Wednesday, September 24, 2008

Biskut Raya

Assorted Cookies and Mini-Pastries Image: © Envision/Corbis Collection: EnvisionStandard RM

Ini bukan biskut kacang. Saja letak sebab gambarnya cantik.


Hampir semua kuih yang ditempah sudah sampai ke meja. Itu belum kira kuih muih yang disedekahkan kawan-kawan PR. Tapi dalam banyak-banyak hamper yang diberi, belum ada di temui kuih kegemaran.

Kuih yang ditempah pula kesemuanya kuih bergoreng dan ringkas, kerepek pisang dan simpul kasih.

Hajat hati hendak mencari biskut kacang tetapi tiada orang yang menjual. Kalau ada harganya mahal gilak kata orang Sarawak. Kononnya, harga tepung, minyak dan kacang naik menjejaskan harga. Kalau sebelum ini satu balang kecil 50 butir dapat dibeli RM16 sekarang menjangkau RM24. Adui.. mahal tu. Nak buat sendiri maklum sajalah.

Nampaknya tahun ini beraya tanpa biskut kacanglah kut atau kalau rajin, balik kampung nanti, singgah di pasar basah di Tanjung Rambutan tentu ada dijual, siap pakai timbang. Selain lemang dan ketupat, biskut kacang ini antara menu wajib di pagi raya. Laksa asam atau bihun sup juga antara menu wajib.

Kalau berhari raya di sebelah Thailand pula, laksa lemak mesti ada atas meja. Ketupat daun palas juga. Kadang kala ekstremnya makan ketupat daun palas sampai sarapan pagi raya ketiga pun masih menunya ketupat daun palas. Adui.. tang ini yang teman tak berapa nak gemor... :)

Teringat kenangan berhari raya di Kuching yang indah sekali dan tidak akan lupa tapi tak tahulah ada peluang tak hendak mengulanginya. Baju rayanya dipakai sampai seminggu, kuihnya penuh meja tapi semua kek lapis Sarawak, airnya mesti air gas. Waktu dulu tiada tradisi duit raya kecuali di kalangan ahli keluarga yang berhijrah ke Semenanjung atau kahwin dengan orang Semenanjung.

Dulu, tradisi ziarah menziarahinya meriah sekali. Dari rumah kawan-kawan sampailah ke rumah terbuka CM, habis kami redah. Sekarang, hanya boleh mengulang di mulut kenang-kenangan lalu.

Selain bermaafan dan kunjung mengunjung, sesekali hari raya lebih nostalgik dan indah apabila mengenang kisah sudah.


Selamat Hari Raya

Tuesday, September 23, 2008

23 Ramadan

Hari ini 23 Ramadan.
Kerja belum siap lagi, kepala sudah pening.
Baju raya belum beli, kuih raya sudah penuh satu peti.

Hari ini 23 Ramadan.
Kawan-kawan teruja hendak berhari raya
Mulut tak henti bercerita beraya di kampung sendiri
Aku? Alamak, raya di kampung suami

Hari ini 23 Ramadan.
Ramai orang sudah hilang 'mood' kerja
Waktu tengahari, ramai pergi shopping
Bersesak-sesak di Sogo dan Mid Valley
Aku? Emmm.. nantilah bila-bila free

Hari ini 23 Ramadan.
Yang betoinya, ada tujuh hari puasa sedia untuk diganti, hehehehe



Sunday, September 21, 2008

Terima Kasih

Astronaut shaking a young boy's hand Image: © ERproductions Ltd/Blend Images/Corbis Collection: BlendStandard RF


Sejak saya dalam MPR hinggalah selepas 14 tahun meninggalkannya, saya kerap diingatkan mengenai etika dalam penulisan. Etika dalam penulisan bukan setakat pengisian karya tetapi juga perjalanan karya itu kepada editor.

Maksudnya, satu karya untuk satu terbitan dan tiada karya kitar semula ya! Dulu, penghantaran karya itu melalui pos, jadi kecenderungan dan tahap kesabaran menanti karya itu
tersiar memang sangat besar.Sekarang ini kebanyakan editor dihubungi melalui e-mel. Jadi tahap kesabaran kadang kala mengecil. Apatah lagi kalau kerap sangat melihat out box dan tertanya eh, bilalah karya aku nak keluar ni..

Tapi saya percaya, menelefon editor dan bertanya bila hendak keluarkan karya kita bukanlah idea yang bagus waima editor itu kita kenal secara peribadi. Itu pantang besar dunia kewartawanan tau! Kecualilah dia yang membuka mulut.

Namun, dalam berhati-hati itu saya terkena juga pertengahan tahun ini. Sebabnya, kadang kala masa beredar tetapi manusia tidak menyedari peredaran masa dan perkembangannya.

Walau siapapun kita, editor atau penulis satu perkara yang paling perlu ada adalah kemahiran perhubungan awam. Tidak susah, misalnya begini seorang penulis sudah hantarkan karya, dan sebagai editor balaslah dengan satu perkataan yang sangat mahal harganya - terima kasih. Cukup dengan itu dan percayalah, hati resah dan gelisah milik penulis akan damai dan sabar menanti karyanya tersiar, jika tersiarlah..

Namun, kalau editor tidak berkesempatan membalasnya pun tak apa. Dan penulis janganlah pula beribu-ribu kali menelefon dan bertanya bila hendak siarkan. Heii... daripada editor ada hati nak siar, terus tak hingin.

Tapi, yang berlaku pada saya, apabila hampir setahun karya dikirimkan pada sebuah majalah dan sesudah saya e-mailkan penarikan semula cerpen itu dan hantar ke majalah lain, karya itu tersiar juga. Lebih sadis, tersiar pada satu bulan yang sama dalam dua majalah berbeza.

Malu.. mestilah malu.. malu besar. Tetapi apabila difikirkan bukanlah salah saya sepenuhnya dan bukan juga salah editor sepenuhnya... cuma, lain kali saya lebih berhati-hati. Kalau sudah hantar ke terbitan A, jangan hantar lagi ke mana-mana. Tunggu sampai tersiar walaupun bertahun-tahun adanya. Ya?

Mustahil begitu sebab karya adalah hasil seni dan ekspressi diri. Saya selalu meletakkan karya kreatif adalah seindah sebuah catan. Saya melihat tulisan sama tara dan sama hebat dengan sebuah lukisan.

Kerana itu, saya percaya skil perhubungan awam itu mesti ada. Maksudnya komunikasi dua hala bukan sehala. Kerana itu saya sangat hormat beberapa orang editor-editor dan penolong editor di DBP dan beberapa lagi editor di majalah. ( Bonus kalau editor itu juga penulis, jadi mereka lebih peka dan berdenyut dalam nadi yang sama dengan penulis ) Sama ada hantar cerpen atau rencana umum, walau tidak tersiar pun mereka kerap membalas e-mail lewat karya yang dihantar walau dengan hanya ucapan terima kasih.

Percayalah, perkataan terima kasih itu sangat mahal harganya buat penulis baru macam saya. Walau tak tersiar pun tak apa, menunggu lama pun tak apa kerana itu hak editor tetapi sekurang-kurangnya penulis sudah tahu karya itu selamat tiba walau mungkin belum dibaca.

Jadi terima kasih....

Begitupun, itu e-mel bagi tahu sebab sudah terima karya tapi saya tidak sarankan telefon editor dan tanya bila nak keluar ya! Itu seperti yang saya beritahu tadi, pantang besar dunia kewartawanan. Percayalah, panggilan bertanya yang begitu sebegitu sangat-sangat menekan dan membosankan!

Tuesday, September 16, 2008

Sudah lewat sehari

Sudah 17 September, sudah lewat sehari. Masih mahu percaya lagi?



Man Raising Right Hand Image: © Burke/Triolo Productions/Brand X/Corbis Collection: Brand XStandard RF




Saturday, September 13, 2008

Apabila Wartawan ditahan ISA

- Pic from Berita Harian Online

Abaikan dua foto di hadapan, fokuskan pada foto terakhir, Tan Hoon Cheng

Bukankah saya sudah katakan menjadi wartawan ini payah? Penulisan itu menusuk ke jantung dan sukma semua manusia. Dan, bagaimana seseorang itu menghadam tulisan adalah masalahnya kerana wartawan sudah menulis kebenaran - nothing but the truth - berasaskan sumber dan fakta.

Apabila seorang wartawan ditahan atas dasar penulisan dan bahan berita yang diperoleh dari sumber adakah layak dia ditahan sedang sumbernya tidak pula demikian?

Kewartawan adalah dunia luhur dan jujur. Hanya apabila ia berada di tangan mereka yang tidak jujur, ia menjadi dunia paling kotor.

Update: Hoon Cheng mungkin bebas sabtu

Thursday, September 11, 2008

Working Title

Ahmad Zuraimi Abdul Rahim
- Pic by Mustafa Kamil , BH

Selagi boleh menulis, selagi itu boleh melukis. Saya pegang kata-kata itu kerana ia kata-kata amanat dan azimat daripada sifu saya, Fauzan Omar. Dulu, waktu saya terkial-kial melakar kanvas dengan warna, mencari-cari perspektif dalam menghasilkan catan, Fauzan Omar tidak pernah mengecewakan.
Walaupun saya bukanlah hebat dalam lukisan seperti pak cik-pak cik saya, tetapi untuk menamatkan pengajian saya gagahkan juga. Dan, Fauzan Omar dalam garang dan tegasnya selalu ada memberi kritikan dan dorongan.
Saya pernah lewat ke kelas. Tiba jam 8.15 pagi kerana semalaman tidak tidur menyiapkan catan. Kelas sepatutnya jam 8.00 pagi. Waktu saya dan rakan sebilik tiba, Fauzan Omar bercekak pinggang dan berkata, balik! balik sekarang!
Tapi saya dalam takut memang degil, tunggu juga di situ walaupun sedikit pun dia tidak memandang. Mujurnya waktu semua pelajar membentangkan catan di hadapannya dia memanggil saya dan rakan sebilik.
Dia mendekati lukisan saya, menculiknya di hujung jari. Warna merah dan biru melekat. Dia tidak senyum tetapi berkata, 'panas, baru keluar oven' .
Dan, walaupun tidak lagi melukis, kerana saya lebih gemar menulis, seni halus tidak pernah jauh dari hati.
Dan, Working Title yang dipersembahkan Galeri Petronas bermula 29 Aug 2008 - 12 Oct 2008, antara pameran mesti pergi.
Kuratornya Zainal Abidin Ahmad Shariff and Badrolhisham Tahir dan menampilkan 12 pelukis. Seorang daripanya, yang saya kenal sejak kecil tetapi baru menyelami jiwanya sekarang, melalui hasil seninya - Ahmad Zuraimi Abdul Rahim.
Secara peribadi, saya gemarkan karyanya kerana ia menusuk sukma. Terlalu melankolik? Hahahahah...




Pensil tumpul

Image:© image100/CorbisCollection:image100Standard RF

Menulis bukanlah kerja mudah. Perlu banyak membaca, perlu banyak buat penyelidikan. Walaupun sudah hampir sembilan tahun dalam dunia ini, kadang kala saya sukar sekali hendak menyudahkan tugasan.

Sudah dua tugasan terbiar. Susah betul rasanya hendak memulakan ayat membentuk kata-kata dan mencantum-cantumkannya menjadi tulisan. Semua bahan sudah sedia, tapi seakan tiada chemistry untuk mencantumkan.

Tugasan semalam dan tugasan hari ini bercantum dan otak jadi sebu. Saya paksa diri untuk menulis, tapi gagal. Apabila deadline dilepasi, hati jadi senang hingga susah untuk menulis lagi.


Ada banyak rencana perlu disiapkan ada kolum perlu diisi.. aduhai.. tiga ahad lagi, aidilfitri menjelang, kerja perlu beres, jika tidak ha... berayalah di pejabat.


Bukan saja tugasan, hendak tulisan karya kreatif juga tersekat. Entah kenapalah sukar sekali hendak mencari ayat mula. Entah di mana ia sembunyi. Waktu ini saya terasa seperti sebatang pensil yang tumpul.

Thursday, September 4, 2008

Selamat Hari Raya, Atilia


Little Girl Traveling Image: © Simon Marcus/Corbis Collection: CometStandard RM Potographer: Simon Marcus


SELAMAT HARI RAYA, ATILIA.
Oleh: Hafizah Iszahanid

Dari pejabat, Atilia terus memandu ke KL Sentral. Dalam hatinya sudah berkira-kira, dari KL sentral dia akan terus mengambil KL Ekspress untuk ke KLIA. Rasanya jiwa dan seluruh rasa sudah berada di Beijing. Hanya jasad masih berada di sini.
Atilia merenung langit yang mula gelap. Hujan turun rintik. Perjalanan dari Hospital Kuala Lumpur, tempat dia bertugas ke KL Sentral sesak dengan kenderaan. Dari Jalan Sultan Ismail ke Jalan Kuching terlalu sesak. Tadi, waktu dia menjenguk Jalan Tun Razak menghala ke pusat Bandar juga sesak teruk.
Atilia gelisah. Debar di dadanya tidak mahu pergi. Sudah tiga kali Azza dan Yati, kawan yang bakal ke Beijing bersamanya menelefon. Malah sudah berpuluh kali menghantar mesej.
“Cepatlah Lia, kau nak kena tinggal flight ke?,”
Mesej ringkas Azza memang menyentap perasaannya. Atilia melihat jam di tangan, sudah 7.15 malam. Penerbangannya ke Beijing di jadualkan jam 9.30 malam. Hatinya gusar. Oh, janganlah hingga terlepas penerbangan. Atilia memikirkan kemungkinan itu. Semakin lama difikirkan, semakin dia menjadi resah.
Sudah terlalu lama Atilia merancang percutian begini, sejak lapan tahun lalu. Bercuti panjang dengan teman-teman yang masih bujang. Kerjaya sebagai pegawai perubatan kerap kali membuatkan dia sukar mendapat cuti panjang. Walaupun pada hari raya. Kerap kalinya, Atilia terpaksa bertugas di hari raya.
Jadi, pada Atilia tiada bezanya kalau cuti hari raya tahun ini dihabiskan di bersantai di Beijing. Kebetulan permohonannya untuk bercuti selama seminggu diluluskan.
Keinginan dan keghairahan membeli kain sutera cina dan pelbagai fesyen kasut, beg dan aksesori dengan harga yang murah membuak-buak dan menutup segala duka dan pilu berhari raya jauh dari kampung halaman.
“Alah, kalau baru pertama kali kerja hari raya, kau sedihlah kut. Tapi kalau dah lapan tahun kerja, lapan kali kau beraya dengan pesakit kat wad, kau ingat perasaan sedih tu berbaloi ke?,”
Atilia masih ingat hujah Azza yang membuat dia terus menyerahkan sejumlah wang pada perempuan berusia 30 tahun itu untuk membeli tiket penerbangan ke Beijing.
“Tahun ini, bukan giliran kita kerja pada hari raya, kita nikmati sepuas-puasnya. Aku dengar aksesori kat Beijing cantik dan murah, emmm.. boleh buat bisnes nanti,” suara Azza minggu lalu menikam-nikam ingatannya.
Hahh… jalan sesak pula! Atilia melihat deretan kenderaan yang cuba masuk ke Jalan Bangsar. Jam di tangan dikerlingnya lagi, sudah 7.40 malam. Hatinya mula gementar.
Tuhanku.. janganlah hingga terlepas penerbangan! Dia berdoa dalam hati, berkali-kali. Tepat jam 7.55 malam, Atilia sudah melompat menaiki tren ke KLIA. Azza dan Yati tidak putus-putus menelefon.
“Ya, aku sudah dalam tren.. jangan call banyak kali, stress tau,”
Atilia menghela nafas. Tubuhnya disandarkan ke kerusi. Perjalanan dari KL Sentral ke KLIA memakan masa 28 minit. Lebih cepat berbanding memandu sendiri ke KLIA. Dalam hatinya tidak putus berdoa, janganlah hingga terlepas penerbangan. Atilia memandang keluar. Alam sudah diserkup gelap. Matanya menangkap sinar-sinar lampu sepanjang laluan tren yang kecil dan mengecil menjadi seakan bintik-bintik cahaya menghias malam.

~ Majalah Wanita, September 2008

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...