Friday, September 25, 2009

Syawal ke tujuh

Mungkin saya kolot, tetapi saya sebenarnya runsing dengan terlalu banyak lagu-lagu raya di kaca tv lajak hingga hari ke 7 Syawal.
Kalau dengar di radio sedap sikit walaupun sebenarnya sudah masuk syawal ke 7. Namun, bila dinyanyikan di tv dengan penari-penari dan penyanyi menari mengikut rentak lagu, entah mata saya tidak 'sedap' menontonnya.
Kemudian, saya terasa bosan dengan konsep drama raya yang penuh air mata selain karya-karya di akhbar dan majalah yang juga sarat air mata.
Konsep raya terhad pada kisah kepulangan anak-anak ke kampung halaman atau rebut-rebut nak balik raya antara suami isteri. Aduhai.. ingin sekali saya membaca dan menonton karya yang lebih berfalsafah (maksudnya secara tersirat) tentang Aidilfitri itu sendiri.
Bukan bebel ini, ini luahan saja sebab hari ini saya bekerja (sedih..) dan ditemani tv yang tidak habis-habis dengan dendangan lagu raya.
Ok, mungkin sebenarnya saya yang terbawa-bawa sebab terpaksa masuk kerja awal (hehehehe)


II


Untuk pertama kali dalam sejarah kerjaya, saya tersentuh hati dan emosi. Bukan selama ini tidak pernah, tetapi kali ini lain benar.
Seorang kawan yang akrab menelefon meminta tolong. Katanya, seorang pesakitnya kanak-kanak berusia 9 tahun kemalangan jalan raya. Tulang mukanya patah, lantai matanya retak, rahang kiri dan kanan juga patah.
Saya ambil kesempatan melawat dan memang melihat gadis sunti itu tersentuh benar hati saya. Dia perlu dirawat segera. Dan bayaran untuk mendapatkan tulang gantian hanyalah RM5,000 yang tidak mampu disediakan oleh kedua ibu bapanya.
Kebetulan ibu bapanya juga bukan kakitangan kerajaan jadi jumlah itu tidak ditanggung.
Sebaik saja berita tentang anak dara sunti itu disiarkan, kawan itu memberitahu seorang selebriti menghulur derma bukan RM5,000 tetapi lebih lagi untuk menampung bayaran pembelian tulang gantian dan selebihnya untuk belanja hari raya keluarga itu.
Sungguh, selama saya mengenal selebriti itu, saya memang tidak suka padanya. Pernah waktu saya mengikut kawan menemubualnya, saya menyampah dengan selebriti itu apatah lagi mulutnya yang 'lepas cakap' itu.
Namun, ya .. saya melihat secara lahiriah tetapi ada sisi lain yang tidak saya lihat. Mungkin dia 'laser' mungkin juga saya menyampah membaca kisah cinta menjadi tidak menjadi dia di akhbar.
Namun, dia masih manusia yang ada rasa.
Untuknya, terima kasih.
Salam Syawal ke tujuh untuk semua !

Wednesday, September 16, 2009

Siap!


Kerja siap!!

Boleh balik raya, yeyeh!

Stok siap, dah dapat dummies.. yeyeh!

Manuskripku dah siap.. dah hantar kat publisher.. yeyeh!

Cuma satu saja tak best, modemku kantoi.. kena keluarkan duit beli baru. No yeyeh.

Selamat Hari Raya .

Friday, September 11, 2009

Suntuknya Masa



I

Hari ini sudah 22 Ramadhan (eh betul ke.. saya memang tidak mengira ) sebabnya saya perlu menyiapkan semua stok raya (ya, kerja yang diberi gaji bulanan). Dalam pada itu membuat temujanji untuk bahan selepas raya juga.

Namun bagusnya, saya ada 'partner in crime' :D.. maksudnya, seorang rakan sudah ditugaskan untuk membantu. Jadinya bukanlah saya sendirian dalam usaha ini. Amin...

Bila berdua, banyak idea banyak kerja boleh siap segera. Cuti raya juga sudah diluluskan. Bagusnya tiada perang raya antara saya dan Mr K saya. Dia sangat memahami dan kami pulang ke kampung masing-masing mengikut giliran dan kepentingan. Alhamdulilah.

II


Namun, saya kalut untuk satu lagi perkara. Saya kalut hendak mengejar deadline yang satu lagi - manuskrip novel terbaru.

Manuskrip itu sudah saya hantar beberapa bulan lalu kepada penerbit. Dalam usaha hendak menerbitkannya, biasalah untuklah banyak lagi perlu ditambah dan dibaiki.

Apatah lagi polisi baru syarikat penerbitan ini hendak novel yang tebal dan 'meletup'.

Aduh, jenuhlah saya hendak letak bom peledak dalam manuskrip! :D

Hanya beberapa hari sebelum deadline. Saya masih terkial-kial merangka-rangka bab mana perlu dikupas lebih dalam dan perlu perincian. Harapnya saya dapat melangsai semuanya sebelum Aidilfitri. Kerana saya mengidamkan novel terbaru ini memasuki pasaran sebelum Disember ini. Insya Allah.


III

Jika anda membaca novel, apa jenis novel pilihan anda;

i) Novel berilmu yang masih berpijak di bumi nyata (maksudnya yang masih ada unsur kemanusiaan, kasih sayang dan cinta)

ii) Novel berilmu penuh di dada (yang analitikal dan penuh sindiran)

iii) Novel cinta yang berasaskan emosi sahaja tetapi ada sedikit fakta disentuh sambil lalu bagi memperlihatkan tidaklah novel itu terlalu 'bodoh'.

Emmmm... ada satu perkara utama perlu dijelaskan - Niat

i) Wang
ii) Minat iii) Mencuba bakat

Kata kawan, 'kalau berteraskan wang, kamu tulis saja novel jenis ketiga, kalau kamu mahu 'riak' dan rasa bagus tulis saja novel kedua - yang mungkin tidak laku. Atau kalau kamu mahu duduk atas pagar tulis jenis yang pertama.


Seorang editor pernah berpesan, 'jadi diri sendiri. Jangan hipokrit, jangan pedulikan apa orang lain kata. Tulis apa yang awak rasa. Karya adalah cerminan peribadi penulisnya,'.


Saya pegang kata-kata itu!

Saturday, September 5, 2009

Iklan berbahasa Melayu di akhbar bahasa Melayu

Add Video

Ada satu iklan sempena Matta Fair dicetak di akhbar bahasa Melayu dan ditulis begini;

"Sejak Dinasti Shilla (1000) tahun lalu, Korea sudah mengadakan pertukaran kebudayaan bersama Islam. Hari ini , kamu akan menemui masjid-masjid terbina untuk bersembahyang di kota-kota utama Korea. Korea mengalu-alukan kedatanganmu seperti rakan lama yang sudah berkenal beribu-ribu tahun,"

".......... di Matta Fair akan PERCUMA Teh Ginseng dan produk-produk perawatan kulit! Selain ini, juga akan berpeluang memenangi hadiah ....."

Aduhai, saya rasa geram ya amat.

Ini bukan karya kreatif tetapi IKLAN. Jadi apa yang hendak disampaikan?

Selain kempen melancong ke Korea, ia juga sebenarnya menunjukkan kedaifan dalam berbahasa Melayu. Penterjemahan yang sungguh menjelaskan, ketidakmahirannya menguasai bahasa Melayu.

Saya fikir perlu ada penguatkuasa bahasa bertugas di bahagian pemasaran dan pengiklanan.

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...