Wednesday, October 3, 2018

Apa ada dengan Aku Anjing ?





Aku Anjing mungkin tajuk yang mengejutkan untuk sebuah kumpulan cerpen. Namun bagi pengarang, Saifullizan Yahaya, Aku Anjing dipilih berdasarkan konsep kesetiaan yang mungkin tidak dimiliki semua manusia.

Hal ini ternyata benar apabila membaca cerpen Aku Anjing yang menjadi judul naskhah. Kisahnya mudah, mengenai seekor anjing penjaga rumah yang dihalau sesudah tuannya meninggal dunia. Banyak yang boleh ditafsirkan menerusi karya ini, tetapi paling menonjol adalah keupayaan untuk setia tidak datang dengan mudah melainkan dipupuk dengan kasih sayang dan jati diri.

Satu hal yang menarik juga jika cerpen ini disorot dari kaca mata politik semasa, timbul persoalan apakah sebenarnya wujud kesetiaan? Jujurnya, isu politik jarang dibincangkan dalam karya beliau. Namun kali ini, beliau memperlihatkan kepekaan terhadap perkembangan persekitarannya, bukan sahaja melalui cerpen berkenaan, tetapi juga dua cerpen yang memetik watak daripada naskhah Sulalatus Salatin, iaitu 30 Teka-Suai Jodoh Tun Mutahir dan Pertemuan Dengan Si Kitul.

Jika 30 Teka-Suai Jodoh Tun Mutahir menyerahkan kepada pembaca untuk mentakwilkan kebenaran berdasarkan pecahan mimpi, Pertemuan Dengan si Kitul adalah pertanyaan mengenai pengkhianatan.
Si Kitul dalam Sulalatus Salatin adalah watak pengkhianat empayar Melayu Melaka, namun tentu sahaja tidak mustahil jika sebenarnya watak ini masih berlegar dalam kalangan masyarakat hari ini.

Suatu hal yang nyata, Saifullizan mempunyai gaya penulisan yang lembut, tetapi meyakinkan dalam membangunkan sesebuah karya. Bahasanya mudah dan ringkas, tetapi mesej yang disampaikan cukup besar. Ada kala isu yang diangkat kecil sahaja, tetapi impaknya sesudah ia lahir sebagai sebuah cerpen memang membekas di jiwa, misalnya Menanti Tamu Istimewa.

Kisahnya mudah tentang fitnah dan khianat seorang kawan terhadap kawan baiknya. Yazid pecah amanah dan apabila perbuatan itu dikesan majikan, dia menuduh kawan baiknya, Hashim yang melakukan. Hashim sebaliknya menerima dengan reda dan memilih untuk memaafkan Yazid meskipun pengakuan itu menyebabkan dia bertukar ke daerah pedalaman dan tidak dinaikkan pangkat sehingga bersara.

Hal yang sama terlihat dalam cerpen Tikar Mengkuang. Meskipun ia menceritakan mengenai gulungan tikar mengkuang warisan Opah, tetapi jauh mendasar adalah mengenai keegoan suami isteri yang sedang rancak membina kerjaya .

Naskhah dengan 15 cerpen yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) ditutup dengan cerpen Dilarang Membakar Buku Sastera. Mungkin ia hanya sebuah cerpen biasa, namun bagi yang pandai menafsir, pengarang ini sebenarnya sedang cuba menyedarkan pembacanya kesetiaan itu menjadikan kita manusia berbangsa.


#Reviubukuyangsayabaca

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...