Persoalan apakah yang membentuk identiti dalam sejarah seni halus Malaysia sama ada budaya, bangsa, pengalaman pengkarya atau dasar politik terjawab apabila kita menelaah Menanggap Identiti: Naratif Seni Rupa Malaysia selenggaraan Nur Hanim Khairuddin, Beverly Yong dan TK Sabapathy.
* Imej ini dari laman web penerbitnya, Rogue Art.
Usia sejarah seni tanah air hampir sebaya dengan kemerdekaan negara tetapi tidak banyak buku yang menyorot sejarah dan evolusinya dan proses pengkaryaan serta pengaruh persekitaran dalam penghasilan karya.
Justeru apabila RogueArt melalui dana dan sokongan Inisiatif Warisan dan Seni Khazanah serta Balai Seni Visual Negara (BSVN) muncul dengan empat jilid buku mengenainya, ia menjadi usaha yang dialu-alukan.
Jilid pertama ini menghimpunkan esei yang ditulis 1970-an hingga 1990-an, sekali gus menjadi dokumentasi untuk mendidik masyarakat tentang transisi seni di negara ini, seawal dekad selepas perang sehingga kini.
Bahagian pertamanya mendedahkan penggiat seni halus bersatu secara rasmi pada 1956 apabila Pengawas Pendidikan Seni Lukis, Kementerian Pelajaran, Peter Harris menubuhkan Wednesday Art Group (WAG) yang disertai Cheong Laitong dan Dzulkifli Buyong sebelum Hossein Enas mengasaskan Angkatan Pelukis Semenanjung (1958).
Pada mulanya, seni halus Malaysia memperlihatkan pengaruh gaya kaligrafi Cina seperti yang dikupas Emelia Ong menerusi artikel mengenai pelukis Nanyang yang berhijrah dari China ke negara ini, sekali gus terperangkap dalam era perubahan dan tersepit antara prinsip tradisi dengan idea modenisme.
Mereka terpaksa mempertimbangkan dua kerangka persepsi dan representasi seni yang saling bertentangan - antara lukisan dakwat dari tradisi China dengan gaya kesenian dari tradisi Barat.
Selain pengaruh China, seni halus tanah air turut menyaksikan sentuhan seni Indonesia seperti catan Hossein Enas, manakala catan Latiff Mohidin pula mendapat pengaruh Eropah.
Kepelbagaian teknik dan aliran dalam seni halus mula ketara menjelang dekad 1960-an yang dianggap tempoh terpenting dalam perkembangan seni lukis moden Malaysia kerana pelukis mula memperluaskan pandangan dan sedar tentang perkembangan dunia seni antarabangsa.
Namun, bahagian kedua buku ini lebih menarik apabila persoalan jati diri kebangsaan dihujahkan dalam konteks seni rupa apabila kewujudan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) pada 1971 memberi ruang besar kepada pelukis Melayu melihat kembali warisan kebudayaan mereka.
Bagaimanapun, pelukis bukan Melayu tidak begitu menyenanginya kerana menganggap ia meminggir budaya dan identiti kaum sehingga timbul kritikan yang mempersoalkan rangka sosio-budaya yang dibentuk kerajaan ini.
Isu itu amat menarik untuk diteroka kerana ia semakin genting menjelang 1980-an, manakala sekitar 1990-an dan alaf baru pula, pelukis Malaysia bercampur baur dalam persoalan identiti dalam karya, impak kemunculan budaya global.
Dalam konteks budaya, Siti Zainon Ismail dan Rahimidin Zahari mengupas dengan baik menerusi esei mereka, iaitu Menulis dan Melukis dalam Kesenian Tradisional Melayu: Impaknya dalam Seni Rupa Kontemporari dan Kajian Nilai Budaya dan Cerita Rakyat Melayu dalam Seni Lukis Malaysia.
Kesan DKK juga memperlihatkan kemunculan seni halus bernuansa Islam seperti yang diketengahkan oleh Sulaiman Esa dan dibincangkan oleh Syed Ahmad Jamal menerusi esei Seni Rupa Islam.
Seni Arca pula dikupas dalam dua esei oleh TK Sabapathy dan Tengku Sabri yang menyorot seni yang sedikit tenggelam berbanding catan tetapi pengkarya seperti Bayu Utomo Radjikin dan Raja Shariman memaut perasaan dalam cara tersendiri: ‘Gagah dan tampil maskulin.’
* Menanggap Identiti adalah versi Bahasa Melayu untuk buku yang sama berjudul Narratives in Malaysian Art.
Mesti semua sudah menonton iklan ini di TV kan ? Terharu tak ? Aidilfitri itu sebenarnya lebih bermakna apabila kita dapat membahagiakan orang lain.
Lewat tahun 2008, saya pernah menulis sebuah cerpen berkenaan Aidilfitri dengan konsep yang hampir sama. Cerpen ini sudah tersiar pada 4 Oktober 2008 ( kalau tidak silap.. hehe.. dah lama.. tapi boleh semak di senarai karya di media 2008 di sebelah kiri itu). Selamat membaca :)
Ribut Salji di Tashkent ~ Hafizah Iszahanid
"RAYA ni saya balik. Ya... saya balik... mak tunggu. Lagi empat hari... ya… mak... mak… isshhh!”
Sayup-sayup Ann mendengar suara emak menjawab ya. Tapi, Ann hanya mendengar emak menyebut ya berkali-kali dan selebihnya, Ann tidak mendengar apa-apa lagi. Talian jadi sangat bising tiba-tiba dan akhirnya terputus.
Ann mendongak ke langit. Ada helikopter palang merah antarabangsa merentasi awan, mengganggu transmisi. Telefon satelit Ann genggam kuat, hati marah benar. Sukarnya untuk berhubung pada waktu-waktu begini.
Ann mengatur langkah masuk ke bangunan tiga tingkat di tengah Tashkent. Bangunan ini menjadi ibu pejabat Pertubuhan Islam Antarabangsa. Tingkat satu menjadi lokasi memberi bantuan perubatan dan makanan, tingkat dua menjadi gudang menyimpan stok makanan dan ubat-ubatan dan tingkat tiga menampung lebih 20 sukarelawan.
Bilik Ann di tingkat tiga paling kanan. Di tepinya ada pokok tua yang agam. Pokoknya sudah kehilangan daun dan dibalut putih salji yang tebal.
Ya, salji tebal sejak semalam. Musim dingin ini baru bermula. Namun, sudah dua kali Ann tidak dapat lena kerana ribut salji. Kalau dibanding taufan Ike atau Katrina, ribut salji yang ini bukanlah apa-apa. Sekurang-kurangnya, pihak kaji cuaca belum mengisytiharkan darurat.
Namun, Ann terganggu benar dengan bunyi angin yang kuat. Ann terasa seluruh Tashkent ini seakan runtuh, seperti mana ia sudah pun runtuh selama dalam cengkaman Kesatuan Soviet.
Hari sudah cerah, sudah jam 7 pagi dan Ann masih belum bersahur. Sejak ribut salji melanda jam tiga pagi tadi, sejak Ann tersentak daripada mimpi jam tiga pagi tadi, Ann tidak boleh menyambung tidur hingga kini.
Anehnya Ann juga tidak berselera makan. Sisa sup berbuka tadi sudah dipanaskan dan roti sudah dipotong-potong kecil. Tapi Ann hanya memandang, selera tidak bangkit. Sebaliknya, ingatan menjurus-jurus pada sambal ikan bilis bercampur tempe dan acar buah yang kerap emak hidangkan waktu bersahur.
Ingatan itu rupanya membunuh selera Ann!
Kelmarin juga Ann tidak bersahur. Hanya minum segelas susu. Perut seakan masih sendat dengan makanan tradisional Uzbekistan pilav, nasi dengan daging goreng, lobak merah dan bawang merah bercampur kismis dan kacang pea yang Ann nikmati waktu berbuka puasa.
“Teruja hendak balik kampung, sampai tak nak makan,” Dr Landau, sukarelawan dari Perancis selalu mengusik. Ann sengih. Bukan dia sengaja, tetapi sungguh dia tidak berselera untuk makan.
Setiap kali mengingatkan 1 Syawal yang bakal dirai di kampung halaman, dadanya bergetar kuat menahan keterujaan. Setiap kali memandang beg pakaian yang sudah siap dikemaskan, dadanya berdebar hebat dan setiap kali mencium-cium tiket penerbangan yang akan membawanya pulang, jantungnya seakan berhenti berdegup. Gembira, dia terlalu gembira.
Malah sejak seminggu lalu, Ann bukan saja sudah mengemas pakaian yang akan dibawa pulang, tapi sudah juga mengemas gambar-gambar yang akan ditunjukkan pada saudara mara. Untuk emak, Ann sudah bungkuskan selendang panjang tenunan Uzbekistan yang cantik.
Pada perbualan minggu lalu dengan emak Ann sudah berpesan, lemang dan rendang kita bakar sama-sama malam sebelum raya. Ann mahu sama-sama menebang buluh, membersihkannya, mengukur kelapa, memerah santan, memasukkan pulut dalam buluh dan membakarnya. Ann juga ingin mengait daun kelapa, mahu menjalinkannya menjadi sarung ketupat yang cantik beranyam.
Ann tersengih sendiri. Waktu ini terasa hanya jasad saja berada di bumi Uzbekistan yang muram Ramadannya dan gersang Aidilfitrinya. Seluruh jiwa seakan sudah lama terbang menyeberang laut, kembali dalam dakapan emak.
Di luar, ada perbualan dalam bahasa Turki dan Inggeris, yang diselang seli gelak ketawa singgah di telinga. Ada bunyi ngauman enjin juga kuat memecah pagi Ann bangun meninjau.
Dari jendela Ann lihat ada sukarelawan yang memandu jentera penyodok salji, membuka jalan yang tersekat. Ada sukarelawan yang mengalihkan ranting dan dahan pokok yang bersepah kawasan persekitaran. Ann menyentap baju panas dalam almari dan turun menyertai mereka.
Tashkent selepas bebas daripada Kesatuan Soviet bukanlah seindah dijangka. Walaupun sudah merdeka, kerana terlalu lama dicengkam komunisme, menjadikan bukan saja Tashkent, tetapi seluruh Uzbekistan ini jauh daripada penghayatan dan kefahaman tentang Islam.
“Kamu ini aneh, orang mahu kerja pejabat hawa dingin dan gaji ribuan ringgit, kamu hendak jadi sukarelawan,”
Ya, waktu kawan-kawan sekursus memilih menjadi ahli ekonomi atau berkhidmat di bank-bank perdagangan sebaik tamat pengajian, Ann memilih ke Tashkent. Seluruh keluarga menjerit membantah, malah kekasih hati yang berjanji sehidup semati juga meninggalkan Ann kerana Ann mahu ke Tashkent.
Namun, waktu orang lain tidak pun memberi sokongan, emak mewajarkan pilihan Ann menyumbang bakti di Uzbekistan.
“Siapa lagi yang mahu memulihkan jati diri saudara seagama kalau bukan kita sendiri? Mahu terus Uzbekistan hanyut? Sudah lama dicengkam Soviet, sekarang sudah merdeka, apa salah kita tolong? Tak banyak, sikit pun, sekadar ajar anak-anak mereka mengenal huruf alif, ba dan ta, dan mengakui Tuhan itu satu pun, sudah bermakna,”
“Tapi emak, Ann itu perempuan. Ha, kau hendak pergi berapa tahun? Sanggup kautinggalkan emak sendiri? Nanti sanggup kau hendak berhari raya dengan orang Uzbekistan. Menangislah seorang diri. Elok-elok duduk di Malaysia, hendak pergi negara lepas perang,” abang tidak penat melemahkan semangat.
Ann masih ingat renungan mata emak tepat dalam mata bundar abang. Merenung mata itu, Ann dapat menyingkap seluruh amarah yang emak simpan.
“Emak boleh membesarkan kamu semua sendirian selepas ayah kamu meninggal waktu Ann dalam pantang. Emak masih boleh hidup tenang dan kuat. Adakah kamu fikir Ann tidak mewarisi kekuatan emak? Lagi pun, Aidilfitri itu akan lebih bermakna, jika kita bijak memaknakannya, tidak kira kita di mana,”
Abang dan kakak terdiam. Abang ipar dan kakak ipar tergamam. Walau mereka mengomel di belakang, Ann berangkat juga ke Tashkent, dua bulan selepas itu atas restu emak.
Dan, jangkaan emak benar-benar menyambut Ann di Tashkent. Jangkaan tentang Islam yang suram di Uzbekistan. Jangkaan tentang Islam yang kurang penghayatannya di negara Asia Tengah itu.
Sejak kecil, emak sangat terpesona dengan kisah Laluan Sutera yang merentas Uzbekistan di Tashkent, Bukhara dan Samarkand. Kata emak, kegemilangan Islam di Uzbekistan dulu, dalam kelas tersendiri. Di situ, lahirnya dua tokoh Islam masyhur, al-Khawarizmi dan Abu Rayan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni.
Namun, semua kegemilangan Uzbekistan itu terpadam sebaik dicengkam kuat Kesatuan Soviet. Masyarakat mengenal al- Khawarizmi dan al-Biruni tanpa mengenal Uzbekistan. Ann seakan-akan terdengar emak bercerita. Emak, seorang guru sejarah tingkatan enam di sekolah berhampiran rumah.
Lalu, ketika Ann melahirkan hasrat menyertai Pertubuhan Islam Antarabangsa sebagai sukarelawan di Tashkent, Uzbekistan, emak mewajarkan walau hampir seluruh keluarga membangkang. Kata emak, walau tubuhnya tidak sampai ke Tashkent, jiwa emak sudah ada di sana melalui kamu, kamu Ann.
Lalu Ann tahu, pemergian ke Tashkent sebenarnya bukan saja membawa dirinya sendiri dan amanat seluruh umat Islam yang mahu melihat Uzbekistan bangun dan menghidupkan kembali kegemilangan lalunya, tetapi jua membawa hasrat dan jiwa emak yang terlalu lama berahi pada sejarah kehebatan Uzbekistan.
Sejarah Asia Tengah di bawah Kesatuan Soviet adalah sejarah penuh eksploitasi, kerap emak mengulang-ulang ayat itu. Malah seingat Ann, emak pernah bercerita, Stalin yang takut dengan kuasa minoriti di Kesatuan Soviet menghimpunkan pelbagai etnik di Uzbekistan untuk melemahkan dan menekan populasi asal. Stalin juga mahu Uzbekistan bergantung secara ekonominya dengan Russia.
Ann menghirup udara Tashkent sebaik saja Uzbekistan bebas daripada Kesatuan Soviet. Awalnya, Ann tidak tahu apa-apa tentang Uzbekistan. Ann hanya tahu tentang Uzbekistan daripada kisah-kisah yang emak khabarkan dan serba sedikit pembacaan. Justeru, Ann kurang bijak meneka percaturan politik di Uzbekistan. Seingat Ann, dia ada menulis surat kepada emak tiga bulan selepas sampai di Tashkent.
Mak,
Saya tidak faham percaturan politik di sini. Waktu kita berlumba-lumba datang menabur bakti di negaranya, mereka berlumba-lumba pula menjadi hero.
Selepas bebas daripada Kesatuan Soviet, Uzbekistan menggubal perundangan baru, tetapi mengharamkan parti pembangkang utamanya, Birlik. Bebas daripada kesatuan Soviet juga tidak bermakna mereka bersatu hati, sebaliknya semakin banyak pula siri keganasan pada kumpulan yang dituduh pelampau Islam.
Mungkin 70 tahun dicengkam komunisme, mereka gagal membezakan antara agama dan budaya. Jadi, semua penganut Islam yang mahu kembali pada amalan agama, bertudung, menyimpan jambang dan berjubah itu dianggap pelampau agama.
Tapi surat itu tidak emak balas, entah mengapa.
Salji tebal di hadapan bangunan sudah habis disodok. Beberapa sukarelawan bersiap dengan pikap, bersedia untuk masuk ke kampung-kampung kecil di utara Tashkent. Malam ini mereka mahu berkampung di sana, berbuka puasa dengan penduduknya dan bersolat tarawih. Ann juga akan mengikut.
Tiga tahun di Tashkent, sudah tiga Aidilfitri Ann raikan di sini. Aidilfitri yang gersang dan suram. Cukuplah, tahun ini, Ann akan pulang. Ann tidak rela meraikan Aidilfitri tanpa perasaan. Perasaan kasih dan sayang sesama insan. Ann akan pulang empat hari lagi sebenarnya. Aidilfitri bakal menjelang 1 Oktober nanti, Ann akan pulang 29 September nanti.
Tidak sabar rasanya mahu menikmati lemang dan rendang. Tidak sabar rasanya mencium tangan emak. Terbayang-bayang Kuala Lumpur, terasa-rasa hentakan punggung di kerusi pesawat waktu kapal terbang mendarat. Ann tersengih pada setiap ingatan-ingatan itu. Oh... Tashkent... aku tidak rindu padamu Aidilfitri nanti, Ann tersengih sendiri.
Di sini, Aidilfitri dan Ramadan seakan tiada maknanya. Pada mereka, ia hanya sahur, berbuka puasa dan solat sunat Aidilfitri. Tiada kunjung mengunjung tiada maaf bermaafan. Semuanya kering dan kontang. Tiada rasa dan waktu-waktu begitu, tiba-tiba Ann jadi terlalu nostalgia dan melankolik pula, teringat beratur panjang, menanti giliran mencium tangan emak di pagi Aidilfitri.
Ann masih ingat Aidilfitri pertama di sini, solat sunat raya berlangsung sebaik selesai solat Subuh kerana kebanyakan mereka pengikut mazhab Hanafi. Ann terkejut dan tentunya nyaris terlepas kenikmatan solat sunat raya!
“Kami meraikan Navrus pada 1 Januari, musim bunga pertama bukan Aidilfitri,” kata-kata itu datang daripada seorang warga tempatan, Ana Karimov.
Ann meminjamkan telinga untuk Ana Karimov bercerita tentang keistimewaan Navrus. Ann tidak berminat untuk berdebat mengenai keistimewaan Aidilfitri dengannya. Biarlah, dia masih terlalu hijau dalam mengenal keistimewaan Ramadan dan Syawal. Ann maafkan dia, atas alasan terkurung selama 70 tahun dalam Soviet.
Kenderaan pikap yang akan membawa Ann dan enam sukarelawan yang lain ke utara Tashkent sudah penuh dengan muatan. Tapi waktu hendak bertolak, angin bertiup dengan kencang.
“Ribut salji!,” Ann panik.
1 Oktober
Mak,
Selepas tiga tahun tidak pulang raya bersama dan kali ini saya gagal lagi untuk menunaikan janji. Ketahuilah mak hati saya tidak pernah tenang. Doa saya untuk mengucup tangan emak pada pagi Aidilfitri tidak tertunai jua.
Seperti emak kata, Tuhan berikan apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu. Saya terima semuanya mak, walau dalam linang air mata.
Penerbangan keluar masuk di Lapangan Terbang Tashkent dibatalkan sejak dua hari lalu. Kata mereka mungkin dalam tiga atau empat hari nanti ia akan pulih. Apabila sudah terlalu lama berada dalam dakap Soviet, waktu-waktu nanar begini, mencari-cari jalan keluar sendiri, memang memakan masa. Saya maafkan mereka kerana ribut salji ini kehendak Tuhan jua adanya. Walaupun saya masih terkial-kial memaafkan diri sendiri kerana gagal mengotakan janji bersama emak pada Aidilfitri.
Sejak, dua hari lalu ribut salji belum berhenti. Malah anginnya makin kencang, melebihi dua kali ganda taufan.
Mak, saya tidak tahu bilakah surat ini akan tiba ke pangkuan emak. Saya hanya menulis dan menulis meluahkan seluruh gundah dan segala resah. Buat masa ini, sistem pengangkutan dan komunikasi di Tashkent lumpuh sama sekali. Bekalan elektrik sudah dua hari terputus. Salji tebal di Tashkent sudah menjadi ais setebal dua meter.
Kelmarin perintah berkurung dan darurat diisytiharkan. Tetapi saya dan beberapa sukarelawan lain mengikut pasukan tentera memberi pertolongan kepada penduduk di kawasan pedalaman .
Waktu-waktu sukar begini, saya menyaksikan sudah ramai yang tahu untung nasib perlu diadukan kepada Allah yang berkuasa. Saya melihat darurat dan perintah berkurung tidak menghalang mereka membanjiri masjid dan muazin melaungkan azan.
Waktu takbir bergema di langit Tashkent yang diserkup salji, saya terasa satu kenikmatan yang sukar diceritakan dengan kata-kata menusuk dalam hati. Ia sangat indah, melebihi keindahan percikan warna warni bunga api yang menghias gelap langit. Ia kemudiannya bagai api, memanaskan hati setiap warga Tashkent, mencairkan perasaan yang beku lewat makna Aidilfitri.
Untuk pertama kalinya emak, saya terasa sangat teruja solat sunat Aidilfitri sebaik tamat solat Subuh. Sejuk yang menikam, salji yang tebal, angin yang kencang tidak sedikitpun mematahkan semangat Muslim di sini berhari raya.
Terkurung dalam masjid sementara menanti kenderaan tentera membawa kami pulang ke kediaman masing-masing. Kami sempat bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Kami sempat berdakapan sesama Muslimah, menangisi pemergian Ramadan. Kami sempat menjamah roti, sup dan pilav.
Entah mengapa kali ini saya merasakan Aidilfitri di Tashkent sungguh menyentuh hati. Ia membakar seluruh kerinduan saya pada kampung halaman. Walau langit Tashkent mendung dan buminya tebal bersalji, ada magis dalam setiap hati kami. Seperti emak percaya, saya juga kini percaya, Aidilfitri itu akan lebih bermakna jika kita bijak memaknakannya.
Emak, terima kasih kerana mewajarkan saya ke sini, empat tahun lalu.
Biodata Penulis..
HAFIZAH Iszahanid, lulusan Sarjana Muda Seni Gunaan dari Universiti Malaysia Sarawak pada 2000. Mula menulis karya kreatif pada usia 16 tahun dan pernah menyertai Minggu Penulis Remaja kelolaan DBP. Kembali aktif dalam penulisan kreatif kebelakangan ini dengan beberapa cerpen mendapat tempat dalam pelbagai majalah seperti Nur, Jelita, Wanita dan Dewan Sastera. Sudah menghasilkan dua novel, Noktah di Hujung Rindu (2005) terbitan Marshall Cavendish dan yang baru menjengah pasaran, Kala Hujan Menitis, terbitan Buku Prima. Terbaharu, novelnya Sehiris Bulan (Disember 2011) diterbitkan oleh Jemari Seni Sdn Bhd.
* Cerpen ini insya allah akan diantologikan sedikit masa lagi :)
Setiap sesuatu bermula dengan langkah pertama. Berbaju Melayu misalnya dimulakan sekitar 700 tahun dulu dan dipercayai diperkenalkan pada zaman empayar Melaka oleh Sultan Muhammad Syah (1424-1444) serta kaya dengan falsafah dalam berbusana.
Sultan Muhammad Syah ketika itu mahukan orang Melayu berbaju khusus bagi menampilkan mereka sebagai bangsa yang mempunyai jati diri sekalipun alam berpakaian, bukannya berbaju ‘atas angin’ seperti pakaian pedagang Arab atau India zaman itu.
Timbalan Dekan Pengajian Siswazah, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin ketika dihubungi menjelaskan, baju Melayu pada zaman Melaka awalnya dipakai singkat dan sendat seperti baju pesilat.
“Bagaimanapun, rekaan baju Melayu ini mengalami evolusi dan diubahsuai atas persetujuan sultan. Dari berbaju sendat dan seluar singkat, bajunya menjadi sedikit longgar dan labuh. Seperti kehendak Sultan Muhammad, pemakaian baju Melayu oleh orang lelaki bukan sekadar menutup aurat, tetapi lambang identiti bangsa.
“Cara penggayaan baju Melayu juga sebenarnya mengandung falsafah tersendiri. Orang Melayu sangat berhemah apabila bertutur kata dan perlakuan mereka, malahan pemakaian membawa makna tersendiri. Secara tidak langsung orang Melayu mendidik generasi muda melalui pemakaian.
“Baju Melayu ada dua rekaan iaitu cekak musang dan baju teluk belanga. Baju Melayu cekak musang butangnya lima, teluk belanga pula butangnya satu dan membawa falsafahnya sendiri. Berbutang lima merujuk kepada lima rukun Islam dengan dua butang diatas bermaksud, mengucap dua kalimah syahadah dan sembahyang lima waktu.
“Selebihnya diwakili tiga butang di bawah. Jika kita buang dua butang dan hanya pakai tiga, falsafah di sebalik menegakkan rukun Islam itu tidak tercapai. Malah, ada teromba mengenai pentingnya pemakaian lima butang baju ini;
cekak musang berbutang lima
lima rukun di dalamnya
lima petua dibawanya
lima tiang ditegakkan.
Pemakaian satu butang untuk baju teluk belanga bermaksud Tuhan Yang Esa seperti dinyatakan dalam teromba yang berbunyi,
teluk belanga berbutang tunggal
tunggal satu tuhan yang disembah
tunggal tidak dapat dianjak alih
tunggal tidak dapat dibelah.
Sungguh pun demikian, ada juga pandangan lain mengatakan, butang baju Melayu sebenarnya tujuh dan jenis ini dipakai oleh golongan aristokrat, manakala pemakaian kurang daripada tujuh hanya dikhususkan kepada orang kebanyakan.
Jika memakai baju Melayu ia mesti dilengkapi samping dan tanpanya pemakaian menjadi janggal kerana sebenarnya ia juga membawa maksud tersirat sama ada si pemakai sudah berkahwin atau sebaliknya.
“Orang dulu kalau hendak mencari pasangan atau menantu, tidak perlu buka mulut bertanya, awak dah kahwin atau belum? Melihat cara pemakaian pun sudah boleh diagak sama ada si pemakai bujang atau sudah berkeluarga,”
“Apabila mengenakan samping, lelaki yang sudah berkahwin mesti di bawah lutut, namun kalau orang bujang, sampingnya mesti di atas lutut. Kalau orang sudah kahwin, memakai samping singkat itu tandanya dia hendak menambah isteri,” ujarnya.
Dr Rosli memberi contoh teromba klasik berhubung pemakaian samping;
Adat memakai samping
kok sudah beranak bini
atau orang yang patut-patut
kain samping bawah lutut
sama setentang paras betis
ikat bergulung lurus lurus
jika ikat atas lutut
itu tanda nak cari lagi
harus tahu keadaan ini.
Kok anak muda muda
kain labuh di atas lutut
bagai dubalang masuk gelanggang
bagai ayam mencari lawan.
Dr Rosli mencadangkan ilmu dan falsafah di sebalik pemakaian baju Melayu perlu dihebahkan supaya lebih ramai yang tahu dan mempraktikkannya apalagi dengan kepantasan dan kecanggihan teknologi komunikasi hari ini.
“Orang muda tidak buat sebab dia tidak tahu. Kalau tahu tentu dia buat. Sebab ini adalah adat kita orang Melayu. Kalau kita tidak sebarkan ilmu ini sampai bila-bila pun ia tidak dapat dikongsi dengan masyarakat.
“Seperkara orang lelaki yang lengkap bersamping mesti tahu jaga adat dan adab bersamping seperti dipantunkan;
bila berkain tidak cermat
lambat laun tentulah kalah
bila bersamping tidak beradat
lambat laun malu terdedah
* Artikel ini sudah disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 9 Ogos 2012.
Pernah tak anda marah anak sebab mereka menconteng dinding? Sebenarnya, saya pun selalu juga marah.. heheh.. ialah kalau dinding rumah sudah jadi macam kanvas, tentu kita naik angin kan ?
Namun, cuba fikirkan semula tindakan itu kerana lukisan atau contengan si kecil itu mungkin sebenarnya lebih daripada sekadar kreativiti, sebaliknya itulah luahan isi hati mereka.
Menurut pakar psikologi, lukisan bukan hanya sekadar menjadi saluran kanak-kanak meluahkan perasaan tetapi pintu masuk kehidupan mereka. Malah, sejak sekian lamanya, lukisan dijadikan alat oleh pakar psikologi untuk mendekati kanak-kanak bermasalah seperti mangsa dera, mangsa rogol atau kanak-kanak yang berdepan masalah autisme dan Sindrom Asperger.
Menerusi lukisanlah, pakar psikologi mengenal pasti masalah dan isu yang melingkari kehidupan kanak-kanak. Setiap hasil seni kanak-kanak itu bercerita, menjadikan seni lukis dan kanak-kanak sangat intim.
Lukisan juga menjadi medium si kecil membina personaliti, memerhati persekitaran, penanda aras pembangunan intelektualnya, kemahiran komunikasi, selain boleh membantu diagnosis ketidakupayaan dirinya dalam pembelajaran. Seni lukis juga cara mereka menterjemah apa yang dirasa dan dilihat.
Justeru, seni lukis sebagai terapi adalah cara efektif untuk kanak-kanak membentuk dan menjelaskan emosi. Ia juga alat paling berkuasa memberi kanak-kanak kebolehan untuk meluahkan pendapat, emosi, ketakutan dalam persekitaran yang selamat. Setiap hasil seni kanak-kanak itu bercerita.
Semua kanak-kanak lahir dengan kecenderungan menconteng. Justeru, kanak- kanak adakalanya melukis apa yang mereka lihat di sekeliling persekitaran. Ada kanak-kanak yang memerhati persekitaran dengan lebih kritikal.
Apabila mendalami hasil lukisan kanak-kanak, perhatikan warna yang dipilihnya. Pakar psikologi percaya, pemilihan warna dalam lukisan juga menjadi pengukur emosinya.
Pada 1975, seorang profesor pendidikan seni di Universiti Pennsylvania State, Viktor Lowenfeld, memperkenalkan teori pembangunan artistik berdasarkan tahap kreativiti dan kognitif yang sistematik.
Umumnya, setiap kanak-kanak yang sihat dan normal akan melalui setiap satu daripada fasa perkembangan ini.
Fasa melukis kanak-kanak
* Menconteng pada usia dua tahun dan kekal hingga usia empat tahun. Ia bermula apabila kanak-kanak mula bijak memegang pensil warna atau krayon dan menconteng buku. Ada kala ia bermula pada usia 18 bulan. Kanak-kanak lebih berminat pada warna yang diconteng di kertas atau dinding. Ada juga kanak-kanak yang kagum pada hasil kerjanya sendiri.
* Pada peringkat ini mereka sudah punya imaginasi sendiri. Bulatan senget, bagi mereka adalah kucing. pada masa lain pula, bulatan senget mungkin mewakili `ayah' atau `ibu.'
Fasa prasimbol
* Bermula pada usia empat tahun atau lebih awal atau lewat bergantung pengalaman artistik dan budaya kanak-kanak itu. Lukisan `anak berudu' sudah berubah menjadi sedikit sempurna. Lukisan ayah atau ibu bertambah baik dengan wajah, tangan ada kala jari kaki tetapi tiada badan.
Kadangkala wajah ayah tersenyum lebar. Kepala pula lebih besar daripada tangan atau kaki. Kanak-kanak pada usia ini biasanya belum mampu melukis badan kerana pada kanak-kanak, kepala itu penting kerana mereka makan, bercakap, mendengar menggunakan anggota di bahagian kepala. Mereka juga pada peringkat ini melukis apa yang mereka tahu.
Fasa berjadual
* Bermula usia tujuh tahun dan berterusan hingga usia sembilan tahun. Kanak-kanak membentuk skema spesifik atau simbol untuk orang dan objek dalam persekitarannya dan akan melukis secara konsisten berulang kali. Bentuk manusia dilukis dengan bahagian badan yang sempurna dan bukan lagi orang lidi. Pada usia lapan atau sembilan mereka sudah boleh melukis watak kartun kegemaran mereka atau adiwira kesukaan mereka. Pada fasa ini mereka melukis apa yang mereka lihat.
Fasa realistik
* Bermula pada usia sembilan tahun dan lukisan yang terhasil juga lebih teliti. Jika melukis orang, ia lebih terperinci dan mampu melukis dalam perspektif jauh dan dekat. Mereka lebih sensitif jika ada yang mengkritik lukisan itu.
Maksud warna dilukis kanak-kanak
* Warna hitam dan merah mungkin menjelaskan isyarat dia berdepan masalah. Rona hitam selalunya menggambarkan tekanan, rasa tiada harapan atau tersekat.
* Merah merujuk kemarahan.
* Biru dan hijau adalah warna tenang.
* Warna kuning dan oren menandakan keceriaan.
* Apabila kanak-kanak melukis unsur menakutkan dan warna hitam, kanak- kanak itu sebenarnya berdepan masalah yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
Pengalaman saya, pernah dulu seorang pakar psikologi di PPUM, berkongsi cerita ada pesakitnya asyik melukis gambar sebuah meja dan sebuah kerusi. Akhirnya, dia tahu kanak-kanak itu diasingkan oleh gurunya kerana dia sangat aktif.
Kanak-kanak itu kalau tidak silap pesakit Sindrom Asperger. Kasihan kan kanak-kanak sekecil itu diasingkan sendirian dalam bilik besar sementara rakan sebaya duduk dalam kelas ramai-rami. Huhuhu... kasihan dia..
Copyright note: SETIAP NOTA DALAM ENTRY INI BOLEH DIKONGSI TETAPI KREDITKAN KEPADA BLOG SAYA YA... hafizahiszahanid.blogspot.com