Sunday, May 23, 2010

Nikmat Yang Seksa



Pic from here








"Saya fikir kehidupan silamnya yang dihantui kenangan dan pengalaman orang lain yang membangkitkan keliru. Dia tidak pernah ingin mengenal kehidupan mengikut matanya. Dia mengenal kehidupan mengikut mata orang lain. Alangkah itu tidak adil.


Saya ingin sekali memberitahunya, saya ingin berjalan dengannya dalam kehidupan ini sebagai seorang kawan. Kawan yang boleh mempengaruhinya untuk mengenal hidup dengan matanya.


Dia tidak berlaku adil pada hidupnya, rohnya dan jiwanya. Bolehkah saya berbuat demikian? ...."





Sebahagian 'isi' manuskrip yang sedang diusahakan, yang membuat saya makan menulis, minum menulis malam pun mimpi menulis... hahahaha.. sungguh kronik...

Menyiapkan manuskrip yang melebihi 500 halaman, mempersetujui untuk menyiapkannya pada sekian-sekian tarikh sungguh menyeksakan. Bak kata seorang rakan penulis yang saya kagumi, 'ia adalah seksa yang nikmat'.

Saya perlu siapkan dan perlu terbitkan sebelum tahun ini menutupkan tirainya. Sebab, saya perlu motivasi begini untu terus 'hidup' dalam dunia penulisan ini.






Thursday, May 20, 2010

Tudung Sanggul Arab & Wanita Akhir Zaman

Gambar ini hiasan saja untuk menunjukkan tudung gaya arab. Tiada kaitan dengan modelnya.



Dalam masyarakat Arab dulu kala, ada satu trend pemakaian tudung dengan sanggul tinggi. Kata seorang kawan lepasan Universiti Al- Azhar, trend pemakaian tudung bersanggul tinggi itu ukuran darjat. Makin tinggi darjatnya, makin tinggi sanggul tudungnya.


Namun, dalam Islam tiada langsung timbul tentang isu darjat. Manusia semuanya sama di sisi Tuhan. Hanya iman yang memisahkan kedudukan kita di sisi tuhan.


Saya bukanlah pandai sangat bab-bab agama. Ada juga yang saya 'terkantoi'. Namun, agama itu asasnya nasihat menasihati. Kalau tidak salah saya banyak hadis yang menceritakan tentang bertudung tapi bersanggul tinggi ini. Antaranya yang ini;


“ Ada dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka didunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini” – hadis riwayat Muslim.


Jadi, daripada tidak tahu kita sudah tahu. Sama-samalah kita fikirkan. Jangan kerana mengikut trend, kita mengadai pula kepercayaan dalam beragama. Mungkin ada yang akan berkata, lebih baik daripada tidak bertudung. Betul, tapi kalau sudah memilih untuk bertudung mengapa tidak lakukan sesempurna mungkin, bukan?


Nilai Kasih Seorang Anak

Seminggu lalu, saya bertemu dengan seorang warga tua. Usianya hampir 70 tahun dan dia adalah antara insan yang terbuang daripada keluarga. Ada anak, tetapi anak tidak mahu padanya lagi.


Dia tidak bisu tetapi dia tidak bercakap. Setiap kali saya bercakap dengannya, dia hanya renung saja. Apabila dia membuka mulut, dia hanya akan cakap "aku hendak pulang" dan itulah ayatnya ulang dan berulang.

Saya temuinya di sebuah rumah persinggahan kelolaan NGO. Dia awalnya mendapat rawatan di hospital kerajaan. Apabila sudah sihat dan sudah dibenarkan keluar, tiada siapa yang menuntutnya.
Apabila pihak hospital menelefon si anak (yang tertera nama, no kad pengenalannya, alamat dan no telefon), no telefon sudah tidak ada dalam perkhidmatan. Cubaan menjejak alamat yang tertulis pun gagal. Rumah itu sudah diduduki oleh orang lain dan khabarnya, rumah itu memang rumah dia sejak dulu. Ini kes tipu alamatlah ni...

Jadi, pak cik itu terdamparlah di rumah jagaan itu sejak setahun lalu. Waktu saya melihat dia, saya teringat ibu bapa di kampung dan opah yang masih sihat walau usia menjangkau 80 tahun. Saya teringat juga pada kucing saya yang namanya Si Pontong.


Untuk mereka yang ada perikemanusiaan, kucing pun tidak sanggup dibuang ke longkang, inikan pula ibu bapa.


Saya terfikir di mana kasih dan sayang anak pak cik itu ? Tidakkah dia berasa sangat berdosa?

Saturday, May 15, 2010

Bertemu Kawan Lama


Sejak bergraduan, saya tidak pernah berjumpa seorang kawan baik ini - namanya Zarina atau saya panggil Kak Za. Orangnya sangat sporting dan ramah tamah. Mungkin sebab dia cikgu, jadi mulutnya banyak.

Dua minggu lalu, saya terbang ke Kota Bharu - pengakuan jujur, itulah pertama kali saya jejak kaki ke Kelantan. Bak kata kawan saya, sudah sampai ke Eropah, Kelantan pun tak pernah pergi, koman betul mike ! - Ya, koman tak komanlah... memang sungguh pertama kali. Dan yang pertama kali itu tidak akan kekal yang pertama, insya allah...

Kak Za dan suaminya, Abang Zani masih seperti yang saya kenal dulu-dulu, zaman-zaman anak dara usia 19 tahun menjejak kaki ke kampus dan merayau-rayau mencari arah. Begitu juga Suriatina, bekas rakan sekelas di zaman kampus.


Malam-malam di KB, kami habiskan menjelajah dari satu pusat membeli belah ke satu lagi. Dengan kereta wira hijau dan dua anak dara cilik milik Suriatina, apa dikisah wang yang banyak mengalir.
"Tak pe, sesekali .. bukan selalu," selalu saja Suriatina dengan bibir merah berkilat gincu mengusik waktu saya pening-pening mengira baki duit dalam dompet.


Dengan Kak Za pula, saya sempat makan tengahari dan makan malam sambil mengulang-ulang kisah zaman kampus yang penuh ceria dan ada juga yang penuh duka. Kisah kegilaan pada lagu-lagu Jon Bon Jovi, ponteng kuliah agama untuk tengok X Files, makan maggi tapi sorok mangkuk bawah katil dan entah seribu satu macam kisah yang pernah kami kongsi.


Sungguh, dalam hidup kita ada pelbagai jenis manusia yang akan kita kenal. Akan ada puluhan atau ratusan orang yang masuk ke dalam hidup kita menjadi kenalan, kawan, rakan dan sahabat. Malah ada yang terus menjadi saudara.


Bak kata orang, a friend in need is a friend indeed. Waktu ada kawan yang sudi bersama dengan kita waktu susah dan senang, adakah kita akan menjadi sepertinya juga teguh dan setia menempuh ranjau dan duri. Insya Allah...

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...