Bab 6
Bagaimana untuk menjelaskannya? Mata sudah
berpinar dan peluh mula merenik. Aku resah sendiri. Semua serba tidak kena,
duduk, berdiri dan kemudian memilih untuk berbaring di ranjang.
Tuhan,
kesakitan yang datang mencengkam. Aku menutup mata, perut yang sakit dipegang
kuat. Kalaulah genggaman tangan ini meredakan sakit yang datang dan pergi, Aku
terfikir sendiri.
Aku
tidak pasti apakah masanya sudah tiba. Tapi kandungan baru mencecah tiga bulan.
Masih terlalu jauh untuk masa melahirkan. Lalu, apakah kesakitan ini?
Aku
terasa peluh sudah membasahi dahi. Sakit yang ditanggung membuat aku merengkuk
ke kiri dan ke kanan. Tapi sakitnya datang dan pergi. Sakit yang mencucuk,
mencengkam dan bagai menarik semua urat saraf.
Aku
memikirkan perkara paling buruk ketika itu. Mungkinkah keguguran ?
Selalunya, 14 minggu pertama kehamilan,
keguguran biasa terjadi. Dan dari fakta yang Aku baca dalam 50 peratus
kehamilan akan berakhir dengan keguguran.
Lupakan statistik!
Aku
tidak upaya mengingati kiraannya ketika ini. Lapan minggu atau 12 minggu? Atau
lebih. Gagal mengingat detik akhir kunjungan ke klinik Dr Brosnan. Saat ini
hanya ada kesakitan.
Morning sickness
membuat aku seakan tidak berdaya. Morning
sickness ada kala membuat aku hilang upaya. Mulanya tiada morning sickness tetapi tidak lama Dr
Brosnan itu mengesahkan kehamilan, ia datang dijemput.
Morning sickness selalunya menandakan
peluang untuk gugur agak rendah, kata-kata Dr Brosnan bergema-gema.
Dalam
sakit, aku terasa ada bendalir merah merembes. Aku panik. Sungguh panik.
Semalam tompok merah yang sama ku kesan. Hari ini, ia datang lagi. Merahnya
terang, garang. Aku cuba memujuk hati, mungkin semua ini masih normal. Mungkin
betul tiada apa-apa berlaku. Mungkin baby
bergerak, aku cuba menenangkan diri sambil jari jemari terus mengusap perut.
Aku
cuba bertenang. Cuba mengatasi panik dengan berbaring. Ali Syukri, entah di mana
dia saat ini.
Rasa
sakit perlahan berkurang dan hilang.
Pagi.
Aku buka mata perlahan sebelum rasa sakit kembali menyerang. Sakitnya seperti
semalam, sakitnya, tuhan sahaja yang tahu!
Seperti
semalam, terasa ada bendalir panas mengalir. Tompok-tompok merah itu kembali
tapi kali ini ia berubah warna. Dari terang menjadi gelap dan makin gelap.
Dan,
perut kejang. Ya Allah ya tuhan, hikmah apakah ini?
Peluh
merenik di dahi. Hendak bergerak langsung tidak mampu. Saat aku teringatkan Ali
Syukri sungguh-sungguh. Tetapi lelaki itu tiada di sisi. Kelmarin aku merajuk panjang dengan Ali
Syukri.
Beberapa hari sudah, aku sudah
mengesan tompok-tompok merah dan saat itu hatiku sudah dihambat resah.
Aku
berharap pada Ali Syukri untuk meleraikan resah itu, untuk menjawab
kerisauanku. Ali Syukri itu pelajar perubatan sepatutnya dia tahu, kalau tidak
banyak sedikit pun jadi. Buat menyedapkan hati isteri.
Namun
waktu aku berkongsi resah tentang tompok-tompok merah dia hanya buat endah tak
endah.
“Biasalah tu..,” Ali Syukri masih berteleku
pada buku tebal di hadapannya. Dia langsung tidak mengangkat muka.
“Tapi
awak, saya risaulah awak… ,”
Ali
Syukri masih kaku.
“Awak…,”
“Emmm…apa…,”
“Saya risau..,”
“Tak
ada apalah..,” Ali Syukri masih tidak memandang aku yang berdiri di belakang.
Aku
jadi putus asa untuk bercakap dengan Ali Syukri. Dia bagai berada dalam
dunianya sendiri. Dunia kampusnya. Dunia fakultinya. Dunia yang ada dia dan
kawan-kawannya.
Dan
sejak dua hari lalu, Ali Syukri tiada di rumah kecil sewaan kami. Ali Syukri
berada di Scotland mengikut kawan-kawan fakulti dan pensyarahnya menghadiri
seminar perubatan. Seminar yang berlangsung dua hari.
“Saya
balik tiga hari lagi. Seminar tu dua hari, tapi sehari tu saya hendak ikut
kawan singgah di rumah sepupunya,” Ali Syukri hanya sekali lalu memberitahu.
Sambil itu tangannya laju melipat baju dan disumbat ke dalam beg sandang warna
kelabu.
“Saya
rasa tak sihatlah awak.. awak perlu pergi ke ?,” Aku masih cuba meraih simpati.
Sungguh, aku rasakan tubuhnya bagai ada yang tergendala sistemnya. Terasa bagai
ada saraf dalam tubuh yang tidak berfungsi sebaiknya.
Ali
Syukri patutnya lebih tahu.. Ali Syukri patutnya lebih tahu.. hatiku mengulang-ulang
ayat itu.
“Kalau
ada apa-apa call Kak Nadra.. ,” Ali
Syukri acuh tak acuh masih. Beg sandang kelabu disangkut di bahu.
Sesudah
menghulur tangan, sesudah aku menyambut
salam dan dahi ku panas seketika disinggahi kucup bibir si suami, Ali Syukri
berlalu pergi.
Dari
jendela kecil rumah jenis tudor tidak jauh dari kampus, aku melihat Ali Syukri
melangkah masuk ke dalam sebuah kereta warna hitam. Dalam kereta itu aku
sekilas melihat ada empat orang. Aku tahu, ada lelaki ada perempuan dalam kereta
itu. Kawan-kawan Ali Syukri. Kawan-kawan fakultinya. Hati dihambat cemburu.
Aku
juga melihat Wairah di dalam kereta itu. Wairah bukan pelajar perubatan. Wairah
bukankah pelajar undang-undang? Mengapa dia ada di situ?
Mata
kami bertentang dan Wairah itu tersenyum seolah-olah mencapai kemenangan yang
besar. Mengapa adakah dia berasa menang saat itu, saat Ali Syukri keluar
meninggalkan aku untuk bersamanya dan kawan-kawan lain? Apakah itu definisi
kemenangan dan senyuman Wairah?
“Syuk..,” peluh mengalir seraya nama itu disebut. Rasa sakit
mencucuk-cucuk datang. Ingatan pada Ali Syukri tidak berkurang. Kalaulah Ali
Syukri ada di sisi.. kalaulah Ali Syukri ada di sini…
Aku
gagahkan diri. Nombor telefon Kak Nadra didail. Lama menunggu, Kak Nadra tidak
mengangkat pun. Aku terasa sejuk sungguh. Terasa tubuhnya sudah kuyup dengan
peluh.
Adakah
sudah tiba masa bersalin? Aku menghitung sendiri. Rasanya tidak. Kandungan
masih dalam peringkat tiga bulan pertama. Masih jauh lagi perjalanan.
Tapi
mengapa contraction datang dan pergi sangat kerap dan seakan-akan merentap
tangkai jantung? Ya Allah. Hanya tuhan yang tahu kesakitan ini.
Dan
kemudian, rasa sakit datang menekan. Pandangan jadi gelap dan terasa bahagian
bawah tubuh sudah kuyup. Dalam hati, aku berdoa semoga Tuhan melindungi.
Namun
di sebalik doa itu, ada dendam tersimpan kalau terjadi celaka pada kandungan
ini, sungguh aku tidak akan maafkan Ali Syukri! Tidak akan!
“Kak
Nadra..,” Aku hanya menyebut nama itu lemah sebaik talian di sebelah sana
bersambut.
“Laila..,” Kak Nadra dihujung sana
separuh panik.
*******************
“‘Tiada
apa boleh dibuat untuk mencegah keguguran jika ia mahu berlaku,’ Kak Nadra
memujuk tenang. Tapi aneh aku melihat dia juga mengetap gigi dan riak wajahnya
menzahirkan marah.
Aku
masih diam. Tiada kekuatan dan tidak berkeinginan juga hendak melayan perbualan
Kak Nadra. Bilik yang kuhuni ini terasa sangat dingin. Aku menarik selimut.
Selepas
disahkan gugur, selepas menjalani proses
dilatation and curettage
(D&C) aku dimasukkan ke wad. Kata doktor untuk tempoh bertenang dan
berehat, aku turutkan saja. Lagipun aku kira Ali Syukri sudah balik dari
berfoya-foya dengan kawan-kawan fakultinya di Scotland.
“Syuk
ada call Laila?,” Kak Nadra bertanya.
Aku diam. Dia langsung tidak menelefon sejak minit pertama masuk ke kereta
bersama kawan-kawannya itu.
“Dia
tak call ?,” Kak Nadra mengulang
tanya.
“Tak..
Syuk cuma pesan sebelum dia ke Scotland kelmarin, kalau sakit lagi pergi ER
kalau ia menjadi sangat teruk atau darah
tidak berhenti,” aku kalah akhirnya. Pesanan Ali Syukri yang satu itu kuat di ingatan.
Dan pesanan itu yang aku khabarkan pada Kak Nadra.
Aku
terasa hidup ini kosong dan lapang. Tenang sesekali tidak. Benda kecil dalam
perut yang sering ku elus sebelum lena sudah tiada lagi.
“Laila
masih muda. Boleh cuba lagi…,” Kak Nadra,
yang berusia 33 tahun itu memujuk lagi. Kak Nadra tinggal tidak jauh
dari rumah kami. Dia pelajar PhD yang masih bujang.
Lalu,
aku tidak fikir dia memahami apa yang aku rasakan saat ini.
“Scotland bukanlah jauh sangat pun.. kalau setakat hendak pergi memancing
tu!,”
“Memancing kak?,” aku memandang Kak Nadra tepat pada wajahnya. Kak Nadra
berwajah terkejut – serba salah juga.
“Memancing kak?,” aku mengulang tanya. Kak Nadra tidak menjawab. Riak
serba salahnya makin jelas. Hatiku cuak.
Kak
Nadra berwajah serba salah.
“Err…
dia tak beritahu Laila?,”
Oh Ali
Syukri! Amarah ku meluap-luap.
“Apa
khabar?,” ada suara dari belakang. Aku memandang. Ali Syukri tersenyum di sebelah Kak Nadra
yang berwajah gelisah. Aku memalingkan muka. Rasa sakitnya hati belum surut.
Bunyi
derap tapak kasut Ali Syukri makin dekat dan dekat. Rasa sakit hatiku pula
makin kuat dan kuat. Memancing? Fakta yang sebentar tadi terlontar dari mulut
Kak Nadra membuat hati makin tidak tenang.
“Laila
sihat?,”
Aku
memilih untuk diam. Jika aku sihat, aku tidak akan terlantar di sini Ali Syukri
! Hati menjerit. Ruang jadi sunyi dan senyap sebelum Ali Syukri melontar tanya;
“Laila
marah ya?,”
Adakah
aku tidak berhak marah?
“Laila..
saya minta maaf.. saya..,” Aku tutup kedua-dua telinga. Sungguh tidak mahu
mendengar sebarang penjelasan.
Kelmarin, Kak Nadra datang ke rumah hanya untuk mendapati aku sudah
terlentang di lantai. Tumpah darah. Kandungan gagal diselamatkan. Aku
keguguran.
Waktu
dimasukkan ke wad, aku hanya ditemani
Kak Nadra. Ali Syukri masih di Scotland. Hatiku mendidih. Aku sudah
menjangkakan saat ini akan tiba. Aku sudah memaklumkan pada Ali Syukri tentang
keadaan kesihatan ku. Tentang tompok-tompok merah darah, tapi Ali Syukri buat
entah tak endah.
Dan paling
menyakitkan hatiku, bila aku menelefon Wairah
itu yang menyambut. Seingat
aku, pada Wairah sudah ku pesankan minta Ali Syukri menelefon semula. Namun
hinggalah saat ini Ali Syukri tidak berbuat demikian.
“Laila gugur Syuk,” Kak Nadra
memberitahu Ali Syukri, Kak Nadra berwajah sedih di sebelahnya.
Kak
Nadra itu bagai kakak sendiri. Kak Nadra itu pensyarah di Universiti Pertahanan
Nasional. Kami jadi akrab kerana rumah sewa yang berdekatan dan sikap
prihatinnya bukan sahaja kepada kami tetapi kepada hampir semua pelajar dari
Malaysia.
“Laila
sabar ya?,”
Aku
tidak mampu bercakap sepatah pun kata. Sakit di hati mengatasi kesakitan
keguguran. Hanya tuhan yang tahu. Hanya tuhan yang tahu!
“Laila
tidak boleh salahkah Ali Syukri. Memang dia pelajar perubatan. Tapi dia bukan
tuhan. Benda dah nak jadi.. jangan marah Ali Syukri. Tak baik. Dia suami,” Kak
Nadra memujuk sejak tadi. Sejak awal aku dimasukkan ke wad.
Aku
terasa sebak. Dalam kemarahan meluap, air mata gugur. Aku mengesat sendiri.
Suasana jadi sunyi dan senyap.
“Kak
Nadra tunggu di luar,” Aku terdengar bunyi keriutan pintu. Mungkin Kak Nadra
merasa dia hanya kacau daun saja duduk di situ.
“Laila, aku minta maaf.. ya, sepatutnya aku lebih prihatin. Sepatutnya
aku lebih mendengar,” Ali Syukri mendekatiku. Berdiri di hadapanku dan cuba memujuk.
Aku
hanya diam. Air mata terus berlinangan. Entah mengapa hati jadi sebak
sungguh.Aku memalingkan tubuh ke arah lain. Tidak sudi untuk menatap wajahnya.
Dan kalau boleh tidak mahu juga mendengar suaranya.
“Laila
jangan buat aku begini, pandang wajahku Laila,”
Aku
memilih untuk senyap. Hati sedang marah, jika aku membalas kata-katanya, aku
tahu nada suara tentu saja akan meninggi. Ku pujuk hati supaya sabar dan
tenang.
“Aku
sudah minta maaf. Ya, aku pelajar perubatan… tapi aku bukan tuhan. Aku tidak
mampu menjangkakan kemungkinan ini,”
“Tapi
aku sudah beritahu Syuk, aku sudah beritahu sejak awal. Ada tompok-tompok darah
yang keluar dua hari sebelum keguguran. Malah aku sudah beritahu sebelum kau ke
Scotland.. tapi kau tidak peduli..,”air mata makin laju. Sebak dalam hati tidak
terbendung lagi.
“Ya..
aku tahu. Aku minta maaf. Aku salah dalam soal itu. Aku minta maaf Laila…
sungguh-sungguh…,”
Aku
diam. Air mata bagai memanaskan seluruh wajah. Ali Syukri diam. Dia cuba sekali
lagi untuk berhadapan denganku, tapi aku pantas memalingkan tubuh.
“Jangan
begini Laila, beri aku lihat wajahmu.. beri aku belai wajahmu..,”
“Tak
payah, pergilah bersuka-suka dengan kawan-kawan fakulti.. itu lebih bagus,”
“Laila…,” suara Ali Syukri lirih. Sedih. Aku mahu begitu. Aku mahu dia
rasakan kesedihan dan kesakitan ini.
“Kenapa
Laila tak call saja, beritahu ? ,”
“Call?
Berapa kali aku call tapi tak angkat.. aku tinggalkan mesej tak balas.. dan
kali terakhir aku call Wairah yang angkat. Kenapa… kongsi bilik dengan
Wairah?,”
“Astagfirullah hal azim, apa pulak kongsi biliknya. Kebetulan telefon
ada padanya, dia pinjam hendak hubungi abangnya. Dia tidak pulangkan,”
“Sungguhlah tu..,”
“Laila,
jangan prasangka.. kenapa tidak tinggalkan pesan pada Wairah?,”
“Sudah
tinggalkan pesan. Dia kata ha.. ok… tapi kau tak sampai pun..,”
“Betulkah Laila ? Kalau kau pesan mesti Wairah dah beritahu.. tapi dia
tak beritahu pun,”
“Jadi
dia tidak jujurlah,”
“Jangan cakap macam tu Laila. Wairah gadis baik… dia tidak akan buat
begitu,”
“Jadi
aku perempuan jahat? Aku menipu ?,”
“Laila…,” suara Ali Syukri meninggi.
“Pergi
seminar atau memancing?,”
Kali
ini Ali Syukri tidak menjawab.
“Pergi
seminar atau memancing Syuk?,”
Ali
Syukri diam. Membuat hatiku makin panas. Membuat aku makin lemas. Kemudian kami masing-masing memilih untuk
diam. Sesungguhnya aku tidak mahu bertengkar dengan Ali Syukri. Aku tahu hukum
hakam dan adab sebagai isteri.
Namun,
aku juga punya hak dalam hubungan ini.
Kemudian, aku mendengar bunyi pintu dibuka dan derap langkah keluar. Ali
Syukri memilih untuk pergi. Dan air mataku makin laju.
No comments:
Post a Comment