2017

Apa ada di Batu Uban ?


Apakah sebenarnya yang berlaku pada orang Melayu di Pulau Pinang? Apakah mereka dikhianati sejarah atau tertindas oleh transformasi ekonomi?
   
  Apapun yang sebenarnya berlaku, perkara utama perlu diketahui ialah kecurangan orientalis yang mencatatkan Pulau Pinang sebagai pulau yang kosong ketika Francis Light menjejakkan kaki pada 1786. Pandangan balas itu diperincikan menerusi naskhah Batu Uban Sejarah Awal Pulau Pinang karya Ahmad Murad Merican.
   
  Malah, beliau jelas menyebut naskhah itu dihasilkan bertujuan meluruskan sejarah dengan harapan Batu Uban yang menjadi penempatan terawal Melayu di Pulau Pinang dipulihara.
   
 Pengalaman membaca naskhah ini bukan sahaja mengiakan pandangan Ahmad Murad, bahkan tidak keterlaluan untuk menyebut naskhah ini sangat penting dalam memahami kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang.
   
  Ahmad Murad bukan saja menuliskan sejarah Batu Uban, bahkan kritikal dalam melontarkan pandangan mengenai kegagalan agensi berkaitan dalam melihat kedudukan Batu Uban hinggakan terancam oleh pembangunan.
   
  Malah tanpa ada usaha menyelamatkannya, amatlah tidak mustahil untuk menyaksikannya Batu Uban `tenggelam' bersama warisan sejarah, budaya dan maruah.
   
  Pulau Pinang dinaungi Kesultanan Kedah, tetapi muslihat Light yang membawa penjajah Inggeris untuk campur tangan dalam perjanjian yang dipersetujui antara kerajaan Kedah dan Light mengakibatkan pulau itu tergadai.
   
  Pulau Pinang kemudian dibentuk menjadi wilayah baharu yang menyaksikannya terpisah daripada sejarah dominan wilayah asal yang lebih besar.
   
  Pandangan itu diulas oleh Ahmad Murad dengan cukup baik, malah impak pembentukan wilayah baharu turut menyebabkan hakikat kedudukan penduduk asalnya terpadam atau dianggap tidak berharga kerana Orientalis Barat melihat mereka sebagai tidak bertamadun.
   
  Naskhah setebal 262 halaman ini wajib dibaca bukan hanya kepada anak Pulau Pinang, bahkan seluruh rakyat Malaysia.
   
  Pandangan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusuf yang turut dipetik dalam naskhah ini menarik diperdebatkan. Wan Shamsudin mencadangkan Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah kerana perjanjian antara Sultan Kedah dan British ditandatangani pada 1786.
   
  Wan Shamsudin berkata, sepatutnya perjanjian mencapai usia 171 ketika Malaysia merdeka itu dibatalkan seperti Wilayah Dinding diserahkan kembali kepada Perak.
   
  Malah, Pulau Pinang dan Seberang Prai juga disifatkan sebagai milik Kedah kerana duit pajakan masih dibayar oleh Kerajaan Pusat dengan nilai RM10,000 setahun.
   
  Cadangan itu pasti akan disambut pelbagai reaksi, tetapi pada masa ini perkara utama adalah memulihara penempatan awal Melayu Batu Uban. Sekiranya buku ini boleh dikategorikan sebagai sebahagian kempen, ia adalah langkah yang sangat berjaya.
   

Tuesday, March 21, 2017

Pak Latif, Rempah Ratus dan seputar dunia seni-sastera Malaysia






Abdul Latiff Mohidin atau lebih dikenali sebagai Latiff Mohidin (atau Pak Latif seperti bahasanya kepada saya) menjadi figura seni sangat dihormati dalam seni tanah air, sekali gus melangkaui genre puisi meskipun beliau pernah menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) pada 1984.
   
 Beliau bukan saja masih aktif melukis, bahkan giat menulis atau mendokumentasikan segala koleksi catatannya sejak 1960-an. Selepas Catatan Latiff Mohidin pada akhir 2010, Rempah Ratus ialah himpunan catatan pelbagai gaya dan genre yang diibaratkan sebagai 'halwa - janganan aneka makanan dalam satu hidang.'
   
 Paling menarik dalam buku itu, tentu saja bahagian keempat, iaitu catatan dari studio ke pameran yang merakamkan perjalanan hidup sebagai pelukis sejak usia 10 tahun.
   
 Sangat menarik sebenarnya untuk membaca kisah  Pak Latif  yang pernah digelar 'budak ajaib' itu yang mengenang kembali bagaimana beliau dengan bantuan guru, bapa dan abangnya berhasil mengusahakan pameran solo menghimpunkan 17 karya dengan bahan tara pensil warna, cat air dan pastel, selain 20 catan yang dihasilkan pada usia 10 tahun.
   
 Pak Latif juga sudah menghasilkan karya daripada pelbagai bahan tara, termasuk jerami padi dan kertas timah pembalut rokok. Jika pada umur itu, beliau sudah jauh meninggalkan rakan seusianya, tidak hairanlah untuk kita menyaksikan kedudukannya kini.
   
Bagaimanapun, beliau tidak menceritakan pula pembabitannya dengan Anak Alam meskipun buku ini memuatkan catatan sekitar 1960-an dan 1970-an ketika menuntut di Barat dan perjalanan hidupnya sebaik tamat pengajian yang dicuit serba sedikit.
   
Sesuatu yang menarik tentang  Pak Latif adalah keupayaannya menyimpan catatan sejak dekad 1960-an. Malah menerusi nota pengarang dalam naskhah ini, beliau mengakui suka mencatat dan menyimpan buku catatan yang dirujuk sebagai buku dialog.
   
 Catatan pengalaman bahagian empat ini turut memuatkan terjemahan haiku pengarang Jepun seperti Matsuo Basho, Natsume Soseki dan Keiko Ito, selain terjemahan karya klasik China, dialog serta monolog, catatan kembaranya dari Timur ke Barat dan catatan proses kreatif yang dirujuk sebagai `sajak-sajak tak lengkap' kerana beliau merasakan ada sajak yang kurang dan tidak lengkap sifat sebagai seni berkenaan.
   
 Terdapat juga sajak bahasa Minang, Tanang Alah Mambaok Rusuah, yang mengingatkan pembaca kepada negeri kelahirannya, Negeri Sembilan.
  
Naskhah Rempah Ratus turut merakamkan sekitar tahun 1973 apabila Pak Latif dan rakan-rakannya sudah membincangkan isu tiada pengarang Malaysia yang memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan, selain kerunsingan tentang kelompok yang kurang percaya pada kekuatan bahasa ibunda.
   
 Sayangnya hingga kini sesudah 43 tahun kerunsingan itu masih belum bernoktah.

Monday, March 20, 2017

Apa ada dalam akal Helen Oyeyemi ?




Jika anda mengenali Chinua Achebe sebagai novelis kelahiran Nigeria yang hebat, anda patut juga mengenali Helen Oyeyemi. Menerusi Icarus Girl, Oyeyemi ternyata sangat bijak bercerita apatah lagi manuskrip itu dihasilkan oleh pengarang itu pada usia 18 tahun!
   
Icarus Girl di tangan Oyeyemi sebenarnya adalah kisah tentang pencarian identiti anak kacukan yang selalu berhadapan dengan tekanan.
   
Jess dalam naskhah ini adalah anak lelaki Inggeris dengan perempuan asal Nigeria yang digambarkan sangat sunyi dan kerap dibuli.
 
Ketika bercuti di Nigeria, Jess mengenali Titiola atau TillyTilly, tetapi hakikat yang tidak ketahui oleh remaja itu adalah watak yang baru dikenalinya itu sebenarnya tidak kelihatan pada mata kasar.
   
Hanya Jess seorang saja yang mampu melihatnya tetapi kewujudan TillyTilly terus mengganggunya sehingga mengikut Jess kembali ke London.
   
Jess menjadi semakin bermasalah di sekolah hingga pada satu tahap kita mampu meneka TillyTilly itu sebenarnya ialah alter ego Jess.

Dari satu sudut, pembacaan naskhah ini memerlukan banyak kesabaran. Selain bergerak lambat pada bab awalnya, naskhah ini akan menjadi cerita supernatural atau dunia ghaib semata-mata jika kita tidak mampu mengaitkannya dengan pengalaman, kebudayaan dan kepercayaan mistik Nigeria atau mungkin juga tekanan lahir sebagai anak kacukan.
   
Icarus itu sendiri dalam tradisi Greek dikaitkan dengan kisah anak yang ingkar kepada nasihat bapanya, Daedalus. Jadi cubaan mengaitkan tajuk Icarus Girl dengan mitos Greek sedikit sukar.
   
Sarjana dan pengkritik sastera Inggeris melihat Icarus Girl sebagai naskhah pascakolonial yang sangat sinis dan menghentam situasi perkauman yang berlaku di Britain.
   
Bagaimanapun, Oyeyemi antara novelis British yang menarik untuk diperkatakan. Apatah lagi selepas laman sesawang Goodreads menyenaraikan naskhah terbaharunya, What Is Not Yours Is Not Yours sebagai antara 10 fiksyen terbaik untuk 2016.


Sunday, March 19, 2017

Bahtera Bahasaku - Adi Badiozaman Tuah yang romantis.

Jika kumpulan puisi itu adalah sebuah diari, maka Bahtera Bahasaku sebenarnya adalah diari untuk pengarang, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah. Apatah lagi ada di antara himpunan 92 sajak ini sesetengahnya sudah menjangkau usia 46 tahun misalnya Teratai yang dihasilkan pada 1971 di Kuala Tatau, Bintulu, Sarawak.
 
  Kumpulan puisi ini meskipun mengangkat tajuk mengenai bahasa yang mungkin boleh ditafsir kepada perjuangan atau perkembangan bahasa kebangsaan, tetapi sebahagian besar sajak dalam naskhah ini adalah ruang yang dibuka pengarang untuk pembaca mengenalinya seluas mungkin.
 
  Himpunan sajak seawal 1971 misalnya mencatat makna sendiri kerana itulah detik beliau mula membabitkan diri dalam penulisan sajak. Sekitar 1970-an juga Adi Badiozaman masih menuntut di Universiti Malaya. Justeru, tidak hairan untuk menemukan sajak-sajak yang merakamkan resah, gelisah dan sesekali romantis nadanya.
 
   
Kita juga dapat membaca kerinduan dan ingatannya pada apa yang ditinggalkan di Sarawak atau mungkin tepatnya di Bintulu. Misalnya sajak Satu Penantian dihasilkan pada 1975 dan ditujukan untuk tunangnya Ima.
 
  dalam penantian ini
  turun naik mentari terlalu perlahan
  seakan enggan datang dan pergi menjemput esok
  dan di Subuh dingin begini
  satu-satu kedengaran kokokan ayam
  melambatkan tibanya pagi.
 
  Puisi lebih jujur bercerita mengenai pengarangnya berbanding prosa. Justeru, ia ikhlas merakam kecenderungan dan kotak fikir penulis. Naskhah ini memperlihatkan bagaimana Adi Badiozaman terkesan dengan sajak Cintaku Jauh di Pulau oleh Chairil Anwar dan terhasilnya Cintamu Jauh di Pulau pada 1980, sesudah 31 tahun pemergian Chairil.
 
  mengingati pemergianmu
  khairil dengan apologi
  kira kau masih berpuisi
  Naskhah bersifat diari
   
  Puisi Pertemuan di Hyde Park juga sangat menarik kerana ia membawa kenangan dan kekentalan semangat dan jati diri pengarangnya. Meskipun ketika itu beliau jauh di Eropah, beliau masih teringat pada ayahnya yang mengajarnya erti hidup, pada sawah bendang dan erti sebuah watan.
 
  Sifat `diari' pada naskhah ini turut dapat dilihat menerusi sajak Bonda 1 mengenai kesedihan dan rindunya pada bonda yang pergi meskipun tahu pemergian itu perlu dilepaskan.
 
  Sementara sajak terkini beliau misalnya yang dihasilkan sekitar 2005 hingga 2009 adalah himpunan dedikasinya kepada rakan dan taulan juga pemimpin, sesuai dengan perkembangan semasa ketika itu yang mana Adi Badiozaman pernah terbabit dengan politik di negeri kelahirannya.

Tuesday, March 14, 2017

Kuroshio


Mingguan Malaysia, 4 Mac 2017

Naskhah Yiyun Li di mata saya



Add caption
Terlalu kerap pengarang China yang tinggal di Amerika menulis tentang nostalgia kehidupan mereka di Tanah Besar, sambil mencuit-cuit tentang politik negara itu yang dilihat sebagai serba tidak kena. Ha Jin, Ma Jian malah Yan Lianke antara pengarang yang gemar merakamkan kisah sedemikian.  

Yiyun Li menerusi Kinder Than Solitude membawa latar yang hampir sama apabila merakamkan kisah 1990-an, setahun selepas terjadinya tragedi Tiananmen dan Revolusi Budaya yang kemudian perlahan-lahan mengubah landskap politik China.

Bagaimanapun, Yiyun Li juga sangat bijak untuk tidak mencipta klise apabila memilih untuk mengangkat soal kesepian, persahabatan dan bagaimana sengsaranya jiwa dikejar sejarah silam meskipun memilih latar tahun `panas.'   Semua unsur itu berjaya dirangkulnya dalam sebuah naskhah yang sederhana hebat.   Bermula dengan kematian Shaoai sesudah koma selama 20 tahun, Ruyu, Moran dan Boyang bagai menoktahkan kesengsaraan peribadi kerana Shaoai diracun oleh seorang daripada mereka secara tidak sengaja.   Ia bermula ketika mereka masih remaja tetapi Boyang mengambil keputusan menjaga Shaoai di Beijing sementara Ruyu dan Moran yang mahu lari dari rasa bersalah itu menetap di Amerika Syarikat.  

Gagal dalam percintaan   Boyang, meskipun menjaga Shaoai, ia tidak mengurangkan rasa bersalah terhadap apa yang terjadi tambahan pula dia tidak bertuah dalam hubungan cinta meskipun kaya raya.   Kehidupan Ruyu dan Moran juga tidak bertuah berikutan kegagalan menjalinkan hubungan yang sihat misalnya perkahwinan untuk mendapatkan taraf penduduk tetap akhirnya berakhir dengan perceraian dan pekerjaan yang membosankan.   Novel ini dibuka dengan kematian Shaoai, yang kemudian membuka satu persatu sejarah yang mengikat tiga watak utamanya dengan latar yang melompat-lompat antara China dan Amerika.   

Bagaimanapun, Yiyun Li berjaya untuk menimbulkan persoalan dan debar sepanjang pembacaan siapakah sebenarnya yang meracun Shaoai hingga gadis itu mengalami kegagalan otak.   Untuk pembaca yang sudah biasa membaca karya pengarang berasal dari China, Yiyun Li menawarkan sesuatu yang berbeza berbanding kebanyakan pengarang China yang gemar bernostalgia. Bagaimanapun, jika anda membaca untuk mendapatkan pengalaman sejarah dan budaya China sebelum revolusi 1989, naskhah ini bukan pilihan yang baik.  

#Reviubukuyangsayabaca

Thursday, September 8, 2016

Tips Menulis Karya Kreatif




Bagaimana hendak memulakan karya?


Begini;

Bukan semua orang ditakdirkan punya magis dalam menulis karya kreatif. Magis maksudnya tanpa bimbingan formal, hanya mungkin dengan membaca dan minat karyanya tersiar dan menang pula hadiah sastera. ( dalam konteks sastera)
Atau, dia mampu tembus rumah penerbitan dengan karya pertama dan memikat hati pembaca.

Saya fikir yang punya magis ini sangat bertuah. Tapi yang tidak ada magis pun boleh juga berkarya.

Bagaimana?

1) Banyakkan membaca karya orang lain. Pilihlah karya yang baik. Baik ini sangat subjektif tetapi bergantunglah pada apa niat kita hendak menulis. Yang ini tepuk dada tanyalah selera.

2) Pelbagaikan genre bacaan. Kalau kita selama ini hanya membaca novel popular sahaja, alihkan pula baca buku yang sedikit berat - bukan dari isi padu bukunya tapi kandungannya selain jangan terikat pada karya kreatif saja. Bacalah juga buku non fiksyen.

3) Janganlah baru baca satu buku terus nak menulis, bacalah dua tiga buku. Saya pasti, kalau kita rajin membaca minat hendak menulis itu akan muncul tiba-tiba.

Ok, sudah banyak membaca, bila hendak menulis?

1) Tulis saja. Gabungan pembacaan dan pengalaman akan membantu anda menyiapkan semua karya. Kalau bimbang menyiapkan novel yang panjang dan tebal itu susah, mulakan dengan cerpen.

2) Tulis hal yang dekat dengan kita. Kalau cinta itu dekat dengan kita, tulis saja. Untuk permulaan dan motivasi tidak ada salahnya. Nanti bila dah pandai dan dah jemu automatik akan beralih tema. Sebab setiap penulis akan ada peningkatan dalam penulisannya.

3)Terinspirasi dengan karya orang lain pula akan menyebabkan kita hendak mengarang. Tidak salah kalau kita menulis karya yang 'inspired by" . Biasanya begitulah permulaan kebanyakan orang. Cuma kalau sudah masuk tiga buku masih lagi begitu, anda perlu cek semula misi dan visi.

Ok bagaimana ?

1) Mulakan dengan sinopsis cerita. Tuliskan dalam sehelai atau dua helai - ikut suka hati apa ringkasan cerita anda.

2) Mulakan dengan menulis rangka/plot. Kalau ada 30 bab, tuliskan rangka untuk 30 bab.

3) Bila mula menulis, masukkan saja apa yang mahu dalam setiap rangka yang disusun itu.

4) Ilmu bantu? Ok ini anda mulakan sebelum menulis. Misalnya kalau hendak tulis pasal Perang Teluk, bacalah tentangnya. Penyelidikan ini akan dimasukkan semasa anda menyiapkan karya.

5) Atau, boleh saja buat research sambil menulis. Maksudnya, waktu sedang menulis terfikir, oh perlu ada fakta ini, google dan gabungkan.

Berapa lama nak siap?

1) Ikut disiplin dan kemampuan anda. Ada yang boleh siap dalam 3 bulan, 6 bulan 9 bulan atau empat tahun.
Ehem.. saya siapkan Deru Angin dalam tempoh ENAM tahun termasuk reseach. Tetapi saya menyiapkan Bukan OrangOrang dalam masa SETAHUN sahaja.

Kalau Cerpen?

Hohoho.. ini lebih mudah. Sehari, seminggu pun boleh bergantung pada diri sendiri.
Ada yang boleh siapkan dalam tempoh 2 jam pun.

Tapi.. berapa lama hendak memeram idea ? Mungkin seminggu atau dua minggu, bergantung pada anda.

1) Tuliskan idea supaya tidak lupa.
2) Apabila idea sudah matang, mula menulis. Jika saya mungkin sesudah sebulan dua idea diperam dan nyaris tak basi, barulah saya boleh menuliskan. Tapi ada juga kadang kala idea spontan yang sekali duduk boleh disiapkan antaranya cerpen Istimewa yang saya tulis pada 2006.

Kursus penulisan?

Ya, kadang kala anda perlu ikuti untuk menambah pengetahuan dan cabang pembelajaran. Tapi bukanlah semua jurulatih penulisan itu penulis yang baik. Kadang kala mereka adalah jurulatih yang baik tapi bukan penulis yang baik. Sementara ada penulis yang baik tapi dia bukanlah jurulatih yang baik.
Tapi tidak salah untuk belajar  kerana setiap orang ada ilmu, keunikan dan pengalaman yang pasti akan membantu yang lain.

Silalah menulis.

Untuk Rekod: Ketika ini saya mengalami 'writers block' dan entry ini satu cara saya untuk berkongsi tips penulisan dengan yang sudi membaca dan antara prekripsi untuk memulihkan penyakit yang dipanggil "writers block' ini.

Di lain kali jika kaedah ini berjaya saya akan kongsikan pula tips menangani writers block ye.. :)


Tuesday, December 8, 2015

Secangkir Kopi









* Puisi ini tersiar dalam Dewan Budaya 2015
 (bulannya saya tak pasti sebab saya cuai kali ini untuk failing)
* Puisi kedua yang tersiar untuk tahun 2015
* Saya fikir 2016  adalah tahun untuk saya meneroka puisi selepas 'penat' dengan prosa
* Mungkin tidak, mungkin ya.. 


Secawan Kopi Hitam Likat

Secawan kopi yang hitam likat menunggu di meja dengan tanya
Apakah nikmat yang dicari dalam hitam legam warnaku ?

Bukankah secawan teh dengan warna terang dan harum aroma lebih sempurna menemani hari mu?

Secawan kopi yang pekat likat mengharum ruang dengan panas dan gelora
seperti seorang anak muda yang padat ghairahnya
tapi sisi gelapnya hanya akan terasa waktu jarum jam melontar ke akhir usia

Secawan kopi hitam mampu menyelak kemanusiaan
mempamer keburukan
seperti kaffein yang menyusutkan sel montok tubuh badan

Dewan Budaya,  2015. 
Terima kasih editornya Tuan Armin !

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...