Friday, April 21, 2017

Siapa Khoo Kay Kim ?



Sejujurnya, saya teruja apabila kali pertama mengetahui biografi mengenai Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim bakal diterbitkan.

Selama ini kita mendengar pandangan dan pendapat Kay Kim mengenai sejarah serta sukan, namun menerusi I, KKK The Autobiography of a Historian, Kay Kim membentangkan kisah peribadinya, keluarga dan kawan-kawannya.

Sudah tentu pembacaan ini akan mengujakan kerana sorotan kembali itu bermula dari zaman kecilnya di kampung halaman di Teluk Anson yang kini dikenali Teluk Intan, zaman remaja di Singapura sebelum kembali ke Ipoh dan seterusnya di Kuala Lumpur.

Kehidupannya berwarna-warni dan luar biasa. Selain menjadi generasi awal sarjana yang dilahirkan sistem pendidikan kebangsaan, Kay Kim ialah generasi muda dekad 1950-an yang berjiwa kebangsaan.

Lahir dalam keluarga peranakan dan bersekolah Inggeris, Kay Kim dalam naskhah ini merakamkan latar zaman 1940-an dan 1950-an dan negara ketika itu masih diperintah penjajah.

Dalam 11 bab yang membina naskhah ini, penceritaan mengenai bapanya, Khoo Soo Jin boleh diibaratkan binaan yang paling menarik perhatian. Kay Kim menyifatkan bapanya sebagai lelaki yang berpandangan terbuka dan mempunyai visi jelas dalam kehidupan.

Jika segelintir orang Cina lain pada masa itu, lebih mengambil tahu mengenai Tanah Besar China dan kemungkinan untuk kembali ke sana, tetapi bapa Kay Kim lebih berminat untuk memajukan Malaysia sebagai negara baharu.

Pandangan bapanya diterapkan dalam keluarga dan tidak menghairankan ia memperjelaskan kedudukan Kay Kim hari ini yang memiliki pandangan luas terhadap makna kenegaraan.

Keterbukaan pandangan bapanya juga menyaksikan Kay Kim tidak dihalang pun untuk mengahwini Rathi, gadis berketurunan India Sri Lanka pada 1966.

Naskhah ini ditulis dengan bahasa yang mudah tetapi menyentuh dalam cara tersendiri. Dalam sela ayat, terlihat kecintaan dan kebanggaan Kay Kim kepada negeri kelahirannya, baik dalam konteks yang lebih besar, iaitu Malaysia atau lebih khusus, iaitu Perak.

Jujurnya, jika kisah hidup Kay Kim difilemkan, ia bukan hanya merakamkan kisah peribadi tokoh akademik bahkan dokumentasi pembentukan dan pembangunan sebuah negara merdeka.

No comments:

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...