Saya selalu terkedu apabila ada yang bertanya begini, bila novel baru ?
Aduyai, jenuh juga hendak menjawab. Ada tu ada tapi macam tiada. Saya masih lagi dalam usaha menghasilkan novel baru. Masih banyak lagi perlu dibaiki. Insya allah, tahun hadapan mungkin ada. Mungkin sajalah :)
Jujurnya, saya dah setahun tersangkut pada manuskrip yang satu ini. Setahun buntu macam mana hendak panjangkan lagi sebab manuskrip asal pendek.
Mujur juga ada kawan novelis yang baik hati, ha.. yang terkenal dengan e-novel Guys Next Door (GND) itu, sudi memberi petua. * Terima kasih untuk Che Rose *
Insya allah, lepas ini mesti boleh siapkan manuskrip yang sudah setahun tersadai itu. Insya allah, insya allah.
Manuskrip itu tentu saja, sambungan yang dulu, Lelaki Januari.
Nanti ya, saya paste sedikit di sini, buat dibaca bersama : D
Jumpa lagi !
Aku
kira kisah pertemuan itu habis di situ. Tapi, nyata dia adalah
kemanisan masa lalu yang tidak upaya dilupa. Walau dia hadir sekejap
tetapi dia bagai kekal dalam ingatan dan tidak pernah upaya pudar.
Setiap kata dan gelak tawanya dirakam kemas dan tidak hilang dalam arus
kehidupan.
Benar dia istimewa. Dan mungkin kerana itu pagi tadi, aku bermimpikan dia.
Waktu
aku terjaga, hujan lebat menyambut, kabus melitup pandangan dan terasa
sejuk teramat. Telefon bimbit yang diletakkan di hujung kepala diambil,
sudah jam 7 pagi. Aduh, terlepas solat subuh gara-gara mengenang
kemanisan masa lalu itu !
Aku
bingkas bangun dari katil. Penghawa dingin ditutup. Sejuk menyerkup
seluruh kamar dan menusuk hingga ke tulang hitam. Ada titik-titik hujan
melekat di jendela kaca dan ada kesan wap juga di situ.
Aku
buka daun jendela, tempias hujan mencuri masuk. Bunyi hujan yang lebat
bagai mahu meruntuhkan langit. Pantas aku merapatkan kembali daun
jendela. Tempias hujan sempat menampar pipi.
Lampu
dipasang, bilik terang. Namun aku kembali berbaring di katil. Aku
teringatkan mimpi sebentar tadi, mimpi selepas waktu subuh. Mimpi pada
jam 7 pagi. Dia teringatkan kemanisan mimpi itu. Aku teringatkan lelaki
di dalam mimpi itu.
Ali Syukri , apa khabar ?
Sejak
pertemuan minggu lalu, aku jadi gila bayang. Aku terpandang Ali Syukri
di mana-mana. Dan hari ini, dia menyusup masuk dalam mimpi.
Aku
pejam mata. Pejam serapat mungkin seraya menarik nafas panjang dan
melepaskannya perlahan-lahan. Mengapa perlu termimpi-mimpi akan lelaki
ini?
Tapi sampai bila hidup harus ditentukan seorang lelaki? Sampai bila kisah hidup perempuan itu perlu bertunjangkan lelaki?
Apakah manusia bernama perempuan itu tidak boleh hidup dan tidak boleh berjaya tanpa lelaki?
Aku
terlihat ada bayang-bayang kecil warna warni dalam pekat gelap
pandangan. Ku buka mata pantas. Serentak itu, telefon tangannya
berbunyi.
Lihat, hidup tidak pernah sunyi tanpa Ali Syukri di sisi, bukan?
Telefon
yang menjerit-jerit tadi mati sendiri. Aku tahu siapa yang menelefon,
dan sengaja biarkan saja ia berdering. Nanti, tentu sahaja telefon itu
akan menjerit lagi seperti selalunya. Si pemanggil memang jarang cepat
berputus asa.
Aku
menuju ke jendela, tangan pantas menyingkap langsir. Waktu langsir
tingkap disingkap, cahaya matahari berebut masuk. Hujan sudah teduh.
Langit Brooklyn Heights tempat aku menumpang teduh, masih basah dengan
sisa hujan.
Lalu
hujan itu bagai halangan-halangan dalam hidup. Apabila hujan teduh,
matahari pun bersinar. Selebat mana hujan pun, ia pasti ada noktah. Dan
seperti itulah hidup. Seteruk mana ujian, tetap ada sinar harapan di
hujung jalan.
Hidup
perlu positif. Hidup ini untuk membahagiakan diri sendiri. Hidup ini
adalah perjuangan. Dan Laila, hidup perlu diteruskan ! Hati
mengingatkan.
Dan
berdering lagi telefon. Memang pemanggilnya jarang berputus asa. Dan
hidup juga harus begitu, jangan cepat mengalah jangan mudah berputus
asa. Aku menyimpulkan sambil mencapai telefon.
“Ya Kak Jun..,”
“Laila sayang, lembutkanlah hatimu dik.. untuk emak. Kasihan dia rindukan kamu,”
Air mataku luruh.
Bukanlah aku membelakangkan emak, meminggirkan emak dalam hidup ini. Tapi, aku tidak pasti
“Laila sudah buat keputusan? Laila balik ya ?,”
Aku tarik nafas perlahan. Mataku pejam rapat. Kak Jun membuat aku lebur dalam pertanyaan lewat pertanyaan.
Jujurnya, aku tidak pun mahu mencari jawabnya. Aku sudah tidak pernah memikirkan persoalan pulang lagi sejak 12 tahun lalu.
12
tahun yang menghiris hati. 12 tahun yang penuh resah. Tapi adilkah
ketidakpulangan ini kepada emak? Kepada abah? Aku pejam mata.
Matahari
pagi dari langit yang basah bagai jatuh ke kepalaku. Anginnya yang
dingin itu bagai mencucuk hingga masuk ke dermis. Lalu aku menjadi
terkurung, sejuk dan beku.
Untuk kesekian kalinya, selepas 12 tahun aku terfikir, bila mahu pulang Delaila Ahmad Lokman ?
“Emak sudah lama memaafkan,”
Kata-kata emak minggu lalu menusuk jauh ke sukma.
Hati sebak.
Hati menangis, sebenarnya.
Aku tahu emak sudah memaafkan. Abah pun, walau tidak pernah melafazkan yang serupa, aku pasti abah lama sudah memaafkan.
Hidup
bukan hidup namanya jika tiada sepak terajangnya. Tiada duri dan
ranjau. Hidup ini misteri Laila, itu yang selalu Kak Jun katakan. Kak
Jun yang baik hati dan murah dengan senyum.
“Hati kalau dibiarkan dipenuhi dendam akan jadi kotor,” Kak Jun, selalu sahaja ada kata-kata hikmat.
* Lelaki Januari oleh Hafizah Iszahanid - Hak cipta terpelihara. Dilarang menyalin semula, menerbitkan dan apa saja aktiviti yang melanggar akta hak cipta.
6 comments:
wahh..menarik ni!cepatlah siapkan.tak sabar nak tahu jalan cerita seterusnya.hmm..lagi satu, kalau boleh tak payahlah letak password segala bagai nak tahu readers blog ni robot ke bukan ye..heee..sebabnya ni antara punca readers mls nak bagi komen kt blog (ni cadanganlah..kalau rasa nak privacy dan security, nak buat macam mana kan.hehe..).Maaflah kalau teguran ini menyinggung hati ye.
Hai cik matahariku,
He he he... terima kasih sudi baca. Ha, ya akan dipercepatkan menyiapkan novel tu.
Bab password tu hi hi hi.. :)
Kata orang, novel ni kalau lagi diperam, lagi masak ranum, gitu :)
Nissa' ,
Harap-harap begitulah Yong! he he he
Nissa' ,
Harap-harap begitulah Yong! he he he
terkenal? hehehe... mana ada... biasa aje saya ni...
tapi gitulah saya kalau sengkak, biasanya saya akan lebih dialog... siap berlakon la depan pc... tinggal lagi tak pi audition aje... hahaha
chaiyok!
Post a Comment