Engkau tidak pernah salah kawan, apabila memilih untuk tidak pulang
Selepas menyalam tangan ayah bonda puluhan tahun dulu dalam gerimis senja
menyisip janji menjadi siswa dan pulang menjadi insan merdeka
Engkau tidak salah kawan untuk membiarkan aku sendiri
Menepis dan menangkis semua onak yang datang dan melintang dalam bengkang bengkuknya jalan kehidupan
Engkau juga tidak salah kawan apabila hujan emas menjadikan hatimu kaku
Dan roh manusiawi menjadi nihil dalam jasadmu
Hujan emas melemaskan
Hujan batu itu merimaskan
"Jangan cari nostalgia kawan, cari realiti " – aku menghadap pesan itu yang kau tulis untuk aku.
Bila pergi, pulanglah sesekali.
Ada roh masih tersimpul mati jauh dalam urat nadi.
Roh Melayu yang sejuta tahun pun kau tak biasa padam.
Seperti dulu, aku masih kawan, lalu kawan wajib saling menghormati.
Bangsar, Kuala Lumpur.
Friday, April 20, 2012
Wednesday, April 18, 2012
Jumpa di Pesta Buku !

Hujan petang.
Tempias hujan terpercik ke muka. Alahai sejuk pula. Anginnya buat nak cepat-cepat naik ke ofis, menyarung jaket tebal.
Ada banyak rencana perlu buat tapi satu pun belum terbuat. Menunggu mood yang entah bila akan datang.
Terus terkenang boss lama yang selalu pesan, kerja menulis tiada ada istilah tunggu mood. Ketuk, ketuk, ketuk. Kalau tunggu mood, sampai pencen mood belum tentu datang. Ha-ha.. :)
Nak Tulis Novel Baharu.
He - he... idea banyak tapi kudrat tiada.
Merapu-rapu antara masa kini dan masa silam, kadang-kadang sambil bawa kereta, ada banyak idea - adegan menyelinap.
Namun tiada kudrat hendak memindahkan apa yang ada dalam benak ke dalam manuskrip.
Mahu tulis yang dekat dengan diri tapi jauh sedikit (sahaja) dari Sehiris Bulan. Tapi apabila bulan sudah tinggal sehiris, susah juga sebuah matahari hendak bersinar. He - he...
Oh, minggu hadapan pesta buku! Kalau berkesempatan jemputlah ke booth Jemari Seni pada sebelah pagi 5 Mei 2012.
Saya ada di situ dengan kawan-kawan penulis lain. Jangan cari Engku Effendi ... dia hanya ada dalam Sehiris Bulan.
Jumpa nanti !
Monday, January 30, 2012
Friday, January 13, 2012
Karya Sasterawan 2011

KEBANYAKAN karya penulis muda yang terhimpun dalam Antologi Karya Sasterawan 2011 ini marak dengan api perjuangan. Definisi perjuangan itu sendiri luas maka tidak semua perjuangan yang diungkapkan terarah kepada politik.
Perjuangan menegakkan bahasa, menentang persepsi dan kebenaran agama antara yang boleh ditelusuri menerusi 30 cerpen, empat fragmen novel dan 34 puisi hasil karya 49 penulis dari seluruh negara.Antologi Karya Sasterawan 2011 yang terbit sebagai dokumentasi acara dwitahunan, Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) ini bukan saja sebagai testimoni kepada sebahagian penulis, bahkan lebih jauh menjadi penanda aras kepada dunia kesusasteraan Malaysia terutama membabitkan penulis muda.Karya yang terpilih dalam antologi ini memiliki kekuatan tersendiri.
Ada antara tulisan yang termuat adalah karya yang sudah dinobatkan sebagai pemenang dalam pelbagai sayembara misalnya Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), Hadiah Sastera Berunsur Islam, Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).
Namun ada juga karya yang yang tidak bersandar kriteria berkenaan sebaliknya terpilih atas faktor penulis dengan keperibadian karya yang kuat, pengarang yang menulis dengan aliran yang mewakili zamannya dan karyawan yang berpotensi berdasarkan prolifik berkarya.
Justeru, antara karya yang menyerlah dalam buku ini adalah The Dodger Dipper tulisan Aidil Khalid. Cerpen yang tersiar di Berita Minggu pada 28 Mac 2009 ini digarap bijak, licik dan penuh satira. Menyindir dasar kerajaan yang mengangkat Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Aidil sangat bijak mengalirkan ideanya lewat cerpen ini.Begitu juga Saharil Hasrin Sanin yang kali ini menyenaraikan cerpen bertema perjuangan dengan latar Palestin dan Israel tetapi diolah dengan nuansa romantis lewat Cinta di Dasar Al-Aqsa.
Sebagai buah tangan PPMN 2011, Antologi Karya Sasterawan 2011 adalah bukti sensitiviti penulis muda terhadap pelbagai isu yang berada di sekeliling mereka. Dari aspek politik, sosial mahupun ekonomi, mereka sangat bijak berkias menuang kreativiti lalu berhasil mengkritik dan menegur masyarakatnya dengan amat berhemah.Jika mungkin ada yang mengandaikan Malaysia tiada pengganti Sasterawan Negara terbilang sedia ada, amat nyata mereka tidak dekat dan tidak tahu akan dunia sastera.
Antologi ini adalah bukti yang amat jelas Malaysia memiliki barisan penulis muda yang sangat hebat, kritis dan melontar teguran dengan cara beradab dan bersendi agama. Kalau mahu dibandingkan dengan penulis muda Indonesia dan Filipina hari ini yang lebih berani mengkritik masyarakatnya tetapi dengan melanggar adat dan adab ketimuran dan agama, penulis muda Malaysia nyata jauh lebih bijak dan berhemah dalam berkarya.
p/s Cerpen saya "Adiba Seorang Ultraman" pun turut terselit di dalam himpunan ini :D
Tuesday, January 10, 2012
Ha Jin

Saya mengenal Ha Jin melalui The Crazed beberapa tahun lepas.
Menarik, tentang revolusi budaya tentang Medan Tiannamen tentang golongan intelektual di China.
Bukan sebuah karya terbaik Ha Jin, namun ia adalah titik tolak untuk lebih mengenal karyanya. Ha Jin antara penulis China yang berada di luar negara dan banyak karyanya diterjemah dalam Bahasa Inggeris.
Begitu juga Yan Lianke. Saya suka novelnya Dream of Ding Village. Satu lagi novel Lianke yang banyak diperkatakan ialah Serve The Nation.
Kerana terjemahan karya, Ha Jin dan Yan Lianke dapat dinikmati oleh lebih ramai orang. Novel Waiting dan War Trash antara karya Ha Jin yang menerima anugerah National Book Award.
Akhir November lalu saya berkenalan dengan novelnya yang lain, A Free Life. Kisah kelompok intelektual China yang menuntut di Amerika. Belum habis baca, tak boleh review lagi :) Ada satu lagi yang saya sedang buru, A Good Fall.
Point: Harap-harap kita mampu berkarya dengan baik dan dimurahkan rezeki untuk diterjemahkan. Mana tahu satu hari boleh menang National Book Award juga :D Amin... :)
Thursday, January 5, 2012
Halaman 71
Kata Zaira, dia punya sepupu yang bertugas sebagai kurator di Galeri Anton di New York. Galeri di Walker Street itu kepunyaan seorang Yahudi bernama Yitzak. Adlan tahu mengenai galeri itu tetapi tidak pula menyangka kurator yang bertugas di situ orang Malaysia.
“Tapi awak tak sensitifkan soal itu?” Adlan ingat buntang mata Zaira memandangnya ketika menanyakan soalan itu tadi.
Ya, menembusi dunia seni halus New York bagi pelukis luar seperti Adlan Huzairi adalah impian yang sangat besar. Justeru, tidak semua pelukis yang mampu melakukannya. Dunia seni halus di New York bukan hanya menuntut karya yang baik dan dalam kelas tersendiri tetapi lebih daripada itu.Lalu, tidak lucu waktu Zaira menyebut sepupunya itu menjadi “Melayu Yahudi” untuk membina reputasi sebagai kurator hebat.
Adlan tidak tercuit langsung waktu Zaira menyebut “Melayu Yahudi”. Keinginan untuk berjaya dan hidup dalam dunia seni New York memungkinkan pelbagai jenis “yahudi’ muncul. Ada Melayu Yahudi, Cina Yahudi, Negro Yahudi dan pelbagai lagi manusia yang bukan Yahudi rela menjadi Yahudi. Dan bukan sedikit lelaki yang harus menjadi gay!
Adlan tahu. Dan sungguh tahu dengan senario itu.
“Jadi bagaimana Zaira yakin sepupu mu itu boleh membantu saya?”
Soalan Adlan mematahkan tawa Zaira. Gadis manis itu menyeluruhi wajah Adlan Huzairi.Oh Adlan, ada yang kau masih tidak tahu tentang aku. Aku rela melakukan apa saja untukmu! Hati Zaira berbicara. Zaira memejam mata.
Soalan Adlan Huzairi dibiarkan saja tanpa jawapan. Zaira membuang pandangan ke luar jendela. Wajah kampus tempat Adlan Huzairi mengajar pijar dipanah matahari jam 12 tengah hari.Zaira memandang Adlan kemudiannya. ~ Halaman 71, Sehiris Bulan.
“Tapi awak tak sensitifkan soal itu?” Adlan ingat buntang mata Zaira memandangnya ketika menanyakan soalan itu tadi.
Ya, menembusi dunia seni halus New York bagi pelukis luar seperti Adlan Huzairi adalah impian yang sangat besar. Justeru, tidak semua pelukis yang mampu melakukannya. Dunia seni halus di New York bukan hanya menuntut karya yang baik dan dalam kelas tersendiri tetapi lebih daripada itu.Lalu, tidak lucu waktu Zaira menyebut sepupunya itu menjadi “Melayu Yahudi” untuk membina reputasi sebagai kurator hebat.
Adlan tidak tercuit langsung waktu Zaira menyebut “Melayu Yahudi”. Keinginan untuk berjaya dan hidup dalam dunia seni New York memungkinkan pelbagai jenis “yahudi’ muncul. Ada Melayu Yahudi, Cina Yahudi, Negro Yahudi dan pelbagai lagi manusia yang bukan Yahudi rela menjadi Yahudi. Dan bukan sedikit lelaki yang harus menjadi gay!
Adlan tahu. Dan sungguh tahu dengan senario itu.
“Jadi bagaimana Zaira yakin sepupu mu itu boleh membantu saya?”
Soalan Adlan mematahkan tawa Zaira. Gadis manis itu menyeluruhi wajah Adlan Huzairi.Oh Adlan, ada yang kau masih tidak tahu tentang aku. Aku rela melakukan apa saja untukmu! Hati Zaira berbicara. Zaira memejam mata.
Soalan Adlan Huzairi dibiarkan saja tanpa jawapan. Zaira membuang pandangan ke luar jendela. Wajah kampus tempat Adlan Huzairi mengajar pijar dipanah matahari jam 12 tengah hari.Zaira memandang Adlan kemudiannya. ~ Halaman 71, Sehiris Bulan.
Tuesday, December 6, 2011
Sehiris Bulan
Wednesday, November 16, 2011
Akan Datang .. sedikit masa sahaja lagi !
Sangat berharap mendapat sokongan daripada kawan-kawan pembaca sekalian. Sangat berharap juga boleh menunggu sedikit masa sahajalah lagi untuk kelahiran ini * ... promosi ni! :D
Menjadi manusia, kita tidak pernah sempurna. Namun saya berterima kasih kerana sokongan pembaca menjadikan saya ingin mencari kesempurnaan dalam penulisan.
Seperti kata sejarawan Amerika (1912-1989), Barbara W. Tuchman;
“Books are the carriers of civilization. Without books, history is silent, literature dumb, science crippled, thought and speculation at a standstill.”
Justeru saya menulis buku bukan hanya untuk menterjemahkan pemikiran tetapi juga untuk memeriahkan dunia kesusasteraan. Sehiris Bulan adalah novel keempat selepas;
· Noktah di hujung Rindu (2005)
· Kala Hujan Menitis (2008)
· Andainya kukembali (2009)
Salam takzim kepada pembaca budiman,
Hafizah Iszahanid.
Hafizahiszahanid.blogspot.com
Tuesday, November 1, 2011
Cantik!
Bagaimana cover novel yang cantik?
Adakah cover novel menjadi satu faktor tarikan untuk membeli dan membaca? Hasil perbualan dengan beberapa editor, ramai yang mengakuinya.
Buku Prima misalnya muncul dengan cover novel yang semakin cantik sekarang. Sungguh, melihatnya sahaja hati sudah terdetik, wow cantik.
Bagaimanapun, bagi sesetengah pembaca mereka punya kecenderungan yang berbeza. Ada yang membeli buku atas faktor penulis itu sendiri dan syarikat penerbitannya. Cover novel hanyalah nilai tambah.
Selalunya kalau penulis baru, cover novel yang cantik ibarat salam perkenalan yang penuh santun. Ia bagai mengikat pembaca dengan karya-karyanya. Dan itulah yang selalunya diinginkan oleh pengarang, pembaca kekal setia membaca karyanya bukan hanya kerana faktor cover yang cantik tetapi karya itu sendiri cantik. Dan sekali lagi, cantik untuk setiap orang itu tidak serupa. Ia sangat subjektif justeru tidak salah mengatakan cantik kala orang lain mengata buruk!
Friday, October 28, 2011
Kandisky

Arghhhhhh!
Ok, saya menjerit sendiri waktu memegang buku ini " Kandisky" tulisan Helmut Friedel dan Annegret Hoberg minggu lalu. Saya jumpa buku ini di Petaling Jaya dengan harga RM259 (harga asal RM703).
Saya cium, peluk dan timang-timang buku yang berat ini. Aduhai, terimbas sungguh kenangan zaman belajar dulu.
Bertuahnya pelajar-pelajar sekarang. Lupakan dulu soal harga tetapi mudahnya mereka mendapat bekalan buku-buku.
Tahu tak zaman saya belajar dulu jangan harap boleh jumpa buku-buku begini bersepah-sepah di kedai buku. Zaman saya dulu, perlu tempah di pusat sumber sebab buku-buku itu kategori 'hot spot".
Hai, adik-adik sekalian belajar rajin-rajin ya .
Thursday, October 27, 2011
Rajaah
Sulaiman Esa, nama besar dalam dunia seni visual Malaysia. Dikenali sebagai pelopor seni Islam, Sulaiman juga sebenarnya pernah berada dalam konflik pencarian diri sebelum bertemu dengan definisi seni Islam yang dipilihnya. Justeru, bagi yang mengenali Sulaiman dan seni Islam, pameran Raja’ah: Seni, Idea dan Kreativiti Sulaiman Esa adalah lokasi pencarian wajib singgah.
Mengenali Sulaiman Esa, tidak terhenti pada koleksi siri Insyirah atau Waiting For Godot. Ia sepatutnya bermula sejak 1956 ketika Sulaiman yang masih remaja tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam seni halus mampu merakam wajah-wajah Johor dalam karyanya.
Kemudian, apabila Sulaiman berkelana ke Britain dengan biasiwa kerajaan, karya-karyanya mula diresapi wajah Eropah. Pertembungan ideologi anak Melayu Islam dengan nilai seni Eropah amat nyata waktu ini. Ia jelas terlihat dalam karya-karyanya dalam koleksi Waiting For Godot. Antaranya yang boleh dilihat adalah Waiting For Godot 1 (1977) selain menerusi Waiting For Godot (red) dan Waiting For Godot II.
Siri Waiting For Godot adalah pencarian dirinya dalam pertembungan ideologi Islam dan seni barat. Justeru karya-karya Sulaiman terlalu berani ketika itu apabila menzahirkan unsur-unsur agama yang digabungkan dengan figura wanita telanjang.
Namun sebagai manusia, Sulaiman pernah terganggu dengan pertembungan ideologi-ideologi hebat sepanjang usianya sebagai artis. Paling jelas dilihat adalah dalam karya-karyanya yang didefinisikan sebagai “Era London Sebelum dan Selepas”.
Pertembungan ideologi dan kepercayaan sekitar tahun 1970-an itu kemudiannya ‘mengganggu’ Sulaiman apabila pada 1974, dia muncul bersama dengan allahyarham Redza Piyadasa dengan pameran kontroversi bertajuk ‘Towards A Mystical Reality.
Pameran di Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu menggegar khalayak seni apabila seorang artis membuang air kecil di tengah pameran sebagai tanda protes. Pameran itu dianggap sebagai konseptual-konstruktivis yang menyuntik sedikit kelainan dalam aliran seni halus Malaysia waktu itu yang dibanjiri dengan idea impressionisme.
Justeru ia dibangunkan atas falsafah mistik timur, dengan sendirinya ia menolak semangat pascamoden dan refleks pascakolonial, gagasan-gagasan seni moden Barat. Anda yang ingin menikmati aura kehangatan Towards A Mystical Reality boleh merasainya kerana pameran berusia 37 tahun itu dibawakan semula untuk menjadi sebahagian daripada Raja’ah.
Kelantangan Sulaiman dan Redza dalam pameran itu menyaksikan mereka berkelana mencari ilmu di luar negara dan menjelang 1980-an, Sulaiman kembali ke Malaysia dengan gaya seni baharu yang disifatkan sebagai seni Islam.
Definisi seni Islam itu sendiri masih menjadi polemik namun Sulaiman seakan-akan menemui apa yang dicari. Koleksi Insyirah misalnya adalah manifestasi penemuan itu. Menerusi Garden of Mystery VI (1992), Sulaiman banyak bermain dengan geometri. Malah dalam kebanyakan koleksi berkenaan, sangat jelas Sulaiman terpengaruh dengan matematik dan grid.
Seperti kata Niranjan Rajah, ketika mengulas koleksi Insyirah pada tahun 2000 “ ... Sulaiman berjaya memperlihatkan bagaimana sesuatu yang suci boleh berkelangsungan dengan modenisme dan nationalisme juga politik kontemporari, isu etnik dan masyarakat. Malah, Sulaiman berjaya membina hubungan nilai tradisi suci itu dengan suasana kontemporari dan ia disampaikan dengan baik tanpa meminggirkan nilai seni,”
Meskipun begitu Sulaiman pada akhir 1990-an muncul dengan catan Doa (1999)yang memperlihatkan figura potret diri. Begitu juga dengan Dance of Cosmos (2002) yang kelihatannya punya pengaruh kitab seksual Hindu, Kamasutra.
Koleksi itu memperjelaskan, perdebatan seni Islam sebenarnya tidak pernah berakhir dan ia terpulang kepada pemahaman si pengkarya. Pada akhir 1990-an juga Sulaiman tercuit dengan suasana politik negara.
Ini menzahirkan karya-karya seperti Last Supper (1998) dan Kebengongan (1998) selain Last Supper V (2000) yang jelas sekali adalah tindak balas Sulaiman pada isu politik yang berkisarkan pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
Hari ini, Sulaiman masih bermain-main dengan isu islam dan ideologi, namun kali ini isunya lebih besar dan universal. Islamphobia dan terrosime adalah jiwa karya-karya Sulaiman yang mutakhir. Ia boleh dilihat dalam karya-karyanya yang memaparkan siri penyeksaan tahanan di penjara Abu Gharib, Iraq selain sebuah karya instalasi yang dibuat bersama anaknya Fairuz Sulaiman berjudul Panopticon (2011).
Sebenarnya, karya-karya Sulaiman tidak boleh anda nilai pada bentuk fizikalnya sahaja. Mesej dan pemahaman yang ingin disampaikan melepasi tembok fizikal karyanya.
Apapun tanggapan anda pada Sulaiman, prestij dan karyanya adalah antara yang terbaik di Malaysia. Bagi anda yang ingin menikmati perjalanan hidup seniman hebat ini pastikan pameran ini menjadi satu daripada agenda wajib.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Bukan Wanita Biasa
KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera. Mei 11, 2020 09:00 +08 | Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...
-
Isu yang dibawa dalam novel Perang Sangkil tulisan Akiya ini adalah isu yang sangat besar. Ia adalah kisah yang tercicir dalam put...
-
Kepercayaan Editor Dewan Sastera sangat saya hargai. Terima kasih daun keladi. Semoga perkongsian di Dewan Sastera Mac 2015 bermanafa...
