KEBANYAKAN karya penulis muda yang terhimpun dalam Antologi Karya Sasterawan 2011 ini marak dengan api perjuangan. Definisi perjuangan itu sendiri luas maka tidak semua perjuangan yang diungkapkan terarah kepada politik.
Perjuangan menegakkan bahasa, menentang persepsi dan kebenaran agama antara yang boleh ditelusuri menerusi 30 cerpen, empat fragmen novel dan 34 puisi hasil karya 49 penulis dari seluruh negara.Antologi Karya Sasterawan 2011 yang terbit sebagai dokumentasi acara dwitahunan, Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) ini bukan saja sebagai testimoni kepada sebahagian penulis, bahkan lebih jauh menjadi penanda aras kepada dunia kesusasteraan Malaysia terutama membabitkan penulis muda.Karya yang terpilih dalam antologi ini memiliki kekuatan tersendiri.
Ada antara tulisan yang termuat adalah karya yang sudah dinobatkan sebagai pemenang dalam pelbagai sayembara misalnya Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), Hadiah Sastera Berunsur Islam, Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).
Namun ada juga karya yang yang tidak bersandar kriteria berkenaan sebaliknya terpilih atas faktor penulis dengan keperibadian karya yang kuat, pengarang yang menulis dengan aliran yang mewakili zamannya dan karyawan yang berpotensi berdasarkan prolifik berkarya.
Justeru, antara karya yang menyerlah dalam buku ini adalah The Dodger Dipper tulisan Aidil Khalid. Cerpen yang tersiar di Berita Minggu pada 28 Mac 2009 ini digarap bijak, licik dan penuh satira. Menyindir dasar kerajaan yang mengangkat Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Aidil sangat bijak mengalirkan ideanya lewat cerpen ini.Begitu juga Saharil Hasrin Sanin yang kali ini menyenaraikan cerpen bertema perjuangan dengan latar Palestin dan Israel tetapi diolah dengan nuansa romantis lewat Cinta di Dasar Al-Aqsa.
Sebagai buah tangan PPMN 2011, Antologi Karya Sasterawan 2011 adalah bukti sensitiviti penulis muda terhadap pelbagai isu yang berada di sekeliling mereka. Dari aspek politik, sosial mahupun ekonomi, mereka sangat bijak berkias menuang kreativiti lalu berhasil mengkritik dan menegur masyarakatnya dengan amat berhemah.Jika mungkin ada yang mengandaikan Malaysia tiada pengganti Sasterawan Negara terbilang sedia ada, amat nyata mereka tidak dekat dan tidak tahu akan dunia sastera.
Antologi ini adalah bukti yang amat jelas Malaysia memiliki barisan penulis muda yang sangat hebat, kritis dan melontar teguran dengan cara beradab dan bersendi agama. Kalau mahu dibandingkan dengan penulis muda Indonesia dan Filipina hari ini yang lebih berani mengkritik masyarakatnya tetapi dengan melanggar adat dan adab ketimuran dan agama, penulis muda Malaysia nyata jauh lebih bijak dan berhemah dalam berkarya.
p/s Cerpen saya "Adiba Seorang Ultraman" pun turut terselit di dalam himpunan ini :D
No comments:
Post a Comment