Sigaraning, novel tulisan Imaen ini punya tarikan yang tersendiri.
Membaca naskhah ini hingga
ke halaman akhir, kesimpulan mudah yang boleh dibuat, ia cukup mantap sebagai
karya bijak dengan kemelut peniaga pasar mini diolah seimbang dengan kisah
cinta dewasa.
Namun, permulaan
cerita kisah mengambil duit RM2 juta
milik penjenayah bertindak sebagai pelengkap karya yang kemudiannya seakan
tenggelam timbul.
Novelis ini adalah graduan ekonomi Universiti
Malaya, lalu Sigaraning sarat ilmu ekonomi. Namun sambil menyelitkan unsur
falsafah, Imaen tetap handal mengawal
aliran cerita.
Ringkasnya, novel
ini bukan untuk pembaca yang mahukan
kisah cinta ringan `malu tapi mahu', kahwin paksa atau kahwin kontrak,
sebaliknya novel cinta bercampur baur dengan teori dan ilmu ekonomi dalam
membawa pembaca menyelami dasar jiwa lelaki lulusan universiti yang gagal makan
gaji dan akhirnya menjalankan perniagaan runcit.
Selain bercerita mengenai hambatan yang dihadapi oleh pekedai
tempatan akibat kewujudan pasar raya jenama luar negara, Sigaraning juga
memaparkan kisah aksi dengan memulakan bab dengan kisah tembak menembak antara
kumpulan penjenayah.
Ali Imran yang kebetulan
berada di kawasan kejadian kerana membawa diri selepas putus kasih dengan
Salina, kemudiannya melarikan wang berjumlah RM2 juta dan dadah milik
penjenayah. Tindakan itu didorong juga oleh rasa tanggungjawab pada tanah tapak
rumah keluarganya yang tergadai.
Bagaimanapun faktor
penyebab itu kemudiannya tertinggal di bab satu sebelum pembaca mengetahui Pak
Riffin yang pada awalnya bersungguh mahu mendapatkan tanah milik keluarga Ali
Imran, akhirnya menarik kembali keputusan.
Mungkin pengarang sengaja
tidak mahu membina Singaraning sebagai novel aksi, lalu melarikan RM2 juta
hanya disimpulkan pada akhir cerita setelah jenuh membawa pembaca ke sisi lain
hidup Ali, manakala kemarahan kumpulan mafia dan siasatan polis diceritakan
sepintas lalu. Jika kisah siasatan atau pencarian kumpulan mafia ini terhadap
wang dan dadah milik mereka yang dicuri Ali Imran dikembangkan, tentunya novel
ini tentu lebih menarik.
Bagaimanapun seperti mana
kata Imaen, Sigaraning dilahirkan sebagai novel yang bercerita mengenai masalah
ekonomi orang Melayu, lalu kisah aksi lasak tembak-menembak mafia dan polis
tidak diperincikan.
Apa yang menunjangi
Singaraning adalah kemelut peruncit Melayu dan kisah cinta tidak terucap antara
Ali Imran dengan Vivian - seorang perempuan Islam yang memilih untuk berperang
dengan tuhan, selain kisah jiwa lara Ali Imran kerana ditinggalkan Salina
kerana pekerjaan Ali Imran sebagai pekedai melengkapkan lagi Sigaraning.
Watak Salina walau
tidak dicerita dengan jelas, namun pengisahan tentangnya sebenarnya antara
penggerak cerita. Ali yang patah ditinggalkan Salina akhirnya menyedari ada
kala, tuhan menemukan manusia dengan manusia jahil supaya menjadi lebih baik.
·
* Novel ini terbitan tahun 2009. Saya mengulang bacanya kerana novel
ini berada di tempat paling atas dalam susunan buku di atas meja kerja saya.
Warna merah bata pada sampul buku ini membuat hati terpesona.
No comments:
Post a Comment