Wednesday, October 23, 2013

Lelaki Januari - Bab 4




Bab 4






Berbulan selepas nikah, kami pulang bercuti di Kuala Lumpur yang  menyambut dengan gerimis senja.

 Sejak dari Heathrow lagi aku dan Ali Syukri terperangkap dalam perang dingin. Pertengkaran kami bertali temali.

  Mulanya aku marah dan cemburu tentunya apabila Ali Syukri kerap menghabiskan hujung minggu bersantai dengan kawan-kawan fakultinya dan meninggalkan aku sendirian di rumah.

  Alasannya, dia perlu study group dan aku perlu memahami itu, ‘ aku bukan hanya suami Laila, aku juga pelajar’.

   Aku cuba memahami, cuba memaafkan. Benar, kami bukan hanya ke sini sebagai suami isteri tetapi sebagai pelajar juga.

   Namun, dua hari lalu kami bertengkar lagi. Dan bahana pertengkaran itu  memang terbawa-bawa hingga ke kaki menjejak bumi Malaysia.  Aku ingat masih, dua malam lalu, entah bagaimana rahsia yang disimpan kemas diketahui Ali Syukri.

   Waktu aku sedang leka menonton televisyen, Ali Syukri tiba-tiba menghulurkan dua keping pil berwarna-warni dari belakang. Aku tidak menyambut, hanya memandang. Tergamam.

   Waktu itu aku terasa dahiku berpeluh.  Aku memandang Ali Syukri dan itulah pertama kali sejak perkahwinan kami, aku melihat wajah Ali Syukri yang penuh dengan amarah.

  Aku melihat mata Ali Syukri yang besar dan wajahnya yang seakan berwarna merah menyinga.

  “Ini apa Delaila?,” suara Ali Syukri keras tetapi masih terkawal. Dia memandang tepat ke dua anak mata, seolah-olah sedang menjerut seluruh rasa yang ada dalam diri ku. Lalu, aku terasa kaku dan bisu.

  Dan sungguh waktu itu aku tiada alasan. Aku tidak jumpa walau sepatah pun perkataan. Otak ligat memikirkan seribu satu jawapan tapi tidak ada satu pun yang terlintas. Sebaliknya seluruh tubuh tiba-tiba gementar.

   Sebagai wanita moden lepas bebas, aku berhak menentukan bila  mahu hamil. Dan itu yang aku tanamkan dalam diri setiap kali  menelan pil perancang keluarga setiap pagi.

   Aku tidak mahu hamil. Aku mahu bebas dari tanggungjawab beranak. Itu yang aku mahu waktu ini dan sekurang-kurangnya 10 tahun lagi.

  Aku mahu mengecap nikmat  lepas bebas sebagai pelajar dan membina kerjaya. Aku mahu kembara ke seluruh dunia. Aku mahu mencatat sejarah peribadi. Dan sudah banyak kali hal itu dibincangkan dengan Ali Syukri dan setiap kali juga Ali Syukri menolak.

  Untukku, bukan selama-lamanya aku tidak mahu hamil. Cuma, masa itu bukan sekarang. Bukan dalam usia 20 tahun ini.  Aku tidak mahu kehamilan dan tanggungjawab pada anak membataskan pengajian. Lalu langsung membataskan peluang kerjaya nanti.

   Aku tidak mahu hanya duduk di rumah seperti anak jiran di hadapan rumah di kampung, Kak Nana yang berkahwin pada usia 20 tahun beranak hampir setiap tahun.

  Atau aku tidak mahu menjadi seperti ibu saudara, Chek Zaza yang berkahwin ketika tahun dua pengajian. Berjaya menamatkan pengajian tetapi tidak bekerjaya. Terperuk di dapur dan menguruskan urusan rumahtangga yang tidak pernah berakhir. Dengan empat anak, payah sekali Chek Zaza hendak menjadi wanita korporat.

   Aku ingat semua itu. Aku tidak mahu semua itu. Mengenang kawan sepengajian, Cindy Chew yang gagal pengajian  sesudah setahun berkahwin kerana hamil dan kerap pula cuti sakit kerana anak yang kerap demam dan sakit.

  Aku tidak mahu semua itu. Aku tidak mahu anak menyebabkan pengajian dan kemudiannya kerjayanya tersekat.

   “Patutlah tidak hamil-hamil lagi, asyik telan ubat. Kalau macam tu baik jangan kahwin!,’ Suara Ali Syukri keras.

    Dua keping pil yang sesetengahnya sudah dimakan dicampak ke mukaku. Hujung kepingan ubat yang tajam singgah di pipiku, membuatnya tercalar dan pedih. Tangan cepat menekap muka. Rasa pedih menjalar. Ali Syukri tahu, tapi dia tiada belas! Hatiku panas.

  “Kita baru kahwin Syuk. Kita masih muda. Tunggulah selesai pengajian atau sekurang-kurangnya di tahun akhir. Saya baru di tahun pertama,” aku cuba berhujah. Hujah yang sama dan terlalu kerap ku utarakan setiap kali isu yang satu ini timbul.

  Dan seperti biasa, Ali Syukri tidak mahu menerimanya. Dia berlalu begitu saja.  Hatiku panas. Mendidih. Dan itulah mulanya.

   Dia tidak pernah mahu memahami. Sebaliknya dia hanya mahu aku turut, angguk dan setuju untuk setiap kata-katanya.

   Ali Syukri, aku tidak mampu dan tidak sedia untuk itu!

  “Kalau tak mahu kahwin cerai!,” suara aku kuat. Sengaja dikuatkan.

  “Senangnya nak cerai. Oh, itulah yang hendak sangat sampai tak nak anak?,” Langkah Ali Syukri terhenti. Dia berpusing ke belakang. Menghadapku. Bersiap untuk berperang kata. Hati aku kecut sebenarnya, tapi dikuat-kuatkan juga.

  “Awak yang nak, saya tak nak,”

   “Kahwin mesti hendak anak. Apa guna kahwin tak nak anak? Baik bujang sampai tua,”

  “Saya tak mahu anak. Tunggu lagi 10 tahun saya hendak habiskan pengajian, saya mahu kerja, saya sudah beritahu lama dulu ..,”

  “Sepuluh tahun lagi umur pun dah nak masuk 30. Tak payah, waktu itu orang nak timang cucu dah awak baru nak kelek anak. Kerja sampai tua pun tak habis.. anak itulah aset kita dunia akhirat,”

   “Awak nak sangat  anak awaklah beranak,”

   “Kalau saya boleh beranak, saya tak payah kahwin dengan awak!,”

   “Ha pergilah kawin dengan jururawat yang banyak kat hospital awak tu. Pilih siapa awak nak.. kahwinlah saya tak hairan..,”

  Ali Syukri menarik nafas panjang. Dia berdiri menghadap ku. Matanya merenung dalam.

   “Laila, cakap guna akal dan rasional. Saya tidak kisah kalau awak sakit dan tidak mampu untuk beranak. Tapi bukan dengan menafikan hak saya menjadi bapa dengan mengambil pil. Awak tidak pernah berbincang apa-apa dengan saya dalam hal ini. Apa yang awak mahu dalam perkahwinan ini Laila? Tanya diri awak  dan kemudian beritahu saya. Kalau kita tidak sehaluan, saya tidak mahu terus memaksa awak kekal bersama saya hingga ke akhir hayat,”

   Aku diam. Ali Syukri membuatkan amarah dalam dada makin menyala-nyala. Diamnya aku membuat Ali Syukri perlahan-lahan mengambil kunci kereta yang digantung pada dinding belakang pintu. Dan perlahan-lahan dia keluar dari rumah tanpa menoleh kepadaku walau sedikit pun.

 Dan malam itu, aku tidur sendiri dengan air mata. Aku tidak tahu jam berapa Ali Syukri pulang. Cuma waktu dia terjaga jam 6 pagi, aku melihat Ali Syukri di tepi bucu katil sedang solat subuh. Dan waktu itulah aku masuk ke dalam bilik air dan mandi dengan baju tidur sekali.

  “Duduk la lama-lama dalam bilik air.. lepas tu terlepas flight” Ali Syukri menjerit dari dalam bilik. Aku pejam mata rapat. Hati merusuh.

  Kami perlu pulang ke Malaysia. Adik bongsu emak Ali Syukri, Mak Cu Athirah bakal berkahwin. Dan Ali Syukri sudah menempah tiket penerbangan pulang sejak tiga bulan lalu.

  Kalau boleh aku tidak mahu pulang. Namun, aku tidak ada alasan berbuat demikian. Rasanya, kalau tidak boleh akan menimbulkan lebih banyak konflik.

   Dan sepanjang penerbangan hinggalah tiba di Kuala Lumpur, ruang antara kami sunyi dan sepi. Bercakap hanya sepatah dan menjawab hanya emm dan aahh..

   Aku ingat emak mentua tersenyum dengan penuh rindu sebaik sahaja melihatnya di balai ketibaan. Di hadapan keluarga mentua dan keluargaku juga, aku dan Ali Syukri tanpa persetujuan, tiba-tiba menjadi pasangan yang romantis.

  Duduk kami rapat-rapat, cakapnya berbisik dan kelihatan penuh kasih. Waktu itu walau ada amarah dalam hati yang menyala, aku pendamkan saja. Aku tidak mahu memanjangkan pertelingkahan kami. Aku tidak mahu ada sesiapa yang upaya menduga ada gelisah dalam dada.

   Ada dua hari berbaki sementara Mak Cu Athirah melangsungkan perkahwinan. Dan emak mentua dengan cukup sporting menghalang aku dan Ali Syukri membantu sebarang proses persiapan majlis. Katanya semua sudah diuruskan perancang perkahwinan, jadi kami boleh duduk goyang kaki sementara menunggu tarikh nikah.

   “Emak sudah tempahkan  menempah The Smoke Old House, pergilah berehat di sana,”

  Aku ingat mak mentua ku yang baik hati itu tersenyum memandang kami silih berganti.

  “Err…,”

   “Ok mak.. terima kasih,” Ali Syukri cepat memotong dalam ayatku yang teragak-agak.

    Dan hari ini, kami di sini, menuju ke rumah penginapan ala Inggeris  sentuhan zaman Tudor.

   Ada lori tangki Petronas di hadapan. Justeru pendakian bermula simpang Tapah menuju ke Cameron Highland menjadi sangat perlahan. Kereta berderetan di belakang. Aku dapat melihatnya dari cermin sisi sebelah penumpang.

  Jalan naik ke Cameron Highland ini kecil, berliku-liku dan sempit. Sesekali, pada ruang yang terbatas, Ali Syukri perlu memperlahankan kereta, memberi laluan kereta lain di laluan bersebelahan untuk meneruskan perjalanan ke Tapah.

   Aku sudah bosan. Bosan dalam perjalanan mendaki yang perlahan. Bosan dengan perjalanan kenderaan yang sebenarnya sangat perlahan berbanding dengan berjalan kaki. Bosan dengan deretan kereta yang panjang di hadapan dan di belakang. Bosan kerana dipaksa untuk ke Tanah Tinggi Cameron oleh Ali Syukri. Bosan dengan Ali Syukri!  Hati marah-marah sejak tadi.

  Aku tidak sakit pun secara fizikalnya. Tiada luka, tiada darah, tidak demam tidak cirit-birit tidak apa-apa pun ada sakitnya. Namun  aneh aku merasa  sakit bahana pertengkaran dengan Ali Syukri.

   Bukan pertengkaran, tetapi perselisihan faham, percanggahan idea yang menyaksikan kepala sangat berat  pagi ini lalu aku tidak upaya pun mengerah diri bangun dari katil.

  Sejak semalam, sejak Ali Syukri bersetuju untuk ke Cameron Highland, sejak itulah jiwaku jadi kacau. Aku seakan tidak berupaya untuk bangun tidur pun.

   Pagi tadi, hanya sesudah hampir 40 minit mencuba untuk bangun dari katil barulah aku berjaya. Hanya setelah 40 minit mencuba, aku  upaya memaksa diri masuk ke kamar mandi dan membasahkan seluruh tubuh yang masih berbaju tidur dengan air pancuran.

  “Ni kenapa ni? Dah tak sempat nak buka baju nak mandi sangat? Memang tabiat!,”

   Aku masih duduk dengan kedua-dua lutut dipeluk. Separuh badan disandarkan di dinding. Air pancuran yang tadi ganas menyiram tubuh sudah terhenti. Dihentikan Ali Syukri yang tiba-tiba masuk menceroboh ke bilik air dan menutup air pancuran. Wajahnya masam mencuka.

  Waktu Ali Syukri berlalu,  aku terlihat tempias air pancuran sudah membasahi pelapik kaki di hadapan pintu kamar mandi. Oh, mungkin.. mungkin kerana itu Ali Syukri pantas menceroboh kamar mandi, menutup pancuran air yang laju, menyedarkan aku yang terkaku.

  “Kita pergi Cameron sekarang..,” suara Ali Syukri masuk ke telinga, masuk ke dada, masuk ke jantung rasa.

   Itu bukan pelawaan. Itu arahan. Dan itulah permulaan perjalanan kembara pendek dari Kuala Lumpur ke Tanah Tinggi Cameron jam 10 pagi.   Pagi penuh barakah, pagi dengan angin dari hutan simpan yang membelai-belai wajah. Pagi yang untukku sangat menghiris diri sendiri.

  Kereta Honda putih yang Ali Syukri pandu masih setia di belakang lori tangki Petronas.  Ali Syukri sudah mematikan pendingin hawa sejak tadi. Tingkap kereta terbuka luas. Angin Tanah Tinggi Cameron menyapa rambutku  yang  perang bersulam-sulam hitam menampar-nampar pipi manja.

   Dengan angin sejuk menerpa pipi, dengan kereta mendaki perlahan dan dengan Ali Syukri duduk di kerusi pemandu diam sunyi dan sepi, Aku terfikir apa sebenarnya yang membawa kami sejauh ini? Bukan sejauh ini – KL menuju Cameron – tapi sejauh ini sebagai suami isteri?

   Cintakah yang bersembunyi dalam rahsia dan berdegup laju membuat kami sentiasa ingin berdua? Kasihkah yang mercup dalam jiwa dan berada di tengah-tengah tiap tarikan nafas ? Atau sayangkah yang terbaja, terbela dan tumbuh hijau rimbun dalam sukma?

 Atau hanya terpesona ?

 Dan usia muda – yang sinonim selalu dengan adrenalin pantas, ganas dan mahu sentiasa apa yang dihajat menjadi milik peribadi maka cinta dipaksa tumbuh, kasih dipaksa lahir dan sayang pun dipaksakan hadir?

  Aku tidak tahu. Aku sungguh tidak tahu. Sehingga kini kami sudah bergelar suami isteri selama enam bulan. Dan mampukah kami bertahan untuk enam tahun lagi? Atau 16 tahun atau 60 tahun?

   Entah.. entah.. aku tiada jawabnya.

  Bunyi unggas sepanjang perjalanan dibuai-buai angin sejuk tanah tinggi Cameron menjadi kawan bicara. Ali Syukri sejak tadi jadi dingin dan kaku di kerusi pemandu.

  Dan waktu  lori tangki minyak Petronas memberi laluan Ali Syukri memotong, kereta tiba-tiba laju dan aku seakan tertolak ke hadapan. Hatiku sedikit merusuh. Aku menjeling Ali Syukri, tajam, sengaja.   Ali Syukri tersengih di sisi, tahu aku memandangnya.

  “Maaf,” kata itu meluncur dari bibir Ali Syukri. Namun ia tidak punya magis mententeramkan kecamuk rasa dalam dadaku.

  Matahari sudah terik waktu kami tiba di Tanah Rata. Ali Syukri mencari masjid, mahu menunaikan solat Jumaat sementara aku hanya menunggu dalam kereta.  Waktu diajak Ali Syukri masuk ke masjid, Aku menggeleng perlahan. Kalau bukan Ali Syukri yang mengajak, dia pasti hendak masuk ke sana, membuat solat sunat tahiyatul masjid. Namun kerana Ali Syukri yang mempelawa, hatinya keras menolak.

  “Nak jadi apa tak mahu solat?,” Ali Syukri sempat menyindir.

   Suka hati akulah! Aku membalas – Cuma dalam hati. Sebaik saja Ali Syukri hilang dari pandangan, aku cepat keluar dari kereta dan berjalan laju ke ruang solat wanita. Aku mahu solat dan aku mahu menyelesaikan solat sebelum Ali Syukri kembali semula ke kereta.

   Semoga Allah menerima ibadahku, hatiku berdoa cepat. Langkah pantas ke kereta. Aku belum sampai ke kereta saat menoleh ke belakang dan melihat Ali Syukri ada di situ.

  “Solat?,” wajahnya manis.

   Aku tidak membalas. Mencuka dan sengaja memasamkan muka.

  Kami tiba di The Smokeold House hampir jam 3 petang. Suasana persekitaran yang indah dan tenang cepat mengimbas rumah kecil sewaan kami di Nottingham.

   Setahu aku, hotel butik ini dibuka pada 1937. Dahulu ketika zaman British, pernah aku mendengar cerita hotel ini tempat tentera British bersantai. Namun hanya orang British sajalah yang boleh masuk ke sini. Kalau orang Asia jangan harap!

  Kemudian, ketika Perang Dunia Kedua ia jadi tempat bersantai tentera Jepun pula. Perang tamat, bangunan sejarah ini bertukar tuan dari seorang mat saleh kepada seorang lagi.

   Entah ya entah tidak, aku tidak pasti. Itu semua pengetahuan yang aku ceduk dari buku-buku lama dan artikel akhbar. Semuanya bercampur baur dan sukar dipastikan kebenarannya.

   Aku membontoti Ali Syukri ke meja pendaftaran. Semasa dia sibuk dengan urusan pendaftaran aku capai  risalah di hujung meja.

   Aku baca sekali lalu. Eh, betullah apa yang aku tahu ! Aku sengih sendiri. Ingatanku tidaklah teruk sangat.

  Oh rupanya, hanya pada  1977  hotel butik ini menjadi milik orang Malaysia. Wah, wah.. bangganya aku.

  “Dah jum..,” Ali Syukri memanggil. Aku letakkan risalah tentang hotel butik itu ditempatnya semula.

   Ketika kami baharu saja sampai di bilik, telefon Ali Syukri berbunyi. Aku biarkan saja dia bersembang di talian. Entah siapa-siapalah yang menelefonnya. Aku sibuk berkemas baju dan membersihkan diri.

  Namun, hingga aku selesai berpakaian Ali Syukri masih melekat dengan telefon. Hatiku jadi panas. Sudahlah perut berbunyi, dia sibuk pula dengan telefon! Hati mula menyumpah.

   Ali Syukri memandangku dengan riak cemas. Dia kemudiannya mematikan talian.

   “Wairah bergaduh dengan Saiful. She needs me now,” suara Ali Syukri perlahan saja. Lambat-lambat pula menyusun kata.

    Wairah? Oh, aku teringat gadis bertudung dengan kulit hitam manis dan wajah sukar senyum itu.  Aku kenal Wairah itu, dia antara kawan baik Ali Syukri sejak zaman sekolah hinggalah ke zaman kampus. Bukan rakan sefakulti tetapi kawan baik.

  Mungkin kerana akrabnya mereka, hari pertama sampai ke Notthingham, dialah manusia pertama yang Ali Syukri kenalkan padaku.

   Dan aku sangat mengingati riak wajahnya yang ‘macam bagus’ itu waktu Ali Syukri memperkenalkan aku ini sebagai isterinya yang sah.

    “So, I don’t need you?,”

    Ali Syukri diam. Tidak membalas. Dia kemudiannya membersihkan diri berjanji untuk memandu ke kedai makan berhampiran.

  Tapi sayang, sebaik sahaja kami keluar ke kereta, Wairah sudah ada di situ dengan mata sembam dan sisa tangisan.

  Rupanya, ketika mereka berbual Wairah sudah dalam perjalanan ke Cameron Highland. Rupanya Ali Syukri memberitahu Wairah dia akan ke Cameron Highland hari ini.

   Hatiku jadi rusuh. Ya, aku cemburu. Bukankah saat ini seharusnya diambil oleh Ali Syukri untuk berdamai denganku? Berbaik-baik denganku? Bukan meluangkan masa dengan Wairah?

   Wairah meluru datang ke arah kami dengan esak tangisnya.

   “Saiful curang. Aku tak tahan lagi.. apa aku perlu buat Syuk,” Wairah menangis. Menangis semahunya. Dan Ali Syukri memujuk tenang.

  Tuhan, sabarkan hatiku. Tentu saja aku sangat terusik saat ini. Tuturnya pada Wairah lembut dan sopan saja, memujuk penuh kelembutan. Dengan aku ? Huh!

    “Sabar Wairah… kita duduk bincang cakap baik-baik ya,” suara Ali Syukri lembut saja. Tidak meninggi atau menengking seperti dia bercakap denganku.

    Kemudian, sesi makan malam kami menjadi sesi Wairah meluahkan perasaan. Dan aku hanya jadi tunggal dalam perbualan mereka.

  Sungguh, sebagai isteri hatiku dibakar cemburu!






Thursday, October 17, 2013

Ingatan Ulang Tahun

 


Banyaknya lilin atas kek! 

Semalam ulang tahun kelahiran, terima kasih emak yang melahirkan dan Tuhan yang mengizinkan untuk terus bernafas.

Pencapaian hingga semalam? 

1) Menghabiskan segala kerja tertunda

2) Ditemubual oleh wartawan media arus perdana untuk Anugerah Buku PNM-RTM

3) Diserang asthma.

Selamat Hari Jumaat semua.

Sunday, October 6, 2013

Anugerah Buku PNM-RTM 2013


Satu kemestian acara apabila bertemu kawan-kawan mesti hendak posing :)


Ini anugerah yang tidak saya jangka. Alhamdulillah, murah rezeki Deru Angin.
Novel yang mengambil masa yang cukup lama untuk siap dan sesudah siap saya tidak pernah rasa yakin untuk menghantarnya ke mana-mana.

Bagaimanapun, atas nasihat seorang rakan penulis yang lebih senior, saya hantar juga ke HSKU 2011 dan alhamdulillah, ada rezeki di situ.

Khamis lalu, rezeki Deru Angin sekali lagi. Memenangi kategori fiksyen bahasa Melayu (terbitan swasta) Anugerah Buku PNM-RTM 2013.

Alhamdulillah. Semoga saya terus punya stamina dan masa untuk menulis !

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...