Sunday, June 21, 2009

A Fine Balance



Saya sudah lama memiliki novel ini. Rasanya sebaik ia dipasarkan di Malaysia agaknya. Waktu itu saya mula bekerja dan tertarik dengan ringkasan yang saya baca.

Secara ringkas saya tahu tentang A Fine Balance begini -


A Fine Balance buku tulisan
Rohinton Mistry yang berlatarkan Mumbai antara tahun 1975 dan 1977. Ada gabungan kisah tentang empat watak dari pelbagai latar – Dina Dalal, Ishvar Darji, Omprakash dan Maneck.


Ia merakam perbuahan dalam masyarakat India sejak merdeka bermula 1947 hingga tahun-tahun pemerintahan Indira Gandhi.


Kenapa tidak buat ringkasan? Sebabnya sejak saya beli, saya tidak pernah khatam. Bukunya tebal dan saya selalu tertangguh-tangguh menghabiskan hingga hilang momentumnya. Rasanya saya perlu baca dari muka surat pertama semula, barulah ada 'feeling'.


Agaknya kalau buku ini boleh bersuara, dia akan kata 'hampehnya' tuan aku! hahahaha..

Saturday, June 20, 2009

Maafkanlah Jeritan Ini

Rasanya tidak adil untuk saya menjerit, menjerkah dan mempiat pada anak sekecil itu, lewat kegagalan mengenal huruf A, B dan D, mengenal huruf kecil dan besar.
Namun, rasa tidak adil juga apabila dia acap kali gagal mengenal, jauh sekali mengingat setiap kali diajarkan bagaimana sifat dan mengenal setiap huruf.
Mengajar anak sekecil itu memang perlu sabar. Betul, tetapi keletah mulutnya tidak sepadan dengan kebijaksanaannya dalam mengenal huruf.
Aduh.. hari ahad yang tenang-tenang begini, jadi medan mama menunjuk kuasa pada si kecil lima tahun.
Waktu dia lena, melihat air mata bersisa bekas hati yang diusik jeritan dan tangan mama yang pantas membekas, tumpah pula simpati. Namun, hati mesti kuat, semua jeritan dan marah untuk dia juga. Jerit dengan kasih, piat dengan sayang.
Tiada lain yang dimahukan melainkan dia berjaya mengenal setiap huruf selancar dia mengenal setiap angka. Tidak lain yang dimahukan melainkan dia berjaya dunia dan akhirat. Justeru, maafkanlah jeritan yang terpaksa ini si kecil ku.

Thursday, June 18, 2009

Apabila Hilang

Gambar dari sini - Blog www.wirabukit.com


Saya mengumpul banyak juga buku sejak remaja antaranya Salina, Juktaposisi, Pulau Renik Ungu, kumpulan cerpen Sehelai Daun Setitis Embun, Tunggul-Tunggul Gerigis, Cinta Fansuri dan entah apa-apa tajuk lagi.

Semua buku-buku itu menjadi teman sewaktu alam kampus.

Namun malangnya apabila berpindah balik ke Semenanjung, saya tidak banyak pilihan. Di rumah, almari buku sudah penuh dengan buku ahli keluarga yang lain. Jadi, saya selaku 'orang yang baru kembali' perlu beralah dan buku-buku terperuk dalam kotak saja.

Kemudian, tidak lama selepas bergraduan saya bekerja dan berhijrah. Kerana saya waktu itu duduk di rumah bujang, tidak banyak buku yang boleh saya bawa bersama.

Kebetulan rumah di kampung menjalani pengubahsuaian selain saudara mara yang suka meminjam buku tetapi tidak pula tahu memulangkan menjadikan semua koleksi saya hilang -terbang entah ke mana-mana.

Saya selalu dihambat rasa menyesal sebab tidak bawa buku-buku itu ke rumah sewa. Menyesal juga memberi pinjam pada saudara mara. Sebab tidak ada sebuah pun daripada judul-judul di atas dalam simpanan saya kini.

Mendapatkan kembali buku-buku memang sukar. Mungkin saya boleh jumpa Salina tetapi tidak Sehelai Daun Setitis Embun.

Mungkin saya boleh jumpa Cinta Fansuri tetapi rasanya tidak Juktaposisi. Betapa ralatnya saya.

Saturday, June 13, 2009

Waktu Hujan

Pic from here


Satu daripada kesukaan saya adalah duduk di beranda minum kopi waktu hujan turun. Bukan hujan lebat tetapi renyai-renyai. Kalau kena rumput, bau hijau rumput naik dan harum sekali. Waktu zaman kanak-kanak, rumah opah ada anjung. Dan kalau hujan, di anjung itulah saya bertenggek.

Opah selalu bising, naik-naik.. kena tempias. Memang pun, hujung skirt mesti basah. Sebab tidak tahan opah bising, saya ikut saja.

Waktu bujang di rumah sewa saya suka sekali duduk di anjung waktu hujan turun. Namun, sebab depan rumah itu adalah rumah sewa anak-anak bujang, malu pula hendak bertenggek lama-lama.

Rumah sekarang tiada anjung dan belum pernah pun terfikir hendak duduk menghadap titis hujan turun. Sebabnya, pergi kerja pagi dan balik pun sudah malam, panas, hujan waima jerebu paling tidak saya terkurung di pejabat.

Ada kisah waktu hujan yang menyentuh hati saya. Waktu saya masih di kampus, saya dan kawan baik selalu ronda-ronda sekitar bandaraya Kuching. Kami selalu mencari sesuatu yang baru, misalnya kedai perabot lama atau pinggan mangkuk lama, apa saja yang ada nilai nostalgia dan sentimental.

Petang itu hujan lebat. Payung kami sudah patah. Kami berdua singgah di kedai buku milik seorang cina. Dia pelawa kami masuk pun sebab hujan lebat sungguh. Kedai buku itu berbau hapak. Bau hapak buku yang saya suka :).

Kawan saya belek-belek buku di hadapan saya masuk sampai ke belakang. Ada banyak buku di situ dari bahasa Inggeris sampai ke bahasa Melayu. Waktu saya leka mencari tajuk-tajuk menarik, jari saya terhenti pada sebuah buku kumpulan cerpen milik penulis tersohor bergelar 'doktor'.

Bau hapak buku terbitan DBP itu memang kuat, tetapi hati saya makin kuat untuk membacanya.

Saya beli buku itu pada harga RM7. Saya tidak pasti itu harga yang dicetak DBP atau harga diskaun sebab buku itu sudah sungguh hapak baunya.

Saya ceritakan pada seorang kawan tentang penemuan buku penulis hebat itu di dalam kedai buruk berbau hapak dan di tengah hujan secara tidak sengaja.

Secara bersahaja kawan saya menjawab, ironi sungguh! Macam nasib bahasa dan sastera Melayu juga. Aduh!

Friday, June 12, 2009

Belajar berhubung Dengan Manusia !

Kalau berurusan dengan orang yang memiliki skil perhubungan awam (PR) yang baik, rasanya kerja memang sangat mudah. Dulu, orang yang bekerja di jabatan kerajaan selalu dianggap kurang PR terutama yang bekerja di kaunter. Namun sekarang banyak perubahan. Saya kenal ramai kakitangan kerajaan yang memiliki skil PR yang cukup baik.

Saya dan anda juga tentu alah dengan mereka yang kurang skill PR. Selama saya bekerja saya kerap berjumpa dan berurusan dengan mereka yang kurang skill PR atau dengan bahasa mudah, tiada adab.

Kes 1

Ada seorang hamba Allah ni, saya dan sekumpulan wartawan lain menemubual dia berikutan pembedahan * * * berjaya. Semasa temubual itu bertukar-tukar kad perniagaan itu memang rutin.

Dua bulan selepas itu hamba Allah ini telefon ke pejabat mencari saya. Tanpa salam, dia menyumpah seranah saya berbakul-bakul katanya saya wartawan tiada etika. Sebabnya kata dia saya berjanji hendak berikan salinan majalah kisah dia yang saya tulis. Dua bulan dia tunggu saya tak kirim, katanya.

Saya cakap, pak cik, saya kerja dengan akhbar harian *** bukan Majalah *** seperti yang pak cik cakap.

Dia jawab, eh ye ke? Bukan awak yang berjanji?
Bukan Pak cik..
Awak bukan **** dari Majalah ***
Bukan, nama saya ( seperti yang tertera di atas) dan bekerja dengan akhbar harian. Saya tidak
terbabit dengan mana-mana majalah. Dan saya tak pernah berjanji nak kirim apa-apa pada pak cik.
Dia terus cakap ... oooooo..

Saya pun ambil kesempatan membahasakan dia (heheheh), pak cik kalau nak marah pun,
marah lah orang yang betul. Jangan main hentam saja.

Kes 2

Ada pemanggil telefon ke pejabat mencari wartawan ***. Saya angkat panggilan itu sebab telefon berkenaan memang di sebelah saya. Tahu apa dia kata.

"Hey, wartawan *** mana?,"

Saya tarik nafas dan cakap, assalamualaikum encik, boleh saya bantu? Dia malu-malu (berdasarkan perubahan nada suara) menjawab salam saya dan berkata 'boleh saya cakap dengan *****?

Saja jer nak bagi dia terasa :D !

Kes 3

Ha, ini kes membabitkan wartawan baru. Dia baru masuk ke dunia kewartawanan. Dia telefon dan hendak bercakap dengan rakan setugas. Mukadimahnya begini,

Hey, ** ada.. **

Malang betul sebab saya yang angkat telefon itu ! Saya tak balas pun kata-kata dia dan terus bagi ganggang telefon pada wartawan yang dia cari.

Banyak lagi contoh orang kurang skill PR ni, tapi tiga ini yang paling lazim. Aduh.. tolonglah belajar PR encik-encik sekalian. Sebab 'human skills' begini akan menyentuh hati orang di sudut paling dalam dan secara tak langsung memudahkan urusan.

Dulu, saya kurang senyum (kebetulan riak wajah pun serius) boss saya selalu tegur, hoi.. sapa mati? Kau tak boleh senyum ke, serius betul! Hehehe.. sejak itu saya belajar senyum. Senyum itu sedekah...

Wednesday, June 10, 2009

Tag Dr Ben

Ben, sebab aku sungguh-sungguh mengantuk dan pening dengan kerja-kerja ini, marilah kita bermain-main tag meng'tag' :D


1.Apa Perasaan Anda Sekarang? - Gembira sebab nak dapat CA, hahahahaha...

2.Saya nak makan... - Sekarang ni nak makan spagetti

3. Saya tak suka... - Menunggu

4.Impian saya? - Menjadi isteri solehah, ibu mithali, pekerja berdedikasi dan dihargai majikan dan tentu saja penulis yang disegani.

5.Haiwan yang saya tak suka? - Sebenarnya, saya tidak suka semua jenis haiwan kalau untuk dipelihara :D kalau setakat main geli-geli takut tu.. emm.. tak da kut.

6.Saya harapkan... - Hidup berbahagia dunia akhirat

7.Jika boleh putarkan masa? - Saya nak jadi lawyer ... heheheh.. cita-cita zaman sekolah, atau jadi hematologist !

8.Saya pada 10 tahun akan datang? - Emm.. harap saya sudah jadi editor ! :P

9.Handphone saya adalah sebuah? - Sudah tiga buah sejak 2000.

10.Saya pernah bercinta sebanyak? - Hahahhha... dua jer termasuk hubby ! I baik tau tak noti-noti tau Ben! :D Percayalah!

11.Saya suka pada... - Laut, senja nan merah, duduk dalam kedai buku, duduk tepi beranda minum kopi waktu hujan dan tengok Ugly Betty.

12.Kawan-kawan - Ramai dan suka hendak mengenal orang baru.

13.Pernah dikhianati? - Pernah. Oleh manusia yang kononnya 'sahabat karib'.

14.Apa yang anda hendak lakukan terhadap orang yang mengkhianati anda? - Jauhi mereka sejauh yang mungkin. Kalau mereka datang semula, terima saja tetapi dengan lebih berhati-hati.

15.Kawan-kawan yang patut menerima tag ini: - Kak Chik!

Tuesday, June 9, 2009

Ayam Patah Kepak



"Komunisme itu wujud sebagai menolak kapitalisme". Riyan terjeda pada catatan itu. Jari jemarinya serasa lenguh. Matanya pedih. Berjam-jam menyudahkan kertas kerja, dia tidak peduli pada masa. Riyan menguap, menggeliat dan mata jatuh kembali pada garis pertama mukadimah,"

Walau terlewat mendapat khabar, sungguh saya tidak dapat menyembunyikan gembira. Baca habis di sini


Tuesday, June 2, 2009

Pala Tumpa' Kayau Indau

pic

Pala Tumpa' Kayau Indau adalah himpunan pengalaman peribadi saya waktu perjalanan hidup membawa saya ke Sarawak, Borneo. Saya sukakan Sarawak - terlalu. Budayanya, kehidupannya dan segala yang manis-manis tentang Sarawak. Ia kenangan yang tidak akan luput selagi saya bernyawa insya allah.

Untuk seorang kawan bernama Lucia, cerpen ini untuk kamu walaupun kamu tidak pernah tahu nama kamu pencetus ilham untuk kawan mu ini.

Untuk anda, nikmati Pala Tumpa' Kayau Indau di Dewan Budaya Jun 2009.

****************


"Kalau boleh, Hanis mahu membawa emak ke sini. Ke tengah Kota Milan dan duduk di hadapan runway melihat satu persatu koleksi pua rekaan Hanis diperagakan model antarabangsa. Kalau boleh bukan emak saja tapi seluruh warga Kampung Engsebang, di Daerah Serian itu. Kalau boleh, Hanis juga mahu membawa Sri anak Borieng.

T
api semua itu mustahil. Emak kandungnya sudah lama meninggal dunia. Sri, adiknya itu juga sudah lama tidak menyentuh Pua. Sejak dia berkahwin dengan Hartono, lelaki Indonesia yang dulunya bersembunyi di Engsebang mencari perlindungan dari Jabatan Imigresen.Hanis tersenyum lebar dari telinga ke telinga sebaik saja 20 model Eropah itu selesai memperagakan koleksi musim luruh rekaan Hanis. Walaupun di bawah jenama Prada, Hanis sudah cukup bangga kerana hasratnya mengantarabangsakan pua kumbu menjadi nyata.

Pua rekaannya diberi sentuhan retro dan diadun dengan gaya kontemporari. Tiada semangat di dalam puanya. Tiada Singalang Burong[1], tiada Kumang yang menenunnya. Ia hanya memiliki semangat Hanis yang ingin maju dan mencipta nama besar dalam industri fesyen dunia. Waktu model mengatur langkah dengan skrit kembang hingga ke tumit dipadan dengan blaus dari jaket cantik berlabuci dengan corak pua yang abstrak seorang lagi model " -



[1] Dewa peperangan kaum Iban

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...