Tajuk: Merentas Gerhana
Penulis: Norhisham Mustaffa
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku
Malaysia (ITBM)
Tahun Terbit: 2012
Nombor Resit: ITBM02000041
Merentas Gerhana tulisan Norhisham
Mustaffa mengajar saya banyak perkara. Antaranya tentang ketelusan dalam
memilih pemimpin dan keduanya kesetiaan juga kepercayaan tidak seharusnya
dikhianati.
Selebihnya, Merentas Gerhana
mengasyikkan dalam kelas tersendiri. Sastera adalah medium propaganda
politik yang hebat. Namun, Norhisham Mustaffa memilih jalan tengah dalam
memperjuangkan apa yang dia percaya.
Antara dialog dalam naskhah ini
yang mengesankan adalah lontaran kata watak utamanya, Junaidi apabila dia cuba
meyakinkan Ustaz Zubir tentang perjuangan yang dipertahankannya; “, ..
adalah silap menjadikan agama, apatah lagi mengeksploitasi agama, hanya untuk
memenuhi cita-cita politik seseorang. Agama itu nilai, cita-cita lebih banyak
dirangsang oleh kehendak individu yang lupakan nilai”.
Bukan semua pengarang
berupaya mengangkat tema politik dengan baik kerana sifat politik itu sendiri
berkait dengan situasi yang merumitkan dan kadang kala menjerat. Namun,
Merentas Gerhana adalah antara karya yang berjaya.
Saya fikir, ketika Norhisham
Mustaffa menghasilkan Merentas Gerhana sekitar 1990-an, apa yang ingin
disampaikan adalah warna politik persekitarannya semata-mata. Norhisham berasal
dari Kelantan dan menetap di Kelantan.
Namun, hampir 20 tahun
sesudah itu, Merentas Gerhana menjadi semakin relevan dan lebih menarik ia
bukan lagi warna politik Pasak Tembaga tetapi refleksi sebuah negara bernama
Malaysia.
Novel ini berkisar tentang Kampung
Pasak Tembaga yang menjadi kalut berikutan kematian wakil rakyatnya, Haji
Lajiman dari PARKITA.
Kerusi kosong itu menjadi
tumpuan dan rebutan. Semua mata parti politik terarah ke situ. Junaidi,
bagaimanapun bukan calon pilihan. Dia rapat dengan Haji Lajiman, tetapi
tidaklah sampai terfikir untuk bertanding.
Antara PARKITA dan Parti
Ikhwan jugalah peperangan akan meletus. PARKITA mahu meletakkan anak tempatan
sebagai calon manakala Parti Ikhwan pula cuba merampas Pasak Tembaga.
Pada
peringkat PARKITA, mereka mahukan anak tempatan sebagai calon. Mereka mahukan
Haji Ahmadon Naib Ketua PARKITA, Pasak Tembaga dan bukan Kadar Mahbub
yang kaya raya dan diketahui pula sangat murah menghulur bantuan kewangan.
Namun bagai diperibahasakan, ada udang di sebalik batu, apatah lagi Kadar
Mahbub bukan anak tempatan.
Haji Ahmadon menolak untuk menjadi
calon yang kemudiannya membuka peluang kepada Nik Kamarudin dan Wan
Zuhaila.
Nik Kamarudin mewakili suara
Pemuda, manakala Wan Zulaiha menawarkan diri untuk menyambung aspirasi
perjuangan PARKITA dengan meletakkan dirinya sebagai calon wanita berkarisma.
Bagaimapaun, Datuk Syawal yang
mengemudi PARKITA di Kota Bharu, lebih cenderung memilih Kadar Mahbub.
Dalam kekalutan PARKITA mencari
siapa calon terbaik, Parti Ikhwan meletakkan Ustaz Zubir sebagai taruhan.
Lelaki lulusan Timur Tengah yang baik akhlaknya itu dilihat taruhan terbaik
Parti Ikhwan untuk menawan kerusi Pasak Tembaga.
Peluang itu terbuka luas
apabila PARKITA mempertaruhkan Murad – sang opurtunis yang sebelum
ini bersungguh-sungguh menolak untuk dicalonkan. Murad dilihat menggunakan
jalan belakang untuk naik dengan menidakkan suara majoriti.
Dari situ bermula perjalanan
kisah Junaidi yang bertanding sebagai calon bebas. Dia diangkat sebagai calon
bebas oleh orang kuat PARKITA di Pasak Tembaga yang tidak mahu melihat calon
yang tidak berwibawa menjadi wakil mereka. Pasak Tembaga yang dulu
didominasi dua fahaman politik pecah menjadi tiga.
Pembacaan saya pada tahap
ini kemudiannya bertimpa dengan berita calon bebas yang mewarnai landskap
Pilihan Raya Umum ke -13 yang baru lalu. Bukankah pada PRU lalu, ramai calon
bebas muncul kerana hilang kepercayaan kepada calon atau parti ? Hingga di
sesetengah lokasi terjadi pertembungan tujuh penjuru ?
Barisan Nasional (BN) juga
turut menerima kejutan apabila Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim
turut bertanding atas tiket bebas di Parlimen Kuala Kangsar.
Lihat bagaimana relevannya
naskhah ini meskipun pertama kali hadir dalam nuansa kesusasteraan Malaysia
pada 1990-an.
Bukan itu sahaja, lebih
menarik, taktik kempen dan perang psikologi di dalam naskhah ini hampir tepat
dengan dunia realiti.
Realitinya, PRU13 dicemari dengan
pelbagai insiden kempen yang jauh dari biasa. Keluarbiasaan itu juga yang
terakam dalam Merentas Gerhana. Dari isu membakar pusat berkempen hingga
mencabut bendera lawan dan cubaan membeli dan memujuk calon semuanya tercatat.
Bezanya, tiada adegan video porno
yang tersebar tetapi persoalan kemampuan Junaidi sebagai seorang lelaki
yang menjadi taruhan.
Norhisyam Mustaffa menggarap
naskhah ini dalam bahasa yang ringkas tetapi tepat dan baik. Ketepatan
pemilihan perkataan itu sangat penting kerana naskhah ini dibangunkan dengan
dialog.
Politik sebenarnya sangat
intim dengan orang Melayu namun tema sebegini sangat jarang diangkat oleh
pengarang Melayu. Norhisham Mustaffa berjaya membuat saya berdebar-debar selagi
naskhah ini belum sempurna dihadam.
Tidak susah juga untuk meneka,
siapa sebenarnya yang dirujuk sebagai PARKITA dan siapa pula Parti Ikhwan.
Pembaca yang tidak peka akan perkembangan politik negara pun mampu menemukan
jawabnya.
Menangkah Junaidi sebagai
calon bebas? Atau Ustaz Zubir yang lebih islamik itu yang berjaya menawan hati
pengundi Pasak Tembaga? Atau penggundi Pasak Tembaga sebenarnya sangat setia
dengan PARKITA dengan tidak ambil peduli siapa calon yang dipertaruhkan?
Tidak adil untuk saya
seorang sahaja berdebar, anda juga harus merasakannya justeru jemputlah
membaca.