Tuesday, December 6, 2011

Sehiris Bulan






Sehiris Bulan - Menemui anda pada 19 Disember 2011. Boleh beli juga secara online di Jemariseni.com




Selamat Membaca

Wednesday, November 16, 2011

Akan Datang .. sedikit masa sahaja lagi !

Sangat berharap mendapat sokongan daripada kawan-kawan pembaca sekalian. Sangat berharap juga boleh menunggu sedikit masa sahajalah lagi untuk kelahiran ini * ... promosi ni! :D



Menjadi manusia, kita tidak pernah sempurna. Namun saya berterima kasih kerana sokongan pembaca menjadikan saya ingin mencari kesempurnaan dalam penulisan.

Seperti kata sejarawan Amerika (1912-1989), Barbara W. Tuchman;

“Books are the carriers of civilization. Without books, history is silent, literature dumb, science crippled, thought and speculation at a standstill.”

Justeru saya menulis buku bukan hanya untuk menterjemahkan pemikiran tetapi juga untuk memeriahkan dunia kesusasteraan. Sehiris Bulan adalah novel keempat selepas;


· Noktah di hujung Rindu (2005)
· Kala Hujan Menitis (2008)
· Andainya kukembali (2009)


Salam takzim kepada pembaca budiman,

Hafizah Iszahanid.

Hafizahiszahanid.blogspot.com



Tuesday, November 1, 2011

Cantik!

Bagaimana cover novel yang cantik?


Adakah cover novel menjadi satu faktor tarikan untuk membeli dan membaca? Hasil perbualan dengan beberapa editor, ramai yang mengakuinya.


Buku Prima misalnya muncul dengan cover novel yang semakin cantik sekarang. Sungguh, melihatnya sahaja hati sudah terdetik, wow cantik.


Bagaimanapun, bagi sesetengah pembaca mereka punya kecenderungan yang berbeza. Ada yang membeli buku atas faktor penulis itu sendiri dan syarikat penerbitannya. Cover novel hanyalah nilai tambah.


Selalunya kalau penulis baru, cover novel yang cantik ibarat salam perkenalan yang penuh santun. Ia bagai mengikat pembaca dengan karya-karyanya. Dan itulah yang selalunya diinginkan oleh pengarang, pembaca kekal setia membaca karyanya bukan hanya kerana faktor cover yang cantik tetapi karya itu sendiri cantik. Dan sekali lagi, cantik untuk setiap orang itu tidak serupa. Ia sangat subjektif justeru tidak salah mengatakan cantik kala orang lain mengata buruk!



Friday, October 28, 2011

Kandisky





Arghhhhhh!



Ok, saya menjerit sendiri waktu memegang buku ini " Kandisky" tulisan Helmut Friedel dan Annegret Hoberg minggu lalu. Saya jumpa buku ini di Petaling Jaya dengan harga RM259 (harga asal RM703).



Saya cium, peluk dan timang-timang buku yang berat ini. Aduhai, terimbas sungguh kenangan zaman belajar dulu.



Bertuahnya pelajar-pelajar sekarang. Lupakan dulu soal harga tetapi mudahnya mereka mendapat bekalan buku-buku.



Tahu tak zaman saya belajar dulu jangan harap boleh jumpa buku-buku begini bersepah-sepah di kedai buku. Zaman saya dulu, perlu tempah di pusat sumber sebab buku-buku itu kategori 'hot spot".



Hai, adik-adik sekalian belajar rajin-rajin ya .

Thursday, October 27, 2011

Rajaah




Sulaiman Esa, nama besar dalam dunia seni visual Malaysia. Dikenali sebagai pelopor seni Islam, Sulaiman juga sebenarnya pernah berada dalam konflik pencarian diri sebelum bertemu dengan definisi seni Islam yang dipilihnya. Justeru, bagi yang mengenali Sulaiman dan seni Islam, pameran Raja’ah: Seni, Idea dan Kreativiti Sulaiman Esa adalah lokasi pencarian wajib singgah.



Mengenali Sulaiman Esa, tidak terhenti pada koleksi siri Insyirah atau Waiting For Godot. Ia sepatutnya bermula sejak 1956 ketika Sulaiman yang masih remaja tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam seni halus mampu merakam wajah-wajah Johor dalam karyanya.



Kemudian, apabila Sulaiman berkelana ke Britain dengan biasiwa kerajaan, karya-karyanya mula diresapi wajah Eropah. Pertembungan ideologi anak Melayu Islam dengan nilai seni Eropah amat nyata waktu ini. Ia jelas terlihat dalam karya-karyanya dalam koleksi Waiting For Godot. Antaranya yang boleh dilihat adalah Waiting For Godot 1 (1977) selain menerusi Waiting For Godot (red) dan Waiting For Godot II.



Siri Waiting For Godot adalah pencarian dirinya dalam pertembungan ideologi Islam dan seni barat. Justeru karya-karya Sulaiman terlalu berani ketika itu apabila menzahirkan unsur-unsur agama yang digabungkan dengan figura wanita telanjang.



Namun sebagai manusia, Sulaiman pernah terganggu dengan pertembungan ideologi-ideologi hebat sepanjang usianya sebagai artis. Paling jelas dilihat adalah dalam karya-karyanya yang didefinisikan sebagai “Era London Sebelum dan Selepas”.



Pertembungan ideologi dan kepercayaan sekitar tahun 1970-an itu kemudiannya ‘mengganggu’ Sulaiman apabila pada 1974, dia muncul bersama dengan allahyarham Redza Piyadasa dengan pameran kontroversi bertajuk ‘Towards A Mystical Reality.



Pameran di Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu menggegar khalayak seni apabila seorang artis membuang air kecil di tengah pameran sebagai tanda protes. Pameran itu dianggap sebagai konseptual-konstruktivis yang menyuntik sedikit kelainan dalam aliran seni halus Malaysia waktu itu yang dibanjiri dengan idea impressionisme.



Justeru ia dibangunkan atas falsafah mistik timur, dengan sendirinya ia menolak semangat pascamoden dan refleks pascakolonial, gagasan-gagasan seni moden Barat. Anda yang ingin menikmati aura kehangatan Towards A Mystical Reality boleh merasainya kerana pameran berusia 37 tahun itu dibawakan semula untuk menjadi sebahagian daripada Raja’ah.



Kelantangan Sulaiman dan Redza dalam pameran itu menyaksikan mereka berkelana mencari ilmu di luar negara dan menjelang 1980-an, Sulaiman kembali ke Malaysia dengan gaya seni baharu yang disifatkan sebagai seni Islam.



Definisi seni Islam itu sendiri masih menjadi polemik namun Sulaiman seakan-akan menemui apa yang dicari. Koleksi Insyirah misalnya adalah manifestasi penemuan itu. Menerusi Garden of Mystery VI (1992), Sulaiman banyak bermain dengan geometri. Malah dalam kebanyakan koleksi berkenaan, sangat jelas Sulaiman terpengaruh dengan matematik dan grid.



Seperti kata Niranjan Rajah, ketika mengulas koleksi Insyirah pada tahun 2000 “ ... Sulaiman berjaya memperlihatkan bagaimana sesuatu yang suci boleh berkelangsungan dengan modenisme dan nationalisme juga politik kontemporari, isu etnik dan masyarakat. Malah, Sulaiman berjaya membina hubungan nilai tradisi suci itu dengan suasana kontemporari dan ia disampaikan dengan baik tanpa meminggirkan nilai seni,



Meskipun begitu Sulaiman pada akhir 1990-an muncul dengan catan Doa (1999)yang memperlihatkan figura potret diri. Begitu juga dengan Dance of Cosmos (2002) yang kelihatannya punya pengaruh kitab seksual Hindu, Kamasutra.



Koleksi itu memperjelaskan, perdebatan seni Islam sebenarnya tidak pernah berakhir dan ia terpulang kepada pemahaman si pengkarya. Pada akhir 1990-an juga Sulaiman tercuit dengan suasana politik negara.



Ini menzahirkan karya-karya seperti Last Supper (1998) dan Kebengongan (1998) selain Last Supper V (2000) yang jelas sekali adalah tindak balas Sulaiman pada isu politik yang berkisarkan pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.



Hari ini, Sulaiman masih bermain-main dengan isu islam dan ideologi, namun kali ini isunya lebih besar dan universal. Islamphobia dan terrosime adalah jiwa karya-karya Sulaiman yang mutakhir. Ia boleh dilihat dalam karya-karyanya yang memaparkan siri penyeksaan tahanan di penjara Abu Gharib, Iraq selain sebuah karya instalasi yang dibuat bersama anaknya Fairuz Sulaiman berjudul Panopticon (2011).



Sebenarnya, karya-karya Sulaiman tidak boleh anda nilai pada bentuk fizikalnya sahaja. Mesej dan pemahaman yang ingin disampaikan melepasi tembok fizikal karyanya.



Apapun tanggapan anda pada Sulaiman, prestij dan karyanya adalah antara yang terbaik di Malaysia. Bagi anda yang ingin menikmati perjalanan hidup seniman hebat ini pastikan pameran ini menjadi satu daripada agenda wajib.

Wednesday, October 26, 2011

Apa yang dicari ?







Apa yang dicari dalam sebuah novel ?






Saya selalu mencari 'umphhh" dan kepuasan bacaan. Namun sungguh, saya payah juga menemuinya dalam novel-novel penulis di Malaysia. Namun ada beberapa orang penulis yang karyanya saya buru dan kumpul. Mereka ini saya letakkan dalam genre 'umphh' mengikut selera saya. (Atau mungkin saya tidak habis mencari.. lalu kalau saya mencari lagi tentu bertemu ramai lagi penulis yang ada umphhh)






Saya tidaklah berselera terlalu tinggi. Saya cuma mahu sesuatu yang lebih bijak dari saya, yang lebih mencabar minda.






Seperti kata rakan, "penulis itu maksudnya orang yang mesti lebih bijak dari pembacanya. Kalau tulisannya menunjukkan dia tidak setanding pembaca, mungkin dia perlu memikirkan untuk hanya jadi pembaca,"






Saya ketawa berdekah-dekah lewat kata-kata itu mungkin satu daripada sebabnya intonasi dan gaya dia menyampaikannya. Namun selepas itu, terfikir betul sangat yang dikata.






Bagaimanapun, sebagai penulis ada banyak kekangan dan hambatan-hambatan lain yang melingkari. Ada seribu satu persoalan dan seribu satu pertikaian. Realiti terlalu jauh beza dari harapan dan keinginan buat sesetengah orang.






"Cerpen medium yang baik untuk meletakkan yang berat-berat. Novel selalunya kalau di Malaysia, jangan letak yang berat. Ramai orang buat begitu, sebab mereka tahu mereka tidak mampu, awak pun boleh buat begitu kalau awak mahu," begitulah lebih kurang isi sembang dengan seorang penyair senior.






Saya banyak berfikir tentang itu. * Emmmm... emmm... emmmm...

Tuesday, July 26, 2011

Selepas Mastera


Seminggu di Bogor untuk MASTERA.


Alhamdulilah Bogor yang indah dan banyak ilmu yang dikutip daripada pembimbing dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.


Insya Allah, ia adalah peluang yang tidak akan disia-siakan. Peluang bertemu penulis lain dan memperoleh ilmu untuk meningkatkan mutu karya.


Karya-karya selepas Mastera harapnya ada banyak perubahan yang lebih positif. Tapi sebelum itu, karya sebelum ke Mastera pun sudah ditulis sehabis baik. Karya itu adalah mewakili zaman penulisnya. Dari zero tidak terus melompat menjadi A. Tentu saja perjalanan dari zero menjadi A itu ada X ada Y ada K ada M nya bukan?


Terima kasih untuk pembaca yang sudi membaca karya-karya saya. Saya sangat berterima kasih. Tulis terus menulis. Insya Allah, selagi diberikan kudrat dan kesempatan, akan lebih banyak novel dihasilkan.

Friday, July 8, 2011

Adalia ~ (Manuskrip belum bertajuk..)

pic from here








Dia adalah kemanisan masa lalu. Kemanisan yang masih terasa-rasa pada setiap tidur dan jaga. Namun kemanisan itu tertulis tidak kekal. Kemanisan itu cuma sebentar, lalu dia hilang dalam kabus kehidupan.



Adalia tahu, manusia seperti dia itu yang beragama Islam dan lelaki Melayu sangat berpegang kuat pada agama dan budayanya. Lalu, di mana aku? Adalia melihat bintang dalam bidang dada langit.



Bintang itu cantik bersinar.



Jika hidup tidak bertuhan adakah hidup itu berhaluan?



Soalan itu melantun-lantun dalam atma.



Tuhan? Sungguh, Adalia sudah terlalu lama melupakan.




*********************




Sehiris Bulan, novel keempat bakal menemui pembaca sekalian. Sudah ada penerbit yang sudi menerbitkan. Justeru, Sehiris Bulan tidak manis lagi saya kongsikan di sini. Nantikan sahaja ya, Sehiris Bulan di pasaran Insya Allah.



Saya tampikanl manuskrip baru (yang belum bertajuk) jika ada rezeki, mungkin hujung tahun hadapan, barulah boleh dipegang sebagai sebuah novel berkulit cantik, Insya allah.

Thursday, July 7, 2011

Julia ~ ( Sehiris Bulan )





......... Waktu itu Julia melihat riak wajah Mokhtar yang berubah marah dan perlahan-lahan dia menyorong kerusi rodanya, beredar dari sidang akhbar. Waktu itu juga jurugambar pantas merakamkan momen penuh kejutan.




Waktu itu juga Julia mendengar Dr Akhbar memohon maaf dan bertanya adakah dia tersalah cakap. Waktu itu juga Mokhtar semakin kuat menyorong kerusi rodanya dengan kedua-dua belah tangan meninggalkan audien memanggil-manggil namanya dan sebahagian lagi tergamam.



Julia dapat melihat dengan jelas riak wajah Mokhtar waktu itu, wajah penuh hampa, wajah orang teraniaya dan wajah separuh kecewa.


Julia mencari-cari wajah Engku Effendi dalam keriuhan dan kejutan sidang akhbar itu, tetapi Engku Effendi sudah tiada di situ.


Julia pulang ke pejabat dengan pelbagai perasaan. Kecewa, terkejut, resah dan entah apa-apa lagi.

“Apa yang saya boleh tolong Julia?,” suara Mokhtar perlahan. Lama dia menyeluruhi wajah Julia.



“Awak gadis di Langkawi itu bukan?,” Mokhtar melontar soal.


Julia angguk. Mokhtar pantas tunduk ke lantai.


“Saya malu awak melihat saya begini..,”


“Jangan begitu Mokhtar. Hidup ini bukan milik kita seluruhnya. Kita merancang Allah juga menentukan,”


“Awak macam Pak Su.. sentiasa optimis.. mungkin kerana itu kalian boleh jatuh cinta,” Mokhtar ketawa. Ketawa yang pedih. Ketawa menyembuh luka sendiri.


Julia terkejut dengan ayat Mokhtar. Ayat jatuh cinta. Darah menyirap ke muka. Engku Effendi juga. Dia memandang Mokhtar dan memandang Julia, Julia yang kelihatan serba salah, yang kelihatan resah.


Engku Effendi memejam mata. Oh, begitu kisahnya! Engku Effendi meneka-neka sendiri.

Monday, June 27, 2011

Sehiris Bulan


....................... Usai solat, Engku Effendi teguk air zam-zam. Dia membaca perlahan, ‘Allah humma in ni As Aluka ‘Ilman Naafi’an, Warizqan Toiyiban Wa syifa An Min Kullidak ”. Ya Allah Aku memohon padamu ilmu yang manfaat, rezeki yang luas, ubat dari segala penyakit”.

Engku Effendi rasa ada tenteram yang datang ada tenang yang bertandang. Dia hanya tersenyum waktu emak memandangnya seolah-olah bertanya, kau ok Effendi? Atilia pula bagai dalam dunia sendiri. Khusyuk dan tenang sahaja menunaikan ibadah. Kata Atilia kelmarin dia mahu menunaikan ibadah itu dengan setenang mungkin, tidak tahu bila akan datang lagi.

Antara Safa dan Marwah, di situ jemaah perlu bersaie ulang alik tujuh kali mengulang perlakuan Siti Hajar mencari air untuk si kecil Ismail. Dari sesudah itu bertahlul dan usailah ibadah umrah.

Engku Effendi melakukan semuanya, walau kepala tidak dibotakkan cukup mengunting sedikit sebagaimana syarat paling kurang tiga helai rambut. Sepanjang ibadah itu dia menyerahkan semuanya kepada Allah kerana dia yang lebih mengetahui.

Namun, pulang nanti ke Malaysia sebelum pertunangan diikat sebelum nikah diakad, dia perlu memberitahu Julia tentang Adlan. Adlan yang masih sendiri. Kalau Julia berpaling? Hati bertanya. Tandanya itu bukan jodoh.




Kalau Julia kekal? Itu yang terbaik Allah beri. Mengapa perlu beritahu dia? Mengapa tidak diam-diamkan sahaja? Hati mengusik lagi. Kerana aku lelaki budiman kerana aku lelaki yang tidak sukakan paksaan kerana aku lelaki yang perjaya cinta itu sesungguhnya memerlukan kekuatan dan kebal ujian.


*******************


Setahun untuk menghabiskan manuskrip ini. Insya Allah jika ada rezeki ia bakal terbit. Berkongsi dengan kalian yang sudi membaca dan kerap bertandang dan melihat blog ini penuh sawang, saya kongsi Sehiris Bulan.



Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...