Add caption |
Terlalu kerap pengarang China yang tinggal di
Amerika menulis tentang nostalgia kehidupan mereka di Tanah Besar, sambil
mencuit-cuit tentang politik negara itu yang dilihat sebagai serba tidak kena.
Ha Jin, Ma Jian malah Yan Lianke antara pengarang yang gemar merakamkan kisah
sedemikian.
Yiyun
Li menerusi
Kinder Than Solitude membawa latar yang hampir sama apabila merakamkan kisah
1990-an, setahun selepas terjadinya tragedi Tiananmen dan Revolusi Budaya yang
kemudian perlahan-lahan mengubah landskap politik China.
Bagaimanapun, Yiyun Li juga sangat bijak untuk tidak
mencipta klise apabila memilih untuk mengangkat soal kesepian, persahabatan dan
bagaimana sengsaranya jiwa dikejar sejarah silam meskipun memilih latar tahun
`panas.' Semua unsur itu berjaya dirangkulnya dalam sebuah
naskhah yang sederhana hebat. Bermula dengan kematian Shaoai
sesudah koma selama 20 tahun, Ruyu, Moran dan Boyang bagai menoktahkan
kesengsaraan peribadi kerana Shaoai diracun oleh seorang daripada mereka secara
tidak sengaja. Ia bermula ketika mereka masih remaja tetapi
Boyang mengambil keputusan menjaga Shaoai di Beijing sementara Ruyu dan Moran
yang mahu lari dari rasa bersalah itu menetap di Amerika Syarikat.
Gagal dalam percintaan Boyang,
meskipun menjaga Shaoai, ia tidak mengurangkan rasa bersalah terhadap apa yang
terjadi tambahan pula dia tidak bertuah dalam hubungan cinta meskipun kaya raya. Kehidupan
Ruyu dan Moran juga tidak bertuah berikutan kegagalan menjalinkan hubungan yang
sihat misalnya perkahwinan untuk mendapatkan taraf penduduk tetap akhirnya
berakhir dengan perceraian dan pekerjaan yang membosankan. Novel
ini dibuka dengan kematian Shaoai, yang kemudian membuka satu persatu sejarah
yang mengikat tiga watak utamanya dengan latar yang melompat-lompat antara
China dan Amerika.
Bagaimanapun, Yiyun Li berjaya untuk menimbulkan
persoalan dan debar sepanjang pembacaan siapakah sebenarnya yang meracun Shaoai
hingga gadis itu mengalami kegagalan otak. Untuk pembaca yang
sudah biasa membaca karya pengarang berasal dari China, Yiyun Li menawarkan
sesuatu yang berbeza berbanding kebanyakan pengarang China yang gemar
bernostalgia. Bagaimanapun, jika anda membaca untuk mendapatkan pengalaman
sejarah dan budaya China sebelum revolusi 1989, naskhah ini bukan pilihan yang
baik.
#Reviubukuyangsayabaca
No comments:
Post a Comment