Tuesday, October 19, 2010

Menjadi Yang Hebat


Besar atau tidaknya isu itu terpulang kepada si empunya diri. Adakah ia mahu melihatnya kecil atau mahu melihatnya dengan pandangan yang besar.

Tiada persoalan yang remeh tiada persoalan yang besar. Setiap isu dalam hidup ini adalah relevan untuk diangkat dalam karya. Asalkan anda pandai membangkitkan kesegarannya, dikemaskan dengan faktanya dan dihebatkan dengan bahasa yang indah.

Untuk saya, hasil seni akhirnya adalah hasil seni. Maksudnya, meletakkan gagasan anda dengan hati paling ikhlas dengan bahasa paling indah adalah kerja yang baik.

Berbanding anda meletakkan gagasan atas niat tidak ikhlas - misalnya mahu menjadi yang lain, tidak mahu menjadi tipikal - lalu bahasa anda kelam kabut, menenggelamkan idea dan kelihatan seperti robot dan akhirnya kelihatan menulis dengan cara ‘cut and paste’.

Hasil penulisan adalah hasil seni. Seperti mana hati menjadi tenang melihat catan, begitu juga hati harus tenang dan jiwa tertusuk isu yang diangkat lewat karya sastera.

Saya sungguh terganggu dengan penulisan yang punya bahasa tidak puitis. Bukan saya mendabik dada mengatakan pemilihan bahasa saya indah atau puitis. Tidak sama sekali. Sebagai hamba Allah, kita memang tidak pernah sempurna. Namun, kita ini hidup dengan belajar dari kesilapan, sama ada diri sendiri atau orang lain.

Lebih penting, pesan seorang penulis mapan kepada saya tidak lama dulu, janganlah terlalu ego dan mendabik dada mengatakan karya kita hebat. Sesungguhnya, jika kita hebat ada lagi manusia yang lebih hebat.

Penulis novel popular pun hebat. Karya mereka membuahkan hasil yang lebat. Itu fakta. Saya tidak mengatakan anda perlu memilih menjadi penulis novel popular untuk menjadi hebat.

Setiap orang punya pilihan. Pilihlah yang terbaik untuk diri, ummah dan nusa. Hidup ini sentiasa dihadapkan dengan banyak pilihan.

Namun, jangan sesekali memandang rendah hasil kerja orang lain. Itu pilihannya. Hormatilah dia atas pilihannya. Jangan merasakan diri terlalu hebat hingga tidak langsung boleh disentuh.

Dan akhirnya, penulis itu manusia penuh berseni. Bak kata pepatah menarik rambut dalam tepung, rambut jangan sampai putus, tepung jangan sampai tumpah.

Hahahaha.. kenapa saya tulis 'entry' ini? Sebab tadi saya bersembang dengan seorang kawan mengenai isu yang diangkat dalam penulisan. Dia mahu yang 'hebat' dan yang 'besar' tetapi saya memegang pada prinsip, hebat atau besar itu terpulang pada mata yang melihat. Hebat atau besar isu itu dalam karya juga terpulang pada akal yang menjana kata-kata dan tangan yang menaip tiap frasa. Dan juga ilmu yang ada di dada. Kerana akhirnya, terlalu ingin menjadi hebat anda menjadi manusia ikut-ikutan dan kelihatan tidak berpendirian pula...

No comments:

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...