Monday, August 5, 2013

Budaya Panjut

Di Semenanjung Malaysia ia disebut sebagai panjut, di Sarawak ia dikenal sebagai bertuntung tetapi ia tetap merujuk benda yang sama, pelita kecil yang menghias malam 27 Ramadan atau malam tujuh likur.

Meskipun ada yang menganggapnya sebagai amalan bidaah, namun bagi Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim Perak, Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin panjut atau pelita kecil yang dipasang pada malam 27 Ramadan dari sudut budayanya, bukan sekadar untuk meraikan kedatangan Syawal tetapi mempunyai sejarah tersendiri dalam perkembangan sosial masyarakat Melayu.


 “Hari ini kita mengenal pelita panjut yang moden dan mudah dinyalakan tetapi asalnya dulu ia diperbuat daripada buluh. Sumbunya besar dan apinya marak menerang malam. Dulu, sumbunya itu daripada tali guni yang dimasukkan pada penutup tin susu yang sudah dipotong dan diletakkan pada buluh, dikemaskan dengan tanah liat untuk memastikan ia tidak longgar. Biasanya buluh minyak dipilih kerana ia lebih lembut,”katanya.


 Tambah Dr Mohd Rosli, sebelum penggunaan panjut, orang Melayu dahulu kala menggunakan suluh dunia atau suluh daun nyiur yang diperbuat daripada pelepah daun kelapa yang kering. 


 “Ia juga disebut andang atau jamung. Zaman dulu tiada minyak tanah tiada gas, jadi andang ini dinyalakan dengan damar yang diperoleh daripada kayu meranti, cengal atau keruing. Jamung luas diamalkan oleh orang Melayu,”
 

 Malah dalam teks Sejarah Melayu, Bendahara Melaka Tun Perak menggerakkan strategi menentang cubaan Siam menawan Melaka dengan mengarahkan tenteranya mengikat jamung pada batang pokok di sepanjang pantai Melaka. Tentera Siam yang datang pada malam hari terkejut melihat banyaknya jamung yang menyala menanti mereka di pantai menyebabkan mereka berpatah balik ke Siam kerana menyangkakan seramai itu juga tentera yang menunggu.

 “Selain panjut, orang Melayu dahulu juga menggunakan tempurung yang disusun bertingkat dan teratur dengan ditengahnya ditebuk lubang bagi mudah menyusunnya pada sebatang tiang besi. Pada malam hari, ia dibakar dan apinya marak cantik menghias malam. Sayang sekali hari ini  budaya memasang pelita panjut pada malam 27 Ramadan semakin terhakis kerana ia dicemari dengan fitnah dan pandangan peribadi yang tidak benar. Budaya ini ditokok tambah dan diberi justifikasi yang salah,”
 

 Tambah Dr Mohd Rosli, sesetengah orang menuduh adat memasang pelita pada malam tujuh likur adalah ikutan dari amalan agama Hindu.
 

 “Cetek sungguh pandangan begitu kerana beranggapan cahaya dan pelita adalah amalan agama tertentu sedangkan orang Melayu pun menggunakan pelita dengan meluas kerana zaman dahulu mana ada elektrik. 

Pelita panjut buluh
digumpal selebar kuku
jika dibentang selebar alam
walau sebesar biji labu
langit dan bumi ada di dalam. 

Kita janganlah melihat pada yang tersurat saja, tapi kita harus lihat juga apa yang tersirat,”katanya.
 

 Tambahnya pandangan sebegini menyebabkan budaya Melayu semakin terhakis. Asalnya budaya memasang pelita panjut ini dibuat oleh ketua kampung, penghulu atau orang kuat penghulu. Ia sebagai isyarat pada penduduk kampung menjelangnya Syawal juga Ramadan.

 “Pada waktu itu, memasang panjut adalah kaedah komunikasi paling berkesan. Orang dulu pun  tidak tengok kalendar, bukan ada siaran berita atau laman sosial macam sekarang. Ketua kampung dahulu kala, zaman sebelum penjajahan mempunyai peranan yang penting. Semua sumber dari istana diberitahu kepada penghulu dan mereka yang akan menyampaikannya kepada orang kampung, pelita panjut adalah pemberitahuan tarikh permulaan puasa dan hari raya,”katanya.


 Apabila tarikh bermulanya Ramadan diketahui, pelita panjut juga dipasang. Perbezaannya kalau pada malam tujuh likur, tiga baris panjut dipasang kalau malam raya tujuh baris.


 Tambahnya penggunaan pelita panjut adalah isyarat komunikasi yang paling mudah yang bukan saja dibuat pada Aidilfitri tetapi juga Aidiladha. Memasang pelita panjut ini juga adalah cara permuafakatan yang akan mengeratkan lagi hubungan ahli keluarga atau sesama orang kampung.


 Pelita panjut meskipun tidak begitu popular di seluruh Malaysia tetapi di Perak dan Sarawak, pelita panjut menjadi sebahagian daripada budaya setempat bukan sahaja di Aidilfitri. Di Perak misalnya, panjut juga dipasang bagi meraikan perkahwinan diraja atau majlis ulang tahun sultan sementara di Sarawak Festival Bertuntung dimasukkan dalam kalendar kebudayaan negeri.


 “Semuanya terpulang pada kita, apa niat kita. Adakah untuk memeriahkan suasana Syawal yang berkunjung atau sebaliknya. Tidaklah kerana kita memasang panjut sampai melupakan ibadat dan melanggar syariat. Memasang panjut ini budaya Melayu. Miskinlah budaya kita kalau semua budaya itu dibuang, sangat merugikan. 


Sebelum mengajar banyaklah belajar
sebelum memberi contoh bersifatlah senonoh
sebelum memberi teladan betulkanlah badan
sebelum menasihati orang nasihatlah diri sendiri
 

4 comments:

imlan adabi said...

Tulisan ini mendorong perasaan rindu pada zaman yang sudah lama berangkat pergi

Hafizah Iszahanid said...


Abang Imlan, banyak isu budaya sekarang dilihat tidak relevan oleh sesetengah orang.

Terima kasih untuk Datuk Dr Rosli yang selalu ada jawapan untuk persoalan budaya.

School Of Tots said...

Cerita Pelita Panjut
Benci Tapi Rindu
Usia Sudah Lanjut
Kenangan Indah Syahdu

Hafizah Iszahanid said...


heheheh - utk pantun itu

Apa ada dengan Aku Anjing ?

Aku Anjing mungkin tajuk yang mengejutkan untuk sebuah kumpulan cerpen. Namun bagi pengarang, Saifullizan Yahaya, Aku Anjing dipil...