Monday, March 20, 2017

Apa ada dalam akal Helen Oyeyemi ?




Jika anda mengenali Chinua Achebe sebagai novelis kelahiran Nigeria yang hebat, anda patut juga mengenali Helen Oyeyemi. Menerusi Icarus Girl, Oyeyemi ternyata sangat bijak bercerita apatah lagi manuskrip itu dihasilkan oleh pengarang itu pada usia 18 tahun!
   
Icarus Girl di tangan Oyeyemi sebenarnya adalah kisah tentang pencarian identiti anak kacukan yang selalu berhadapan dengan tekanan.
   
Jess dalam naskhah ini adalah anak lelaki Inggeris dengan perempuan asal Nigeria yang digambarkan sangat sunyi dan kerap dibuli.
 
Ketika bercuti di Nigeria, Jess mengenali Titiola atau TillyTilly, tetapi hakikat yang tidak ketahui oleh remaja itu adalah watak yang baru dikenalinya itu sebenarnya tidak kelihatan pada mata kasar.
   
Hanya Jess seorang saja yang mampu melihatnya tetapi kewujudan TillyTilly terus mengganggunya sehingga mengikut Jess kembali ke London.
   
Jess menjadi semakin bermasalah di sekolah hingga pada satu tahap kita mampu meneka TillyTilly itu sebenarnya ialah alter ego Jess.

Dari satu sudut, pembacaan naskhah ini memerlukan banyak kesabaran. Selain bergerak lambat pada bab awalnya, naskhah ini akan menjadi cerita supernatural atau dunia ghaib semata-mata jika kita tidak mampu mengaitkannya dengan pengalaman, kebudayaan dan kepercayaan mistik Nigeria atau mungkin juga tekanan lahir sebagai anak kacukan.
   
Icarus itu sendiri dalam tradisi Greek dikaitkan dengan kisah anak yang ingkar kepada nasihat bapanya, Daedalus. Jadi cubaan mengaitkan tajuk Icarus Girl dengan mitos Greek sedikit sukar.
   
Sarjana dan pengkritik sastera Inggeris melihat Icarus Girl sebagai naskhah pascakolonial yang sangat sinis dan menghentam situasi perkauman yang berlaku di Britain.
   
Bagaimanapun, Oyeyemi antara novelis British yang menarik untuk diperkatakan. Apatah lagi selepas laman sesawang Goodreads menyenaraikan naskhah terbaharunya, What Is Not Yours Is Not Yours sebagai antara 10 fiksyen terbaik untuk 2016.


No comments:

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...