
Friday, October 10, 2008
Tuesday, October 7, 2008
Ribut Salji di Tashkent
Oleh Hafizah Iszahanid
"RAYA ni saya balik. Ya... saya balik... mak tunggu. Lagi empat hari... ya… mak... mak… isshhh!” Sayup-sayup Ann mendengar suara emak menjawab ya. Tapi, Ann hanya mendengar emak menyebut ya berkali-kali dan selebihnya, Ann tidak mendengar apa-apa lagi. Talian jadi sangat bising tiba-tiba dan akhirnya terputus. Ann mendongak ke langit. Ada helikopter palang merah antarabangsa merentasi awan, mengganggu transmisi. Telefon satelit Ann genggam kuat, hati marah benar. Sukarnya untuk berhubung pada waktu-waktu begini.
Ann mengatur langkah masuk ke bangunan tiga tingkat di tengah Tashkent. Bangunan ini menjadi ibu pejabat Pertubuhan Islam Antarabangsa. Tingkat satu menjadi lokasi memberi bantuan perubatan dan makanan, tingkat dua menjadi gudang menyimpan stok makanan dan ubat-ubatan dan tingkat tiga menampung lebih 20 sukarelawan. Bilik Ann di tingkat tiga paling kanan. Di tepinya ada pokok tua yang agam. Pokoknya sudah kehilangan daun dan dibalut putih salji yang tebal.....
Berita Minggu, 4 Oktober 2008
Wednesday, September 24, 2008
Biskut Raya
Assorted Cookies and Mini-Pastries Image: © Envision/Corbis Collection: EnvisionStandard RMTuesday, September 23, 2008
23 Ramadan
Kerja belum siap lagi, kepala sudah pening.
Baju raya belum beli, kuih raya sudah penuh satu peti.
Hari ini 23 Ramadan.
Kawan-kawan teruja hendak berhari raya
Mulut tak henti bercerita beraya di kampung sendiri
Aku? Alamak, raya di kampung suami
Hari ini 23 Ramadan.
Ramai orang sudah hilang 'mood' kerja
Waktu tengahari, ramai pergi shopping
Bersesak-sesak di Sogo dan Mid Valley
Aku? Emmm.. nantilah bila-bila free
Hari ini 23 Ramadan.
Yang betoinya, ada tujuh hari puasa sedia untuk diganti, hehehehe
Sunday, September 21, 2008
Terima Kasih
Astronaut shaking a young boy's hand Image: © ERproductions Ltd/Blend Images/Corbis Collection: BlendStandard RFTuesday, September 16, 2008
Saturday, September 13, 2008
Apabila Wartawan ditahan ISA
- Pic from Berita Harian OnlineBukankah saya sudah katakan menjadi wartawan ini payah? Penulisan itu menusuk ke jantung dan sukma semua manusia. Dan, bagaimana seseorang itu menghadam tulisan adalah masalahnya kerana wartawan sudah menulis kebenaran - nothing but the truth - berasaskan sumber dan fakta.
Apabila seorang wartawan ditahan atas dasar penulisan dan bahan berita yang diperoleh dari sumber adakah layak dia ditahan sedang sumbernya tidak pula demikian?
Kewartawan adalah dunia luhur dan jujur. Hanya apabila ia berada di tangan mereka yang tidak jujur, ia menjadi dunia paling kotor.
Update: Hoon Cheng mungkin bebas sabtu
Thursday, September 11, 2008
Working Title
- Pic by Mustafa Kamil , BH
Selagi boleh menulis, selagi itu boleh melukis. Saya pegang kata-kata itu kerana ia kata-kata amanat dan azimat daripada sifu saya, Fauzan Omar. Dulu, waktu saya terkial-kial melakar kanvas dengan warna, mencari-cari perspektif dalam menghasilkan catan, Fauzan Omar tidak pernah mengecewakan.
Walaupun saya bukanlah hebat dalam lukisan seperti pak cik-pak cik saya, tetapi untuk menamatkan pengajian saya gagahkan juga. Dan, Fauzan Omar dalam garang dan tegasnya selalu ada memberi kritikan dan dorongan.
Saya pernah lewat ke kelas. Tiba jam 8.15 pagi kerana semalaman tidak tidur menyiapkan catan. Kelas sepatutnya jam 8.00 pagi. Waktu saya dan rakan sebilik tiba, Fauzan Omar bercekak pinggang dan berkata, balik! balik sekarang!
Tapi saya dalam takut memang degil, tunggu juga di situ walaupun sedikit pun dia tidak memandang. Mujurnya waktu semua pelajar membentangkan catan di hadapannya dia memanggil saya dan rakan sebilik.
Dia mendekati lukisan saya, menculiknya di hujung jari. Warna merah dan biru melekat. Dia tidak senyum tetapi berkata, 'panas, baru keluar oven' .
Dan, walaupun tidak lagi melukis, kerana saya lebih gemar menulis, seni halus tidak pernah jauh dari hati.
Dan, Working Title yang dipersembahkan Galeri Petronas bermula 29 Aug 2008 - 12 Oct 2008, antara pameran mesti pergi.
Kuratornya Zainal Abidin Ahmad Shariff and Badrolhisham Tahir dan menampilkan 12 pelukis. Seorang daripanya, yang saya kenal sejak kecil tetapi baru menyelami jiwanya sekarang, melalui hasil seninya - Ahmad Zuraimi Abdul Rahim.
Secara peribadi, saya gemarkan karyanya kerana ia menusuk sukma. Terlalu melankolik? Hahahahah...
Pensil tumpul
Image:© image100/CorbisCollection:image100Standard RF Menulis bukanlah kerja mudah. Perlu banyak membaca, perlu banyak buat penyelidikan. Walaupun sudah hampir sembilan tahun dalam dunia ini, kadang kala saya sukar sekali hendak menyudahkan tugasan.
Sudah dua tugasan terbiar. Susah betul rasanya hendak memulakan ayat membentuk kata-kata dan mencantum-cantumkannya menjadi tulisan. Semua bahan sudah sedia, tapi seakan tiada chemistry untuk mencantumkan.
Tugasan semalam dan tugasan hari ini bercantum dan otak jadi sebu. Saya paksa diri untuk menulis, tapi gagal. Apabila deadline dilepasi, hati jadi senang hingga susah untuk menulis lagi.Ada banyak rencana perlu disiapkan ada kolum perlu diisi.. aduhai.. tiga ahad lagi, aidilfitri menjelang, kerja perlu beres, jika tidak ha... berayalah di pejabat.
Bukan saja tugasan, hendak tulisan karya kreatif juga tersekat. Entah kenapalah sukar sekali hendak mencari ayat mula. Entah di mana ia sembunyi. Waktu ini saya terasa seperti sebatang pensil yang tumpul.
Thursday, September 4, 2008
Selamat Hari Raya, Atilia

Little Girl Traveling Image: © Simon Marcus/Corbis Collection: CometStandard RM Potographer: Simon Marcus
SELAMAT HARI RAYA, ATILIA.
Oleh: Hafizah Iszahanid
Dari pejabat, Atilia terus memandu ke KL Sentral. Dalam hatinya sudah berkira-kira, dari KL sentral dia akan terus mengambil KL Ekspress untuk ke KLIA. Rasanya jiwa dan seluruh rasa sudah berada di Beijing. Hanya jasad masih berada di sini.
Atilia merenung langit yang mula gelap. Hujan turun rintik. Perjalanan dari Hospital Kuala Lumpur, tempat dia bertugas ke KL Sentral sesak dengan kenderaan. Dari Jalan Sultan Ismail ke Jalan Kuching terlalu sesak. Tadi, waktu dia menjenguk Jalan Tun Razak menghala ke pusat Bandar juga sesak teruk.
Atilia gelisah. Debar di dadanya tidak mahu pergi. Sudah tiga kali Azza dan Yati, kawan yang bakal ke Beijing bersamanya menelefon. Malah sudah berpuluh kali menghantar mesej.
“Cepatlah Lia, kau nak kena tinggal flight ke?,”
Mesej ringkas Azza memang menyentap perasaannya. Atilia melihat jam di tangan, sudah 7.15 malam. Penerbangannya ke Beijing di jadualkan jam 9.30 malam. Hatinya gusar. Oh, janganlah hingga terlepas penerbangan. Atilia memikirkan kemungkinan itu. Semakin lama difikirkan, semakin dia menjadi resah.
Sudah terlalu lama Atilia merancang percutian begini, sejak lapan tahun lalu. Bercuti panjang dengan teman-teman yang masih bujang. Kerjaya sebagai pegawai perubatan kerap kali membuatkan dia sukar mendapat cuti panjang. Walaupun pada hari raya. Kerap kalinya, Atilia terpaksa bertugas di hari raya.
Jadi, pada Atilia tiada bezanya kalau cuti hari raya tahun ini dihabiskan di bersantai di Beijing. Kebetulan permohonannya untuk bercuti selama seminggu diluluskan.
Keinginan dan keghairahan membeli kain sutera cina dan pelbagai fesyen kasut, beg dan aksesori dengan harga yang murah membuak-buak dan menutup segala duka dan pilu berhari raya jauh dari kampung halaman.
“Alah, kalau baru pertama kali kerja hari raya, kau sedihlah kut. Tapi kalau dah lapan tahun kerja, lapan kali kau beraya dengan pesakit kat wad, kau ingat perasaan sedih tu berbaloi ke?,”
Atilia masih ingat hujah Azza yang membuat dia terus menyerahkan sejumlah wang pada perempuan berusia 30 tahun itu untuk membeli tiket penerbangan ke Beijing.
“Tahun ini, bukan giliran kita kerja pada hari raya, kita nikmati sepuas-puasnya. Aku dengar aksesori kat Beijing cantik dan murah, emmm.. boleh buat bisnes nanti,” suara Azza minggu lalu menikam-nikam ingatannya.
Hahh… jalan sesak pula! Atilia melihat deretan kenderaan yang cuba masuk ke Jalan Bangsar. Jam di tangan dikerlingnya lagi, sudah 7.40 malam. Hatinya mula gementar.
Tuhanku.. janganlah hingga terlepas penerbangan! Dia berdoa dalam hati, berkali-kali. Tepat jam 7.55 malam, Atilia sudah melompat menaiki tren ke KLIA. Azza dan Yati tidak putus-putus menelefon.
“Ya, aku sudah dalam tren.. jangan call banyak kali, stress tau,”
Atilia menghela nafas. Tubuhnya disandarkan ke kerusi. Perjalanan dari KL Sentral ke KLIA memakan masa 28 minit. Lebih cepat berbanding memandu sendiri ke KLIA. Dalam hatinya tidak putus berdoa, janganlah hingga terlepas penerbangan. Atilia memandang keluar. Alam sudah diserkup gelap. Matanya menangkap sinar-sinar lampu sepanjang laluan tren yang kecil dan mengecil menjadi seakan bintik-bintik cahaya menghias malam.
~ Majalah Wanita, September 2008
Sunday, June 1, 2008
Untuk Suamiku
Woman Lying in a Hospital Bed Image: © Helen King/CORBIS Collection: CometStandard RM Photographer: Helen KingUntuk Suamiku
Oleh : Hafizah Iszahanid
Effa mengenggam tangan suaminya kejap. Tangan itu semakin sejuk kebelakangan ini. Kesejukan itu kadang kala membuatkan tubuh kurus Effa menggigil. Effa tahu, kesejukan selalu dikaitkan dengan kematian. Suhu badan akan jatuh bermula saat kematian, menjadi sejuk dan makin sejuk.
Effa renung suaminya yang sedang lena. Matanya terkatup rapat dan dadanya berombak-ombak. Lelaki yang dikahwininya sejak dua tahun lalu sedang derita. Effa tahu dia menderita. Tetapi Effa tidak tahu berapa berat penderitaannya. Kerana Effa tidak berupaya merasainya lewat riak wajah atau kuntum senyum lelaki itu.
Kata doktor, suaminya derita kerana Lymphangioleiomyomatosis (LAM). Kata doktor, ia masalah paru-paru yang jarang berlaku. LAM memperlihatkan sel otot `menawan' paru-paru, laluan pernafasan, salur darah dan salur limfa.
Kerana LAM, lelaki itu sudah terlantar di katil hospital sejak empat bulan lalu. Effa tidak tahu apa itu LAM. Tapi kata doktor LAM menyebabkan paru-paru lelaki itu ibarat span bocor yang langsung tidak boleh memerangkap oksigen.
"Ia sangat sakit. Ia sangat sukar tetapi suami awak masih mampu tersenyum. Balaslah senyumannya penuh ikhlas dan kasih sayang kerana mungkin awak tidak akan melihat senyum itu lagi,"
Doktor yang merawat suaminya memberitahu hal itu malam tadi. Malam sewaktu suaminya tiba-tiba menjadi sangat lemah dan mengelupur kesakitan.
"Masa kian suntuk. LAM sangat kronik. Tiada ubat Effa, hanya pemindahan organ jalan penyelesaian. Dia perlu organ baru Fa. Tapi, awak tahukan senarai menunggu lebih panjang dari senarai penderma?,"
Effa mengangguk-angguk dengan linangan air mata. Dia terbayang jika tiba saatnya dia harus melepaskan lelaki itu pergi, adakah dia mampu?
Lelaki itu dikenalinya kerana kebaikannya. Effa menghuni rumah anak yatim sejak usianya lapan tahun. Bapanya entah ke mana. Manakala ibu meninggal dunia ketika melahirkannya. Kerana terbeban dengan kehadiran Effa atau mungkin tertekan dengan kematian isteri, bapa menyerahkannya kepada ibu saudaranya sebelum bapa menjadi kelasi dan belayar merentasi laut tanpa pulang-pulang lagi.
Effa kemudiannya ditempatkan di rumah anak yatim apabila ibu saudaranya mahu berkahwin dan tidak mampu menjaga Effa. Kisah sedih itu tidak mahu Effa ingat dan kenang selepas bertemu suaminya. Suaminya lelaki budiman yang kerap berkunjung ke rumah anak-anak yatim yang dihuni Effa.
~ Majalah Jelita, Jun 2008
Bukan Wanita Biasa
KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera. Mei 11, 2020 09:00 +08 | Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...
-
Isu yang dibawa dalam novel Perang Sangkil tulisan Akiya ini adalah isu yang sangat besar. Ia adalah kisah yang tercicir dalam put...
-
Kepercayaan Editor Dewan Sastera sangat saya hargai. Terima kasih daun keladi. Semoga perkongsian di Dewan Sastera Mac 2015 bermanafa...
