Saturday, June 13, 2009

Waktu Hujan

Pic from here


Satu daripada kesukaan saya adalah duduk di beranda minum kopi waktu hujan turun. Bukan hujan lebat tetapi renyai-renyai. Kalau kena rumput, bau hijau rumput naik dan harum sekali. Waktu zaman kanak-kanak, rumah opah ada anjung. Dan kalau hujan, di anjung itulah saya bertenggek.

Opah selalu bising, naik-naik.. kena tempias. Memang pun, hujung skirt mesti basah. Sebab tidak tahan opah bising, saya ikut saja.

Waktu bujang di rumah sewa saya suka sekali duduk di anjung waktu hujan turun. Namun, sebab depan rumah itu adalah rumah sewa anak-anak bujang, malu pula hendak bertenggek lama-lama.

Rumah sekarang tiada anjung dan belum pernah pun terfikir hendak duduk menghadap titis hujan turun. Sebabnya, pergi kerja pagi dan balik pun sudah malam, panas, hujan waima jerebu paling tidak saya terkurung di pejabat.

Ada kisah waktu hujan yang menyentuh hati saya. Waktu saya masih di kampus, saya dan kawan baik selalu ronda-ronda sekitar bandaraya Kuching. Kami selalu mencari sesuatu yang baru, misalnya kedai perabot lama atau pinggan mangkuk lama, apa saja yang ada nilai nostalgia dan sentimental.

Petang itu hujan lebat. Payung kami sudah patah. Kami berdua singgah di kedai buku milik seorang cina. Dia pelawa kami masuk pun sebab hujan lebat sungguh. Kedai buku itu berbau hapak. Bau hapak buku yang saya suka :).

Kawan saya belek-belek buku di hadapan saya masuk sampai ke belakang. Ada banyak buku di situ dari bahasa Inggeris sampai ke bahasa Melayu. Waktu saya leka mencari tajuk-tajuk menarik, jari saya terhenti pada sebuah buku kumpulan cerpen milik penulis tersohor bergelar 'doktor'.

Bau hapak buku terbitan DBP itu memang kuat, tetapi hati saya makin kuat untuk membacanya.

Saya beli buku itu pada harga RM7. Saya tidak pasti itu harga yang dicetak DBP atau harga diskaun sebab buku itu sudah sungguh hapak baunya.

Saya ceritakan pada seorang kawan tentang penemuan buku penulis hebat itu di dalam kedai buruk berbau hapak dan di tengah hujan secara tidak sengaja.

Secara bersahaja kawan saya menjawab, ironi sungguh! Macam nasib bahasa dan sastera Melayu juga. Aduh!

No comments:

Apa ada dengan Aku Anjing ?

Aku Anjing mungkin tajuk yang mengejutkan untuk sebuah kumpulan cerpen. Namun bagi pengarang, Saifullizan Yahaya, Aku Anjing dipil...