Thursday, May 5, 2011

Hati Zaira





Julia tidak tahu dan dia tidak perlu tahu pun. Semuanya harus berlaku dengan baik dan drastik. Selama ini pun Julia hanya meneka-neka dalam kesamaran, meneka-neka antara ya dan tidak.



Kalau Zaira diam, dia akan bertanya cik abang tak telefon?

Kalau Zaira berwajah kelam, dia akan mengusik lagi mahu kongsi kisah duka mu?



Julia tidak tahu, tidak tahu pun tentang apa yang sebenarnya berkumpul dalam dadanya. Julia, seorang wartawan yang bijak memasang perangkap. Mana tahu, perangkap mampu menjerat. Dan itulah lumrahnya seorang Julia, bukan?



Zaira menarik nafas panjang. Feri datang dan pergi. Camar bising menyanyi. Pulau Pinang perlu ditinggalkan. Sudah lama pun bercuti membawa hati.



Sejak Julia balik dari Afghanistan, sejak berita itu pecah Zaira sungguh tidak keruan. Di hadapan Julia dia perlu senyum dan senyum. Di belakang Julia ada seribu satu rasa yang sebenarnya mampu membunuh.



"Engku Effendi sudah pulang kelmarin," Zaira ingat Julia bercerita minggu lalu. Waktu itu kakinya terjuntai-juntai dari atas buaian. Tubuhnya terhayun oleh buaian. Buaian yang baru dibeli beberapa hari lalu. Kata Julia dia sengaja membeli buaian itu sebagai tanda ingatan pada buaian kecil milik seorang anak Afghanistan yang dikenalnya di Kabul. Ah, Julia apa-apa sajalah!



Zaira cuba tidak mahu melayan perbualan itu. Perbualan ketika dia baru sahaja keluar dari kereta, baru saja tiba dari pejabat. Julia sudah duduk berayun-ayun di laman. Tangannya memegang mug, mungkin berisi teh atau kopi kegemaran Julia itu - kopi Tenom.



Lama Zaira diam. Dia tidak tahu apa yang perlu dikatakan kepada Julia, sebagai menyambung perbualan.



Sebetulnya mereka lama tidak berbual pun. Selepas khabar itu pecah dan kemudian bertelagah pendapat tentang segala isme yang melanda dunia hari ini, perang ideologi yang mengheret manusia ke papan percaturan kelangsungan hidup, mereka jadi terasing dan kekok.



Tentu saja Zaira memilih untuk diam, sebagai tanda protes dan hatinya belum kebah dari pertelagahan pendapat itu. Kononya! Namun hati dan jantung dan seluruh atma sebenarnya sudah robek oleh perkhabaran yang satu itu. Khabar tentang lelaki bernama Adlan. Tentang lelaki yang keluar dari Galeri Anton, meredah tebalnya ribut salji di New York waktu dia sebenarnya berada dalam perangkap rasa.



Oh, bukankah aku juga sudah menjadi seperti Julia gemar memerangkap?



"Khadeja sudah bernikah..," Julia menyambung lagi. Matanya memandang keluar, ke langit gelap yang makin gelap. Zaira bagai dipaku langkah ke lantai. Tidak upaya bergerak, tidak upaya bernafas juga.



Siapa Khadeja? Apa pentingnya dalam hidup seorang lelaki bernama Engku Effendi?


Dunia kecil milik aku ini semakin keliru! Zaira terasa dia mahu sahaja mencekik Julia saat ini, Julia yang membuat hidupnya serba tidak kena.












************* Bersambung ya !








Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...