Monday, November 24, 2008

Apakah Ertinya Ini??


Saya percaya saya manusia yang tidak racist. Saya bersekolah di sekolah aliran Cina sekejap, saya menuntut di universiti yang jauh dari pilihan ramai kerana hendak mendalami kepelbagaian kaum di Malaysia.
Saya didik anak-anak saya, hormati kaum lain. Jangan perkauman. Saya berkawan dengan ramai kawan pelbagai bangsa, boleh bergurau senda dan berSMS pelbagai cerita hingga tengah malam pun.
Dulu, rakan sebelah bilik waktu di kampus bersembahyang mengikut agamanya, memainkan lagu-lagu keagamaan sekuat mungkin saya tidak kisah. Pada saya itu hak dia dalam beragama. Malah saya masih memanggilnya kakak.
Di Ipoh, saya tidak kisah untuk minum air botol atau air tin di kedai bukan Islam. Malah waktu tengahari, saya meneman kawan-kawan (ketika itu saya bekerja di firma guaman) yang bukan Islam di kedai pilihan mereka (ya, kedai India dan Cina). Mereka juga sanggup menunggu saya di tepi masjid sementara saya solat Zuhur atau Asar waktu kami berjalan-jalan di hujung minggu.
Tapi saya sangat terusik hati dengan kenyataan ini. Adakah selama ini toleransi sudah tidak lagi bererti? Bukankah hukum itu hanya untuk orang ISLAM sahaja? Kalau sensitiviti satu pihak saja dijaga, pihak yang lain bagaimana pula?
Seperti saya kata dahulu, saya terasa semakin Melayu dari dulu. Dan, saya tidak suka dengan perasaan itu. Saya mahu terasa saya orang Malaysia macam dulu. Tolonglah... tidak bolehkah kita hidup aman damai macam dulu? Macam zaman Tun M ?

Wednesday, November 19, 2008

Menjawab tag Nazmi Yaakub

Saya lewat nak menjawab tag Nazmi Yaakub sebabnya:

1) Saya tidak tersusun dari segi penyediaan meja kreatif.
Saya tidak ada meja pun! Selalunya menulis atas katil, atau laptop di atas katil, saya bersila di bawah.

2) Laptop tidak perlu meja letak atas riba
Nama pun lap top kan, jadi letak atas riba ajelah.. hahaha

3) Almari buku dirumah tidak ada bilik khas
Rumah saya dari dapur sampai ke ruang tamu dipenuhi rak buku dan buku-buku dan juga surat khabar lama yang tunggu masa dijual. Jadi, saya tidak mahu lagi letak rak-rak buku di dalam bilik. Sebab bilik pun kecil saja. Bilik tetamu sudah penuh baju kami anak beranak. Bilik kami anak beranak pun sudah penuh baju kami anak beranak. Selain buku, rumah saya penuh baju hehehhehehe

Jadi, bila hendak menulis, ambil saja laptop dari tempatnya, dan taip saja. Kadang-kadang di bilik, kadang-kadang depan tv, kadang-kadang di dapur.... di mana-mana yang anak-anak senang cari.

Gambar? aiseh... sebab tidak ada meja kreatif, tidak ada gambar lah kut?

Tuesday, November 18, 2008

Apabila Cantik Hanya di Luar



I

Bagaimana anda menilai kecantikan? Pada kulit putih mulus dan licin bagai telur dikupas
atau hitam manis bagai tampuk manggis? Atau cantik paras digabung dengan cantik akal
atau cantik paras dan cantik budi bahasa.

Mungkin saya ini kolot. Cantik pada saya adalah cantik dalaman, cantik peribadi walau
rupanya mungkin tak cukup kuat membuat kita tertoleh dua kali. Tapi tutur katanya, dan budinya cantik sekali.

Saya kenal gadis cantik, cantik rupa dan cantik akalnya. Tapi sayang dia merokok. Tidak cantik jadinya. Tapi dia memang baik budi pekerti, lembut suara dan selalu berkata, susahlah awak nak berhenti merokok, saya dah lama merokok. Saya nak cuba tahun 2009, saya akan berhenti merokok.

Saya doakan dia berjaya. Sebab dia sangat cantik paras dan mengenali dia, dia memang cantik
budi pekerti cuma kecantikan itu akan bertambah lengkap apabila dia berhenti merokok.

Sebab? Sebabnya, rokok membahayakan kesihatan. Perempuan merokok lebih risiko barah servik dan sebab kedua dia wanita Melayu, Islam dan bertudung!




II


Saya menjadi semakin 'Melayu' sekarang. Kelakar bunyinya walaupun saya ini tidaklah berparas Melayu jati. Tetapi saya tahu saya ini Melayu dalam dan luar.Dulu, saya berjalan-jalan dengan kawan, Ting Mei Yun namanya.

Waktu kami melimpasi sekelompok anakmuda, seorang daripada mereka menegur, 'heh.. mu Melayu buat apa kawan dengan perempuan Cina?,"

Menyirap darah saya. Agaknya darah kawan saya lebih menyirap sebab selepas itu dia menjawab, apa perempuan Cina bukan manusiakah sampai tidak boleh dibuat kawan?

Saya terkedu.

Hari ini, Melayu semakin Melayu, Cina semakin Cina, India semakin India. Sebabnya? Ada kecenderungan yang sangat besar politikus kita bertekad untuk memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing sehabis mungkin.

Saya tertanya-tanya tidak bolehkah kita hidup damai macam dulu. Adakah kerana kapal sudah seakan hendak karam, masing-masing hendak curi sampan dan belayar sendirian ke pulau harapan. Agaknya, kalau saya berjumpa Ting Mei Yun lagi apakah nanti jawapan yang keluar dari mulutnya.

Wednesday, November 12, 2008

Lawan Kak Ijat Lawan


Sukar mengungkap di sebalik permainan tarik tali antara mahu dan tidak mahu Kak Ijat melawan bosnya.
Namun, untuk survival politik tentu saja Kak Ijat tidak boleh terus duduk di kerusi sedia ada. Kak Ijat perlu naik tingkatan, memberi laluan kepada Senator Kamilia yang sudah 20 tahun dalam Wanita Umno untuk melebarkan keupayaannya.



Sabah sudah lama beri lampu hijau, Negeri Sembilan juga. Kak Ijat sudah perlu bersilat untuk tujuan itu. Betul, Kak Ijat memang santun dan baik, menghormati dan mentaati bos. Namun, apabila Senator Kamilia sudah sedia turun ke gelanggang, Kak Ijat perlu juga pasang kuda-kuda dan turut berpencak silat.



Thursday, November 6, 2008

Tunas Cipta November 08


Waktu Salina Ibrahim 'memperkenalkan' saya dengan Bonda Ani, apa yang terlintas di hati saya adalah saya sudah terlalu lama tidak menulis dan hanya kembali menulis dengan aktif awal tahun ini.
Namun kerana menulis itu bukan hanya minat tetapi juga punca rezeki, saya tidak sukar untuk menyiapkan profil untuk ruangan Buah Pena MPR. Hanya sekitar 10 minit dan saya baca berulang kali antara percaya dengan tidak, perlukah saya forward tulisan itu pada Bonda Ani.
Respon Bonda Ani membuatkan saya e-mailkan tulisan itu walaupun banyak kali juga tersangkut gara-gara server di DBP yang tidak lancar (atau mungkin server di pejabat saya yang tidak lancar) .
Apapun, Tunas Cipta November sudah pun menemui khalayaknya. Paling saya suka apabila Namanya Willem de Kooning yang mengiringi
Buah Pena MPR.

Apa ada dengan Aku Anjing ?

Aku Anjing mungkin tajuk yang mengejutkan untuk sebuah kumpulan cerpen. Namun bagi pengarang, Saifullizan Yahaya, Aku Anjing dipil...