Friday, March 22, 2013

The Bookseller of Kabul







Buku ini boleh disorot dalam dua persepsi, kewartawanan atau hak privasi keluarga yang didokumentasikan dalam naskhah ini. Asne Seierstad adalah wartawan Norway yang berkenalan dengan seorang penjual buku bangsa Afghanistan, Shah Muhammad Rais di lobi sebuah hotel tidak lama selepas tragedi September 11 2001.

Kemudian, hasil persetujuan bersama, Seierstad tinggal bersama keluarga besar lelaki itu (didalam buku ini Rais dinamakan Sultan Khan) yang terdiri daripada dua isteri dan anak-anaknya selama sebulan. Ia tidak ubah seperti rancangan realiti yang melambak di stesen televisyen di seluruh dunia. Bagaimanapun apabila naskhah The Bookseller of Kabul ini siap, lelaki itu menerusi isteri keduanya menyaman Seierstad.

Namun, kontraversi yang menyelubungi Seierstad tidak mencacatkan penceritaan The Bookseller of Kabul. Buku ini bukan buku fiksyen sebaliknya lebih kepada autobiografi keluarga Rais juga rakaman sejarah dan budaya Afghanistan.

Secara ringkasnya, buku ini merakamkan kisah Sultan Khan hasil pemerhatian Seierstad selama tinggal bersama keluarga itu. Seierstad merakamkan kekuatan mental Sultan Khan bukan hanya sebagai seorang penjual buku tetapi juga sebagai ‘penyimpan’ khazanah kesusasteraan dan kebudayaan Afghanistan.

Sultan Khan sangat unik, seunik dan kelam kabutnya profail Afghanistan sebagai sebuah negara. Setiap kali kepimpinan Afghanistan bertukar buku-bukunya akan dibakar. Kedainya juga dirompak, malah dia juga pernah dipenjarakan atas alasan menjual buku-buku yang tidak selari dengan dasar pemerintahan.

Namun ia tidak mematahkan semangat Sultan Khan, dia bangun setiap kali koleksi buku-bukunya musnah. Belajar dari pengalaman, buku-buku yang dianggap boleh mencetuskan kontroversi disorokkan dan dijual kepada mereka yang benar-benar berminat. Sultan juga dengan mudah memperoleh manuskrip purba dan buku-buku koleksi terhad yang dijual di pasaran gelap berikutan muzium dan perpustakaan di Kabul dirompak ketika peperangan meletus. Malah ada kala, dia membeli koleksinya sendiri.

Buku ini boleh dianggap sebagai rakaman sejarah untuk Afghanistan sebagai sebuah negara sebaik saja demokrasi dipulihkan di sana. Bagaimanapun dari satu sudut, Seierstad menuliskan tentang golongan perempuan di Afghanistan yang masih hidup tertekan gara-gara amalan poligami yang berlaku berleluasa. Malah berkahwin lebih dari satu itu dilihat sebagai simbol status dalam budaya di negara itu.

Sultan diceritakan mengambil gadis belasan tahun sebagai isteri dan lelaki beristeri lebih itu dilihat sebagai simbol status dalam budaya di Afghanistan.

Meskipun buku ini bukan novel, tetapi penceritaanya sangat dekat dengan pembaca. Sebagai wartawan, Seiersted bijak menuliskan fakta dengan gaya fiksyen seolah-olah naskhah ini adalah karya kreatif. Beberapa idea di dalam buku ini misalnya pertembungan nilai barat dan Islam menyingkap sudut pandang wartawan barat bukan beragama Islam.

The Bookseller of Kabul terjual setengah juta naskhah di negara-negara Scandinavia dan sudah diterbitkan di 17 negara. Di situlah, kontroversi bermula apabila Suraia Rais, isteri kedua Shah Muhammad Rais melaporkan rasa tidak puas hati terhadap penghasilan buku itu dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Seierstad. Seierstad dituduh menceroboh hak peribadi keluarga berkenaan.

Pada 24 Julai 2010, Seierstad didapati bersalah atas tuduhan kecuaian dalam menjalankan kerja kewartawanannya dan diarahkan untuk membayar jumlah kerosakan kepada Suraia. Bagaimanapun, Seierstad membuat rayuan dan memenanginya.

Rais dilaporkan cuba mencari perlindungan di Norway atau Sweden sebagai pelarian politik kerana buku tulisan Seierstad menyebabkan kehidupannya anak beranak di Afghanistan tidak lagi aman. Rais turut menerbitkan bukunya sendiri bertajuk, There once was a bookseller in Kabul yang diterjemahkan dalam bahasa Norway, Brazil dan Portugis.

2 comments:

imlan adabi said...

SEDANG menikmati AYAM PATAH KEPAK. Bahasa anda lancar, ada magis pada setiap larik ayatnya. Anda kian matang. Terus berkarya dan saya sokong dari jauh

Hafizah Iszahanid said...


Terima kasih banyak untuk sokongan... :D

Apa ada dengan Aku Anjing ?

Aku Anjing mungkin tajuk yang mengejutkan untuk sebuah kumpulan cerpen. Namun bagi pengarang, Saifullizan Yahaya, Aku Anjing dipil...