Monday, February 23, 2009

"bibik mahu cuti bu...,"



Bermula esok, saya akan kembali bertungkus lumus mengemas seluruh rumah, menyiapkan hidangan pagi dan malam, membuang sampah, mengosok baju, mop lantai, cuci tandas, cuci longkang, lipat baju, menyusun buku-buku ditambah dengan kerja-kerja lazim mengajar Adib dan Azra membaca, menulis serba sikit, memasakkan makanan istimewa untuk hubby dan tentunya menyiapkan kerja-kerja yang tidak pernah habis di pejabat.

Aduh... bibik ku cuti untuk sebulan, mahu pulang Bandung sudah dua tahun tidak ketemu keluarganya..

Ya, dan yang akan pening untuk sebulan adalah saya dan hubby. Inilah, kalau sudah terbiasa dengan bibik, bila bibik tiada mula garu-garu kepala.

Oh, di mana harus saya mulakan ...


Thursday, February 19, 2009

FOIE GRAS GAYA AZAD

Foie Gras Gaya Azad - bukan karya pertama yang saya tulis untuk tahun ini. Tapi inilah karya pertama yang tersiar tahun ini. Dalam Nur keluaran Mac. Untuk versi yang cantik berwarna dan bertaip kemas, jangan lupa beli Nur Mac. Tapi untuk versi penulisnya, saya titipkan di sini. Selamat membaca.
Foie Gras Gaya Azad adalah kisah semakin ramai memilih untuk menjadi liberal dan semakin sukar mencari lelaki beriman. Bukan tiada tetapi sukar.




FOIE GRAS GAYA AZAD

Oleh: Hafizah Iszahanid.

“Sudah lama tunggu?,”

Kakak berpaling. Di hadapan kakak, sesusuk tubuh dan seraut wajah tersenyum memandangnya. Wajah itulah yang gambarnya abang kirim melalui e-mail malam tadi. Azad namanya. Kakak balas senyum itu, malu.

Namun, kakak tiba-tiba gayat melontarkan kata-kata. Kakak renung jauh ke langit biru. Kakak terdengar-dengar bayu berbisik, mungkin masa depan. Ya, mungkin masa depan, kakak mengiyakan.

Kakak senyum panjang waktu mata kakak dan mata Azad bertemu. Kakak jadi malu tiba-tiba. Tudung merah jambu yang kakak pakai dibelai-belai tanpa tujuan. Azad seakan tahu. Senyumnya kian melebar.

Ya, soal jodoh bukan ditangan kakak. Kakak sudah berusaha tetapi pada usia 35 tahun, kakak ditakdirkan masih sendiri.

Citarasa kakak dalam mencari pasangan bukanlah terlalu tinggi hingga tidak tercapai. Kakak mengidamkan lelaki bujang atau duda yang beriman, berakhlak dan berkerjaya. Itu saja. Kacak ? Itu bonus. Tidak susah bukan?

Namun, hingga ke usia ini kakak belum temui. Pun, kakak tidak pernah kesal, merungut jauh sekali meratap nasib. Malah kakak sudah lali dengan sindiran kawan atau kaum keluarga. Kakak boleh ikut serta dalam gelak tawa mereka malah sesekali menokok tambah, menambah lagi perisa dalam senda gurau.

Wednesday, February 18, 2009

IB yang saya kenal


Pagi ini Datuk Ibrahim Hussien pergi menghadap ilahi. Jam enam pagi tadi allahyarham sakit tenat dan khabarnya meninggal di Pusat Perubatan Pantai Bangsar.
Saya kenal beliau atau nama mesranya Ib sejak kecil. Sejak mengenal seni. Sejak menjadi pelajar sarjana muda seni gunaan. Saya paling terkesan dengan catannya, "My father an astronaut".





Repose, 1996.
Ibrahim Hussein (b. 1936);
Acrylic; 100cm x 100cm.



Kemudian apabila bekerja, saya berpeluang berkenalan dengan Ib lebih rapat. Saya pernah minum petang di rumahnya di Jalan Pantai Baharu dan tentunya bergambar dengan catan kesukaan saya.



Ib mesra, fikirannya luas dan tajam. Dia bercerita tentang kehidupan lampaunya di Kampung Sungai Limau (kalau tak silap) di Kedah, sebelum ke Singapura duduk dengan abangnya dan akhirnya ke luar negara dan mengahwini Datin Sim.
Ib santai tetapi dia sangat istimewa. Ib adalah pelukis Malaysia yang membawa definisi baru seni halus dari sudut harga. Kali terakhir saya bertemu Ib rasanya tiga atau empat minggu lalu di Restoran Chawan, Bangsar. Ketika itu dia bersama isterinya.



Ib bersama isteri dan anaknya

Sesiapa yang mengenali Ib tahu dia sangat istimewa. Jadi, jika berita tentang pemergian Ib tidak berada di halaman nasional akhbar-akhbar perdana esok hari, anda harus tahu bagaimana pengamal media melihat Ib.
Adakah Ib sehebat kisah pelakon yang kena tangkap basah waktu isteri dalam pantang itu atau Ib sehebat artis realiti yang baru berkahwin itu. Anda akan tahu esok dan anda ada akal untuk menilai kedudukan dunia seni halus di Malaysia.
Untuk Ib, doa saya sedekahkan Al Fatihah saya titip moga rohnya dicucuri rahmat.
Saya sangat sedih!

Monday, February 16, 2009

Elizabeth Wong & PPSMI



Hati saya panas benar semalam waktu menonton Buletin Utama. Sepanjang hampir sejam (tolak berita sukan, luar negara dan iklan) isunya hanya dua:

1) Gambar pelbagai posisi Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong (dalam internet dua posisi saja)

2) Isu PPSMI

Saya rasa isu yang pertama itu soal politik. Bukan senang nak jadi ahli politik jadi janganlah main terjun saja ke dalam dunia itu. Semua persoalan diambil kira. Betul, BN dan MCA masih menerima Datuk Seri Chua Soi Lek selepas isu skandal seksnya terbongkar, tetapi di mana kedudukannya dalam MCA hari ini selain menduduki tempat kedua selepas Datuk Ong Tee Keat?
Isu moral sangat sensitif dalam politik. Walaupun pengundi di kawasan itu bukanlah 'malaikat' tetapi kebanyakan pengundi mahu wakil mereka adalah 'malaikat'. Jadi, isu moral jadi pertaruhan, wakil rakyat itu pasti akan jatuh.
Silap gaya bukan saja kita perlu by election di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, malah di Bukit Lanjan juga. Jadi sesiapa adun/ahli parlimen yang duduk kawasan bukit jaga-jagalah.. bukan apa..takut jatuh!

Isu kedua lebih hangat dan panas daripada biasa. Betul, sudah enam tahun dilaksanakan kenapa GAPENA baru nak kecoh-kecoh? Apa isu sebenar di sebaliknya?
Saya rasa GAPENA baru 'ada hati' baru 'kuat' atau baru 'bangun tidur' selepas enam tahun. Ok, tak apalah.. laporan polis yang dibuat itu atas dasar cinta pada bahasa. Apa salahnya perjuangan itu walaupun sedikit lewat.
Cuma yang saya geram beberapa penghantar e-mail ke Buletin Utama itu bukan saja menyokong PPSMI tetapi mahu semua matapelajaran diajar dalam bahasa Inggeris. Bak kata anak saya, oh men... kalau begitu di mana nilai dan maruah kita sebagai orang Malaysia dan orang Melayu bila semua matapelajaran diajar dalam BI? Kalau begitu baiklah saya hantarkan anak saya ke sekolah Cina, lagi bagus dan tinggi nilai komersialnya berbanding bahasa Inggeris.
Pasaran Asia lebih luas daripada pasaran Eropah, ekonomi Asia lebih besar dari Eropah, jadi secara automatik belajar bahasa Cina lagi bagus daripada bahasa Inggeris.
Saya terfikir, kalau begitu sekali hendak dipaksakan bahasa Inggeris kepada anak-anak kita, hina sungguhlah bahasa Melayu di bumi sendiri.
Adakah bahasa Melayu itu hanya layak digunakan untuk mengisi borang nikah atau untuk membaca talkin?

Sunday, February 15, 2009

Sunyi

I

Hari ini saya kesunyian. Sunyi yang sangat sunyi. Duduk dalam bilik berita yang sibuk saya sunyi. Saya sunyi dari idea. Susah betul hendak memulakan pengenalan berita.
Nasib baik ada Upin & Ipin datang kat ofis... hehehehehehe




II

Sejak permulaan tahun ini saya sunyi dari idea. Susah betul hendak memulakan kerja-kerja kreatif. Melukis jauh sekali....
Belek-belek karya lama terfikir, eh saya kah yang menulis itu? Bolehkah saya memiliki waktu itu semula, duduk menaip dan menulis tekun.
Kerja kreatif pada sesetengah orang adalah kerja. Tapi untuk saya, kerja kreatif mengikut mood jadi ada mood tulis tak ada mood tidur.. selalu terjadi, terutama hari sabtu atau ahad, jam 11 pagi mengadap lap top tulis dua tiga baris, rasa mengantuk ambil bantal dan terus terlena.. hahahahaha
Mujur ada Adib dan Azra yang akan datang dan melompat-lompat atas belakang sambil jerit-jerit, nak main laptop mama... nak main games...

Saturday, February 7, 2009

Ada hati nak cabar sultan??


Pohon selasih ditebang-tebang
Buat mengikat si batang kayu
Cabar sultan adatnya sumbang
Malu tuan mengaku Melayu





Pisang mas bawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi tergadai negeri?






Wednesday, February 4, 2009

Mari main lompat lompat

Lompat si katak lompat
Lompat tinggi tinggi
Apa YB dapat
Main lompat parti


Lompat si katak lompat
Lompat tepi kali
Penat YB penat
Kira duit berguni guni


Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...