Thursday, September 4, 2008

Selamat Hari Raya, Atilia


Little Girl Traveling Image: © Simon Marcus/Corbis Collection: CometStandard RM Potographer: Simon Marcus


SELAMAT HARI RAYA, ATILIA.
Oleh: Hafizah Iszahanid

Dari pejabat, Atilia terus memandu ke KL Sentral. Dalam hatinya sudah berkira-kira, dari KL sentral dia akan terus mengambil KL Ekspress untuk ke KLIA. Rasanya jiwa dan seluruh rasa sudah berada di Beijing. Hanya jasad masih berada di sini.
Atilia merenung langit yang mula gelap. Hujan turun rintik. Perjalanan dari Hospital Kuala Lumpur, tempat dia bertugas ke KL Sentral sesak dengan kenderaan. Dari Jalan Sultan Ismail ke Jalan Kuching terlalu sesak. Tadi, waktu dia menjenguk Jalan Tun Razak menghala ke pusat Bandar juga sesak teruk.
Atilia gelisah. Debar di dadanya tidak mahu pergi. Sudah tiga kali Azza dan Yati, kawan yang bakal ke Beijing bersamanya menelefon. Malah sudah berpuluh kali menghantar mesej.
“Cepatlah Lia, kau nak kena tinggal flight ke?,”
Mesej ringkas Azza memang menyentap perasaannya. Atilia melihat jam di tangan, sudah 7.15 malam. Penerbangannya ke Beijing di jadualkan jam 9.30 malam. Hatinya gusar. Oh, janganlah hingga terlepas penerbangan. Atilia memikirkan kemungkinan itu. Semakin lama difikirkan, semakin dia menjadi resah.
Sudah terlalu lama Atilia merancang percutian begini, sejak lapan tahun lalu. Bercuti panjang dengan teman-teman yang masih bujang. Kerjaya sebagai pegawai perubatan kerap kali membuatkan dia sukar mendapat cuti panjang. Walaupun pada hari raya. Kerap kalinya, Atilia terpaksa bertugas di hari raya.
Jadi, pada Atilia tiada bezanya kalau cuti hari raya tahun ini dihabiskan di bersantai di Beijing. Kebetulan permohonannya untuk bercuti selama seminggu diluluskan.
Keinginan dan keghairahan membeli kain sutera cina dan pelbagai fesyen kasut, beg dan aksesori dengan harga yang murah membuak-buak dan menutup segala duka dan pilu berhari raya jauh dari kampung halaman.
“Alah, kalau baru pertama kali kerja hari raya, kau sedihlah kut. Tapi kalau dah lapan tahun kerja, lapan kali kau beraya dengan pesakit kat wad, kau ingat perasaan sedih tu berbaloi ke?,”
Atilia masih ingat hujah Azza yang membuat dia terus menyerahkan sejumlah wang pada perempuan berusia 30 tahun itu untuk membeli tiket penerbangan ke Beijing.
“Tahun ini, bukan giliran kita kerja pada hari raya, kita nikmati sepuas-puasnya. Aku dengar aksesori kat Beijing cantik dan murah, emmm.. boleh buat bisnes nanti,” suara Azza minggu lalu menikam-nikam ingatannya.
Hahh… jalan sesak pula! Atilia melihat deretan kenderaan yang cuba masuk ke Jalan Bangsar. Jam di tangan dikerlingnya lagi, sudah 7.40 malam. Hatinya mula gementar.
Tuhanku.. janganlah hingga terlepas penerbangan! Dia berdoa dalam hati, berkali-kali. Tepat jam 7.55 malam, Atilia sudah melompat menaiki tren ke KLIA. Azza dan Yati tidak putus-putus menelefon.
“Ya, aku sudah dalam tren.. jangan call banyak kali, stress tau,”
Atilia menghela nafas. Tubuhnya disandarkan ke kerusi. Perjalanan dari KL Sentral ke KLIA memakan masa 28 minit. Lebih cepat berbanding memandu sendiri ke KLIA. Dalam hatinya tidak putus berdoa, janganlah hingga terlepas penerbangan. Atilia memandang keluar. Alam sudah diserkup gelap. Matanya menangkap sinar-sinar lampu sepanjang laluan tren yang kecil dan mengecil menjadi seakan bintik-bintik cahaya menghias malam.

~ Majalah Wanita, September 2008

No comments:

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...