BUDAYA menunjukkan bangsa, manakala berpakaian menunjukkan jiwa. Dalam budaya Melayu, bukan hanya pantun atau khazanah sasteranya yang mengandung maksud, sebaliknya etika berpakaian juga punya falsafah tersendiri.
Misalnya, tengkolok atau disebut juga sebagai destar, setanjak dan setangan kepala bukan hanya sekadar hiasan kepala, sebaliknya ia adalah ciri keunikan dan keindahan dalam tradisi busana lelaki Melayu dan ada ketikanya pelengkap ketampanan kaum Adam.
Hampir semua peradaban dunia memiliki atau memakai hiasan kepala seperti lilitan dengan tali, kulit, rumput dan daun kumpulan etnik di Afrika dan Amerika Latin sehingga peradaban Yunani, golongan pelaut Polinesia dan masyarakat Mesir Purba.
Bezanya, budaya Melayu memiliki takrif tersendiri dalam hiasan kepala yang dipakai pada acara istimewa misalnya majlis membabitkan urusan raja atau perkahwinan.
Bukan sekadar pelengkap busana, reka bentuk destar yang terbahagi kepada bentuk asas dan bentuk hiasan membawa konotosi membabitkan maruah, martabat dan budaya seperti yang dirungkai dalam buku Destar Warisan Malaysia: Koleksi Terpilih tulisan Wan Yahaya Abdullah.
Cara membentuk dan mengikat destar yang bermacam jenis menggambarkan tingginya daya kreatif pereka bentuk Melayu tradisi kerana meskipun dicipta sejak zaman-berzaman, keaslian bentuknya kekal dan tidak berubah-ubah terutama daripada segi lipatan dan garis.
Nilai setiap solekan destar itu melebihi fungsinya, manakala falsafah pula terpancar melalui susun garis, warna, corak dan imbangan yang meletakkan setiap solekannya berbeza.
Pengadunan dan solekan adalah bayangan penyataan jiwa pencipta seperti pantun Melayu yang akrab dengan alam sehingga tidak hairanlah solekan destar turut mengambil motif bentuk daripada alam sekitar.
Nama setiap solekan memperjelaskan kenyataan itu misalnya Mumbang Belah Dua, Sekelongsong Bunga dan Pucuk Rebung Cogan Daun Kopi, selain nama haiwan seperti Ayam Patah Kepak, Balung Ayam, Pari Mudek, Helang Menyongsong Angin atau nama yang menampilkan penyataan seperti Dendam Tak Sudah, Dagang Sakit di Rantau juga Bugis Tak Balik.
Sementara, setiap sultan di negara ini mempunyai destar dengan solekan tersendiri mewakili negeri yang diperintahnya.
Setiap solekan destar diperkemaskan dengan hiasan destar atau disebut jata destar sehingga belum pernah terjadi, sultan memakai jata destar negeri yang tidak diperintahnya.
Yang Dipertuan Agong menggunakan destar solekan Dendam Tak Sudah, manakala solekan Lang Menyongsong Angin dikenakan oleh Sultan Pahang; Ayam Patah Kepak (Sultan Perak) dan Ketam Budu (Sultan Kelantan) serta destar Pembesar Melayu Sarawak dikenali dengan solekan Bugis Tak Balik.
Uniknya dalam budaya Melayu, setiap pilihan kain yang digunakan bagi membentuk destar membawa maksud tersendiri seperti destar berwarna tanah gelap bermaksud si pemakai adalah lelaki tua, manakala orang muda selalunya memilih destar berwarna tanah muda.
Warna putih dan kuning hanya untuk sultan; ungu (putera sultan atau undang luak); hijau (datuk); biru (laksamana); hitam (datuk adat atau datuk bergelar) sementara hitam polos untuk pendekar.
Corak dan ragam hias kain destar juga ada maksud dan pengkhususannya misalnya corak bunga jong sarat hanya untuk raja yang turut mengenakan corak bunga penuh atau corak teluk berantai; pola bunga tabur (datuk bergelar) serta corak berjalur (datuk dan undang luak).
Kini, penggunaan destar masih popular dalam acara rasmi istana selain dikomersialkan oleh golongan mak andam sebagai pelengkap busana pengantin lelaki tetapi sayangnya tahap pengetahuan mengenai falsafah dan semangat setiap solekan destar itu masih tidak diketahui di kalangan masyarakat.
Apatah lagi dengan timbulnya banyak solekan destar gaya moden yang mungkin hanya dihasilkan atas kreativiti pereka tanpa memiliki falsafah di sebaliknya.
Justeru bagi anda yang ingin meneroka keunikan budaya Melayu yang diungkap melalui solekan destarnya, buku ini patut dijadikan rujukan kerana berbusana lengkap gaya Melayu ditambah pengetahuan tentang setiap falsafah di sebaliknya membuatkan anda lebih tampan dan terampil!
No comments:
Post a Comment