Pix by Nisa Yusuf.
Naskhah ini mengambil masa yang panjang untuk disiapkan. Pertamanya disebabkan sebelum ini saya sudah punya dua novel genre popular - Noktah di Hujung Rindu dan Andainya Ku Kembali.
Justeru pertama kali hendak menulis novel sastera, saya cuba membuang sedaya upaya unsur 'popular' itu dan mencari-cari formula membikin novel sastera.
Namun sebenarnya, formula itu berbeza untuk setiap orang dan hasilnya tidak sama jika pun kita memilih pendekatan serupa. Jadi, saya memilih menjadi saya. Menjadi diri sendiri. Deru Angin membawa unsur popular tetapi dengan idea sastera.
Tapi kerana mengambil masa 6 tahun menuliskan (ya saya menulisnya dalam sela-sela masa menulis sebuah karya popular juga - Sehiris Bulan), jadi saya tidak lagi mahu membacanya sesudah siap disunting dan disemak berpuluh kali.
Saya ingat menghantarnya pada hujung Disember 2014 untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (yang kini tinggal sejarah). Saya menghantarnya untuk menguji kekuatan diri adakah saya mampu melepasi HSKU.
Nah, siapa menduga tahun 2015 saya bukan hanya meraih kemenangan utama untuk genre novel tetapi juga cerpen dan tahun yang sama saya lahir dengan novel Sehiris Bulan - naskhah yang saya usahakan bersama-sama dengan Deru Angin.
Aduhai, kenangan itu indah bukan? Apatah lagi ia detik mula kita mahu melangkah ke dunia yang kita tidak tahu rupanya. Kemenangan menjadikan kita berani tetapi kekalahan menjadikan kita berani dan kuat.
Naskhah ini masih saya miliki untuk mereka yang ingin membacanya. Boleh tinggalkan komen, atau kalau mahu cepat, cari saya di FB.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment