Friday, March 27, 2009

Earth Hour



Malam ini dari jam 8.30 hingga 9.30, mari kita bergelap!
Menyokong "earth hour".

Namun, kami di Balai Berita tidak bolehlah bergelap. Kalau bergelap, page tidak siap, lebih teruk story pun tidak siap. Jadi, maaflah kami tidak boleh ikut serta.

Bagaimanapun, itu bukan bermaksud menentang kempen murni sebegitu. Kawasan parkir dan lain-lain bahagian di bangunan besar ini menyahut cabaran earth hour.

Cumanya, ini ha... perhimpunan yang itu rasanya belum tentu dapat disudahkan jam 8.30 malam. Cepat datuk, cepat tan sri, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai menanti. Jangan riuh rendah sangat di PWTC, takut juga kerusi yang tiga itu lari!

Untuk difikir:

1. Sudah menang, tidak mahu jawatan, huuuuuuu.... iye ke? Boleh percaya ke?
2. Pengundi terbesar adalah wanita, namun pemimpin wanita berapa kerat dalam MT, huuu... bahaya.

Thursday, March 26, 2009

Dalam Dakap New York

Boy Looking at Statue of Liberty National Monument: Tim Pannell/Corbis.

Ini bukan cover majalah Jelita April 2009.

Namun, saya letak gambar ini sebagai hiasan. Terima kasih untuk sidang editorial Jelita kerana menyiarkan cerpen saya. Terima kasih daun keladi.

Dan terima kasih juga untuk seorang teman lama yang sudi e-mel pada saya memberitahu tentang siaran cerpen ini. Kalau tak, mesti saya pun ter'miss'. Maklumlah, sibuk mengikuti perhimpunan di PWTC, ehem.. ehem.. lintas langsung dari pejabat jer..

Nikmati kisah ' Dalam Dakap New York ' kisah perjuangan yang tidak kesampaian, kisah seorang lelaki yang patah semangat dan kisah perjuangan wanita yang terpatah oleh emosi.

Untuk versi warna warni dan cantik berseri, jangan lupa dapatkan Jelita April 2009 dengan muka depan Datuk Sheila Majid. Untuk versi penulisnya, beberapa perenggan ini untuk dinikmati.


Dalam Dakap New York.

Oleh: Hafizah Iszahanid


“Sudah 26 tahun, tapi dada saya masih mendidih bila teringatkan Zaynab,”

Suara Abbas pecah-pecah. Menahan sebak. Camar yang terbang rendah, riuh berbunyi seakan mengiyakan keluh Abbas.

“Saya masih ingat renungan Zaynab yang penuh air mata. Mulut kecilnya menyebut umi.. umi.. tapi saya hanya mampu menyorok di belakang gumpalan guni berdoa mereka tidak nampak saya,”

Mata Abbas berair. Saya diam, mendengar dan cuba masuk ke dalam hatinya. Ke dalam perasaannya. Saya sudah kerap berkongsi kisah duka Abbas, anak kelahiran Kem Sabra Shatila, Barat Beirut.

Namun, setiap kali dia bercerita tentang Zaynab, matanya sentiasa basah, seperti mana hati saya juga. Hanya manusia yang tidak ada hati, tidak akan basah matanya bila melihat adik kandung berusia empat tahun disembelih si Israel laknat.

Kata Abbas, waktu itu ibu dan ayahnya sudah dahulu disembelih. Bergelimpangan di tepi kaki Israel laknat dengan tangan masih bergenggaman. Abbas yang berusia tujuh tahun, menjadi saksi kekejaman itu dibalik gumpalan guni.

Ya, saya tahu mengapa Abbas tidak berupaya menyelamatkan Zaynab. Abbas tidak punya banyak pilihan. Di luar bunyi jeritan, tembakan dan tangisan bergaul menjadi neraka.

Dan, selepas tragedi penghapusan etnik itu tamat, Abbas menyusup terbang ke New York, mengikut seorang kenalan bapanya. Sejak itu hingga ke hari ini, Abbas mengaku dia sukar melelapkan mata. Zaynab kerap datang dalam mimpinya.

“Walau di mana aku, Sabra dan Shatila sentiasa dalam doa. Aneh, dunia menerima Sharon si penyembelih sebagai Perdana Menteri,”

“Dunia tidak terima Abbas, saman di Mahkamah Agung Belgium itu buktinya. Mana tahu, mungkin Ehud Olmert …,”

“Mungkin apa? Jangan mimpi yang indah-indah dengan Israel… dunia ini sebenarnya hanya ada satu kuasa dua negara, Zionis, Israel dan Amerika,”

Abbas menyepak kulit kerang kecil hingga tidak ketahuan arah. Pantai Manhattan sudah terik di panah matahari. Saya mengusul untuk pulang, tetapi Abbas enggan. Dia duduk di atas batu menghadap ke rumah-rumah agam di tepi pantai.

“Kamu tahu Manhanttan ini syurga Yahudi?,”

Wednesday, March 25, 2009

Oooo...

I

Oooooo… saya sangat kecewa. Kecewa sejak malam semalam. Kecewa sebab lama menunggu. Kecewa sebab calon pujaan hati saya kalah… oooo.. saya kecewa. Saya tidak dapat menahan rasa kecewa. Nasib baik air mata saya mahal harganya. Oh, saya belum cukup ‘Umno’ rupanya …

II

Ooooo… saya tidak percaya. Tidak percaya sejak semalam. Bagaimana perubahan untuk tidak rebah menjadi demam yang tidak akan kebah? Ooooo… saya tidak percaya. Tapi saya harus percaya, kenyataan itu mana boleh diubah.

Kawan seorang gembira sangat, katanya inilah masa perjuangan PPSMI menjadi kenyataan. Ooooo… saya keliru.. saya ragu-ragu… antara bahasa dan bangsa, kedua-duanya berkait rapat. Oh, saya belum cukup ‘Umno’ rupanya…

III

Ooooo.. saya gembira. Sangat gembira. Bibik sudah pulang. Penat mengurus rumah sendirian selama sebulan. Penat berkejar antara pejabat dan rumah sebulan akhirnya langsai. Saya fikir boleh tidur lena malam tadi sebab bibik sudah pulang dari Bandung rupanya ia tinggal harapan, sebab saya terganggu benar dengan bayang-bayang wajah seseorang…

Oooo.. saya sudah kena demam yang tidak boleh kebah. Demam yang penuh rasa kecewa dan rasa lara. Saya tidak seorang diserang ini. Sekurang-kurangnya saya tahu ada satu kem di luar saya yang juga diserang ini demam ! Berubah dan rebah ?

Friday, March 13, 2009

Bahasa Melayu? Apa tu ?

Pagi ini saya lewat masuk ke pejabat. Ada urusan di JPM dan kemudian tepat jam 1 petang saya tiba di pejabat.

Ada berita di muka depan menarik perhatian. Peningkatan dicatatkan pada keputusan SPM walaupun dasar PPSMI dilaksanakan.

Saya merenung tajuk dan membaca isinya berkali-kali. Oh, betapa kita tidak pernah mahu memahami isi. Apa yang diperjuangkan bukan kelulusan akademik semata-mata. Sebaliknya, hak dan kedaulatan bahasa di buminya sendiri.

Saya takut memikirkan di mana kedudukan bahasa ibunda saya 20,30 atau jangan pergi jauh mungkin setahun dari sekarang.

Tolonglah, isunya bukan prestasi akademik. Isunya kedaulatan bahasa ibunda. Kalau dulu perlaksanaan Sekolah Bistari ditolak mentah-mentah oleh kaum Cina atas dakwaan ia akan menghapuskan bahasa ibunda mereka, adakah orang Melayu yang mengaku kononnya tuan di negara ini mahu memaksakan PPSMI pada anak-anak sendiri. Anehkan?

Baiklah, saya bukan pelajar kejuruteraan atau perubatan, seperti kata seorang kawan 'anak akak susah sungguh nak faham subjek kejuruteraan kat kampus (anak baru tahun 1) sebab belajar matematik dan sains dalam BM masa kat sekolah dulu. Lain oiiii istilah BM dan BI dalam subjek kejuruteraan. Kau mana tau'.

Oh, benarkah saya tidak tahu kesukaran itu atau saya tidak ambil tahu?

Namun, yang pasti saya tahu kesukaran generasi silam memperjuangkan kedaulatan BM dan kita generasi hari ini langsung tidak mahu menghayati perjuangan itu.

Atau sebenarnya, anaknya itu perlu belajar lebih keras mungkin?

Tidak hairanlah apabila segelintir orang Melayu rasa tidak terbakar jiwa apabila institusi kesultanan Melayu diheret hingga ke mahkamah dan dipijak-pijak prestijnya.

Bahasa jiwa bangsa. Bangsa tanpa bahasa adalah bangsa tanpa jiwa.


Wednesday, March 11, 2009

John Legend & Me


Ok, mungkin saya agak terlewat untuk bercakap tentang John Legend. Orang lain dah kenal lama, saya baru kenal hahaha.. saya tahu John Legend sebelum ini tetapi tidak kenal.

Pertama kali saya dengar lagu John Legend dalam sebulan lepas. Terdengar melalui PC seorang rakan yang bernama Suzan Ahmad yang antara lain kerjanya review lagu. Meja kami yang dekat memungkinkan, bukan saja lagu, perbualan telefon dia dengan 'abang Jin' pun saya boleh dengar.. hahahahahah

“Sorry lah kalau kau terganggu dengan lagu ni,” dia jujur saja minta maaf. Tapi saya terus bangun dan cakap, saya suka lagu ini. Sangat urban.

Kemudian, Suzan beri pinjam Evolver. Dan dari situ saya jatuh hati dengan kerja-kerja seni John Legend. Dan Evolver adalah album ketiga.. huhu... betapa saya ketinggalan.

Suara John Legend sangat seksi, terutama bila dia menyanyikan lagu Everybody Knows. Lagu Good Morning, liriknya mudah dan ringkas tetapi sangat menawan. Tapi bila lama-lama dengar, saya suka lagu Cross The Line.

Tapi hah.. jangan buat begitu ya pada kawan baik sendiri, sebab cinta boleh dicari tapi kawan baik, sampai mati pun dia akan ada di sisi kita, insya allah.

Sebab lirik Cross The Line tidak begitu bermoral, antara lainnya menyebut ...you are my best friend can we put to the bed then../ .. Not just my homegirl, time that I take you home, girl,

Apapun, saya suka kalau Evolver keseluruhannya penuh dengan R&B, tapi mungkin strategi pasaran atau apa, ada gabungan dengan unsur rap dan raggae (macam lagu No Other Love).

Satu pagi waktu keluar dengan anak-anak, Azra mencium pipi saya dan berkata Good Morning.. Good Morning Love .. hah.. macam pernah ku dengar , ok ia datang dari track Good Morning, track pertama John Legend. Oh... saya rasa ia satu tanda yang tidak begitu sihat untuk saya sebagai ibu. Hahahahaha..


Monday, March 9, 2009

Jejak Kasih



Berhubung semula dengan kawan lama memang menyeronokkan. Mengimbau kisah lama, tak kiralah di kampus, di kampung atau di mana-mana saja menjadi sesi gelak ketawa. Apatah lagi mengingat 'kebodohan' masing-masing.

Lebih-lebih lagi mengusik tentang kisah si MTJ ( di kalangan kawan-kawan MTJ bermaksud Mat/Minah Tak Jadi atau x boipren/goipren).

Baru-baru saya berjumpa dengan ramai juga kawan lama. Kebanyakan mereka rakan seuniversiti dan ada kawan lama yang dikenali waktu latihan industri selain bengkel penulisan. Kebanyakan mereka dijejaki semula melalui Facebook sebelum meleret-leret kepada pertemuan yang membawa kepada gelak ketawa dan bertukar-tukar cerita terkini mengenai kehidupan.

Namun, biasalah pantai lagikan berubah ini kan pula manusia. Ada juga antara kawan-kawan itu sudah menjawat gred yang tinggi dalam perkhidmatan awam antaranya dalam PTD atau bekerja dengan syarikat multinasional. Jadi, hidung pun tinggi, menambah ketinggian hidung semula jadi... hahahaha.

Kawan-kawan lain dipandang dengan rendah sekali seolah-olah tidak layak untuk berkawan dengan mereka. Sedangkan kawan-kawan itulah yang menjadi tempat mengadu nasib waktu loan JPA/MARA lewat sampai. Atau waktu tidak memahami subjek dalam dewan kuliah.

Paling sakit, ada juga yang bertanya, berapa gaji kau sekarang? Aku sudah sekian-sekian, sudah ada setiausaha dan bilik sendiri. Kemudian, anak-anak dihantar ke sekolah berprestij, sesuai dengan pendapatan dan pangkat ibu bapa.

Dan tidak lupa bercerita insiden-insiden lucu anak kecil dengan keletahnya waktu di sekolah. Bunyinya begitu bangga apabila anak-anak pelat berbahasa ibunda tetapi fasih berbahasa Inggeris.

Emmm... sekarang tahulah saya mengapa masih ramai Orang Melayu yang menyokong PPSMI. Upppsss...

Thursday, March 5, 2009

Cinta Totok












Kebelakangan ini saya banyak menonton filem-filem cinta. Antaranya Cindarela Story. Kata kawan sekerja saya, awak ni macam budak-budak! hehehe..

Saya tidaklah dalam kategori romantik sangat (sikit adalah kut :) tapi apabila perlu menulis novel cinta, saya perlu dapatkan mood itu. Jadi, satu daripada cara adalah menenggelamkan diri dalam filem-filem cinta.

Jadi, saya selalu juga mencuri masa menonton filem cinta di TV2 macam One Fine Day dan Cindarela Story.
Saya tidak tahu bagaimana penulis lain bekerja, tetapi untuk saya selain membaca buku atau melayari internet untuk mencari fakta saya perlu juga mencari mood. Kalau sudah banyak fakta tetapi tiada mood, kerja penulisan saya akan tertangguh.

Sesetengah penulis tidak perlu mood, tapi saya sangat bergantung pada mood untuk kerja penulisan kreatif. Untuk kerja penulisan yang menjadi periuk nasi, hah.. tidak sempat hendak cari mood. Ampun!


Saya sedang mengusahakan novel baru. Ya, novel cinta. Tapi bukanlah cinta totok, sebab seperti ramai penulis percaya, terlalu banyak novel cinta totok akan membuatkan pembaca melayang-layang jauh ke angkasa.

Namun, kisah yang saya garapkan kali ini perlu juga disuntik sedikit elemen kasih sayang cinta rindu itulah sebab editor awal-awal sudah pesan, masuk sikit buat perasa.
Itu dilema paling besar untuk penulis kecil macam saya. Saya tiada modal untuk terbitkan buku sendiri. Dalam masa yang sama, saya mahu karya itu sampai kepada pembaca, jadi seperti ramai penulis lain, saya campur adukkan resepi untuk menghidangkan karya terbaik atas kapasiti diri sendiri.

Cumanya, saya pegang pada pengalaman novel yang sudah-sudah dan kritikan pedas kawan-kawan (hasil novel yang sudah-sudah) jangan terlalu banyak kisah cinta totok. Adun dan kisarkan dengan baik, kerana penulis itu bukankah mereka yang bijak menyusun kata, seorang kawan sinis berpesan.

Ya, saya ingat. Terima kasih.

* Credit picture to Corbis

Wednesday, March 4, 2009

Oncologist & lawak tak lucu


I

Seorang oncologist membuat jenaka dengan saya, 'nasib baik awak bukan di Perak, kalau tak awak mesti cover story bawah pokok. Bersyukurlah awak ada bersama kami di bilik berhawa dingin'. Dia ketawa, saya pun ketawa bukan lucu tetapi menghormatinya.



II

Seorang sepupu bertanya kepada saya, mengapa bekerja dengan media arus perdana. Carilah kerja lain. Saya senyum. Saya tanya kepada dia, awak baca akhbar ? Dia kata tak, sudah lama tidak baca. Dia suka baca blog atau maklumat di internet.
Berita dan maklumat yang bagaimana? Politik, dia jawab ringkas.
Oh, tapi saya tidak tulis pasal politik, sesekali saja saya tulis itu pun atas arahan editor dan selalunya hari sabtu. Saya lebih banyak tulis rencana.
Dalam akhbar media arus perdana yang muka suratnya 32 itu bukan semua halaman adalah berita politik. Hanya dua ke tiga halaman pertama saja soal politik, selebihnya isu ekonomi, setempat, sukan dan luar negara.
Jika dia hanya mahu baca kisah politik terutama politik pembangkang, pilihannya tepat. Kalau hendak baca soal-soal bukan politik, setakat ini media alternatif belum 'cover'. Jadi terpulanglah pada selera.
Internet kan ada? dia mencelah. Betul, tapi berapa ramai yang surf internet? Berapa ramai yang ada masa macam awak?
Jadi, sebab itu awak masih bekerja di media arus perdana? Cubalah awak tulis macam si polan si polan tu yang hebat mengkritik.
Saya senyum, sebab kebanyakan blogger si polan si polan yang 'power rangers' sekarang mengutuk kerajaan dulunya wartawan arus perdana juga dan waktu mereka 'di dalam' media arus perdana, mereka juga simpan kuku.
Emmm.. agak-agaknya, saya pun tiada beza kut!
Saya ketawa. Dia tidak ketawa. Dia tidak faham kut, sebab dia dah lama tidak baca akhbar dan tidak kenal sesiapa pun dan latar belakang mereka. Dia kenal mereka sebagai bloggers. Aduh kasihan!

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...