Aku kira kisah pertemuan itu habis di situ. Tapi, nyata dia adalah kemanisan masa lalu yang tidak upaya dilupa. Walau dia hadir sekejap tetapi dia bagai kekal dalam ingatan dan tidak pernah upaya pudar. Setiap kata dan gelak tawanya dirakam kemas dan tidak hilang dalam arus kehidupan.
Benar dia istimewa. Dan mungkin kerana itu pagi tadi, aku bermimpikan dia.
Waktu aku terjaga, hujan lebat menyambut, kabus melitup pandangan dan terasa sejuk teramat. Telefon bimbit yang diletakkan di hujung kepala diambil, sudah jam 7 pagi. Aduh, terlepas solat subuh gara-gara mengenang kemanisan masa lalu itu !
Aku bingkas bangun dari katil. Penghawa dingin ditutup. Sejuk menyerkup seluruh kamar dan menusuk hingga ke tulang hitam. Ada titik-titik hujan melekat di jendela kaca dan ada kesan wap juga di situ.
Aku buka daun jendela, tempias hujan mencuri masuk. Bunyi hujan yang lebat bagai mahu meruntuhkan langit. Pantas aku merapatkan kembali daun jendela. Tempias hujan sempat menampar pipi.
Lampu dipasang, bilik terang. Namun aku kembali berbaring di katil. Aku teringatkan mimpi sebentar tadi, mimpi selepas waktu subuh. Mimpi pada jam 7 pagi. Dia teringatkan kemanisan mimpi itu. Aku teringatkan lelaki di dalam mimpi itu.
Ali Syukri , apa khabar ?
Sejak pertemuan minggu lalu, aku jadi gila bayang. Aku terpandang Ali Syukri di mana-mana. Dan hari ini, dia menyusup masuk dalam mimpi.
Aku pejam mata. Pejam serapat mungkin seraya menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Mengapa perlu termimpi-mimpi akan lelaki ini?
Tapi sampai bila hidup harus ditentukan seorang lelaki? Sampai bila kisah hidup perempuan itu perlu bertunjangkan lelaki?
Apakah manusia bernama perempuan itu tidak boleh hidup dan tidak boleh berjaya tanpa lelaki?
Aku terlihat ada bayang-bayang kecil warna warni dalam pekat gelap pandangan. Ku buka mata pantas. Serentak itu, telefon tangannya berbunyi.
Lihat, hidup tidak pernah sunyi tanpa Ali Syukri di sisi, bukan?
Telefon yang menjerit-jerit tadi mati sendiri. Aku tahu siapa yang menelefon, dan sengaja biarkan saja ia berdering. Nanti, tentu sahaja telefon itu akan menjerit lagi seperti selalunya. Si pemanggil memang jarang cepat berputus asa.
Aku menuju ke jendela, tangan pantas menyingkap langsir. Waktu langsir tingkap disingkap, cahaya matahari berebut masuk. Hujan sudah teduh. Langit Brooklyn Heights tempat aku menumpang teduh, masih basah dengan sisa hujan.
Lalu hujan itu bagai halangan-halangan dalam hidup. Apabila hujan teduh, matahari pun bersinar. Selebat mana hujan pun, ia pasti ada noktah. Dan seperti itulah hidup. Seteruk mana ujian, tetap ada sinar harapan di hujung jalan.
Hidup perlu positif. Hidup ini untuk membahagiakan diri sendiri. Hidup ini adalah perjuangan. Dan Laila, hidup perlu diteruskan ! Hati mengingatkan.
Dan berdering lagi telefon. Memang pemanggilnya jarang berputus asa. Dan hidup juga harus begitu, jangan cepat mengalah jangan mudah berputus asa. Aku menyimpulkan sambil mencapai telefon.
“Ya Kak Jun..,”
“Laila sayang, lembutkanlah hatimu dik.. untuk emak. Kasihan dia rindukan kamu,”
Air mataku luruh.
Bukanlah aku membelakangkan emak, meminggirkan emak dalam hidup ini. Tapi, aku tidak pasti
“Laila sudah buat keputusan? Laila balik ya ?,”
Aku tarik nafas perlahan. Mataku pejam rapat. Kak Jun membuat aku lebur dalam pertanyaan lewat pertanyaan.
Jujurnya, aku tidak pun mahu mencari jawabnya. Aku sudah tidak pernah memikirkan persoalan pulang lagi sejak 12 tahun lalu.
12 tahun yang menghiris hati. 12 tahun yang penuh resah. Tapi adilkah ketidakpulangan ini kepada emak? Kepada abah? Aku pejam mata.
Matahari pagi dari langit yang basah bagai jatuh ke kepalaku. Anginnya yang dingin itu bagai mencucuk hingga masuk ke dermis. Lalu aku menjadi terkurung, sejuk dan beku.
Untuk kesekian kalinya, selepas 12 tahun aku terfikir, bila mahu pulang Delaila Ahmad Lokman ?
“Emak sudah lama memaafkan,”
Kata-kata emak minggu lalu menusuk jauh ke sukma.
Hati sebak.
Hati menangis, sebenarnya.
Aku tahu emak sudah memaafkan. Abah pun, walau tidak pernah melafazkan yang serupa, aku pasti abah lama sudah memaafkan.
Hidup bukan hidup namanya jika tiada sepak terajangnya. Tiada duri dan ranjau. Hidup ini misteri Laila, itu yang selalu Kak Jun katakan. Kak Jun yang baik hati dan murah dengan senyum.
“Hati kalau dibiarkan dipenuhi dendam akan jadi kotor,” Kak Jun, selalu sahaja ada kata-kata hikmat.
* Lelaki Januari oleh Hafizah Iszahanid - Hak cipta terpelihara. Dilarang menyalin semula, menerbitkan dan apa saja aktiviti yang melanggar akta hak cipta.
No comments:
Post a Comment