Wednesday, May 13, 2009

Isteri

I

Saya pulang ke kampung halaman semalam. Menziarahi kematian saudara dekat. Kematian yang dijangka tapi tidak terjangka.
Si isteri pergi dulu meninggalkan suami dengan lima anak. Suami tidak mampu bercakap dari saat berita kematian itu pecah hinggalah saat jenazah dikapan.
Hati tersentuh melihat suami yang terdiam tidak mampu berkata hanya mampu mengusap jenazah yang kaku. Melihat isteri yang dicintai berkongsi satu kehidupan akhirnya pergi dulu.

II

Minggu lalu, saya minta izin kawan lama untuk menampal sajak tulisannya di laman blog ini. Awalnya untuk memperingati hari ibu.
Kemudian, sajak ini begitu bermakna selepas peristiwa semalam.
Mungkin ramai yang akan berkata, ah, lelaki kematian isteri mudah mencari ganti. Ramai lelaki bertemu isteri baru waktu masih bernikah dengan isteri lama.
Namun mengenal saudara dekat ini yang kematian isteri semalam, saya tahu dia tidak mungkin mencari pengganti.

Untuk isteri, untuk suami, ini sajak untuk dihayati.


Isteri

tanpa cinta, isteri
adalah taman tanpa pohon
adalah surat tanpa kata
adalah bibir tanpa senyum
adalah lagu tanpa bunyi

tanpa air mata, isteri
adalah sungai tanpa badai
adalah mentari tanpa bayang
adalah malam tanpa kelam
adalah jantung tanpa degup

tanpa isteri, aku
adalah puisi mencari judul
adalah cincin mencari jari
adalah ombak mencari pantai
adalah cermin mencari pantulan

terima kasih, tuhan
kerana rahmat-Mu
yang selembut ini


ROSMAN NORDIN

2 comments:

aranam said...

Saya terharu.

Al-Fatihah.

hafizahiszahanid said...

Aranam,
Ya saya pun terharu. Namun kehidupan
janjinya kematian.

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...