Aku Anjing mungkin
tajuk yang mengejutkan untuk sebuah kumpulan cerpen. Namun bagi pengarang,
Saifullizan Yahaya, Aku Anjing dipilih berdasarkan konsep kesetiaan yang
mungkin tidak dimiliki semua manusia.
Hal ini ternyata benar
apabila membaca cerpen Aku Anjing yang menjadi judul naskhah. Kisahnya mudah,
mengenai seekor anjing penjaga rumah yang dihalau sesudah tuannya meninggal
dunia. Banyak yang boleh ditafsirkan menerusi karya ini, tetapi paling menonjol
adalah keupayaan untuk setia tidak datang dengan mudah melainkan dipupuk dengan
kasih sayang dan jati diri.
Satu hal yang menarik
juga jika cerpen ini disorot dari kaca mata politik semasa, timbul persoalan
apakah sebenarnya wujud kesetiaan? Jujurnya, isu politik jarang dibincangkan
dalam karya beliau. Namun kali ini, beliau memperlihatkan kepekaan terhadap perkembangan
persekitarannya, bukan sahaja melalui cerpen berkenaan, tetapi juga dua cerpen
yang memetik watak daripada naskhah Sulalatus Salatin, iaitu 30 Teka-Suai Jodoh
Tun Mutahir dan Pertemuan Dengan Si Kitul.
Jika 30 Teka-Suai Jodoh
Tun Mutahir menyerahkan kepada pembaca untuk mentakwilkan kebenaran berdasarkan
pecahan mimpi, Pertemuan Dengan si Kitul adalah pertanyaan mengenai
pengkhianatan.
Si Kitul dalam
Sulalatus Salatin adalah watak pengkhianat empayar Melayu Melaka, namun tentu
sahaja tidak mustahil jika sebenarnya watak ini masih berlegar dalam kalangan
masyarakat hari ini.
Suatu hal yang nyata,
Saifullizan mempunyai gaya penulisan yang lembut, tetapi meyakinkan dalam
membangunkan sesebuah karya. Bahasanya mudah dan ringkas, tetapi mesej yang
disampaikan cukup besar. Ada kala isu yang diangkat kecil sahaja, tetapi
impaknya sesudah ia lahir sebagai sebuah cerpen memang membekas di jiwa,
misalnya Menanti Tamu Istimewa.
Kisahnya mudah tentang
fitnah dan khianat seorang kawan terhadap kawan baiknya. Yazid pecah amanah dan
apabila perbuatan itu dikesan majikan, dia menuduh kawan baiknya, Hashim yang
melakukan. Hashim sebaliknya menerima dengan reda dan memilih untuk memaafkan
Yazid meskipun pengakuan itu menyebabkan dia bertukar ke daerah pedalaman dan
tidak dinaikkan pangkat sehingga bersara.
Hal yang sama terlihat
dalam cerpen Tikar Mengkuang. Meskipun ia menceritakan mengenai gulungan tikar
mengkuang warisan Opah, tetapi jauh mendasar adalah mengenai keegoan suami
isteri yang sedang rancak membina kerjaya .
Naskhah dengan 15
cerpen yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
ditutup dengan cerpen Dilarang Membakar Buku Sastera. Mungkin ia hanya sebuah
cerpen biasa, namun bagi yang pandai menafsir, pengarang ini sebenarnya sedang
cuba menyedarkan pembacanya kesetiaan itu menjadikan kita manusia berbangsa.
#Reviubukuyangsayabaca
No comments:
Post a Comment