Lupakan novel The Vagrants atau himpunan cerpen A Thousand Years of Good Prayers tulisan terdahulu Yiyun Li, kali ini Gold Boy and Emerald Girl membawa kita menyelami pengalaman peribadi pengarangnya yang boleh dikesan di sana sini dalam naskhah ini.
Seperti juga kebanyakan penulis kelahiran China, Ha Jin atau Ma Jian yang membesar di bawah teraju komunisme, karya Yiyun Li juga tidak jauh lari dari pengalaman itu. Garis pemisah mereka ialah sudut pandang Li bercampur antara tradisional dan modenisasi, sesuai dengan dirinya sebagai pengarang yang lahir pada 1970-an.
Gold Boy and Emerald Girl sebenarnya adalah himpunan sembilan cerpen. Halaman pertama naskhah ini mencuit perhatian apabila pembaca dihidangkan dengan ‘Kindness”. Tidak sesuai diistilahkan sebagai cerpen kerana ia ditulis mencecah 80 halaman - hampir separuh daripada naskhah memiliki 221 halaman - ia adalah sebuah novella mengenai kehidupan seorang anak dara tua bernama Moyan.
Kindness adalah kisah yang dinaratif dengan baik, kisah pencarian diri watak utamanya Moyan, 40 tahun yang mengimbas persahabatannya dengan seorang pegawai tentera, Leftenan Wei ketika sama-sama berada di dalam kem latihan. Berita kematian Wei yang diterimanya membuka karya ini dengan imbasan perlahan-lahan Moyan pada sejarah persahabatan mereka.
Moyan memilih untuk hidup membujang dan tidak mencintai orang lain, mungkin terkesan dengan pengalaman ibunya yang gila - dipaksa berkahwin dengan lelaki yang 30 tahun lebih tua atau kerana dirinya yang merupakan anak angkat, Moyan diakhir cerita berasa dia tidak berlaku adil pada dirinya sendiri.
Moyan juga mungkin memilih tidak mahu berkahwin kerana terkesan dengan pesanan Professor Shan yang menasihatinya menjauhi cinta. Antara lain Professor Shan selalu memberitahu Moyan tanpa cinta, seseorang itu akan sentiasa bebas. Namun pesanan dan kematian Wei menimbulkan rasa tidak adil pada dirinya sendiri dan langsung membuat pembaca jatuh simpati.
Kesedihan dan simpati jatuh pada watak Moyan hilang begitu saja waktu membaca cerpen ketiga dalam antologi ini, Prison. Ia lebih beremosi dan tampil sebagai cerpen yang mewakili generasi baru China yang berhijrah ke Amerika.
Pasangan suami isteri Yilan dan Luo kembali ke China untuk mencari ibu tumpang selepas anak mereka mati dalam kemalangan jalan raya. Mereka bertemu Fusang yang bersetuju untuk mengambil upah sebagai ibu tumpang. Latar belakang Fusang yang hitam juga menyebabkan dia memahami hati Yilan. Untuk rekod, satu ketika dulu program ibu tumpang memang popular dan dibenarkan di China sebelum ia diharamkan bermula pada 2001.
Bagaimanapun dalam proses itu,jauh dari sangkaan, watak wanita dalam Prison akhirnya menjalin hubungan emosi yang cukup mendalam dengan perempuan yang diupahnya sebagai ibu tumpang.
Li dalam satu temuramah akhbar dua tahun lalu menjelaskan, Prison ditulis selepas dia diberitahu mengenai kisah seorang ibu yang memiliki sepasang anak kembar yang dilahirkan oleh ibu tumpang di China.
Sesuatu yang menarik tentang pengarang ini, tidak seperti penulis keturunan China lain yang memerlukan penterjemah, Li memiliki penguasaan bahasa Inggeris yang baik. Sebagai generasi muda yang berhijrah ke Amerika pada usia pertengahan 20-an, Li dilihat masih kental dengan budaya dan latar budaya negara asalnya. Karyanya tebal dengan watak-wataka dari Tanah Besar di zaman komunisme atau selepas Revolusi Budaya.
Mungkin, bagi mereka yang tidak berminat dengan sejarah atau budaya China, karya Li atau mana-mana penulis Tanah Besar China tidak begitu menarik perhatian. Namun dengan kedudukan mereka sebagai pengarang yang semakin diiktiraf dunia, membaca karya-karya penulis China sebenarnya membawa kepada dimensi baru pengetahuan.
* Ada sembilan cerpen, tapi dua ini yang menarik perhatian saya. Mungkin untuk anda, cerpen lain seperti Gold Boy and Emerald Girl yang menjadi tajuk antologi ini lebih menarik.