Thursday, October 27, 2011

Rajaah




Sulaiman Esa, nama besar dalam dunia seni visual Malaysia. Dikenali sebagai pelopor seni Islam, Sulaiman juga sebenarnya pernah berada dalam konflik pencarian diri sebelum bertemu dengan definisi seni Islam yang dipilihnya. Justeru, bagi yang mengenali Sulaiman dan seni Islam, pameran Raja’ah: Seni, Idea dan Kreativiti Sulaiman Esa adalah lokasi pencarian wajib singgah.



Mengenali Sulaiman Esa, tidak terhenti pada koleksi siri Insyirah atau Waiting For Godot. Ia sepatutnya bermula sejak 1956 ketika Sulaiman yang masih remaja tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam seni halus mampu merakam wajah-wajah Johor dalam karyanya.



Kemudian, apabila Sulaiman berkelana ke Britain dengan biasiwa kerajaan, karya-karyanya mula diresapi wajah Eropah. Pertembungan ideologi anak Melayu Islam dengan nilai seni Eropah amat nyata waktu ini. Ia jelas terlihat dalam karya-karyanya dalam koleksi Waiting For Godot. Antaranya yang boleh dilihat adalah Waiting For Godot 1 (1977) selain menerusi Waiting For Godot (red) dan Waiting For Godot II.



Siri Waiting For Godot adalah pencarian dirinya dalam pertembungan ideologi Islam dan seni barat. Justeru karya-karya Sulaiman terlalu berani ketika itu apabila menzahirkan unsur-unsur agama yang digabungkan dengan figura wanita telanjang.



Namun sebagai manusia, Sulaiman pernah terganggu dengan pertembungan ideologi-ideologi hebat sepanjang usianya sebagai artis. Paling jelas dilihat adalah dalam karya-karyanya yang didefinisikan sebagai “Era London Sebelum dan Selepas”.



Pertembungan ideologi dan kepercayaan sekitar tahun 1970-an itu kemudiannya ‘mengganggu’ Sulaiman apabila pada 1974, dia muncul bersama dengan allahyarham Redza Piyadasa dengan pameran kontroversi bertajuk ‘Towards A Mystical Reality.



Pameran di Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu menggegar khalayak seni apabila seorang artis membuang air kecil di tengah pameran sebagai tanda protes. Pameran itu dianggap sebagai konseptual-konstruktivis yang menyuntik sedikit kelainan dalam aliran seni halus Malaysia waktu itu yang dibanjiri dengan idea impressionisme.



Justeru ia dibangunkan atas falsafah mistik timur, dengan sendirinya ia menolak semangat pascamoden dan refleks pascakolonial, gagasan-gagasan seni moden Barat. Anda yang ingin menikmati aura kehangatan Towards A Mystical Reality boleh merasainya kerana pameran berusia 37 tahun itu dibawakan semula untuk menjadi sebahagian daripada Raja’ah.



Kelantangan Sulaiman dan Redza dalam pameran itu menyaksikan mereka berkelana mencari ilmu di luar negara dan menjelang 1980-an, Sulaiman kembali ke Malaysia dengan gaya seni baharu yang disifatkan sebagai seni Islam.



Definisi seni Islam itu sendiri masih menjadi polemik namun Sulaiman seakan-akan menemui apa yang dicari. Koleksi Insyirah misalnya adalah manifestasi penemuan itu. Menerusi Garden of Mystery VI (1992), Sulaiman banyak bermain dengan geometri. Malah dalam kebanyakan koleksi berkenaan, sangat jelas Sulaiman terpengaruh dengan matematik dan grid.



Seperti kata Niranjan Rajah, ketika mengulas koleksi Insyirah pada tahun 2000 “ ... Sulaiman berjaya memperlihatkan bagaimana sesuatu yang suci boleh berkelangsungan dengan modenisme dan nationalisme juga politik kontemporari, isu etnik dan masyarakat. Malah, Sulaiman berjaya membina hubungan nilai tradisi suci itu dengan suasana kontemporari dan ia disampaikan dengan baik tanpa meminggirkan nilai seni,



Meskipun begitu Sulaiman pada akhir 1990-an muncul dengan catan Doa (1999)yang memperlihatkan figura potret diri. Begitu juga dengan Dance of Cosmos (2002) yang kelihatannya punya pengaruh kitab seksual Hindu, Kamasutra.



Koleksi itu memperjelaskan, perdebatan seni Islam sebenarnya tidak pernah berakhir dan ia terpulang kepada pemahaman si pengkarya. Pada akhir 1990-an juga Sulaiman tercuit dengan suasana politik negara.



Ini menzahirkan karya-karya seperti Last Supper (1998) dan Kebengongan (1998) selain Last Supper V (2000) yang jelas sekali adalah tindak balas Sulaiman pada isu politik yang berkisarkan pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.



Hari ini, Sulaiman masih bermain-main dengan isu islam dan ideologi, namun kali ini isunya lebih besar dan universal. Islamphobia dan terrosime adalah jiwa karya-karya Sulaiman yang mutakhir. Ia boleh dilihat dalam karya-karyanya yang memaparkan siri penyeksaan tahanan di penjara Abu Gharib, Iraq selain sebuah karya instalasi yang dibuat bersama anaknya Fairuz Sulaiman berjudul Panopticon (2011).



Sebenarnya, karya-karya Sulaiman tidak boleh anda nilai pada bentuk fizikalnya sahaja. Mesej dan pemahaman yang ingin disampaikan melepasi tembok fizikal karyanya.



Apapun tanggapan anda pada Sulaiman, prestij dan karyanya adalah antara yang terbaik di Malaysia. Bagi anda yang ingin menikmati perjalanan hidup seniman hebat ini pastikan pameran ini menjadi satu daripada agenda wajib.

No comments:

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...